Saturday, May 10, 2014

Bukan Nama Sebenar: 15

              Dari kejauhan, rumah teres setingkat milik Arman kelihatan seolah-olah memanggil. Tiada apa yang istimewa sebenarnya pada rumah itu. Ia cuma sebuah persinggahan yang kemas, sunyi dan kebanyakan masa terbiar kosong. Tiada apa yang ditanam di laman rumah, hanya rumput yang dijaga dengan kemas. Lagipun, kalau dihias dengan bunga, siapa yang hendak jaga kalau tuan rumah tiada? Sudahlah kerjaya Arman menuntut untuk dia berada di luar kebanyakan masa.

Rumah itu terlalu besar untuk seorang lelaki bujang sebenarnya. Sudahlah duduk seorang, ruang pula terlalu banyak yang kosong. Perabot di dalam rumah juga boleh dikira dengan jari. Set sofa, meja makan duduk empat orang dan katil. Yang lain-lain cuma beberapa keping gambar. Untuk sebuah rumah yang mempunyai empat bilik, membazir juga kalau cuma tinggal sendiri. Namun, inilah peninggalan arwah datuk Arman. Bukan tidak boleh disewakan tetapi Arman memilih untuk tinggal sendiri. Biarlah sunyi asalkan tidak semak melayan kerenah orang. Lagipun sudah puas hidup di dalam ruang sempit sewaktu kecil. Kalau berasa bosan di rumah ini, boleh juga kemaskan laman misalnya. Tidaklah teruk sangat sebenarnya. Kalau diikutkan pada pekerjaan Arman, memang dia tidak akan mampu memiliki rumah sebesar itu. Mahu menyewa bilik pun tidak mampu rasanya tetapi biarlah. Pernah juga Bahrin menawarkan untuk tinggal bersama tetapi terima kasih sahajalah. Tidak sanggup rasanya mahu tinggal serumah bersama majikan.

Dulu, salah sebuah bilik di dalam rumah ini pernah disewakan kepada seorang pelajar. Namun, setelah pelajar berkenaan berpindah, Arman rasa biarlah dia duduk seorang. Cukuplah sekali dia terpaksa melayan kerenah orang yang kadang-kadang bertanya itu ini tentang dirinya. Sudahlah serabut dan penat selepas pulang daripada bekerja, terpaksa pula menjawab soalan yang cacamarba. Melayan Bahrin sudah satu hal, bila di rumah terpaksa pula melayan orang lain sewaktu ingin berehat. Dua tahun juga pelajar itu tinggal di situ. Walaupun pelajar itu cuma sekali-sekala berbual dengan Arman, dia tidak mahu lagi mengambil risiko melayan entah siapa-siapa yang ingin tahu tentang macam-macam. Cukuplah sekali.

Bunyi pintu berkeriut perlahan bila ditolak. Terasa tapak kaki bergeser dengan permukaan lantai yang berpasir, entah bila kali terakhir Arman menyapu lantai dia kurang pasti. Sibuk berlari ke sana ke mari hingga pulang hanya untuk berehat. Ingatkan waktu Bahrin masih hidup sahaja dia akan sibuk berkejar ke sana ke mari, waktu sudah tiada pun sibuk juga. Memang orang tua itu hebat. Sudah tiada pun mampu buat hidup orang kacau-bilau.

“ Bahrin,” Arman menyebut nama lelaki itu perlahan tanpa sedar.

Seperti dalam cerita novel yang biasa, tidak salah rasanya untuk mengatakan bahawa takdir menemukan mereka berdua. Takdir yang hampir-hampir membuatkan hidup Arman musnah tetapi dalam situasi itu, duit lebih berkuasa daripada undang-undang. Waktu siren polis kedengaran di tengah pekat malam, Arman sebenarnya sudah terkencing di dalam seluar melihat mayat pakciknya yang berlumuran darah dan makciknya yang terbaring mengerekot tidak bergerak. Nazmi, sepupunya, sudah hilang entah ke mana. Seluruh tubuh Arman menggigil bila teringat bagaimana Nazmi menetak bapa sendiri. Semuanya berlaku terlalu pantas dan seolah-olah di dalam mimpi, Arman merangkak mencapai parang yang jatuh di sebelah mayat pakcik. Air mata meleleh turun saat deria rasa dapat mengecam bahawa itu adalah hulu parang sebenar. Betul, ini bukan mimpi dan celah kelangkang Arman terasa basah. Mana Nazmi? Dia perlu hidup dengan siapa kalau semuanya sudah tiada?

Bila polis sampai, apa yang dia boleh lakukan cuma menangis. Hilang semua kata-kata, yang ada cuma ketakutan. Di tengah-tengah kekeliruan, arwah datuk berdiri di depan pintu. Tahulah Arman yang Nazmi sudah lari tinggalkan dia dan minta tolong daripada datuk. Rasa sedih menyelinap dalam hati. Dicari-cari juga bayang Nazmi di belakang datuk tetapi tiada. Selepas hari itu, Arman tidak pernah lagi berjumpa dengan Nazmi.

Entah apa yang dilakukan oleh datuk, Arman hanya dipindahkan jauh daripada tempat itu. Mungkin ada not-not kertas yang bertukar tangan, mungkin juga tidak. Yang pasti, selepas itu, Arman tercampak ke Sandakan bersama pekerja datuk. Duduklah dia di situ, menghabiskan sebahagian zaman remaja. Sekali-sekali ada juga ke Ranau atau Kota Kinabalu, mengikut penjaga. Mula-mula, rasa rindu pada semenanjung boleh tahan juga terasa namun lama-kelamaan, itu semua makin dilupakan. Keindahan negeri di bawah bayu itu membuatkan Arman hampir lupa akan apa yang pernah terjadi. Menyusuri sungai yang tidak terusik dan meneroka Gunung Kinabalu kalau ada kesempatan, itu lebih menenangkan.

Tidak banyak yang perlu difikirkan oleh Arman ketika di Sandakan. Sekali-sekala ada juga niat untuk bertanya tentang Nazmi bila datuk melawat tetapi hasrat itu dilupakan terus. Malam-malam Arman tidak selalunya indah. Sekalipun sudah lama meninggalkan semenanjung, kenangan masih tetap melekat di fikiran. Mana mungkin semudah itu menghalau imej-imej berdarah yang tertanam di dalam kepala? Dan ketenangan di Sabahlah yang banyak membantu Arman untuk pulih.

Suatu hari, tidak lama sebelum memulakan Tingkatan Lima, Arman didatangi Bahrin. Waktu itu, lelaki tua itu singgah bermalam, kebetulan dia sepupu kepada penjaga Arman. Seperti biasa, Arman melayan lelaki tua itu tidak kurang seperti dia melayan penjaganya sendiri. Namun, apa yang berlaku di depan tandas sebelum Maghrib, membuatkan hidup Arman jadi kelam-kabut.

“ Aku tahu apa yang kau lakukan. Kau ada kes polis,” kata Bahrin pada Arman di dalam separa kegelapan sewaktu mereka berselisih di dapur. Arman kaku di depan pintu bilik air, tidak mampu bergerak.

Selama beberapa tahun ini dia rasa selamat tetapi malam itu, terasa dunia bergegar. Nafas terasa sesak dan mimpi-mimpi menakutkan muncul kembali. Selepas itu, hari-hari yang dilalui penuh dengan ketakutan. Melangkah ke sekolah pun Arman diburu ketakutan kalau-kalau ada sesiapa tahu apa yang pernah terjadi. Setiap pandangan yang diterima, waima daripada makcik penjual ikan di pasar pun dilihat sebagai satu ancaman. Rahsia yang difikirkan tertutup rapi rupa-rupanya adalah juga rahsia milik semua orang, fikirnya. Bila-bila masa sahaja rakan sekolah akan tahu apa yang pernah dilakukan dan habislah, tiada siapa yang mahu berkawan dengan dia lagi.

Dua bulan pertama selepas kedatangan Bahrin, hidupnya terasa seperti dalam neraka. Daripada seorang remaja yang lincah dan ramah, Arman bertukar menjadi pendiam sehingga menyebabkan penjaganya risau. Tidur seringkali diganggu mimpi yang bukan-bukan. Sakit kepala mula menyerang apabila asyik terbayang hari berdarah itu. Namun, Arman mengunci mulut kerana tidak mahu kehidupan yang baru sahaja dimulakan, hancur kembali. Tidak sekali-kali dia mahu dicampakkan ke dalam Sekolah Henry Gurney. Campaklah dia ke kaki Gunung Kinabalu, dia lebih selesa di situ.

Perlahan-lahan, kehidupan Arman mula kembali normal. Syak-wasangka terhadap orang sekeliling sudah berkurangan bila dia menyedari bahawa tiada siapa yang datang untuk membisikkan tentang kisah silamnya.

Namun, sedikit-sebanyak episod itu telah mengubah keadaan Arman. Dia sedar bahawa ada orang lain yang tahu kisah silamnya dan bila-bila masa sahaja kebebasan Arman akan ditarik balik. Wajah Bahrin tidak akan mampu dilupakan.

Benar, pada usia dua puluh dua tahun, Bahrin kembali dan merampas semua yang dia ada. Datuk baru sahaja meninggal dunia ketika itu dan Bahrin baru sahaja menjadi ahli lembaga dalam salah sebuah anak syarikat datuk. Arman dipanggil pulang ke semenanjung setelah dimaklumkan bahawa datuk telah meninggalkan aset untuk dirinya. Belum sempat Arman pulih daripada kejutan bahawa dia terpaksa meninggalkan Sandakan, wajah Bahrin muncul di bilik mesyuarat. Arman tidak akan lupa waktu itu, bagaimana kecut perut bila terpandangkan raut wajah yang sedang memandang sinis. Peluh jantan menitik di tengah-tengah bilik berpenghawa dingin memikirkan kata-kata Bahrin dahulu.

