Ubat di tapak tangan Alia dipandang dengan
rasa sayu. Ingatkan dengan pemergian Bahrin, semua mimpi ngeri akan berakhir.
Siapa sangka memori yang tinggal akan sentiasa berputar seperti pita rakaman
yang sudah rosak? Mahu tidak mahu, sebutir lagi pil terpaksa ditelan. Ya,
seperti selalu.
Semenjak kecil lagi Alia sudah minat
bercerita. Bukan di atas pentas tetapi melalui tulisan. Waktu pengumpulan karya
penulisan untuk majalah sekolah adalah saat yang paling dinantikan. Pasti ada
sahaja karya Alia yang disiarkan. Ini tidak termasuk cerpen yang dihantar oleh
guru sebagai wakil pertandingan.
Menulis adalah satu lagi cara untuk Alia
'hilang' daripada dunia sebenar. Sebaik sahaja pena dipegang, dia seolah-olah
berada di dalam ruang vakum sendiri. Tiada bunyi bising, tiada kenakalan rakan
sekelas, tiada tekanan; semuanya lenyap.
Bila semakin dewasa, cara untuk merekodkan
idea jadi lebih mudah. Ketika di sekolah rendah, Alia kerap ditegur kerana
sering mencuri waktu untuk menulis idea. Bila sudah ke sekolah menengah, ayah
Alia memberikan alat perakam suara. Sekalipun sering disindir rakan-rakan
kerana asyik bercakap dengan mesin, Alia tidak peduli. Yang penting, dia boleh
meneruskan hobi menulis.
Daripada hobi, menulis kemudian bertukar
menjadi sesuatu yang lebih serius. Keluarga Alia tidak pernah menghalang
cita-citanya, malah memberi sokongan padu. Sebuah bilik khas disediakan demi
memastikan Alia dapat menulis dengan selesa dan tanpa gangguan.
' Yang penting, niat kamu ikhlas dan
pekerjaan kamu nanti halal,' pesan ayah Alia. Itulah kata-kata semangat yang
dipegang hingga menyebabkan Alia mampu menjadi penulis amatur yang terkenal.
Ketika tahun dua di universiti, Alia sudah mendapat tawaran untuk menyiapkan
sebuah novel. Sayangnya, ayah meninggal dunia sebelum sempat melihat kejayaan
Alia menerbitkan novel sulung.
Dan bermula daripada saat itulah bermulanya
liku-liku dalam kehidupan Alia.
Berbekalkan kemahiran yang ada, Alia mula
menulis di majalah-majalah dan kolum suratkhabar. Terjaga sedikit makan-minum keluarga
ketika itu. Mujur sahaja ada duit pencen ayah, beban untuk menghabiskan
pengajian tidak begitu menekan. Daripada segi kerja, Alia langsung tidak perlu
risau. Tawaran datang mencurah-curah sehinggalah sampai satu tawaran daripada
syarikat Bahrin.
Seorang rakan sekerja Alia menasihatkan
supaya berhati-hati dengan tawaran yang satu itu. Itu menandakan bahawa
bakatnya sudah dikesan dan diri Alia sedang diperhatikan. Sedikit-sebanyak
kembang juga rasa hati. Siapa yang tidak seronok kalau jadi rebutan, bukan?
Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik
sahaja surat
tawaran daripada Bahrin sampai, syarikat lain semakin menjauhkan diri. Tawaran
untuk artikel mula berkurangan membuatkan Alia berasa risau. Pada asalnya, Alia
mahu tunggu dahulu sebelum membuat pilihan yang terbaik sementelah lagi masih
ada satu lagi semester untuk disudahkan. Menyedari bahawa semakin kurang
tawaran yang datang, ia sedikit-sebanyak menganggu Alia. Tidak senang duduk
kerana tidak lagi menjadi kesayangan industri, dia mula menggelabah. Mahu tidak mahu, tawaran
Bahrin diterima.
Lega hati bila reaksi yang diberikan oleh
syarikat Bahrin agak memberangsangkan. Cuma satu yang mendatangkan kerisauan
pada Alia waktu itu; dia terasa dikongkong. Tiada lagi kebebasan untuk memilih
topik atau isu yang menarik melalui penerbitan yang pelbagai. Apa sahaja isu
yang dihulurkan oleh majikan, itulah yang perlu diselesaikan. Semua yang ideal
tentang menjadi seorang penulis terpaksa diketepikan demi wang.
