Wednesday, October 15, 2014

Bukan Nama Sebenar: 23


Aidid memerhatikan Omar yang sedang duduk di kerusi. Berkemeja putih dengan seluar panjang, dua butang atas dibuka. Setiap pergerakan teratur dan Omar nampak tenang. Riak wajahnya juga selari.

Alia pula lain halnya. Balu Bahrin itu masih berpakaian kurung hitam, selendang jarang di kepala bersama kaca mata hitam. Sekejap Alia carik tisu di tangan, kemudian beralih pula mengigit kuku dan hujung bibir. Kalau boleh Aidid ingin merayu pada Alia supaya berhenti gigit bibir kerana dia takut kalau-kalau dia mula berfantasi yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi dengan gincu bibir merah Alia.

' Saya ada permintaan,' Aidid membuka bicara. Kedua-duanya berbalas pandang sebelum mata mereka melekat pada Aidid.

' Saya tahu ini agak sensitif tapi saya perlu tahu kehidupan peribadi mangsa.'

Wajah Omar nampak terkejut untuk beberapa saat sebelum kembali tenang. Tubuhnya disandarkan ke kerusi sebelum sebelah tangan di letakkan di bawah dagu. Alia pula tunduk, seolah-olah gelisah.

' Peribadi macam mana, encik?' Omar bertanya.

' Panggil saja Aidid. Saya faham kalau ini berat tetapi saya perlu tahu tentang hubungan mangsa dengan ahli keluarga. Terutama sekali dengan isteri-isterinya,' mata Aidid mengarah ke Alia. Omar mengangguk.

Terdengar ketukan di pintu. Aina, datang seperti yang diarahkan.

' Puan Alia boleh ikut Aina sebentar? Ah lupa pula saya kenalkan. Ini pembantu saya.'

Alia nampak teragak-agak dan memandang Aidid seolah-olah mahu kepastian. ' Saya perlu cakap dengan Encik Omar.'

' Ah, Omar. Tidak perlu formal,' sambut Omar sambil tersenyum. Ada lesung pipit, manis. Sekali lagi, kenapa lelaki sekacak ini masih sendiri?

' Mari kita duduk di sini. Semuanya ok?' Aidid mengambil fail yang ada di atas meja sebelum menjemput Omar duduk di sofa. Rasanya lebih selesa kalau dapat berbual dalam keadaan yang kurang formal.

' Bolehlah. Senang sikit bila pakcik-pakcik saya membantu,' Omar tersenyum lagi dan kali ini Aidid perasan ia tidak sampai ke mata.

' Kamu terlibat secara langsung di bahagian mana?'

' Tekstil,' Omar menjawab pendek.

' Kamu uruskan seorang?' Aidid pura-pura membelek fail sedangkan dia sudah tahu semuanya.

' Ya,' Omar mula menyilangkan kaki. ' Sebenarnya, saya lebih berminat pada penerbitan.'

' Penerbitan secara umum atau...?'

' Kalau boleh saya mahu uruskan bahagian fotografi.'

' Jadi, kenapa awak tak teruskan?' Aidid bersandar, memberi signal bahawa dia sedia mendengar apa yang ingin diberitahu oleh Omar.

Omar diam, termenung jauh. Entah apa yang difikirkan oleh lelaki itu, tiada siapa yang tahu.

' Dia tak mahu saya teruskan hobi dalam bidang fotografi. Kami sudah ada orang yang jaga bahagian fotografi dan dia beritahu waktu itu bahagian tekstil memerlukan ketua.'

Aneh. Satu kerana Bahrin menghalang cita-cita anak sendiri dan dua, penggunaan 'dia' oleh Omar.

' Ayah tidak yakin saya boleh bermula dari bawah dalam bidang yang saya minati,' hilang sudah rasa sangsi Aidid bila Omar membahasakan Bahrin sebagai ayah. ' Katanya, saya sudah biasa hidup senang, mana mungkin saya mampu untuk hidup susah. Membina nama bukan mudah. Dia tidak mahu saya bergantung pada dia kalau saya susah. Samada saya teruskan kerja dengan dia atau tinggalkan rumah dan cuba hidup sendiri'

' Tapi, lebih senang kalau jadikan syarikat sendiri sebagai baru loncatan, kan?' aneh. Mungkin ini cara orang berniaga fikir cuma, sudah ada platform, kenapa perlu susahkan diri?

