Saturday, September 27, 2014

Bukan Nama Sebenar: 18

Seperti baru semalam Omar memegang senarai ubat Bahrin di hospital. Seolah seperti semalam juga dia bertemu Azlina, jururawat yang berjaya mencuri hatinya.

' Ada apa-apa lagi yang encik mahu tahu?' Azlina tersenyum manis memandang Omar. Disebabkan gugup, Omar pura-pura kusyuk meneliti senarai ubat Bahrin kerana tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan makhluk Tuhan secantik ini.

' Hmmm...' Omar sebenarnya cuba melengahkan masa. Bukannya dia faham langsung apa yang ada di tulis di atas kertas. Tulisan doktor yang cakar ayam juga tidak membantu langsung. Namun, kakinya terus terpasak di depan kaunter disebabkan mahu menyeru keberanian untuk meminta nombor telefon Azlina.

' Ya?' sekali lagi Azlina bersuara. Kali ini, jururawat itu membulatkan mata yang sudah sedia bundar. Omar terasa seperti dia pula yang perlu dibawa ke bilik pembedahan.

Omar tahu dia tidak ada banyak masa. Entah bila lagi ayahnya akan sakit jantung lagi. Kalau dia tidak rebut peluang ini, entah-entah ia tidak akan datang lagi.

' Nombor...' itu sahaja yang keluar sebelum terasa seperti ada batang kayu tersengkang di kerongkong Omar.

' Nombor?' Azlina memandang Omar dengan wajah aneh sambil cuba untuk menjenguk kertas yang dipegang. Manalah tahu kalau ada nombor di dalam kertas yang memerlukan penjelasan. Mulut yang bergincu merah jambu itu kini berbentuk O. Jantung Omar pula sudah jatuh ke lantai.

' Nombor awak. Nombor telefon awak. Boleh beri saya nombor telefon awak?' Omar merapikan rambut sambil mata memandang kasut. Tiba-tiba dia rasa menyesal. Bagaimana kalau Azlina enggan beri nombor telefon?

' Urm...kenapa ya? Nak tanya pasal ubat ya?' Azlina mula mencapai pen di atas meja sebelum kembali memandang Omar.

' Kalau saya nak tanya pasal awak?' Omar bertanya takut-takut. Dia sudah tidak kisah apa yang bakal terjadi nanti, sekurang-kurangnya dia ambil peluang yang ada. Mana tahan asyik tengok Azlina lalu-lalang di depan mata daripada awal hinggalah sampai hari Bahrin mahu keluar dari hospital.

Pen di tangan Azlina yang sedang rancak menari terhenti manakala pipinya mula memerah. Ada jeda beberapa saat yang membuatkan Omar hampir mahu pitam, takut kalau Azlina tidak sudi. Namun, Omar lega bila Azlina mula menulis kembali ke atas kertas. Sambil curi pandang wajah Omar, Azlina menghulurkan kertas. Cepat-cepat dia mengemaskan kertas di atas meja sebelum berlalu pergi. Hampir sahaja Omar terlepas peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.

Itu dua tahun lepas, waktu segala-galanya bermula. Bermula detik itu, Omar  sudah buat pilihan bahawa Azlina adalah suri dalam hidupnya. Namun, tidak di mata ayah Omar sendiri. Hanya Tuhan yang tahu betapa hatinya remuk bila Bahrin menolak mentah-mentah Azlina.

' Apa kepentingan dia pada perniagaan kau? Apa yang dia boleh beri?' Bahrin bertanya selamba dengan tangan masih rancak menandatangi dokumen. Tidak sedikit pun kepala diangkat, seolah-olah apa yang cuba disampaikan oleh Omar langsung tidak penting.

' Ramai lagi orang lain, kenapa mesti jururawat?'

Darah Omar menyirap. Takkan Bahrin lupa siapa yang banyak membantu ketika di hospital sampai sihat?

' Kita bukan ada hospital hingga perlukan bantuan dia.'

