Aidid memerhatikan Omar yang sedang duduk
di kerusi. Berkemeja putih dengan seluar panjang, dua butang atas dibuka.
Setiap pergerakan teratur dan Omar nampak tenang. Riak wajahnya juga selari.
Alia pula lain halnya. Balu Bahrin itu
masih berpakaian kurung hitam, selendang jarang di kepala bersama kaca mata
hitam. Sekejap Alia carik tisu di tangan, kemudian beralih pula mengigit kuku
dan hujung bibir. Kalau boleh Aidid ingin merayu pada Alia supaya berhenti
gigit bibir kerana dia takut kalau-kalau dia mula berfantasi yang bukan-bukan.
Lebih-lebih lagi dengan gincu bibir merah Alia.
' Saya ada permintaan,' Aidid membuka
bicara. Kedua-duanya berbalas pandang sebelum mata mereka melekat pada Aidid.
' Saya tahu ini agak sensitif tapi saya
perlu tahu kehidupan peribadi mangsa.'
Wajah Omar nampak terkejut untuk beberapa
saat sebelum kembali tenang. Tubuhnya disandarkan ke kerusi sebelum sebelah
tangan di letakkan di bawah dagu. Alia pula tunduk, seolah-olah gelisah.
' Peribadi macam mana, encik?' Omar bertanya.
' Panggil saja Aidid. Saya faham kalau ini
berat tetapi saya perlu tahu tentang hubungan mangsa dengan ahli keluarga.
Terutama sekali dengan isteri-isterinya,' mata Aidid mengarah ke Alia. Omar
mengangguk.
Terdengar ketukan di pintu. Aina, datang seperti
yang diarahkan.
' Puan Alia boleh ikut Aina sebentar? Ah
lupa pula saya kenalkan. Ini pembantu saya.'
Alia nampak teragak-agak dan memandang
Aidid seolah-olah mahu kepastian. ' Saya perlu cakap dengan Encik Omar.'
' Ah, Omar. Tidak perlu formal,' sambut
Omar sambil tersenyum. Ada
lesung pipit, manis. Sekali lagi, kenapa lelaki sekacak ini masih sendiri?
' Mari kita duduk di sini. Semuanya ok?'
Aidid mengambil fail yang ada di atas meja sebelum menjemput Omar duduk di
sofa. Rasanya lebih selesa kalau dapat berbual dalam keadaan yang kurang
formal.
' Bolehlah. Senang sikit bila pakcik-pakcik
saya membantu,' Omar tersenyum lagi dan kali ini Aidid perasan ia tidak sampai
ke mata.
' Kamu terlibat secara langsung di bahagian
mana?'
' Tekstil,' Omar menjawab pendek.
' Kamu uruskan seorang?' Aidid pura-pura
membelek fail sedangkan dia sudah tahu semuanya.
' Ya,' Omar mula menyilangkan kaki. '
Sebenarnya, saya lebih berminat pada penerbitan.'
' Penerbitan secara umum atau...?'
' Kalau boleh saya mahu uruskan bahagian
fotografi.'
' Jadi, kenapa awak tak teruskan?' Aidid
bersandar, memberi signal bahawa dia sedia mendengar apa yang ingin diberitahu
oleh Omar.
Omar diam, termenung jauh. Entah apa yang
difikirkan oleh lelaki itu, tiada siapa yang tahu.
' Dia tak mahu saya teruskan hobi dalam
bidang fotografi. Kami sudah ada orang yang jaga bahagian fotografi dan dia
beritahu waktu itu bahagian tekstil memerlukan ketua.'
Aneh. Satu kerana Bahrin menghalang
cita-cita anak sendiri dan dua, penggunaan 'dia' oleh Omar.
' Ayah tidak yakin saya boleh bermula dari
bawah dalam bidang yang saya minati,' hilang sudah rasa sangsi Aidid bila Omar
membahasakan Bahrin sebagai ayah. ' Katanya, saya sudah biasa hidup senang,
mana mungkin saya mampu untuk hidup susah. Membina nama bukan mudah. Dia tidak
mahu saya bergantung pada dia kalau saya susah. Samada saya teruskan kerja
dengan dia atau tinggalkan rumah dan cuba hidup sendiri'
' Tapi, lebih senang kalau jadikan syarikat
sendiri sebagai baru loncatan, kan ?'
aneh. Mungkin ini cara orang berniaga fikir cuma, sudah ada platform, kenapa
perlu susahkan diri?
Omar tersenyum, matanya masih merenung jauh
ke depan. ' Entahlah. Susah nak agak arwah
ayah saya. Apa sahaja yang dia lakukan, mesti untuk jangka panjang. Semuanya
dikira sebagai pelaburan.'
' Maksud awak?' Aidid semakin tertarik
dengan Bahrin. Pelaburan? Licik. Patutlah namanya sentiasa disebut-sebut. Siapa
sahaja yang tidak mahu bercakap tentang seseorang yang mempunyai pandangan
sebegitu.
' Apa sahaja yang saya lakukan; dengan
siapa saya berkawan, sekolah mana yang saya hadiri, semua itu bersebab. Sambil
bergaul sambil meluaskan rakan perniagaan. Bukan saya sahaja malah ayah sendiri
memilih untuk menjauhkan diri daripada sesiapa yang tidak memberi kepentingan padanya.'
' Arwah ibu awak pula bagaimana?'
Jeda yang lama. Nampak seperti mata Omar
berkaca.
' Mereka bernikah atas pilihan keluarga
untuk menyatukan dua buah perniagaan keluarga,' Omar membetulkan duduk.
' Mereka bahagia?' tanya Aidid, benar-benar
ingin tahu. Adakah Bahrin turut melakukan perkara yang sama pada isteri pertama
seperti mana dia memperlakukan Alia? Bulu tengkuk Aidid meremang.
Omar ketawa kecil, ketawa yang hanya
diwujudkan untuk membeli masa menyusun ayat.
' Susah
saya nak cakap. Ada
hormat tetapi kurang mesra. Mereka macam rakan sekerja yang berusaha
menjalankan sebuah perniagaan. Profesional tanpa emosi yang terlampau.’
Sebenarnya, bukan itu maksud soalan Aidid. Ada soalan di sebalik
soalan.
' Maksud saya... Kamu tahu hubungan ayah
kamu dengan ibu tiri kamu? Maksud saya, cara Bahrin melayan Puan Alia?'