“ Habislah,” getus hati Arman. Namun, Bahrin tidak bertindak serta-merta. Dia sebaliknya menunggu beberapa lama sebelum menunjukkan sifat sebenar.

Suatu hari, Arman dijemput ke rumah lelaki tua itu. Pagi-pagi lagi pemandu Bahrin sudah datang ke rumah menjemput Arman yang jelas tidak cukup tidur memikirkan apa yang bakal terjadi. Adakah Bahrin akan mengugut untuk sejumlah wang? Tetapi Arman tidak ada banyak wang. Yang ada cuma rumah pemberian datuk dan sedikit wang ehsan. Kalau dari segi harta, memang Arman tidak dapat beri apa-apa. Maka, apa yang sebenarnya Bahrin mahukan?

“ Kau masih muda, masih banyak tenaga. Aku mahu kau kerja dengan aku,” Bahrin membuat permintaan di dalam perpustakaannya. Arman terpempan. Kerja dengan Bahrin? Tidak cukup pekerja lagikah orang tua ini?

“ Jaga keselamatan aku. Jadi pembantu aku,” kata Bahrin selamba sambil meneguk minuman di tangan tanpa memandang Arman.

“ Pembantu?” biar betul. Bukankah Bahrin sudah ada pekerja untuk membantu dengan hal-hal pejabat malah pemandu pun ada? Namun, bila difikirkan semula, mungkin ada rasionalnya juga. Ada kemungkinan mungkin Bahrin memerlukan lebih ramai pekerja. Yang di depannya ini bukan calang-calang orang. Sudahlah usahawan, penulis berbakat pula. Namanya sudah gah di seluruh negara. “ Di pejabat?” Arman bertanya takut-takut.

Bahrin berpaling menghadap Arman sebelum ketawa besar. Ada nada sinis di dalam ketawa itu. “ Pejabat? Takkanlah kau mahu bekerja di pejabat sedangkan aku tau apa yang pernah kau buat dulu. Manalah tahu, kalau aku terlepas cakap, kan? Atau kau rasa kisah kau dengan pakcik kau…. kau fahamkan?” lelaki itu sengaja membiarkan ayat tergantung hanya dengan persoalan. Arman seolah-olah dapat merasakan darah hilang dari wajahnya. Sah, lelaki ini memang kejam.

“ Tidak. Jadi pemandu aku dan mungkin, pengawal peribadi aku,” Bahrin memandang Arman, seolah-olah mahu menebak apa yang ada di dalam hati.

Ayat yang baru sahaja dilafazkan dirasakan seperti kerambit yang merobek perut Arman. Kalau diikutkan, Arman bakal memulakan kerja di pejabat, sama seperti wasiat yang dibacakan. Tetapi lelaki ini...

“ Tapi...wasiat?”

Bahrin tersenyum keji lagi. “ Kau mahu ikut wasiat atau kau mahu tulis wasiat dari dalam penjara?”

Jahanam, bisik hari Arman. Bahrin betul-betul tekad untuk hancurkan hidup Arman. Apa yang sudah jadi sebenarnya? Kenapa Arman yang jadi mangsa?

“ Kenapa? Kau malu?” Bahrin sengaja menguji.

“ Tidak,” Arman pura-pura senyum walaupun perit.

“ Bagus. Ingat, rahsia kau di tangan aku.”

Bagaikan tikus tersepit, Arman cuma mampu ikut arahan lelaki berperut buncit itu. Sudahlah keseorangan tanpa teman dan ketakutan, ada pula orang yang mengambil kesempatan. Dalam usia semuda itu, apalah yang Arman tahu. Dengan majikan, Arman terpaksa berbohong yang dia tidak suka kehidupan di pejabat. Dengan pakcik yang juga salah seorang pegawai di syarikat pula dia terpaksa menipu dengan mengatakan dia mahu cari pengalaman lain dahulu. Tidak langsung terfikir oleh Arman bahawa dia boleh meminta bantuan daripada saudara yang lain. Yang ada dalam kepalanya adalah kuasa yang ada pada hujung mata pena atau lidah Bahrin.

Sayangnya, belum sempat Arman habis mengumpul bukti untuk merampas kembali kehidupannya, Bahrin telah mati.


“ Belum apa-apa lagi, tua kutuk tak sedar diri tu dah mampus.”

Wednesday, May 07, 2014

Bukan Nama Sebenar: 14

Dum! Omar yang sedang duduk menonton TV di bawah, terlompat akibat terperanjat. Kalau tidak silap, itu bunyi daripada bilik tidur Bahrin. Susup-sasap dia berkejar untuk menjenguk bilik tidur ayahnya. Manalah tahu kalau-kalau Bahrin sakit jantung atau tersembam.

“ Ayah! Ayah!” pintu bilik tidur Bahrin diketuk dengan kuat. Omar tahu ayahnya ada di dalam kerana mereka berdua baru pulang daripada melawat Zainab di hospital.

Ah bagaimana pula kalau bunyi itu melibatkan Alia? Risau juga kalau ada apa-apa berlaku pada ibu tiri Omar. Panas baran Bahrin bukan boleh diagak.

Terdengar bunyi tangisan di dalam bilik bila telinga didekatkan pada daun pintu. Omar berbelah-bahagi samada mahu pecahkan pintu atau teruskan mengetuk.

“ Mana pula orang lain? Takkan Mak Pah tak dengar bunyi tembakan? Ayah!” sekali lagi Omar mengetuk pintu.

Baru sahaja Omar mahu angkat kaki untuk sepak pintu, tombol pintu kelihatan berputar perlahan. Kepala Bahrin dijengukkan keluar. “ Ya?”

“ Ada orang pecah masukkah ayah? Ayah ok?” Omar cuba untuk menolak daun pintu namun tidak berjaya. Sebaliknya, Bahrin melangkah keluar dari bilik.

“ Tak ada apa-apalah. Ayah cuma bergurau dengan mak muda kamu. Heh heh,” Bahrin tertawa sambil menutup kembali pintu bilik. Ada pistol di tangan Bahrin. Omar jadi kelu tidak berkata melihatkan senjata itu.

“ Gurau?” sebaik sahaja soalan itu dilafazkan oleh Omar, perasaan kesal menyerbu. Mata terus memandang pistol di tangan Bahrin. Adrenalin pula bergerak menyelinap ke seluruh saraf, bersedia untuk lari kalau tangan yang memegang pistol itu bergerak.

“ Kau mana faham. Ini hal orang dah kahwin,” Bahrin berkata sambil menggaru kepala yang sudah hampir botak.

Bahrin membiarkan Omar berdiri kaku di luar pintu bilik. Tanpa penjelasan, Bahrin  memusingkan badan sebelum membuka pintu bilik. Omar dapat mendengar esak-tangis Alia di dalam. Sebahagian dirinya mahu menyerbu masuk, sebahagian lagi mahu angkat telefon dan telefon polis.

Lekas-lekas Omar turun ke bawah untuk ke dapur. Mujur Mak Pah ada di dapur, sedang basuh ayam.

“ Mak Pah?” Omar menyapa di sebalik pintu dapur.

Pembantu rumah itu berpusing perlahan-lahan sambil tersenyum nipis. “ Ya, encik.”

“ Mari sekejap, saya ada benda nak tanya,” Omar berjalan ke arah meja makan. Ini perlu diselesaikan segera.

Malam itu barulah Omar tahu apa yang selalu terjadi di dalam rumah ini. Ini bukan kali pertama letupan pistol dilepaskan di dalam rumah ini.

“ Sejak bila?” Omar keliru.

“ Sejak Puan masuk hospital,” Mak Pah kelihatan serba-salah.

“ Kenapa tak beritahu saya?” Satu lagi soalan bodoh. Pasti Bahrin sudah berpesan kepada semua yang ada di dalam rumah ini supaya tidak buka mulut.

“ Maaf..” ada air mata bergenang di birai mata Mak Pah. Hati Omar terus lembut jadinya.

“ Tak apa, Mak Pah. Maafkan saya.”

Mak Pah pula menangis mengongoi. Terbantut niat Omar untuk bertanya lebih lanjut tentang apa lagi yang dilakukan pada Alia.


Kesian Alia. Apalah salah perempuan itu sampai dilayan macam binatang sarkis. Kenapa perlu diacukan pistol pada isteri sendiri? Bukankah ada cara lain untuk bermesra?

Sunday, May 04, 2014

Nama

‘ You did that on purpose kan?’

Najmi sikit pun tidak mendengar apa yang dikatakan oleh bibir mungil itu. Dia sedang sibuk memikirkan mereka berdua duduk di sofa empuk di dalam kedai, bersebelahan. Berbual tentang apa yang terlintas di kepala. Itu sahaja. Sumpah.

‘ Apa dia ni?’ Sayang. Kalau ikutkan hati, Najmi mahu ucapkan perkataan itu. Apakan daya dia tidak mampu.

‘ Ni, nama saya,’ gadis di depannya mengomel sambil memuncungkan sedikit bibir. Rakan-rakan di belakang Najmi ada yang tersengih sambil membersihkan kaunter. Mujur sahaja kedai kopi berjenama ini di kawasan pejabat dan sekarang baru jam sepuluh pagi.

