Seperti baru semalam Omar memegang senarai
ubat Bahrin di hospital. Seolah seperti semalam juga dia bertemu Azlina,
jururawat yang berjaya mencuri hatinya.
' Ada
apa-apa lagi yang encik mahu tahu?' Azlina tersenyum manis memandang Omar.
Disebabkan gugup, Omar pura-pura kusyuk meneliti senarai ubat Bahrin kerana
tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan makhluk Tuhan secantik ini.
' Hmmm...' Omar sebenarnya cuba
melengahkan masa. Bukannya dia faham langsung apa yang ada di tulis di atas
kertas. Tulisan doktor yang cakar ayam juga tidak membantu langsung. Namun,
kakinya terus terpasak di depan kaunter disebabkan mahu menyeru keberanian
untuk meminta nombor telefon Azlina.
' Ya?' sekali lagi Azlina bersuara. Kali
ini, jururawat itu membulatkan mata yang sudah sedia bundar. Omar terasa
seperti dia pula yang perlu dibawa ke bilik pembedahan.
Omar tahu dia tidak ada banyak masa. Entah
bila lagi ayahnya akan sakit jantung lagi. Kalau dia tidak rebut peluang ini,
entah-entah ia tidak akan datang lagi.
' Nombor...' itu sahaja yang keluar sebelum
terasa seperti ada batang kayu tersengkang di kerongkong Omar.
' Nombor?' Azlina memandang Omar dengan
wajah aneh sambil cuba
untuk menjenguk kertas yang dipegang. Manalah tahu kalau ada nombor di dalam
kertas yang memerlukan penjelasan. Mulut yang bergincu merah jambu itu kini
berbentuk O. Jantung Omar pula sudah jatuh ke lantai.
' Nombor awak. Nombor telefon awak. Boleh
beri saya nombor telefon awak?' Omar merapikan rambut sambil mata memandang
kasut. Tiba-tiba dia rasa menyesal. Bagaimana kalau Azlina enggan beri nombor
telefon?
' Urm...kenapa ya? Nak tanya pasal ubat
ya?' Azlina mula mencapai pen di atas meja sebelum kembali memandang Omar.
' Kalau saya nak tanya pasal awak?' Omar
bertanya takut-takut. Dia sudah tidak kisah apa yang bakal terjadi nanti,
sekurang-kurangnya dia ambil peluang yang ada. Mana tahan asyik tengok Azlina
lalu-lalang di depan mata daripada awal hinggalah sampai hari Bahrin mahu
keluar dari hospital.
Pen di tangan Azlina yang sedang rancak
menari terhenti manakala pipinya mula memerah. Ada jeda beberapa saat yang membuatkan Omar
hampir mahu pitam, takut kalau Azlina tidak sudi. Namun, Omar lega bila Azlina
mula menulis kembali ke atas kertas. Sambil curi pandang wajah Omar, Azlina
menghulurkan kertas. Cepat-cepat dia mengemaskan kertas di atas meja sebelum
berlalu pergi. Hampir sahaja Omar terlepas peluang untuk mengucapkan selamat
tinggal.
Itu dua tahun lepas, waktu segala-galanya
bermula. Bermula detik itu, Omar sudah
buat pilihan bahawa Azlina adalah suri dalam hidupnya. Namun, tidak di mata
ayah Omar sendiri. Hanya Tuhan yang tahu betapa hatinya remuk bila Bahrin
menolak mentah-mentah Azlina.
' Apa kepentingan dia pada perniagaan kau?
Apa yang dia boleh beri?' Bahrin bertanya selamba dengan tangan masih rancak
menandatangi dokumen. Tidak sedikit pun kepala diangkat, seolah-olah apa yang cuba
disampaikan oleh Omar langsung tidak penting.
' Ramai lagi orang lain, kenapa mesti
jururawat?'
Darah Omar menyirap. Takkan Bahrin lupa
siapa yang banyak membantu ketika di hospital sampai sihat?
' Kita bukan ada hospital hingga perlukan
bantuan dia.'
Omar meraup muka sambil beristighfar.
Mengingatkan reaksi Bahrin waktu kali pertama dia buka mulut tentang Azlina
cukup menyakitkan hati tetapi apalah yang mahu diingatkan sangat, ayahnya pun
sudah tiada.
' Abang Omar, mari makan,' suara adik
Azlina mengejutkan Omar dari putaran memori yang rancak bermain. Dia tahu,
kejam sangat kalau dia mengaku yang dia bersyukur Bahrin. Tidak patut sebagai anak
dia mahu berkata begitu. Lebih kurang sebulan yang lepas, dia pernah berbincang
dengan Azlina untuk bernikah sahaja di sempadan. Gila, benar, tetapi
kadang-kadang masalah yang gila memerlukan penyelesaian yang gila juga.
Mujur sahaja mereka sudah tidak perlu lagi
melakukan itu semua. Sekarang, Omar bebas untuk bersama Azlina. Tidak perlu
lagi dia sorok-sorok menjenguk keluarga Azlina ataupun curi jumpa di hospital.
' Wah! Sambal sotong!' Omar kesukaan.
Memang tidak sama dengan air tangan ibunya, Zainab tetapi air tangan Azlina
tetap sedap. Emak Azlina yang berdiri di sebelah cuma tersenyum melihat
bagaimana terujanya Omar.
Rumah ini sering menjadi tempat
persinggahan Omar sejak mengenali Azlina maka tidaklah dia kekok. Adik-beradik
Azlina sudah seperti adik-beradik Omar sendiri. Emak Azlina pula sudah dianggap
seperti ibu sendiri. Di sini Omar berasa diterima dengan ikhlas, tanpa syarat.
Tidak seperti di rumah sendiri. Apa sahaja
yang dilakukan perlu diukur dengan merit. Kalau ada pun yang sudi menerima, Pak
Sein dan pasangannya. Kadang-kala, orang tua berdua itulah yang jadi tempat
mengadu Omar tentang kerja dan Azlina. Entah faham entahkan tidak Pak Sein bila
Omar meluahkan masalah, lelaki itu tidak pasti. Yang penting, biar lepas semua
yang terbuku di dada.
Kelakar bila memikirkan orang yang tiada
kaitan darah daging lebih sudi memahami hati Omar.
‘ Abang Omar, bacakan doa.’