Omar tersenyum, matanya masih merenung jauh ke depan. ' Entahlah. Susah nak agak arwah ayah saya. Apa sahaja yang dia lakukan, mesti untuk jangka panjang. Semuanya dikira sebagai pelaburan.'

' Maksud awak?' Aidid semakin tertarik dengan Bahrin. Pelaburan? Licik. Patutlah namanya sentiasa disebut-sebut. Siapa sahaja yang tidak mahu bercakap tentang seseorang yang mempunyai pandangan sebegitu.

' Apa sahaja yang saya lakukan; dengan siapa saya berkawan, sekolah mana yang saya hadiri, semua itu bersebab. Sambil bergaul sambil meluaskan rakan perniagaan. Bukan saya sahaja malah ayah sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada sesiapa yang tidak memberi kepentingan padanya.'

Ada nada kesal di dalam nada suara Omar. Begitu juga dengan rasa kagum. Banyak rasa yang terkandung dalam kata-kata lelaki berkumis di depan Aidid. Mungkin Omar sedang bertarung antara mahu mengangkat ayahnya sebagai ahli perniagaan yang berjaya atau dijadikan model insan gagal.

' Arwah ibu awak pula bagaimana?'

Jeda yang lama. Nampak seperti mata Omar berkaca.

' Mereka bernikah atas pilihan keluarga untuk menyatukan dua buah perniagaan keluarga,' Omar membetulkan duduk.

' Mereka bahagia?' tanya Aidid, benar-benar ingin tahu. Adakah Bahrin turut melakukan perkara yang sama pada isteri pertama seperti mana dia memperlakukan Alia? Bulu tengkuk Aidid meremang.

Omar ketawa kecil, ketawa yang hanya diwujudkan untuk membeli masa menyusun ayat.

' Susah saya nak cakap. Ada hormat tetapi kurang mesra. Mereka macam rakan sekerja yang berusaha menjalankan sebuah perniagaan. Profesional tanpa emosi yang terlampau.’

Sebenarnya, bukan itu maksud soalan Aidid. Ada soalan di sebalik soalan.

' Maksud saya... Kamu tahu hubungan ayah kamu dengan ibu tiri kamu? Maksud saya, cara Bahrin melayan Puan Alia?'

Ada satu senyuman misteri di wajah Omar. Aidid jadi cuak untuk menafsir maksud senyum itu.

Saturday, October 11, 2014

Bukan Nama Sebenar: 22


Sehingga ke hari ini, Nazmi masih lagi diburu kekesalan kerana memusnahkan hidup Arman. Sepupu yang pernah dianggap seperti adik sendiri terpaksa menanggung dosa yang dia lakukan. Apalah yang diketahui oleh seorang budak lelaki berusia empat belas tahun bila terperangkap dengan dua mayat di dalam rumah sendiri. Nazmi dapat membayangkan Arman terpinga-pinga sehinggalah polis sampai.

' Kasihan, emak. Kasihan,' hanya itu yang selalu diucapkan oleh Nazmi. Mungkin Arman tidak tahu tetapi ayah sebenarnya selalu sangat pukul emak. Entah apalah dosa emak, Nazmi tidak pasti. Dan emak pula menahan selagi boleh. Silap, sebenarnya emak sentiasa tahan pukulan ayah. Ayah tidak sekalipun mengusik Nazmi kerana anaknya itu saling tidak tumpah seperti dia.

Seingat Nazmi, beberapa kali juga ayah pernah pukul emak hingga gugur bayi dalam kandungan. Mungkin emak berasakan dia terlalu muda ketika itu tetapi mulut orang tidak boleh dtutup, begitu juga dengan telinga Nazmi. Emak sentiasa memastikan ayah melakukan aktiviti itu bukan di depan Nazmi. Suara pun emak tidak mahu keluarkan kerana mahu melindungi anak sendiri. Namun, luka-luka dan lebam di tangan emak menjelaskan semuanya.

