Arman melihat skrin telefon untuk kali
entah keberapa. Skrin telefon sebenarnya masih gelap sejak daripada beberapa
puluh minit yang lalu. Gelap dan tidak bergerak, seolah-olah sama dengan apa
yang sedang dihadapi sekarang. Semua yang berlaku bagaikan sebuah mimpi.
Separuh daripada diri Arman percaya yang Bahrin akan menelefon bila-bila masa
sahaja untuk memberikan arahan. Separuh yang lain pula tertawa nakal mengatakan
yang itu tidak mungkin akan berlaku.
' Si tua itu sudah tiada. Semua sudah
beres, syukur.'
Suara yang berbisik separa kejam itu
seperti masih lagi terdengar berbisik di telinga. Entahlah, Arman sebenarnya
keliru dengan perasaan sendiri. Dia juga tidak pasti kalau dia perlu berasa
simpati terhadap arwah. Dia lebih daripada sedar bahawa Bahrin banyak membantu
dia, malah sangat banyak sebenarnya. Kalau bukan kerana Bahrin mengutip dia dan
diberikan tugas sebagai pemandu, mana mungkin dia hidup bebas sebegini. Si tua
itulah yang memberikan dia peluang kedua untuk hidup di dalam masyarakat tanpa
perlu menghiraukan padangan serong orang lain. Sebusuk-busuk Bahrin, ada juga
kebaikan yang dikerjakan.
Atau mungkinkah kebaikan itu hanya ingin
menutup niat sebenar mengapa Arman dibantu?
Telefon bergetar, mengejutkan Arman. Nama
Elle terpapar di skrin. Mereka sebenarnya berjanji untuk bertemu hari ini.
' Aku dah sampai,' kedengaran suara Elle
tegas dan talian terus dimatikan. Bila Arman angkat muka, kelihatan seorang
wanita berseluar jeans dan berbaju T warna hitam sedang melangkah ke arahnya. Susuk
tubuh yang mengenakan cermin mata hitam itu sangat kerap dilihat oleh Arman
tetapi hari ini ada sesuatu yang berbeza. Langkah Elle kelihatan lebih 'ringan'
malah postur tubuhnya tidak membongkok seperti selalu. Baru dua hari Bahrin
pergi, sudah kelihatan perubahan yang jelas dalam diri pembantu peribadinya.
' Hey!' Elle menyapa. Tidak seperti selalu,
kali ini Arman dapat lihat yang Elle tersenyum, sesuatu yang jarang sekali
berlaku. Sebenarnya, Arman tidak ingat bila kali terakhir dia lihat Elle tersenyum
ikhlas seperti sekarang.
Arman cuma tersenyum nipis sambil
mengangkat tangan.
' Kau nak makan?' Elle bertanya lagi namun
jelas sekali soalan itu tidak memerlukan jawapan kerana lehernya sudah panjang
meninjau kedai makan yang berdekatan. ' Nak cuba yang itu?' Elle memuncungkan
bibir ke satu sudut tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
Arman terpaku di tempat di mana dia sedang
berdiri. Tidak, tidak boleh pergi ke tempat itu. Bahrin dan Alia kerap ke sana malah terlalu kerap.
Dan Arman sendiri kerap masuk ke dalam kalau ada sebarang urusan. Risau
kalau-kalau ada pekerja yang perasan kehadiran dia di situ. Pasti ada
suara-suara di belakang yang berbisik, bercerita dan bergosip memandangkan kes
ini masih panas lagi. Itu semua perhatian yang tidak diperlukan.
' Kita ke tempat lainlah. Boleh? Ada satu tempat aku selalu
pergi,' Arman mengusulkan pada Elle yang sedang mengipas muka tanda panas.
Kelakar pun ada, kasihan pun ada melihatkan wajah Elle yang merah akibat
menahan panas.
' Boleh. Kau bawa?'