‘ Betullah Laily,’ Najmi berbohong. Dia tahu itu tidak benar. Dia ingat benar perkenalan mereka beberapa minggu lepas…

‘ It’s Laili with two Is,’ ujar si gadis genit sambil membetulkan kaca mata.

‘ And I can see they are very beautiful,’ bisik hati Najmi. Ini pelanggan dan dia tidak mahu dibuang kerja.

‘ Ok Miss Laili with Is. Anything else?’

‘ That is all, Naj..mi,’ si gadis genit bersuara. Najmi sedikit tergamam. Jarang sekali namanya disebut oleh pelanggan.

Habis imbas semula kenangan.

‘ I’m so sorry. Must be thinking of another Laili,’ Najmi cuba berdrama. ‘ I’ll get back to you later, alright? Someone…’ Najmi memberikan isyarat mata ke arah bahagian depan kaunter. Laili cuma mengangguk.


Entah bagaimana harus Najmi jelaskan bahawa perbuatannya sama dengan perbuatan seorang kanak-kanak lelaki yang sengaja menarik rambut ekor kuda rakan sepermainan perempuan untuk mencuri perhatian. 

Saturday, May 03, 2014

Bukan Nama Sebenar: 13

Fail yang dipegang diletakkan kembali ke atas meja. Sebotol minuman ringan diteguk sekali lagi. Mata Aidid sudah berat sebenarnya tetapi seperti ada sesuatu yang berhantu tentang kes ini, membawa dia kembali ke kerusi untuk membelek fail sekali lagi.

“ Buku nota?” mata Aina membulat. “ Serius? Sebab buku nota?” Aina mengulang kembali soalan.

“ Ya,” Aidid menjawab lalu mengeluh. Aina masih terlopong, membuatkan Aidid ketawa. “ Kenapa terlopong?”

“ Buku? Bukan jongkong emas? Atau mungkin...entah, duit?”

“ Ini idea penulis terkenal yang sentiasa menerbitkan buku-buku kontroversi. Ini hasil pemikiran orang hebat. Ramai orang yang mahu beli buku itu. Kalau kau cari di Internet sekarang, aku takkan terkejut kalau kau kata ada orang sanggup bayar satu juta ringgit untuk buku itu,” Aidid bersandar pada sofa di dalam pejabatnya.

“ Satu juta? Kau gila?” Aina masih memandang Aidid dengan mata bulat.

Gila. Memang gila. Semua tentang kes ini gila sebenarnya.

Aidid bersandar lalu memandang siling. Di pejabat, di rumah sudah tiada beza. Dalam kepala asyik memikirkan tentang kes ini. Di mana buku nota itu? Siapa yang mampu meraih paling banyak keuntungan daripada buku itu? Siapa pencabar paling dekat? Mungkin kalau semua ini dapat dijawab, misteri yang ada akan terlerai.

Bahrin mati akibat kehilangan darah yang banyak. Waktu mayat dijumpai di kaki tangga, darah pekat memenuhi ruang lantai. Kaki kanan mangsa patah dan terdapat kesan tembakan pada kaki kiri. Sepucuk pistol turut ditemui di tempat kejadian. Siasatan awal menunjukkan bahawa Bahrin tertembak kaki sendiri. Kalau diikutkan, teori bahawa Bahrin tertembak kaki sendiri mungkin boleh diterima cuma kehilangan buku nota yang berharga menimbulkan unsur syak.

Menurut orang gaji di rumah Bahrin, waktu itu hujan lebat. Bahrin bersendirian dan tidak mahu diganggu. Alia pula tiada di rumah, keluar dengan rakan, kata Mak Pah. Tiada siapa yang dibenarkan ke ruang atas kerana penulis itu tidak mahu diganggu dan ini merupakan satu arahan. Ruang atas menempatkan perpustakaan dan pejabat Bahrin dan tiada siapa yang berani ke ruang itu selalunya tanpa arahan daripada penulis itu.

Disebabkan arahan itu, Mak Pah dan Pak Sein mengambil keputusan untuk berehat awal, kira-kira jam sepuluh malam. Lebih kurang jam sebelas setengah malam, berlaku litar pintas. Semuanya gelap dan terdengar bunyi tembakan.

“ Dan makcik tak pergi tengok?” Aidid berasa pelik. Dalam kes orang normal, pastinya perkara ini akan disiasat. Manalah tahu kalau-kalau ada pencuri. Sia-sia sahaja kalau disembelih di tempat tidur sendiri.

Pembantu rumah Bahrin kelihatan takut-takut untuk menjawab. Sedikit demi sedikit, kebenaran mula menjengah. Mak Pah mengaku bahawa bunyi tembakan pistol bukanlah sesuatu yang aneh di dalam rumah itu. Bahrin selalu berlatih di dalam bilik khas dan...

“ Tuan juga berlatih di dalam bilik tidur.”

Bilik tidur? Takkanlah..... Berlatih di sini maksudnya digunakan untuk....

Ini sudah jadi lain. Mungkinkah Alia, wanita lemah-lembut dan nampak lemah itu, didera oleh suami sendiri?

Tiada jawapan, cuma anggukan. Aidid beristighfar. Kes pembunuhan yang rumit sudah bertukar menjadi kotor. Patutlah Alia lebih banyak menangis berbanding bercakap setiap kali soal-siasat diadakan. Ingatkan kerana sedih di atas pemergian Bahrin. Rupa-rupanya ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Rasa hormat yang sebenarnya sudah disalut rasa takut menyebabkan kedua-dua pembantu sekadar melihat-lihat bahagian dalam rumah ketika pagi. Itupun cuma ala kadar. Waktu itu, semuanya sudah terlambat. Bahrin sudah tiada. 

Polis dihubungi seawal waktu subuh. Tubuh Bahrin sudah sejuk di kaki tangga, kaki berlubang dengan kesan peluru dan leher patah. Dalam keadaan kelam-kabut, pembantu rumah tidak perasan yang terdapat tapak kaki yang berbekas di atas lumuran darah. Hanya satu kerana dilindungi tumpahan air milo ke bahagian lain, tanda ianya sengaja dilakukan.

Mustahil rasanya untuk berdiri di tepi tangga dengan milo dan pistol di tangan. Kenapa pula sesiapa perlu berdiri di tepi tangga dengan segelas minuman? Dan kenapa perlu ada pistol? Ia samada untuk melindungi diri sendiri ataupun Bahrin sedang berdepan dengan seseorang dan dia perlu menunjukkan bahawa dia berkuasa?

Soalnya sekarang, siapa pihak yang satu lagi? Atau mungkinkah...

Aidid menyalakan sebatang rokok. Satu mangsa, ramai suspek. Disebabkan apa yang diberitahu oleh pembantu rumah, Alia sudah jadi suspek nombor satu. Elle, pembantu peribadi Bahrin, turut berada dalam senarai yang sama. Ada khabar angin yang menyatakan bahawa Elle sering dipaksa untuk bekerja dengan teruk. Sekalipun mempunyai anak di kampung, wanita itu jarang sekali dibenarkan pulang untuk menjenguk anak sendiri. Entah bagaimana rasanya perlu melayan ego yang besar, yang merasakan wang adalah segala-galanya.

Anak lelaki mangsa juga tidak boleh diketepikan. Sekalipun lelaki itu nampak senyap dan tidak berbahaya, itu tidak bermakna dia tiada motif. Ini kedengaran seperti kejam tetapi sudah tiada apa yang mustahil lagi sekarang. Lelaki muda yang mempunyai segalanya, kenapa dia masih belum berkahwin? Kalau diikutkan jalan cerita Cerekarama, pasti kerana cinta tidak direstui ayah. Disebabkan setia, lelaki itu tetap meneruskan percintaan sekalipun dihalang hingga memaksa dia untuk “menghapuskan” halangan yang ada.

Aidid tergelak. Sudah serupa sangat dengan skrip drama pula rasanya. Ini tandanya otak sudah penat berfikir. Esok sahaja dia sambung fikir tentang siapa lagi yang perlu dijadikan suspek.


Ah, Arman! Itu seorang lagi suspek. 

Wednesday, April 30, 2014

Bukan Nama Sebenar: 12

Elle atau Zalina bukanlah seorang gadis yang tidak tahu apa-apa. Malah, semasa dia masih remaja, boleh dikatakan yang Elle cukup matang untuk usianya. Waktu rakan sebaya sibuk menelaah semua mata pelajaran, dia ada tanggungjawab lain untuk membantu perniagaan keluarga. Hanya Elle anak yang cukup besar untuk membantu meringankan beban orang tua. Tiada masa untuk berpacaran, dalam seharian Elle leka dengan pelajaran dan perniagaan. Tidak ada erti bosan atau lepak untuk gadis itu. Dia tenggelam dalam kesibukan membahagi masa untuk dua keutamaan; sesuatu yang mungkin asing untuk seorang pelajar sekolah. Itulah dunianya, itulah ketenangan dan kebahagiaan untuk Elle.

Sehinggalah hari itu bila Mama rebah di kedai. Mama memang sudah lama mengidap kencing manis tetapi hari itu tahap gula Mama rendah betul. Penat sangat agaknya, Mama rebah ketika ingin mengalihkan dulang-dulang berisi lauk ke bahagian depan restoran. Mujur pekerja masuk awal pagi itu. Kalau tidak, entah sampai bila Mama terkulai baring di lantai kedai dengan lauk-pauk mengotori tubuhnya.

