' Kamu tak mahu balik, Yana ?' suara ibu
Elle kedengaran di hujung talian.
Bagaimana Elle mahu beritahu ibu bahawa dia sangat ingin pulang, mahu
duduk makan bersama ibu dan Sofia
tetapi tidak boleh? Bagaimana dia mahu beritahu yang dia sebenarnya sudah
sangat penat; penat dengan kerja dan risau tentang kesihatan sendiri? Bagaimana
ingin dia luahkan yang hanya wajah Sofia
dapat menjadi penawar kepada ketagihan Elle terhadap Xanax dan ubat-ubat lain?
Bagaimana; sedangkan Elle tahu benar yang untuk kelangsungan hidup, dia perlu
bekerja dan buat masa ini, hanya Bahrin yang beri dia kerja.
' Saya perlu periksa jadual saya dahulu, ibu,' Elle kesat air mata yang
jatuh ke pipi sambil menjaga getar di dalam suara supaya tidak kedengaran.
Siapalah yang tidak rindu pada anak sendiri, lebih-lebih lagi yang tiada di
depan mata. Setiap perkembangan Sofia
hanya dapat dilihat daripada gambar-gambar yang dihantar oleh adik lelakinya.
Kalau nasib baik, adalah satu dua video yang sempat dirakam.
Elle terlepas semuanya; kali pertama Sofia berdiri, langkah pertama dan perkataan
pertama. Kalau boleh, Elle mahu lihat sendiri Sofia membesar di depan mata. Malang , walaupun Kuala
Selangor tidak jauh dari ibukota namun Bahrin tidak pernah mahu faham.
Sekalipun lelaki itu mempunyai seorang anak, dia seolah-olah tidak mahu faham
situasi Elle. Sudahlah Sofia tidak berbapa, sekurang-kurangnya berhati perutlah
sedikit. Berilah peluang kepada mereka berdua untuk menghabiskan masa bersama. Ini
tidak, Elle sudah diibaratkan seperti kembar lelaki itu. Ke mana sahaja dia
pergi, Elle mesti ada.
' Banyak kerja ya, Elle?' suara ibu bertanya, lemah. Elle jadi
serba-salah untuk menjawab. Sebenarnya, tidaklah begitu banyak kalau Bahrin
tidak berkeras supaya Elle menjaga semua urusan daripada perjumpaan dengan
pihak penerbit hingga kepada doktor peribadi. Soalnya sekarang, Bahrin tidak
mahu melepaskan Elle daripada pandangan. Bukan itu sahaja, jika berada di dalam
mesyuarat perniagaan, majikan Elle menyerahkan hampir kesemua kepercayaan untuk
dia menguruskan hal-hal lain. Tidak kiralah samada berkenaan buku, novel,
manuskrip, filem ataupun perihal pekerja di bahagian penerbitan.
' Boleh tahan juga, ibu,' Elle tertawa, menyembunyikan suara yang
bergetar.
' Orang lain pun kerja juga, Yana .
Baliklah sekejap. Takkanlah kamu tiada masa langsung untuk Sofia ? Dia asyik sebut nama kamu sehari dua
ini,' ibu merayu. Elle mengetap bibir sambil tisu ditekan ke bawah mata. Hancur
hati rasanya bila terdengar nada kecewa di dalam suara ibu. Elle kehilangan
kata-kata.
' Boleh tak Adik bawa Sofia
dan ibu datang sini?' Elle cuba
meminta belas kasihan ibu. Dia memang betul-betul tidak boleh pulang sekarang
apatah lagi Bahrin kini sibuk benar dengan promosi buku yang terbaru.
' Kalau kami ke sana
pun, belum tentu kamu ada di rumah,' sekali lagi kata-kata ibu bagai pisau
halimunan yang menusuk hati Elle. ' Lagipun, Adik nak periksa.'
Elle menekan tisu ke bawah hidung pula. Mujur sahaja Elle berada di
pejabat Bahrin dan tiada sesiapa di situ. Tidak seperti bilik yang lain, bilik
Bahrin ditutup dengan kaca hitam. Kalau di pejabat sendiri, pasti ramai yang menyibuk
dan kecoh.
' Tak mengapalah kalau kamu tak boleh balik, Yana .
Nanti kalau kamu ada masa, baliklah.'
Ibu terus meletakkan telefon tanpa sempat Elle bercakap apa-apa. Orang
tua, memang cepat terasa. Namun, apalah daya Elle. Berkeras mahukan cuti
mungkin akan menyebabkan Bahrin mengambil tindakan drastik dan memecat Elle.
Kalau diturutkan sahaja kata-kata majikan, terpaksa pula membelakangi keluarga
sendiri. Tetapi, tanpa gaji, bagaimana pula mereka mahu meneruskan kehidupan?
Berat, penat kepala memikirkan. Kalau tidak kerana bayaran yang lumayan,
mana mungkin Elle sanggup untuk menghambakan diri sebegini rupa? Dengan gaji
yang Bahrin beri Elle mampu meneruskan restoran milik keluarga, menyediakan
rumah baru untuk ibu dan membayar pengajian Adik. Itu belum lagi tentang Sofia . Fikir Elle, biarlah
terjual jiwa dan raga asalkan mampu menyediakan hidup yang selesa untuk
keluarga. Lagipun, dia tiada kelulusan. Kalau dibuang kerja, entah dapat
entahkan tidak untuk bekerja di tempat lain.
Yang pasti, Bahrin tidak akan mudah melepaskan dia pergi. Tidak kiralah
samada untuk meninggalkan pekerjaan sekarang atau pergi sekejap untuk kembali
pada keluarga.
' Elle?' sapa satu suara. Entah bila Arman masuk ke dalam pejabat pun
Elle tidak pasti. Diangkat kepala yang disembamkan ke atas meja perlahan-lahan.
' Kau ok?' Arman bertanya, ada takut di wajahnya. Elle hanya mampu
mengangguk. ‘ Maaf, aku dah ketuk pintu tadi tapi mungkin kau tak perasan.
' Mungkin kau patut pergi basuh muka. Dia ada di bawah,' Arman berkata
sambil meletakkan beg ke atas sofa.
Elle cepat-cepat bangun. ' Nanti kita cakap,' Arman bersuara sebelum
Elle keluar dari pejabat. Dia memalingkan wajah, memandang Arman sebelum
mengangguk.
Itulah kali pertama Arman membantu Elle. Dengan bantuan Arman juga, Sofia dan ibu Elle berjaya
dibawa ke rumah Elle pada hari yang sama. Entah apa alasan yang diberikan oleh
Arman tetapi petang itu dia dibenarkan bercuti.
Malam itu adalah malam yang paling berharga untuk Elle kerana
keluarganya ada disisi. Itulah bantuan Arman yang tidak mungkin akan dapat
dilupakan oleh Elle. Untuk pertama kalinya, Elle berasakan ada orang lain yang
boeh dianggap kawan. Dia tahu yang dia tidak akan sendiri untuk menghadapi
semua ini.
No comments:
Post a Comment