Sehingga ke hari ini, Nazmi masih lagi diburu kekesalan kerana
memusnahkan hidup Arman. Sepupu yang pernah dianggap seperti adik sendiri
terpaksa menanggung dosa yang dia lakukan. Apalah yang diketahui oleh seorang
budak lelaki berusia empat belas tahun bila terperangkap dengan dua mayat di
dalam rumah sendiri. Nazmi dapat membayangkan Arman terpinga-pinga sehinggalah
polis sampai.
' Kasihan, emak. Kasihan,' hanya itu yang selalu diucapkan oleh Nazmi.
Mungkin Arman tidak tahu tetapi ayah sebenarnya selalu sangat pukul emak. Entah
apalah dosa emak, Nazmi tidak pasti. Dan emak pula menahan selagi boleh. Silap,
sebenarnya emak sentiasa tahan pukulan ayah. Ayah tidak sekalipun mengusik
Nazmi kerana anaknya itu saling tidak tumpah seperti dia.
Seingat Nazmi, beberapa kali juga ayah pernah pukul emak hingga gugur
bayi dalam kandungan. Mungkin emak berasakan dia terlalu muda ketika itu tetapi
mulut orang tidak boleh dtutup, begitu juga dengan telinga Nazmi. Emak sentiasa
memastikan ayah melakukan aktiviti itu bukan di depan Nazmi. Suara pun emak
tidak mahu keluarkan kerana mahu melindungi anak sendiri. Namun, luka-luka dan
lebam di tangan emak menjelaskan semuanya.
‘ Emak, kenapa tangan emak luka?’ tanya Nazmi suatu hari waktu emak
melipat baju di ruang tamu.
‘ Semalam, terkena pisa u.
Kucing melompat depan tingkap. Terkejut emak,’ begitulah lancarnya emak menipu.
Emak lupa yang suatu hari nanti Nazmi akan dapat cari jawapan akan apa yang
sebenarnya berlaku.
Selalu sangat Nazmi dengar emak merayu suruh ayah berhenti tetapi bunyi
tali pinggang, tumbukan dan tendangan terus kedengaran. Kadang-kadang Nazmi
menangis di dalam gelap bila mendengar bunyi seolah-seolah guni beras ditumbuk
bertalu-talu. Kemudian, semuanya jadi senyap dan kedengaran bunyi pintu terhempas.
Nazmi tidak sanggup untuk keluar dari bilik tetapi dia tahu dengan susah-payah,
emak minta bantuan daripada jiran sebelah. Dengan pertolongan merekalah emak
dihantar ke wad kecemasan.
Mujur sahaja keadaan mula berubah sejak kehadiran Arman sewaktu Nazmi
berusia lapan tahun. Disebabkan ayah dan emak menjadi penjaga pada Arman, datuk
memberikan elaun kepada ayah. Bukan itu sahaja malah datuk turut memberi sebuah
rumah yang lebih selesa. Emak juga diberikan kerja, walaupun hanya sebagai
pembancuh kopi.
Waktu itu, sudah nampak sedikit perubahan dalam diri ayah. Mungkin,
selama ini yang banyak mengganggu ayah adalah soal wang. Berapa sangatlah gaji
seorang pemandu lori, apatah lagi emak tidak bekerja. Ayah tidak mampu
mendapatkan kerja lain kerana taraf pendidikan menjadi penghalang. Sekalipun
datuk orang kaya, ayah tidak pernah dapat simpati datuk. Kalau ayah mahu
bekerja dengan datuk, ayah perlu duduki SPM. Ini syarat yang perlu dipenuhi.
Nazmi sebenarya seronok dengan kedatangan Arman. Sekurang-kurangnya, dia
sudah ada teman bermain di tempat baru selepas berpindah. Tidaklah bosan sangat
duduk di rumah seorang diri. Ke mana sahaja mereka berdua sehingga mereka
dipanggil kembar oleh jiran-jiran. Apa yang Nazmi buat, Arman turut mengikut.
Cuma, entah bagaimana, Nazmi tersilap memberikan contoh yang baik. Dia
yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik telah melakukan yang sebaliknya.
Gurauan yang mulanya tidak merbahaya, berkembang menjadi sesuatu yang tidak
terkawal. Nazmi mula berkawan dengan budak-budak nakal lalu mengheret Arman
sekali. Bila kawan-kawan mereka mula mendera binatang di kawasan perumahan,
Arman dan Nazmi bagaikan tersepit kerana mereka anggota paling muda. Hanya
disebabkan berada di dalam kumpulan yang sama, mereka berdua juga dilabel sebagai
budak nakal sekalipun tidak terlibat.
Nazmi sendiri mula rajin mengusik Arman. Kadang-kadang, gurauan Nazmi
cukup kasar. Ada
kalanya dia meletakkan bangkai anak kucing di dalam beg Arman. Pernah juga dia
meletakkan tasbih emak di dalam almari Arman. Mungkin nampak biasa tetapi Nazmi
lupa bahawa ayahnya garang. Teruk Arman dimarahi apabila perkara sebegini
berlaku. Terpinga-pinga Arman waktu itu. Tetapi mujur sahaja ayah Nazmi tidak
berani angkat tangan kerana teringat apa yang mungkin terjadi kalau datuk dapat
tahu.
Seminggu sebelum Peperiksaan Menengah Rendah, emak diberhentikan kerja.
Seperti dapat merasakan sesuatu akan berlaku, emak tidak lagi seceria biasa.