Ayah menunggu Mama di hospital hingga sedikit menjejaskan perniagaan yang sedia ada. Kalau boleh, memang Elle mahu membantu tetapi tidak dibenarkan. Ayah tidak sedia melepaskan Elle untuk menguruskan kedai, apatah lagi dia perlu menumpukan perhatian pada pelajaran. Sudah nasib agaknya, Mama lama di hospital dan perniagaan makin suram. Mama tukang masak utama di restoran jadi kalaupun ada orang lain yang mengambil alih peranan itu, rasanya sudah berbeza. Sekali lagi Elle dihalang daripada membantu kerana waktu itu sudah dekat sangat dengan SPM. Lagipun, manalah dia mampu masak semua hidangan yang Mama hidangkan. Sudahlah banyak, makan masa pula untuk disiapkan. Silap haribulan, Elle terpaksa berhenti sekolah dan itulah yang Ayah tidak mahu.

Enam bulan Mama bercuti; tiga bulan di hospital dan tiga bulan di rumah. Semestinya paling tidak perniagaan pasti akan terganggu sedikit. Kedai selalu ditutup hingga ramai pelanggan memilih untuk ke tempat lain. Mama pula mula sakit-sakit tangan. Susah untuk memasak dengan tangan yang tidak boleh digerakkan dengan bebas. Mahu tidak mahu, Ayah terpaksa memanggil seseorang untuk membantu di kedai sekalipun Mama sudah mula menurunkan ilmu memasak kepada Elle. Tiada masa untuk cuba-cuba, kedai makan mereka hanya boleh diselamatkan oleh seseorang yang punya cukup pengalaman.

Ramai yang memohon untuk bekerja di kedai makan tetapi ayah cukup memilih. Susah benar untuk jumpa tukang masak yang menepati kriteria yang ditetapkan Ayah hingga akhirnya tiada lagi yang mahu tawarkan diri bekerja dengan keluarga mereka. Mujur juga ada saudara jauh yang menawarkan diri, kalau tidak, memang lingkup perniagaan yang ada. Nasib baik yang menawarkan diri punya pengalaman dan boleh dipercayai.

Waktu Ayah kenalkan pembantu di restoran, terasa seperti jantung Elle melompat ke kerongkong. Seorang lelaki lingkungan dua puluhan diperkenalkan sebagai tukang masak yang baru, merangkap anak kepada salah seorang saudara. Dengan janggut sejemput, kulit sawo matang dan tubuh yang tinggi, lelaki itu mengenalkan diri sebagai Fahim. Nama itu membuatkan Elle terdiam, hampir tidak percaya. Itulah nama pemilik wajah yang sering jadi peneman sebelum tidur tetapi tidak pernah dikhabarkan pada sesiapa waima Mama sekalipun. Rupa Fahim tidak jauh berbeza dengan waktu mereka berkejaran ketika berusia sepuluh tahun hingga membuatkan Elle tidak keruan.

Dan Fahim juga masih nakal seperti dahulu. Ada sahaja yang ingin diusik tetapi Elle bertahan. Dia tidak mahu tunjuk yang dia mudah kalah pada Fahim, sama dengan suasana ketika mereka bergurau ketika masih bergelar anak kecil. Disebabkan itu, mereka berdua selalu sahaja bertekak. Ada sahaja yang boleh menjadi unsur salah faham. Paling kerap bila Elle mengusik yang masakan Fahim tidak sehebat masakan dia sendiri. Riuh-rendah di dapur seringkali buat semua yang ada pening kepala.

“ Ayam merah kau nampak cantik tapi....” Elle berdiri di tepi peti sejuk, memulakan langkah untuk mengusik Fahim.

Lelaki kurus itu cuma membetulkan apron sambil memandang wajah Elle dengan geram. “ Apa pula lagi yang salah, cik puan?”

“ Tak sampai hati pula nak terus-terang. Tak mengapalah,” Elle sengaja memberikan kenyataan yang misteri.

“ Cakaplah, apa bendanya. Ada sahaja kaki kritik ni nak kongsi. Eh, awak tahu tak, orang cakap tukang kritik bukan pakar dalam bidang yang mereka kritik. Contohnya, pengkritik filem tak pandai buat filem. Macam awak yang rajin kritik masakan ni...” Fahim sengaja tidak mahu menyambung kata.

“ Apa kau cakap? Hey...” Elle mula menyinga.

“ Dua-dua orang ni elok akak nikahkan sahaja. Bertekak sampai semak dapur,” jerkah salah seorang pembantu di dapur. Seperti biasa, kedua-duanya senyap tidak berbunyi selepas itu. Namun, itu semua untuk beberapa detik sahaja sebelum mereka kembali bergaduh.

Dan, memang benar kata orang, usik-mengusik membawa bahagia. Entah dari mana datangnya sayang, tiada siapa yang tahu. Yang pasti, lama-kelamaan gurauan kasar mula bertukar manja. Jelingan geram berubah menjadi lirikan manja. Sedar-sedar, kedua-duanya sudah semacam asyik sangat bercinta.

Mungkin silap Elle, mungkin sudah ditakdirkan. Cinta pada Fahim membutakan mata Elle, membuatkan dia lupa akan cita-cita sendiri. Mula-mula, Elle menolak tawaran ke universiti dengan alasan mahu bersama Mama buat sementara waktu. Ayah terpaksa menerima kerana waktu itu memang Mama sakit sekalipun matanya sudah nampak apa yang sedang berlaku antara anak gadis sendiri dan tukang masak di kedai. Kemudian, rombongan meminang pula tiba dari pihak Fahim.

Masih terbayang-bayang riak wajah Mama selepas rombongan itu pulang daripada rumah. Mama dan Ayah sungguh-sungguh tersepit. Menolak pinangan Fahim bermakna mereka mungkin kehilangan pembantu dan perniagaan bakal terjejas sekali lagi. Menerima pinangan Fahim pula bagai menggadaikan masa depan anak gadis sendiri. Berapa ramai sangat yang mampu menguruskan rumahtangga sambil belajar sedangkan sudah jadi impian Ayah dan Mama untuk menghantar anak-anak ke universiti. Biarlah anak-anak dapat merebut peluang yang tidak pernah wujud pada mereka.

Elle meraup wajah. Jauh fikirannya menerawang. Selendang yang disarungkan di kepala ditanggalkan. Kematian Bahrin mengingatkan dia pada Fahim yang telah lama pergi, tidak pasti kenapa. Entah, mungkin dia rindu pada arwah suaminya itu yang pergi dalam usia yang masih muda. Gambar Fahim yang sedang memeluk Sofia diperhatikan dari tempat duduk. Rindunya dia pada Fahim hanya Tuhan yang tahu.


Perlahan, Elle bangkit mendekati kabinet lalu mencapai bingkai gambar sebelum dipeluk erat. Air mata Elle sudah kering. Yang ada cuma redha. 

Tuesday, April 29, 2014

Batter: 2

As expected, their red velvet cupcakes were a roaring success. Their novelty cupcake was now getting more orders from couples and parties for their unique themes. It was hectic but at least it became a headstart for Kazim’s future business. Afterall, it was just another few months left before he finished college.

Everytime Kazim get orders, he made sure that he baked extra cupcakes to give to the homeless. During the few weeks, he managed to get to know some of the official residents in the backlanes. Some were just generous enough to be sitting with him while eating the cupcakes.

One particular guy was a guy Kazim called Uncle K. With an old supermarket stroller, Uncle K roamed the nearby street for recyclable goods before selling them. The first time Kazim approached him and gave him those cupcakes, he accepted with tears streaming down his face. Luckily Kazim brought mineral water along or Uncle K would have choked.

Others were more reserved. They just said thanks and walked away shyly. An old woman just stood in front of Kazim when he gave the cupcake. She was speechless. The only thing she did was cry.

It almost reminded Kazim of his mother.

One night, Kazim again went to visit Uncle K. It has been a pretty busy week and talking to some of them have become an escapism to Kazim.

Since they met, Kazim can see that Uncle K looked a lot more calmer. It must have been difficult to be going through the day without anyone on his side. Uncle K used to be popular when he was young, according to the guy. Money came easy and so did booze. And booze was just the thing that ruined his life. It caused him money, friends and family.

‘ My son may be a little bit older than you,’ Uncle K said while sipping coffee.

‘ Do you want to eat something uncle? Something that you crave?’ Kazim asked suddenly, just for the sake of making it less of an awkward moment for both of them.

After a few minutes of silence, Uncle K said with a smile,’ roti naan.’

So, roti naan it will be.

                                                        *     *    *
‘ Olive oil, baking powder..’

‘ Hey Kazim!’ came the slap on his back while he was picking out ingredients for the roti naan.

‘ Eh Ariffin!’ Kazim turned around to see his business partnerr’s happy face. In the process of doing so, he nearly dropped the steel basket in his hands.

‘ I was just picking up some ingredients for our project tomorrow,’ Ariffin said, gesturing to a list in his hands.

‘ I see.’

‘ What are you doing here?’ Ariffin peered into Kazim’s basket this time.

For some reason, Kazim refused to say what he was planning.

‘ Just something for dinner tonight. My sister will be back so I’m just planning to make pizza or something.’

‘ Cool. So see you later,’ Ariffin walked to the other end of the shop.

This would be Kazim’s little project and no one should know.