‘ Emak, kenapa tangan emak luka?’ tanya Nazmi suatu hari waktu emak melipat baju di ruang tamu.

‘ Semalam, terkena pisau. Kucing melompat depan tingkap. Terkejut emak,’ begitulah lancarnya emak menipu. Emak lupa yang suatu hari nanti Nazmi akan dapat cari jawapan akan apa yang sebenarnya berlaku.

Selalu sangat Nazmi dengar emak merayu suruh ayah berhenti tetapi bunyi tali pinggang, tumbukan dan tendangan terus kedengaran. Kadang-kadang Nazmi menangis di dalam gelap bila mendengar bunyi seolah-seolah guni beras ditumbuk bertalu-talu. Kemudian, semuanya jadi senyap dan kedengaran bunyi pintu terhempas. Nazmi tidak sanggup untuk keluar dari bilik tetapi dia tahu dengan susah-payah, emak minta bantuan daripada jiran sebelah. Dengan pertolongan merekalah emak dihantar ke wad kecemasan.

Mujur sahaja keadaan mula berubah sejak kehadiran Arman sewaktu Nazmi berusia lapan tahun. Disebabkan ayah dan emak menjadi penjaga pada Arman, datuk memberikan elaun kepada ayah. Bukan itu sahaja malah datuk turut memberi sebuah rumah yang lebih selesa. Emak juga diberikan kerja, walaupun hanya sebagai pembancuh kopi.

Waktu itu, sudah nampak sedikit perubahan dalam diri ayah. Mungkin, selama ini yang banyak mengganggu ayah adalah soal wang. Berapa sangatlah gaji seorang pemandu lori, apatah lagi emak tidak bekerja. Ayah tidak mampu mendapatkan kerja lain kerana taraf pendidikan menjadi penghalang. Sekalipun datuk orang kaya, ayah tidak pernah dapat simpati datuk. Kalau ayah mahu bekerja dengan datuk, ayah perlu duduki SPM. Ini syarat yang perlu dipenuhi.

Nazmi sebenarya seronok dengan kedatangan Arman. Sekurang-kurangnya, dia sudah ada teman bermain di tempat baru selepas berpindah. Tidaklah bosan sangat duduk di rumah seorang diri. Ke mana sahaja mereka berdua sehingga mereka dipanggil kembar oleh jiran-jiran. Apa yang Nazmi buat, Arman turut mengikut.

Cuma, entah bagaimana, Nazmi tersilap memberikan contoh yang baik. Dia yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik telah melakukan yang sebaliknya. Gurauan yang mulanya tidak merbahaya, berkembang menjadi sesuatu yang tidak terkawal. Nazmi mula berkawan dengan budak-budak nakal lalu mengheret Arman sekali. Bila kawan-kawan mereka mula mendera binatang di kawasan perumahan, Arman dan Nazmi bagaikan tersepit kerana mereka anggota paling muda. Hanya disebabkan berada di dalam kumpulan yang sama, mereka berdua juga dilabel sebagai budak nakal sekalipun tidak terlibat.

Nazmi sendiri mula rajin mengusik Arman. Kadang-kadang, gurauan Nazmi cukup kasar. Ada kalanya dia meletakkan bangkai anak kucing di dalam beg Arman. Pernah juga dia meletakkan tasbih emak di dalam almari Arman. Mungkin nampak biasa tetapi Nazmi lupa bahawa ayahnya garang. Teruk Arman dimarahi apabila perkara sebegini berlaku. Terpinga-pinga Arman waktu itu. Tetapi mujur sahaja ayah Nazmi tidak berani angkat tangan kerana teringat apa yang mungkin terjadi kalau datuk dapat tahu.