' Bagi kunci. Aku tak bawa kereta,' Arman
menghulurkan tangan untuk menyambut kunci. Janggal rasanya berbual sebebas ini
dengan Elle. Selama ini, setiap kali mereka ingin berbual mereka perlu pasang
mata di belakang agar tidak tertangkap oleh Bahrin. Takut benar orang tua itu
malah menjadi Bahrin kalau Elle jauh sedikit daripada dirinya. Seolah-olah
lelaki itu takut kalau kedua-duanya berbual tentang sesuatu. Rahsia mungkin?
Arman sebenarnya tidak pernah sekalipun
masuk ke dalam kereta Elle. Yang dia tahu, Elle memandu kereta Mazda bewarna
putih. Seperti yang dilihat dari luar, ruang dalam kereta Elle kelihatan mewah.
Memang selayaknya semua ini Elle nikmati melihatkan betapa gigihnya wanita itu
bekerja.
' Ke mana kita?' Elle bersandar pada kerusi
di bahagian penumpang namun nampak canggung. Seolah-olah tidak biasa menjadi
penumpang.
' Pantai Dalam. Kita cuba nasi ayam Hainan .
Kau pernah cuba ?'
' Oh bukan ayam golek? Itu aku pernah
makan,' jawab Elle, ada nada gembira di situ.
' Bukan. Yang itu dah biasa.'
' OK,' dan kedua-duanya senyap seketika. '
Polis dah panggil kau?' suara Elle memecah sunyi.
Serta-merta Arman menggenggam stereng
dengan lebih kuat. Waktu itu juga jantung terasa bergerak laju. Diketapnya gigi
sebelum menjawab ' Belum.'
' Mereka panggil aku semalam. Esok aku
perlu pergi lagi,' Elle mengeluarkan telefon lalu memandang skrin.
' Pergi lagi? Kenapa?' sedangkan berjumpa
dengan polis sekali pun sudah menyebabkan Arman keluar peluh jantan, ini pula
hendak jumpa berkali-kali.
Elle mengeluh. Kuat.
' Buku nota. Buku itu dah hilang,' Elle
berkata acuh tidak acuh.
' Buku nota?' Arman mahu kepastian.
Takkanlah sampai ke buku nota sekali polis ingin selidik. Wah! Ini betul-betul
kes profil tinggi.
Elle di sebelah tersenyum sambil memandang
keluar tingkap. Petang-petang begini, Pantai Dalam sesak sedikit. Ramai yang
keluar minum petang. Sebenarnya, kalau mahu diikutkan, bila sahaja kawasan ini
tidak pernah sesak?
' Buku nota hitam yang dia selalu bawa, kau
tahu bukan? Pagi tadi sahaja aku dapat tawaran sepuluh ribu ringgit untuk buku
itu,' Elle memandang Arman kali ini.
' Sepuluh ribu?' Arman kagum. Memang dia
sudah lama sedar akan kewujudan buku nota hitam milik Bahrin namun, tidak
pernah pula terfikir akan ada orang yang mahu membuat tawaran sebegitu.
' Sepuluh? Sikit sangat. Jangan terkejut,
Man. Semalam, ada orang sanggup bayar lima
puluh ribu.'
' Hah?' Arman betul-betul terkejut. Elle
gelak.
' Bahrin tulis semua idea yang terlintas di
dalam kepala dia di dalam buku itu. Sekecil-kecil plot, seringkas-ringkas idea,
semua ada dalam buku itu. Dan tengok sahajalah karya dia, semuanya meletup. Tak
ada satu pun yang tak laku.'
'' Cuba kau ingat kembali macam mana
Bahrin promosi buku nota itu. Jadi, kau bayangkan berapa ramai orang yang
mahukan buku itu. Penulis dan syarikat penerbitan sama-sama berebut. Buku itu
adalah lubuk emas. Kau ingat kes dua orang budak pelatih tahun lepas?'