Saturday, April 26, 2014

Bukan Nama Sebenar: 11

Ubat di tapak tangan Alia dipandang dengan rasa sayu. Ingatkan dengan pemergian Bahrin, semua mimpi ngeri akan berakhir. Siapa sangka memori yang tinggal akan sentiasa berputar seperti pita rakaman yang sudah rosak? Mahu tidak mahu, sebutir lagi pil terpaksa ditelan. Ya, seperti selalu.

Semenjak kecil lagi Alia sudah minat bercerita. Bukan di atas pentas tetapi melalui tulisan. Waktu pengumpulan karya penulisan untuk majalah sekolah adalah saat yang paling dinantikan. Pasti ada sahaja karya Alia yang disiarkan. Ini tidak termasuk cerpen yang dihantar oleh guru sebagai wakil pertandingan.

Menulis adalah satu lagi cara untuk Alia “hilang” daripada dunia sebenar. Sebaik sahaja pena dipegang, dia seolah-olah berada di dalam ruang vakum sendiri. Tiada bunyi bising, tiada kenakalan rakan sekelas, tiada tekanan; semuanya lenyap.

Bila semakin dewasa, cara untuk merekodkan idea jadi lebih mudah. Ketika di sekolah rendah, Alia kerap ditegur kerana sering mencuri waktu untuk menulis idea. Bila sudah ke sekolah menengah, ayah Alia memberikan alat perakam suara. Sekalipun sering disindir rakan-rakan kerana asyik bercakap dengan mesin, Alia tidak peduli. Yang penting, dia boleh meneruskan hobi menulis.

Daripada hobi, menulis kemudian bertukar menjadi sesuatu yang lebih serius. Keluarga Alia tidak pernah menghalang cita-citanya, malah memberi sokongan padu. Sebuah bilik khas disediakan demi memastikan Alia dapat menulis dengan selesa dan tanpa gangguan.

“ Yang penting, niat kamu ikhlas dan pekerjaan kamu nanti halal,” pesan ayah Alia. Itulah kata-kata semangat yang dipegang hingga menyebabkan Alia mampu menjadi penulis amatur yang terkenal. Ketika tahun dua di universiti, Alia sudah mendapat tawaran untuk menyiapkan sebuah novel. Sayangnya, ayah meninggal dunia sebelum sempat melihat kejayaan Alia menerbitkan novel sulung.

Dan bermula daripada saat itulah bermulanya liku-liku dalam kehidupan Alia.

Berbekalkan kemahiran yang ada, Alia mula menulis di majalah-majalah dan kolum suratkhabar. Terjaga sedikit makan-minum keluarga ketika itu. Mujur sahaja ada duit pencen ayah, beban untuk menghabiskan pengajian tidak begitu menekan. Daripada segi kerja, Alia langsung tidak perlu risau. Tawaran datang mencurah-curah sehinggalah sampai satu tawaran daripada syarikat Bahrin.

Seorang rakan sekerja Alia menasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran yang satu itu. Itu menandakan bahawa bakatnya sudah dikesan dan diri Alia sedang diperhatikan. Sedikit-sebanyak kembang juga rasa hati. Siapa yang tidak seronok kalau jadi rebutan, bukan?

Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik sahaja surat tawaran daripada Bahrin sampai, syarikat lain semakin menjauhkan diri. Tawaran untuk artikel mula berkurangan membuatkan Alia berasa risau. Pada asalnya, Alia mahu tunggu dahulu sebelum membuat pilihan yang terbaik sementelah lagi masih ada satu lagi semester untuk disudahkan. Menyedari bahawa semakin kurang tawaran yang datang, ia sedikit-sebanyak menganggu Alia. Tidak senang duduk kerana tidak lagi menjadi kesayangan industri, dia  mula menggelabah. Mahu tidak mahu, tawaran Bahrin diterima.

Lega hati bila reaksi yang diberikan oleh syarikat Bahrin agak memberangsangkan. Cuma satu yang mendatangkan kerisauan pada Alia waktu itu; dia terasa dikongkong. Tiada lagi kebebasan untuk memilih topik atau isu yang menarik melalui penerbitan yang pelbagai. Apa sahaja isu yang dihulurkan oleh majikan, itulah yang perlu diselesaikan. Semua yang ideal tentang menjadi seorang penulis terpaksa diketepikan demi wang.

Bukanlah satu rahsia bahawa Bahrin sering memerhatikan pekerja perempuan yang baru. Lelaki; itu sahaja yang dapat dikatakan oleh Alia sambil tersenyum. Semua cakap-cakap bahawa dirinya sedang diperhatikan, ditolak ketepi kerana Alia mahu hubungan profesional sahaja. Apatah lagi bila Bahrin sendiri sudah cukup layak untuk dipanggil seorang bapa.

Daripada seorang majikan yang hanya memerhati di dalam pejabat, Bahrin mula bertindak lebih jauh. Alia mula diajak ke majlis-majlis pelancaran, tidak seperti pekerja yang lain. Ada sahaja alasan untuk bawa Alia keluar dan yang selalu dijadikan orang tengah pasti adalah Elle. Ke mana sahaja Alia ingin dibawa, Elle diwajibkan turut serta untuk mengaburi mata tuan punya badan. Malangnya, Alia bukan mudah untuk dipikat. Kemewahan masih belum cukup menawan, apatah lagi kalau ia datang daripada seorang lelaki tua.

Bahrin tidak tahu erti lelah. Pelbagai cara digunakan hinggalah satu malam bila Alia diumpan ke hotel. Semuanya berlaku dengan cara yang cukup licik kerana Elle turut sama ditipu. Elle diarahkan untuk menelefon Alia, kononnya untuk perbincangan tergempar dengan seorang penerbit filem namun kemudian Bahrin sendiri menelefon setiausahanya untuk memberitahu perbincangan dibatalkan. Tinggallah Alia seorang berjalan ke dalam perangkap seperti tiada apa-apa yang berlaku.  

Peristiwa hitam itu seolah-olah baru sahaja terjadi. Sewaktu loceng dibunyikan, Bahrin yang membuka pintu. Alia langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan bahawa Elle dan penerbit filem sedang berbual di ruang sebelah. Bahrin terus menghilang ke dalam bilik air sebaik sahaja membenarkan Alia masuk dengan alasan perlu menukar baju. Tidak sempat untuk bertanyakan apa-apa, Alia cuma duduk menunggu sehingga Bahrin selesai. Tidak berani dia mahu menjenguk ke ruang sebelah mencari yang lain. Tidak sampai beberapa minit, terdengar ketukan di pintu.

Serba-salah, Alia terus mengetuk pintu bilik mandi. Tanpa segan silu, Bahrin keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala lalu membuka pintu. Terasa seperti langit jatuh menghempap kepala Alia apabila melihat beberapa orang lelaki berkopiah berdiri di depan pintu. Dia tahu apa yang bakal terjadi.

“ Siapa lagi yang ada di dalam bilik ini?” Bahrin hanya tunduk, menggelengkan kepala. Alia tidak henti-henti bercakap, cuba memberitahu bahawa mereka tidak melakukan apa-apa. Namun, dia terdiam sebaik sahaja kelibat arwah Zainab, muncul di depan pintu.

Zainab hanya berdiri sahaja di depan pintu, memerhatikan Alia. Sekali-sekala, mata wanita yang kelihatan penat beralih memandang Bahrin. Sesungguhnya, itulah saat yang paling sukar untuk Alia; memerhatikan Zainab berdiri dengan wajah pucat, badan yang sedikit bongkok memandang dengan kecewa. Zainab sedang bertarung dengan kanser ketika itu. Bayangkan perasaan Alia terpaksa berdepan dengan situasi yang mana dia tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Sudahlah malu ditangkap dalam keadaan begitu, terpaksa berdepan dengan isteri majikan sendiri pula. Yang diharapkan adalah Bahrin boleh buka mulut dan membetulkan keadaan. Namun, hampa.

“ Kenapa?” hanya itu yang keluar dari mulut Zainab. Mungkin ianya akan jadi lebih mudah kalau Zainab menjerit sahaja pada Alia dan Bahrin, caci maki mereka berdua. Alia tenggelam dalam perasaan bersalah dan rasa bodoh. Wajah Zainab bersilih ganti dengan wajah ibu yang sedang tersenyum. Bahrin pula mematikan diri di sebelah, masih lagi tidak berbaju. Entah apalah yang memberikan Alia kekuatan waktu itu untuk tidak pengsan.

Malam itu juga mereka dinikahkan, diuruskan oleh pakcik Alia yang juga walinya. Entah siapa yang dapat menghubungi pakcik Alia, dia tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Membantah sudah tidak berguna kerana semuanya telah berlaku. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar daripada mulut Bahrin sepanjang malam, waima maaf sekalipun. Zainab pula hanya menangis sepanjang majlis, sama seperti Alia.

Entah bagaimana Alia dapat tidur malam itu pun dia tidak pasti. Bahrin, Zainab, Alia, Elle beserta keluarga pakcik Alia menetap di hotel yang sama. Mungkin kerana penat akibat menangis tidak henti, Alia tertidur tanpa menyedari pukul berapa Elle masuk ke bilik. Terlalu banyak yang difikirkan sepanjang peristiwa itu berlaku. Bagaimana untuk berhadapan dengan Bahrin yang hampir sebaya dengan pakcik Alia? Bagaimana dia perlu berdepan dengan Zainab? Di manakah dia mahu tinggal dan yang paling penting sekali, bagaimana untuk berhadapan dengan ibu?