Bukanlah satu rahsia bahawa Bahrin sering memerhatikan
pekerja perempuan yang baru. Lelaki; itu sahaja yang dapat dikatakan oleh Alia
sambil tersenyum. Semua cakap-cakap bahawa dirinya sedang diperhatikan, ditolak
ketepi kerana Alia mahu hubungan profesional sahaja. Apatah lagi bila Bahrin
sendiri sudah cukup layak untuk dipanggil seorang bapa.
Daripada seorang majikan yang hanya
memerhati di dalam pejabat, Bahrin mula bertindak lebih jauh. Alia mula diajak
ke majlis-majlis pelancaran, tidak seperti pekerja yang lain. Ada sahaja alasan untuk bawa Alia keluar dan
yang selalu dijadikan orang tengah pasti adalah Elle. Ke mana sahaja Alia ingin
dibawa, Elle diwajibkan turut serta untuk mengaburi mata tuan punya badan.
Malangnya, Alia bukan mudah untuk dipikat. Kemewahan masih belum cukup menawan,
apatah lagi kalau ia datang daripada seorang lelaki tua.
Bahrin tidak tahu erti lelah. Pelbagai cara
digunakan hinggalah satu malam bila Alia diumpan ke hotel. Itupun berlaku
dengan cara yang cukup licik kerana Elle turut sama ditipu. Elle diarahkan
untuk menelefon Alia, kononnya untuk perbincangan tergempar dengan seorang
penerbit filem namun kemudian Bahrin sendiri menelefon setiausahanya untuk
memberitahu perbincangan dibatalkan. Tinggallah Alia seorang berjalan ke dalam
perangkap.
Peristiwa hitam itu seolah-olah baru sahaja
terjadi. Sewaktu loceng dibunyikan, Bahrin yang membuka pintu. Alia langsung
tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan bahawa Elle dan penerbit filem
sedang berbual di ruang sebelah. Bahrin terus menghilang ke dalam bilik air
sebaik sahaja membenarkan Alia masuk dengan alasan perlu menukar baju. Tidak
sempat untuk bertanyakan apa-apa, Alia cuma duduk menunggu sehingga Bahrin
selesai. Tidak berani dia mahu menjenguk ke ruang sebelah mencari yang lain.
Tidak sampai beberapa minit, terdengar ketukan di pintu.
Serba-salah, Alia terus mengetuk pintu
bilik mandi. Tanpa segan silu, Bahrin keluar dari bilik mandi dengan hanya
bertuala lalu membuka pintu. Terasa seperti langit jatuh menghempap kepala Alia
bila dilihat beberapa orang lelaki berkopiah berdiri di depan pintu. Dia tahu
apa yang bakal terjadi.
' Siapa lagi yang ada di dalam bilik ini?'
Bahrin hanya tunduk, menggelengkan kepala. Alia tidak henti-henti bercakap, cuba
memberitahu bahawa mereka tidak melakukan apa-apa. Namun, dia terdiam sebaik
sahaja kelibat arwah Zainab, muncul di depan pintu.
Zainab hanya berdiri sahaja di depan pintu,
memerhatikan Alia. Sekali-sekala, mata wanita yang kelihatan penat beralih
memandang Razman. Sesungguhnya, itulah saat yang paling sukar untuk Alia;
memerhatikan Zainab berdiri dengan wajah pucat, badan yang sedikit bongkok
memandang dengan kecewa. Zainab sedang bertarung dengan kanser ketika itu.
Bayangkan perasaan Alia terpaksa berdepan dengan situasi yang mana dia tidak
mampu mempertahankan diri sendiri. Sudahlah malu ditangkap dalam keadaan
begitu, terpaksa berdepan dengan isteri majikan sendiri pula. Yang diharapkan
adalah Bahrin boleh buka mulut dan membetulkan keadaan. Namun, hampa.
' Kenapa?' hanya itu yang keluar dari mulut
Zainab. Mungkin ianya akan jadi lebih mudah kalau Zainab menjerit sahaja pada
Alia dan Bahrin, caci maki mereka berdua. Alia tenggelam dalam perasaan
bersalah dan rasa bodoh. Wajah Zainab bersilih ganti dengan wajah ibu yang
sedang tersenyum. Bahrin pula mematikan diri di sebelah, masih lagi tidak
berbaju. Entah apalah yang memberikan Alia kekuatan waktu itu untuk tidak
pengsan,
Malam itu juga mereka dinikahkan, diuruskan
oleh pakcik Alia yang juga walinya. Entah siapa yang dapat menelefon pakcik
Alia, dia tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Membantah sudah tidak berguna
kerana semuanya telah berlaku. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar daripada
mulut Bahrin sepanjang malam, waima maaf sekalipun. Zainab pula hanya menangis
sepanjang majlis, sama seperti Alia.