Siapa boleh lupa tentang kes itu? Ada dua orang budak
pelatih yang diambil tahun lepas oleh syarikat Bahrin. Kedua-duanya dilatih
untuk menjadi penulis dan bakal diserapkan ke dalam syarikat sebagai penulis
tetap. Namun, Bahrin hanya mahukan seorang sahaja. Sudah tentulah ia menjadi
satu pertandingan untuk kedua-dua pelatih ini.
Kedua-dua pelatih baru diberikan peluang
untuk memaparkan dua isu yang berbeza. Tiada sekatan untuk mereka mendekati isu
yang diberikan maka berlari-larilah keduanya, berkejar untuk merujuk kepada
para mentor mereka. Kedua-duanya mengalami tekanan yang hebat untuk membuat
yang terbaik berdasarkan hadiah yang ditawarkan oleh Bahrin. Mereka ditawarkan
untuk mengambil idea di dalam buku nota Bahrin sebagai idea untuk karya mereka
pada masa akan datang. Idea daripada orang terkenal, siapa tidak mahu?
Seminggu selepas Bahrin mengumumkan syarat
pengambilan, seorang pelatih didapati mati tergantung di kipas siling manakala
seorang lagi mengalami gangguan mental. Tekanan yang dialami terlalu berat
untuk kedua-duanya. Mungkin ada syarat lain yang dikenakan cuma tiada siapa
yang berani untuk buka mulut. Semua mulut dipateri oleh perjanjian yang direka
syarikat sebelum mereka menjadi pekerja Bahrin.
Itu hanya satu contoh. Banyak lagi kes yang
berlaku melibatkan para pelatih malah pekerja tetap sendiri. Demi mendapatkan
pengiktirafan atau ganjaran daripada pihak syarikat, ada sahaja yang sanggup
menikam kawan dari belakang. Tidak kurang juga yang sanggup menggunakan cara
kotor untuk dapat apa yang dijanjikan oleh Bahrin. Selalunya, umpan yang diberi
oleh lelaki tua itu cukup mengiurkan. Licik, memang cukup licik.
Arman terdiam. Untung atas angin sahaja
kalau dia boleh dapat buku itu. Mungkin dia tidak mampu menggunakan idea yang
tersimpan tetapi boleh jadi broker idea.
' Omar pun mahukan buku itu. Ala , siapa tak mahu kan ? Kalau aku pun, aku mahu juga,' Elle
tergelak.
' Buku itu tiada pada kau?' Arman cuba
memancing. Manalah tahu kalau ada rezeki.
Elle tersenyum penuh makna. ‘ Kalau ada
pada aku, kau ingat aku nak beritahu pada kau?’
Diam.
' Jadi, macam mana kau buat?'
‘ Buat? Buat apa?’ Arman terpinga-pinga.
‘ Di tangga..’ ayat Elle tidak mampu
disambungkan.
‘ Tangga apa pula?’ Arman masih tidak
faham.
‘ Bahrin kan jatuh tangga…’ suara Elle seolah-olah
hilang.
‘ Kau gila? Takkanlah aku nak bunuh orang
tua itu?’ Arman terjerit sedikit. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum
menyambung ayat sekalipun hati terasa panas. Cuba dicarinya alasan untuk
memafkan pertanyaan Elle.
‘ Bukanlah aku tuduh kau.. tapi mungkin..’
Elle gagap. ‘ Entah. Kau dapat bantuan?’ muka Elle jelas pucat.
‘ Aku hantar Alia malam itu. Kalau tak
percaya, kau boleh tanya Mak Jah. Takkan aku nak biarkan Alia seorang di luar?
Mengamuk Bahrin nanti,’ Arman menghentikan kereta. ‘ Lagi satu, kenapa aku nak
bunuh Bahrin? Aku belum hilang akal lagi. Senang sahaja polis tangkap kalau itu
kerja aku.’
‘ Habis kalau bukan kau…?’ giliran Elle
pula terdiam.
No comments:
Post a Comment