Keesokan harinya, Alia dihantar oleh keluarga pakciknya untuk berjumpa dengan ibu. Ibu pengsan sebaik sahaja Alia memberitahu yang dia ditangkap basah dan sudah bernikah tanpa sempat Alia memberi penerangan lanjut. Tidak cukup dengan itu, ibu diserang sakit jantung pula sebaik sahaja sedar. Seminggu Alia tunggu ibu di hospital, ditemani oleh Omar yang datang sekali-sekala.

Pada hari ibu sepatutnya keluar dari hospital, Bahrin datang melawat. Sebaik sahaja melihat Bahrin, ibu diserang sakit jantung sekali lagi dan kali ini, Tuhan lebih sayangkan dia. Alia sudah tidak tahu untuk membezakan antara redha dan pasrah. Yang dia tahu, kini dia betul-betul sendiri.

Tanpa ibu, sudah tiada sebab untuk Alia tinggal di kampung. Lagipun, takkanlah Alia mahu menetap di kampung sedangkan tempatnya adalah dekat dengan suami. Alia cuba beberapa kali untuk berhadapan dengan Zainab selepas perkahwinan mereka. Namun, setiap kali mereka bertemu, Alia hanya mampu menangis. Semuanya hancur; hidup dan cita-citanya. Zainab turut sama menangis namun tidak dapat dipastikan mengapa. Hanya bila hampir ke hujung usia Zainab sahaja baru mereka dapat mesra sedikit.

Tidak sampai setahun selepas pernikahan Bahrin dan Alia, Zainab pula meninggal dunia. Kesihatan Zainab semakin merosot sejak perkahwinan suami sendiri apatah lagi bila dia mula menolak rawatan dan ubat. Alia terasa seperti dialah yang menjadi penyebab madunya meninggal dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang Bahrin dan Alia yang disiarkan di akhbar, belum lagi termasuk cerita-cerita di Internet. Yang lebih perit adalah apabila semakin ramai yang berminat untuk menggali cerita-cerita lama tentang Bahrin dan Zainab pula. Semuanya mahu jadi hakim tidak berbayar.

Mulanya Zainab cuba untuk mengurungkan diri di dalam rumah tetapi bukan mudah. Kawan-kawan dan saudara datang melawat bertanyakan kesihatan. Sekalipun mungkin tiada yang bertanya terus apa yang berlaku, pandangan mereka sudah cukup untuk membunuh baki semangat yang ada dalam diri Zainab. Sudahlah fizikal Zainab lemah, semangat untuk meneruskan hidup makin hilang disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak.

Memulakan kehidupan dengan lelaki tua itu adalah pengakhiran semuanya buat Alia. Hidup atau mati sudah tidak punya beza lagi.

“ Aku nak jadi penulis. Aku mahu mengembara ke seluruh dunia dan menulis tentang semua tempat yang aku pernah jejakkan kaki.” Itu adalah salah satu janji yang dia tulis di dalam diari pada usia 14 tahun. Di dalam dapur yang gelap, Alia menangis sendiri mengingatkan janji yang tidak akan mampu untuk ditunaikan. Ada susuk tubuh yang menjengah daripada luar dapur tetapi dibiarkan sahaja oleh Alia.


Wednesday, April 23, 2014

Bukan Nama Sebenar: 10

Hanya ingin melengahkan masa, Alia mengulang kembali soalan Aidid.

“ Mengapa?” Alia tersenyum, seolah menyindir. Dalam kepala sibuk memikirkan bagaimana untuk menyusun ayat untuk disampaikan sehalus mungkin.

“ Saya salah seorang daripada pelatih di syarikat Bahrin. Sebelum itu lagi, saya sudah biasa menulis cerita seram di dalam majalah dan suratkhabar. Malah, sebelum saya menyertai program pelapis penulis, saya sudah pun ditawarkan kontrak untuk menyiapkan novel.”

“ Tulis novel? Wow. Awak ambil tak tawaran itu?” Aidid spontan bertanya. Teruja jadinya bila mengetahui perempuan muda di depannya ini pernah menjadi penulis. Kagum sebenarnya kalau berhadapan dengan orang yang bergiat dalam bidang seni ini. Entah apalah yang mereka fikirkan hingga mampu mengeluarkan hasil yang tidak terjangkau dek akal.

Wajah Alia berubah. Mana mungkin dia lupa akan hari itu? Hari di mana dia tandatangan sendiri takdir yang menyeksa. Dia tahu bahana yang akan menanti bila kontrak itu ditandatangani tetapi apakan daya, saat itu dia terdesak. Baru sahaja habis belajar, bahu sudah tergalas hutang yang bukan sedikit. Mahu tidak mahu, helaian kertas yang mengandungi terma kontrak diselak perlahan-lahan sekalipun Alia tahu yang dia memang sudah tiada pilihan lain melainkan terima sahaja. Boleh diibaratkan seperti lembu yang terbaring menyerahkan leher untuk disembelih.

Menolak tawaran Bahrin bermakna Alia membunuh kerjaya sendiri. Pengaruh Bahrin sangat besar; dia boleh menjatuhkan atau membina kehidupan sesiapa dalam sekelip mata. Menerima apa yang Bahrin hulurkan juga mungkin boleh jadi perangkap. Bukan mungkin tetapi Alia sudah pasti akan dirantai di situ. Melalui mata Bahrin dia sudah tahu bahawa dia tiada jalan keluar.

“ Ibu dah tua, Alia. Tak larat,” masih terngiang-ngiang suara ibu di pendengaran waktu masih tekun membelek lembaran kertas kontrak. Tangan sebenarnya sudah menggigil mencapai pen namun masih juga dia menanti kalau-kalau ada apa-apa ilham di saat-saat akhir. Akhirnya, Alia terpaksa mengaku kalah bila teringatkan ibu. Di atas kertas itu jugalah dia menandatangani takdir sendiri.

Seakan masih terlihat senyuman kejam Bahrin pada hari pertama Alia memulakan kerja. Kalau boleh, pita rosak di dalam kepala mahu dihentikan namun otak degil, terus memainkan rakaman mana tahu ada yang boleh diguna untuk membantu menjawab soalan Aidid.

“ Ya. Saya terpaksa demi wang,” Alia cuba menahan air mata daripada gugur lagi bila mengingatkan hari yang cukup dibenci.

Aidid tersenyum sinis. Melalui pandangan mata sahaja, mereka sama-sama bersetuju dan  faham apa yang berlaku. Masalah graduan zaman sekarang. Hendak memulakan pengajian di universiti bukan mudah, sudah habis belajar pun payah.

“ Itu sahaja?” Aidid bertanya lagi, kecil sahaja suaranya. Alia tahu benar apa yang Aidid maksudkan. Dia seolah-olah dapat membaca yang Aidid sedang berfikir tentang perkahwinan dia dengan arwah. Bila-bila masa sahaja soalan itu akan terpacul daripada mulut Aidid.

Bukanlah maksud untuk menjadi tukang baca minda tetapi cerita Bahrin-Alia terlalu kontroversi. Perit. Soalan dan maksud yang tersirat membuatkan hati Alia seolah digarit. Terasa seolah-olah luka lama yang tidak nampak itu berdarah kembali.

“ Maksud awak, perkahwinan kami?” Alia bertanya dengan getar di hujung suara. Riak wajah Aidid dan soalan yang terkandung makna tersirat menjemput air berkumpul di birai mata.

Aidid mula rasa seperti mahu lempang diri sendiri. Tisu, kenapa dia lupa terus tentang tisu?

“ Saya diperangkap,” tangan Alia pantas mencapai sesuatu di dalam beg tangan. Mata Aidid turut beralih mengikut gerak tangan Alia. Janganlah wanita ini mengeluarkan benda yang bukan-bukan daripada beg. Perempuan, bawa beg besar-besar isi entah apa. Senapang gajah pun boleh muat dalam beg tangan mereka.

Hati Aidid jadi lega bila ternampak tisu baru di tangan Alia.


“ Mujur bukan pistol. Hish… terbawa-bawa pula jalan cerita dalam drama,” kata hati Aidid. 

Sunday, April 20, 2014

Senduk

' Ha gelak gelak!' jerkah Adi. Menyesal rasanya bercerita pada Ain. Hendak habiskan cerita pun rasa terbantut kerana ditertawakan sedemikian rupa. 

' Mana taknya. Sikit punya lawak nama watak dalam cerita kau,' Ain masih belum puas menghabiskan ketawa yang bersisa. 

' Dah mana aku tau. Itulah cerita yang aku dengar dekat Batu Pahat,' Adi mengacau minuman di dalam gelas. Kalau ikutkan hati, mahu juga ditepuk dahi Ain. 

' Tak, secara serius. Kenapa dia mesti jual senduk dari rumah ke rumah? Ini yang buat aku tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi penduduk Batu Pahat dalam tahun lapan puluh.' 

' Aaaaa mana aku taulah. Dah memang macam tu cerita dia. Tadi nak sangat aku cerita hantu,' Adi bersandar pada kerusi sambil mengeluh. Punyalah dia berusaha mencari cerita hantu, akhirnya Ain cuma ketawa tak habis. 

' Senah Senduk,' Ain masih tersengih sambil menghabiskan bihun tomyam. 

' Eh kau boleh tak habiskan je makanan kau?' Adi bertanya, masih lagi dengan nada jengkel. 

Ain cuma tersenyum simpul. Adi pula masam mencuka sambil cuba menghabiskan baki minuman. 

' Cepat sikit. Mama tunggu di rumah,' Adi seolah memberi arahan. 