Omar meraup muka sambil beristighfar. Mengingatkan reaksi Bahrin waktu kali pertama dia buka mulut tentang Azlina cukup menyakitkan hati tetapi apalah yang mahu diingatkan sangat, ayahnya pun sudah tiada.

' Abang Omar, mari makan,' suara adik Azlina mengejutkan Omar dari putaran memori yang rancak bermain. Dia tahu, kejam sangat kalau dia mengaku yang dia bersyukur Bahrin. Tidak patut sebagai anak dia mahu berkata begitu. Lebih kurang sebulan yang lepas, dia pernah berbincang dengan Azlina untuk bernikah sahaja di sempadan. Gila, benar, tetapi kadang-kadang masalah yang gila memerlukan penyelesaian yang gila juga.

Mujur sahaja mereka sudah tidak perlu lagi melakukan itu semua. Sekarang, Omar bebas untuk bersama Azlina. Tidak perlu lagi dia sorok-sorok menjenguk keluarga Azlina ataupun curi jumpa di hospital.

' Wah! Sambal sotong!' Omar kesukaan. Memang tidak sama dengan air tangan ibunya, Zainab tetapi air tangan Azlina tetap sedap. Emak Azlina yang berdiri di sebelah cuma tersenyum melihat bagaimana terujanya Omar.

Rumah ini sering menjadi tempat persinggahan Omar sejak mengenali Azlina maka tidaklah dia kekok. Adik-beradik Azlina sudah seperti adik-beradik Omar sendiri. Emak Azlina pula sudah dianggap seperti ibu sendiri. Di sini Omar berasa diterima dengan ikhlas, tanpa syarat.

Tidak seperti di rumah sendiri. Apa sahaja yang dilakukan perlu diukur dengan merit. Kalau ada pun yang sudi menerima, Pak Sein dan pasangannya. Kadang-kala, orang tua berdua itulah yang jadi tempat mengadu Omar tentang kerja dan Azlina. Entah faham entahkan tidak Pak Sein bila Omar meluahkan masalah, lelaki itu tidak pasti. Yang penting, biar lepas semua yang terbuku di dada.

Kelakar bila memikirkan orang yang tiada kaitan darah daging lebih sudi memahami hati Omar.

‘ Abang Omar, bacakan doa.’


Wednesday, September 24, 2014

'Weih, tak mau lunch ke?'

Kalau nak diikutkan, dah boleh tumbuh akar di kaki Hanis. Menunggu Aina bersiap memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

Bateri telefon menurun semakin laju namun bayang-bayang Aina masih belum kelihatan. Seperti biasa, kelaparan bisa membuatkan Hanis sedikit hilang pedoman. Sementelah lagi sudah lebih kurang dua puluh minit dia terpaksa menunggu Aina bersiap.

Tiada sebarang bunyi yang meloloskan diri dari pintu bilik Aina. Senyap. Hanis terus pasrah, hanya mampu untuk menguis-nguis skrin telefon.

' Aina...' Hanis sudah separa mengerang di lobi pejabat. Dia sedang duduk cantik-cantik di atas sofa merah dekat dengan meja penyambut tetamu. Hanis menggantikan Adila, bukan untuk menyambut tetamu tetapi Aina.

Dua puluh minit menginjak ke tiga puluh minit. Daripada posisi duduk, badan Hanis sudah mula condong. Sedar-sedar sahaja, Aina sudah duduk di sisi sambil menepuk-nepuk pipi Hanis.

' Eh Hanis! Weih tak mau lunch ke?' Aina bertanya. Hanis memerhatikan bibir dan kelopak mata Aina. Sah rakannya itu baru sahaja bersolek untuk kali kedua.

' Taklah. Aku memang tak perlu lunch, lagi-lagi pergi kedai makan. Kau bagi aku setem sekeping dah cukup.'

Diam.

' Marah pula lipas sorang ni..' Aina tersengih, tiada langsung riak muka bersalah di wajahnya.

' Yelah. Maaf. Aku ada kerja tadi. Jom jom, aku belanja!'

Hanis kembali ceria, Dasar tiada integriti. Mudah dirasuah betul.