Entah bagaimana Alia dapat tidur malam itu
pun dia tidak pasti. Bahrin, Zainab, Alia, Elle beserta keluarga pakcik Alia
menetap di hotel yang sama. Mungkin kerana penat akibat menangis tidak henti,
Alia tertidur tanpa menyedari pukul berapa Elle masuk ke bilik. Terlalu banyak
yang difikirkan sepanjang peristiwa itu berlaku. Bagaimana untuk berhadapan
dengan Bahrin yang hambir sebaya dengan pakcik Alia? Bagaimana dia perlu
berdepan dengan Zainab? Di manakah dia mahu tinggal dan yang paling penting
sekali, bagaimana untuk berhadapan dengan ibu?
Keesokan harinya, Alia dihantar oleh
keluarga pakciknya untuk berjumpa dengan ibu. Ibu pengsan sebaik sahaja Alia
memberitahu yang dia ditangkap dan sudah bernikah tanpa sempat Alia memberi
penerangan lanjut. Tidak cukup dengan itu, ibu diserang sakit jantung pula
sebaik sahaja sedar. Seminggu Alia tunggu ibu di hospital, ditemani oleh Omar
yang datang sekali-sekala.
Pada hari ibu sepatutnya keluar dari
hospital, Bahrin datang melawat. Sebaik sahaja melihat Bahrin, ibu diserang
sakit jantung sekali lagi dan kali ini, Tuhan lebih sayangkan dia. Alia sudah
tidak tahu untuk membezakan antara redha dan pasrah. Yang dia tahu, kini dia
betul-betul sendiri.
Tanpa ibu, sudah tiada guna Alia duduk di
kampung. Lagipun, takkanlah Alia mahu duduk kampung sedangkan tempatnya adalah
dekat dengan suami. Alia cuba
beberapa kali untuk berhadapan dengan Zainab selepas perkahwinan mereka. Namun,
setiap kali mereka bertemu, Alia hanya mampu menangis. Semuanya hancur; hidup
dan cita-citanya. Zainab turut sama menangis namun tidak dapat dipastikan
mengapa. Hanya bila hampir ke hujung usia Zainab sahaja baru mereka dapat mesra
sedikit.
Tidak sampai setahun selepas pernikahan
Bahrin dan Alia, Zainab pula meninggal dunia. Kesihatan Zainab semakin merosot
sejak perkahwinan suami sendiri apatah lagi bila dia mula menolak rawatan dan
ubat. Alia terasa seperti dialah yang menjadi penyebab madunya meninggal dunia.
Setiap hari, ada sahaja berita tentang Bahrin dan Alia yang disiarkan di
akhbar, belum lagi termasuk cerita-cerita di Internet. Yang lebih perit adalah
apabila semakin ramai yang berminat untuk menggali cerita-cerita lama tentang
Bahrin dan Zainab pula. Semuanya mahu jadi hakim tidak berbayar.
Mulanya Zainab cuba untuk mengurungkan diri di
dalam rumah tetapi bukan mudah. Kawan-kawan dan saudara datang melawat
bertanyakan kesihatan. Sekalipun mungkin tiada yang bertanya terus apa yang
berlaku, pandangan mereka sudah cukup untuk membunuh baki semangat yang ada
dalam diri Zainab. Sudahlah fizikal Zainab lemah, semangat untuk meneruskan
hidup makin hilang disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak.
Memulakan kehidupan dengan lelaki tua itu
adalah pengakhiran semuanya buat Alia. Hidup atau mati sudah tidak bawa beza
lagi.
' Aku nak jadi penulis. Aku mahu mengembara
seluruh dunia dan menulis tentang semua tenpat yang aku pernah jejakkan kaki.'
Itu adalah salah satu janji yang dia tulis di dalam diari pada usia 14 tahun.
Di dalam dapur yang gelap, Alia menangis sendiri mengingatkan janji yang tidak
akan mampu untuk ditunaikan. Ada
susuk tubuh yang menjengah daripada luar dapur tetapi dibiarkan sahaja oleh
Alia.
No comments:
Post a Comment