Sepanjang perjalanan ke rumah, Adi tidak bercakap. Ain pula yang kenal benar dengan perangai Adi, memilih untuk tidak menyiramkan minyak api ke atas bara yang masih panas. Dibiarkan sahaja Adi memandu sambil dia sendiri membelek telefon. 

' Ain tidur di bilik lama Serina, ya? Mama dah siapkan,' jemput ibu Adi. Terasa juga janggal memanggil ibu rakannya itu sebagai mama tapi Ain ikutkan sahaja. Bukan panggilan yang bukan-bukan pun. 

Cerita yang disampaikan Adi semasa mereka berhenti rehat sebentar tadi masih bermain di kepala Ain. Sedih sebenarnya teringatkan cerita Adi tetapi nama Senah Senduk itu membunuh elemen seram. 

' Kasihan. Niat jual senduk kene rogol dan bunuh,' Ain berkata sendiri sambil mengeluarkan baju untuk disalin. 

Terfikir juga Ain, bagaimanalah keadaan waktu Senah Senduk membuat jualan pada waktu itu. Seorang wanita berjalan sendirian mengetuk pintu setiap rumah untuk melariskan jualan. Akhirnya, ditangkap pada satu malam dan dirogol kemudian dibunuh. 

Sambil bernyanyi sendirian, Ain terus mengelamun tentang betapa seksanya Senah Senduk hingga muncul jadi hantu untuk menghukum siapa yang merogolnya. Setiap pintu rumah yang diketuk, akan terlihat Senah Senduk dalam bentuk yang mengerikan. Mangsanya cuma lelaki kerana dia perlu memaksa pembunuhnya untuk menunjukkan di manakah kuburnya. Kasihan, Senah Senduk hampir sahaja pergi dengan kubur tidak bertanda. 

' Dia ketuk setiap pintu untuk cari siapa yang bunuh dia. Akhirnya, ada yang mengalah dan tunjukkan di mana mayat Senah dicampak,' Ain mengingatkan kembali cerita Adi. 

' Macam manalah agaknya rupa Senah waktu itu?' bisik hati Ain sambil membasuh muka di dalam tandas. Telinganya dapat menangkap bunyi pintu yang sedikit berkeriut namun dibiarkan sahaja. Bila sahaja Ain mengangkat pandangan ke arah cermin di atas pili, alangkah terkejut bila terlihat seorang perempuan sedang berdiri di belakangnya. Dengan rambut kusut, muka pucat dan baju koyak rabak, Ain percaya itu bukan kakak Adi yang bernama Serina. Muka pucat perempuan di dalam cermin itu lebam-lebam seolah dipukul dengan darah masih mengalir di tepi bibir. 

' Macam inilah rupa aku,' perempuan itu berbisik. Ain menggigil ketakutan di depan cermin. 

Saturday, April 19, 2014

Bukan Nama Sebenar: 9

Resah. Itu adalah deskripsi paling tepat untuk Arman sekarang. Bertahun-tahun lamanya hidup dilindungi Bahrin, kini perlindungan itu sudah hilang. Bayangan hitam masa silam seolah-olah kembali memburu.

Kalau mereka tahu siapa dia sebenarnya, habis semuanya. Siapa yang mahu percaya lagi pada dia? Siapa yang mahu pandang Arman sebagai seorang manusia?

Adat menjadi seorang bekas pesalah, Arman sudah lali diburu rasa berdosa. Sekalipun tidak pernah dipenjarakan tetapi siapa yang mahu percayakan dia yang sudah pandai buat jahat sejak kecil?

Daripada melayan kegelisahan dengan mundar-mandir, Arman duduk di meja makan. Kopi yang sudah sejuk, dituangkan ke dalam cawan. Semalaman Arman tidak tidur, mungkin malam ini keadaannya tetap sama.

Kisah silam yang gelap terus-terusan menghambat Arman. Kalau boleh diputar kembali waktu silam, mahu sahaja dia kembali ke zaman itu. Siapalah yang mahu percaya yang dia tidak bersalah sekarang kalau dari dulu pun tiada siapa yang sudi percaya? Siapa yang mahu dengar bahawa Arman cuma mangsa keadaan?

“ Budak-budak dah pandai buat jahat. Kalau dah besar nanti entah macam mana perangai kamu.”

Arman tersengih-sengih waktu diherdik begitu dahulu. Sudahlah anak yatim piatu, terpaksa menumpang kasih saudara sendiri. Sejak usia lapan tahun, Arman dijaga oleh pakciknya yang bongsu. Mujur sahaja anak paksu dan maksu waktu itu hanya seorang, lelaki. Usianya setahun lebih tua daripada Arman.

Sejak kecil lagi, sudah nampak belang Nazmi. Peribadi sadistik Nazmi sudah dapat dilihat apabila dia sering menyeksa binatang, terutamanya kucing milik jiran sebelah. Waktu itu, Arman tidak pernah faham. Nazmi dilihat sebagai seorang abang yang bergaya dan hebat maka Arman mengekor sahaja ke mana dia pergi. Setiap kali Nazmi melakukan sesuatu kepada kucing-kucing di kawasan perumahan mereka, Arman cuma menjadi pemerhati. Di dalam hatinya, ada sedikit rasa kagum bercampur gusar dengan perbuatan Nazim. Kasihan pada kucing-kucing tetapi dalam masa yang sama tidak berani untuk bersuara.

Sehinggalah satu hari apabila Arman mula perasan yang Nazmi menikamnya dari belakang. Arman mula jadi mangsa tuduhan Nazmi. Apa sahaja kejadian pelik yang berlaku, Nazmi akan menuduh itu angkara Arman. Bukan susah untuk menuduh Arman kerana kedua-dua orang tua di dalam rumah mereka sibuk bekerja. Hanya kata-kata yang dapat menjadi bukti.

Perbuatan Nazmi mungkin tidak besar tetapi ia memberikan kesan kepada Arman. Dia seolah-olah hilang tempat bergantung kerana hanya sepupunya sahaja yang dipercayai. Kalau sepupu sendiri sudah sanggup mengkhianati, kepada siapa lagi dia hendak mengadu?

Cuma mungkin, mungkin makciknya percaya bahawa dia tidak bersalah. Setiap kali Arman dimarahi pakcik, pasti ada sahaja cara makcu memujuk. Kadang-kadang dengan coklat, kuih ataupun gula-gula. Tidak kiralah apa pun tetapi pasti ada sahaja yang ditinggalkan di depan pintu bilik.

Telefon di dalam poket Arman berbunyi kuat. Skrin memaparkan nama Alia di talian dan hati lelakinya cair. Peribadi wanita yang baru sahaja menjadi balu itu merentap-rentap jiwa lelakinya, malahan sebelum kematian Bahrin lagi.

“ Saya minta maaf. Maaf,” tiada sapaan pembuka kata. Perkataan yang menyerbu ke gegendang telinga Arman adalah patah-patah perkataan yang basah dengan sendu.

“ Waalaikumussalam,” dalam keadaan begini pun Arman masih mahu berlucu.

Ada ketawa yang tersekat-sekat di hujung talian.

“ Ini serius. Saya minta maaf. Lepas ini, pihak polis akan soal-siasat awak pula.”

Arman diam. Lebih baik biarkan Alia terus bercakap sekalipun sukar untuk memahami apa yang cuba disampaikan kerana tangisan yang mengganggu.

“ Mereka tahu yang saya ke restoran itu semalam. Mereka mahu tahu adakah awak melindungi saya.”

“ Tak mengapalah Alia. Saya rasa memang sepatutnya pun mereka akan cari saya. Lagipun saya memang sudah jangkakan mereka akan cari orang-orang yang terdekat dengan Bahrin,” kadang-kadang, Arman curi-curi juga tonton CSI kalau ada masa. Adalah juga ilmu kepolisan yang dia curi sedikit-sedikit. Siapa lagi yang mempunyai potensi besar untuk mencederakan mangsa kalau bukan orang yang rapat?

Lagipun, apa yang Alia beritahu tidak langsung bermakna apa-apa kalau nak dibandingkan dengan masa silam Arman.

“ Maaf.”

“ Tak perlulah, Alia.”

Bertahun-tahun bersama Bahrin telah menjadikan seorang wanita yang cukup berdikari menjadi seorang yang sentiasa meragui keupayaan sendiri. Kasihan. Ini bukan Alia yang pernah Arman kenali. Alia yang dulu adalah seorang gadis yang cukup ceria, ramah dan mempunyai keyakinan diri. Bahrin sudah bunuh semua itu dan hanya tinggalkan seorang wanita yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Penumbuk dikepal tanda geram. Dendam pada si mati masih tidak terlunas dan tidak akan selesai sampai bila-bila. Sudahlah wanita yang dicintai dalam diam dirampas, diubah pula menjadi seseorang yang cukup asing. Mengapalah seseorang tergamak untuk melakukan ini semua pada Alia?

“ Awak perlu rehat. Awak mesti penat,” pada telinga Arman sendiri, ini kedengaran seperti kata-kata teman lelaki pada teman wanita yang baru sahaja pulang daripada tempat kerja.

Ada ketawa kecil di hujung sana. “ Baiklah.”

Yang ada di fikiran Arman sekarang ini adalah Alia. Biarlah polis tahu apa yang pernah terjadi, sekurang-kurangnya Alia tidak tahu tentang rekod Arman. Entah apa yang akan terjadi kalau rahsia itu terbongkar. Pernah juga terfikir kalau Bahrin bercerita kepada isterinya. Mungkin tidak pernah kerana Alia tidak pernah menunjukkan tanda bahawa dia tahu apa-apa.