Suasana di dalam rumah senyap sahaja. Tiada lagi celoteh emak yang selalunya
cukup rajin bertanyakan macam-macam pada mereka berdua. Paling tidak pun, emak
akan menyanyi kecil ketika mengemas rumah namun itu semua sudah tidak lagi
berlaku. Ayah pula semakin kerap pulang lewat. Hinggalah pada suatu pagi
terdengar pintu depan rumah dihempas kasar. Nazmi dan Arman terkejut daripada
tidur. Dengan perlahan, Nazmi turun dari katil sambil memberi isyarat menyuruh
Arman supaya senyap dan tunggu sahaja di dalam bilik.
Pintu bilik tidur dibuka perlahan-lahan untuk menjenguk ke ruang tamu.
Emak sedang terperosok di tepi kerusi sambil ayah berdiri, mengangkat kaki kiri
seolah-olah ingin menyepak emak. Rambut ayah kusut masai dan matanya merah,
lain benar dengan rupanya sewaktu keluar rumah pagi tadi. Nazmi selalu
terdengar daripada jiran-jiran terdahulu bahawa ayahnya kaki botol. Jantung
Nazmi berdegup kencang. Terasa darah menyerbu ke kepala bila di depan mata
sendiri ayah memijak muka emak. Dia menyelinap ke arah dapur untuk mencari
parang sambil air mata meleleh. Apa dosa emak hingga ayah sanggup buat begitu?
' Kasihan emak. Kasihan,' Nazmi menyebut perlahan.
Dengan parang di tangan, Nazmi berlari dari arah dapur masuk ke ruang
tamu sebelum senjata menghayun sekuat hati ke kepala ayah. Serangan yang tidak
disangka-sangka itu mengejutkan ayah. Sebelum rebah ke lantai, ayah sempat
memandang wajah Nazmi. Riak wajahnya seolah-olah tidak percaya apa yang
terjadi.
Nazmi tarik parang di kepala ayah dan bersedia untuk menyerang sekali
lagi kalau perlu.
' Kasihan emak. Kasihan.' Emak yang sudah berhenti bergerak di sisi
dipandang dengan air mata berlinang/
Namun, ayah yang sudah terbaring di atas lantai tidak lagi bangkit. Ayah
tumbang menghimpit tangan emak yang kaku ketika itu. Ada kesan darah di bibir dan hidung emak. Di
lantai terdapat kaca bersepah begitu juga dengan darah. Besar kemungkinan darah
emak berdasarkan kesan luka di kepala. Nazmi mengongoi lebih kuat. Sambil
dikesat air hidung yang mengalir laju, dahi emak dikucup perlahan. Rasa sejuk
dari dahi emak menyelinap ke seluruh tubuh.
Nazmi hanya berdiri di tepi mayat ayah dan emak, buntu tidak tahu apa
yang perlu dia buat. Entah bila Arman keluar dari bilik tidur mereka, Nazmi
kurang pasti. Tahu-tahu sahaja dia sudah mencangkung di depan mayat ayah dan
emak.
Tiba-tiba Nazmi tersedar apa yang baru sahaja dilakukan. Dia sebenarnya
sudah menjadi pembunuh. Hulu parang yang berbalut dengan kain buruk dilepaskan
ke lantai. Tanpa bertangguh, Nazmi terus sahaja melarikan diri ikut pintu
belakang. Yang difikirkan waktu itu adalah dia tidak mahu ditangkap oleh polis.
Destinasi tujuannya adalah rumah datuknya. Jauh juga sebenarnya Nazmi
berlari ke rumah datuk tetapi itu sahaja tempat yang dia tahu. Mujur sahaja datuk
menerima kedatangan Nazmi pada malam itu. Semuanya diceritakan; tentang luka
emak, tabiat ayah dan kubur-kubur kecil di belakang rumah mereka yang dikatakan
kubur anak kucing. Datuk hanya mendengar, tidak berkata apa-apa. Yang Nazmi
tahu, dia tertidur sebaik sahaja menghabiskan cerita. Apa yang seterusnya
terjadi kepada Arman, tidak diketahui langsung.
Datuk tidak memberitahu apa yang terjadi kepada Arman. Nazmi turut
dipindahkan sekolah dan tidak dibenarkan kembali ke rumah lama. Ada sepupu yang berbisik
bahawa Arman dihantar ke tempat yang jauh, entah di mana. Ada pula saudara lain mengatakan bahawa Arman
ditahan polis pada malam yang sama. Apa yang dapat diteka oleh Nazmi, mungkin
sekolah pemulihan memandangkan Arman masih belum berusia lapan belas tahun.
Dirinya terasa begitu berdosa sekali tetapi apakan daya. Apalah yang mampu
dilakukan kalaupun dikhabarkan rasa bersalah pada datuk?
Maka hiduplah dia dengan perasaan bersalah yang sentiasa memburu. Terasa
berdosa benar membiarkan Arman terperangkap di tempat kejadian tanpa memahami
apa yang sedang berlaku. Kalau benar sepupu Nazmi itu ditangkap polis, dialah
yang menyebabkan kehidupan Arman hancur sedangkan dia mampu lepas bebas begini.
Nazmi Aidid menutup fail kes. Kalau sebelum ini dia menyebabkan Arman
terperangkap, biarlah kali ini sepupunya diselamatkan.
' Macam mana?,' Aina bertanya. Ada
bungkusan makanan makanan di tangan kekasihnya itu.
' Kita makan dulu.'
No comments:
Post a Comment