“ Aku akan simpan rahsia kau. Sekali kau belot, semuanya akan bocor,” ugut Bahrin beberapa tahun yang lalu.

Itu cara Bahrin, seorang oportunis. Dan sebagaimana ugutan-ugutan yang lain, mangsa tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada menurut sahaja.


Ah, biarlah. Ambil sahaja peluang yang ada bermula hari ini. Sekurang-kurangnya, kali ini Arman berpeluang mendekati Alia tanpa perlu risau tentang halangan utama. Harap-harap Bahrin pandai bawa rahsia ke lubang kubur. 

Wednesday, April 16, 2014

Bukan Nama Sebenar: 8

“ Saya keluar makan malam.”

Petang itu juga Alia dipanggil untuk soal-siasat. Sejujurnya, Alia masih perlu sesuaikan diri dengan ketiadaan suaminya. Melangkah sahaja ke dalam rumah, seolah-olah terlihat kelibat arwah Bahrin berjalan laju-laju mencari air kosong ataupun jus buah. Arwah memang selalu pulang lewat disebabkan kerja. Kalau tidak kerana urusan perniagaan, mungkin kerana promosi filem. Sudah menjadi tabiat arwah bergegas menuju ke bahagian dapur untuk mencari minuman, dahaga benar lagaknya.

Seharian Alia berjalan seperti dalam mimpi. Peti televisyen dibiarkan terpasang tanpa sepatah pun kata difahami dek Alia. Sesekali terlihat pemberitahuan tentang kematian Bahrin. Setiap kali itu juga Alia membaca ayat yang tertulis berkali-kali untuk memastikan dia tidak bermimpi.

Masih terbayang-bayang lelaki tegap dalam usia lima puluhan dengan wajah yang sentiasa tersenyum sinis berdiri di depan Alia. Wajah lelaki yang sentiasa memberikan ketakutan dalam dirinya.

“ Apa yang kau tengok?” herdik Bahrin pada malam pertama mereka tidur bersama. Waktu itu Alia sedang duduk di birai katil, menahan air mata. Sedih tidak terhingga kerana malam itu mahu tidak mahu, dia akan terpaksa menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“ Bangun,” Bahrin bersuara dengan nada tegas.

Sebaik sahaja Alia bangun, mata Bahrin memandang tubuhnya dari atas ke bawah. Ada pancaran nafsu yang menyala ketika mata Bahrin rakus menjamah tubuh Alia, seolah-olah pakaian telah ditanggalkan semuanya.

Dan itulah yang Bahrin paksa Alia lakukan. Tidak cukup dengan itu, aksi Alia dirakam pula. Terasa terus hilang maruah diri yang hanya tinggal secebis. Sudahlah Alia diperangkap hingga terpaksa akur kepada pernikahan dengan Bahrin, kini terpaksa pula beraksi seperti penari kelab bogel.

“ Jangan menangis! Kau dah rosakkan rakaman ini,” Bahrin segera menghentikan rakaman. Kamera digenggam, seolah-olah mahu dilontarkan pada Alia yang sedang menangis. Bengis benar wajah sang suami waktu itu, bagaikan ingin ditelan perempuan yang berdiri ketakutan di tengah bilik.

Bahrin berjalan mendekati Alia dan serentak itu juga dia mengerekot ketakutan. Takut benar kalau tangan atau kaki Bahrin singgah ke tubuh. Cerita-cerita mengerikan tentang layanan terhadap pekerja seks mula terbayang-bayang di fikiran.

Tangan Bahrin mencapai baju yang sudah bergumpal di atas lantai sebelum dilempar ke arah Alia.

“ Kayu!” herdik Bahrin lagi. Bertambah tersentap Alia dibuatnya. Baju yang dilempar, disarungkan perlahan. Air mata masih lagi mengalir tetapi ditahankan sahaja supaya tiada suara yang keluar. Baran Bahrin bukan sikit-sikit dan bukan boleh diagak, hampir semua orang sudah sedia maklum.


Tidak terduga yang Bahrin sanggup merakam aksi Alia dalam keadaan yang sangat memalukan. Tidak perlu diugut pun Alia tahu apa makna rakaman itu. Yang menjadi tanda-tanya adalah apa yang akan berlaku seterusnya. Adakah rakaman akan diteruskan atau selepas ini perlu diulang tayang lagi?

Mengingatkan itu terasa air mata Alia seolah-olah mahu menyerbu keluar. Terasa bergetar seluruh tubuh memikirkan apa yang bakal dilalui. Sudahlah dia dijadikan isteri dalam keadaan yang sangat memalukan, ditambah pula dengan dihina suami sendiri.

“ Kau nak buat apa?” suara Bahrin terasa seperti halilintar membelah bumi sedangkan lelaki itu dengan santai bersandar pada bantal di atas katil. Alia termangu sendiri, punggung tidak sempat diletakkan ke atas katil.

“ Kau tidur di bawah,” Bahrin memberi arahan sambil rokok diletakkan ke bibir.

Tidak berani berkata apa-apa, Alia terus sahaja baring di atas lantai. Keinginan untuk mencapai bantal atau selimut di atas katil langsung dilupakan. Dia tidak mahu Bahrin tukar fikiran dan menyuruh yang bukan-bukan.

Entahkan bagaimana, Alia berjaya juga melelapkan mata malam itu. Malahan, tidurnya nyenyak. Dan betapa terkejutnya dia bila melihat ada selimut yang menutup tubuh keesokan pagi.

Masih ada sisa kasihan dalam diri lelaki tua itu nampaknya.

“ Teruskan, Puan Alia,” suara yang menyapa menyentak wanita itu kembali ke alam realiti.

“ Saya keluar makan malam di Bangsar. Arman yang bawa saya ke sana. Kami sampai di sana lebih kurang pada jam 8 malam,” Alia menanggalkan kaca mata hitam lalu diletakkan ke atas meja.

“ Puan di kedai makan hingga lewat malam?”

Alia tersenyum. Tidak ramai yang tahu bahawa dia sebenarnya masih menulis. Minat yang satu itu tidak pernah padam sekalipun Bahrin tidak membenarkan dia menulis sama sekali. Semua barang elektronik Alia dirampas, kecuali telefon pintar. Terkontang-kantinglah Alia, buntu ingin meminta tolong daripada siapa. Dan Bahrin tanpa segan-silu memberi arahan bahawa tiada sesiapa di pejabat dibenarkan untuk membantu Alia kerana lelaki itu tahu tempat itu sahajalah yang boleh membantu Alia.

“ Saya ke sana untuk menulis. Itu sahaja masa dan tempat yang saya rasakan sesuai.”

Benar, sesak rasanya untuk menulis di rumah Bahrin. Segala yang ada di dalam rumah itu mengingatkan Alia kepada suaminya hingga membunuh perasaan yang ada. Tidak sekalipun Alia beranggapan yang rumah mereka adalah milik bersama. Arwah sendiri tidak pernah lupa mengingatkan bahawa kehadiran Alia hanya menumpang, mesti pandai bawa diri. Betapa peritnya menghadapi sesuatu seperti itu setiap hari tetapi dia sudah tiada tempat lain untuk bawa diri. Ibu sudah tiada maka suami sendirilah yang menjadi tempat bergantung.

Itu belum lagi dikira larangan Bahrin supaya tidak lagi menulis.

Alia meneruskan cerita tentang kerjaya sahaja. Cerita-cerita tidak enak dan rahsia rumahtangga mereka tidak disebutkan langsung. Biarlah itu menjadi rahsia sendiri. Cerita-cerita perit begitu biarlah disimpan sahaja kerana terlalu payah untuk dikenangkan.

“ Jadi, awak akan menulis di kedai itu sahaja?” pegawai yang menyoal Alia bertanya sambil bersandar pada kerusi.

“ Tidak terhad di kedai itu. Kadang-kadang saya ke tempat lain juga cuma saya lebih selesa di situ. Pekerjanya pun ramai yang sudah kenal dengan saya,” Alia cuba untuk tidak kerap melakukan gerakan tangan yang sinonim bila dia rasa kurang selesa. Syak akan membawa kepada lebih banyak soalan.

Ah, apa yang susah sangat. Bukan dia tidak biasa berlakon tenang di depan Bahrin. Inilah masa untuk menunjukkan samada latihan bertahun-tahun sebelum ini membuahkan hasil.

Kelihatan pegawai itu menulis sesuatu di dalam buku nota kecil. Alia hampir pasti bahawa nota yang ditulis adalah untuk mengingatkan anggotanya atau diri sendiri untuk memeriksa restoran yang disebutkan.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana semua yang diceritakan oleh Alia adalah benar. Atau mungkin, belum tiba masanya lagi untuk berasa risau.

“ Saya berada di situ agak lama. Bahrin memang menggalakkan saya bersosial, bagus untuk perniagaan, katanya. Selalunya saya menggunakan alasan ini untuk keluar dari rumah dan dia pun tidak banyak bertanya.”

“ Awak menipu dia?”

Alia terasa malas untuk menjawab soalan yang diajukan. Ini adalah permulaannya. Soalan ini akan membuka semua pekung dalam rumahtangga mereka.

“ Bukanlah menipu. Cuma kadang-kadang saya perlu sendiri sekejap,” dalam hati, wanita itu berdoa jawapan tadi diterima tanpa banyak soal.

“ Pendek kata mahu larilah?”

Alia mengetap bibir. Arman akan diheret sama dan itulah yang dia tidak suka.

“Mengapa?”