Seminggu sebelum Peperiksaan Menengah Rendah, emak diberhentikan kerja. Seperti dapat merasakan sesuatu akan berlaku, emak tidak lagi seceria biasa. Suasana di dalam rumah senyap sahaja. Tiada lagi celoteh emak yang selalunya cukup rajin bertanyakan macam-macam pada mereka berdua. Paling tidak pun, emak akan menyanyi kecil ketika mengemas rumah namun itu semua sudah tidak lagi berlaku. Ayah pula semakin kerap pulang lewat. Hinggalah pada suatu pagi terdengar pintu depan rumah dihempas kasar. Nazmi dan Arman terkejut daripada tidur. Dengan perlahan, Nazmi turun dari katil sambil memberi isyarat menyuruh Arman supaya senyap dan tunggu sahaja di dalam bilik.

Pintu bilik tidur dibuka perlahan-lahan untuk menjenguk ke ruang tamu. Emak sedang terperosok di tepi kerusi sambil ayah berdiri, mengangkat kaki kiri seolah-olah ingin menyepak emak. Rambut ayah kusut masai dan matanya merah, lain benar dengan rupanya sewaktu keluar rumah pagi tadi. Nazmi selalu terdengar daripada jiran-jiran terdahulu bahawa ayahnya kaki botol. Jantung Nazmi berdegup kencang. Terasa darah menyerbu ke kepala bila di depan mata sendiri ayah memijak muka emak. Dia menyelinap ke arah dapur untuk mencari parang sambil air mata meleleh. Apa dosa emak hingga ayah sanggup buat begitu?

' Kasihan emak. Kasihan,' Nazmi menyebut perlahan.

Dengan parang di tangan, Nazmi berlari dari arah dapur masuk ke ruang tamu sebelum senjata menghayun sekuat hati ke kepala ayah. Serangan yang tidak disangka-sangka itu mengejutkan ayah. Sebelum rebah ke lantai, ayah sempat memandang wajah Nazmi. Riak wajahnya seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi.

Nazmi tarik parang di kepala ayah dan bersedia untuk menyerang sekali lagi kalau perlu.

' Kasihan emak. Kasihan.' Emak yang sudah berhenti bergerak di sisi dipandang dengan air mata berlinang/

Namun, ayah yang sudah terbaring di atas lantai tidak lagi bangkit. Ayah tumbang menghimpit tangan emak yang kaku ketika itu. Ada kesan darah di bibir dan hidung emak. Di lantai terdapat kaca bersepah begitu juga dengan darah. Besar kemungkinan darah emak berdasarkan kesan luka di kepala. Nazmi mengongoi lebih kuat. Sambil dikesat air hidung yang mengalir laju, dahi emak dikucup perlahan. Rasa sejuk dari dahi emak menyelinap ke seluruh tubuh.

Nazmi hanya berdiri di tepi mayat ayah dan emak, buntu tidak tahu apa yang perlu dia buat. Entah bila Arman keluar dari bilik tidur mereka, Nazmi kurang pasti. Tahu-tahu sahaja dia sudah mencangkung di depan mayat ayah dan emak.

Tiba-tiba Nazmi tersedar apa yang baru sahaja dilakukan. Dia sebenarnya sudah menjadi pembunuh. Hulu parang yang berbalut dengan kain buruk dilepaskan ke lantai. Tanpa bertangguh, Nazmi terus sahaja melarikan diri ikut pintu belakang. Yang difikirkan waktu itu adalah dia tidak mahu ditangkap oleh polis.

Destinasi tujuannya adalah rumah datuknya. Jauh juga sebenarnya Nazmi berlari ke rumah datuk tetapi itu sahaja tempat yang dia tahu. Mujur sahaja datuk menerima kedatangan Nazmi pada malam itu. Semuanya diceritakan; tentang luka emak, tabiat ayah dan kubur-kubur kecil di belakang rumah mereka yang dikatakan kubur anak kucing. Datuk hanya mendengar, tidak berkata apa-apa. Yang Nazmi tahu, dia tertidur sebaik sahaja menghabiskan cerita. Apa yang seterusnya terjadi kepada Arman, tidak diketahui langsung.

Datuk tidak memberitahu apa yang terjadi kepada Arman. Nazmi turut dipindahkan sekolah dan tidak dibenarkan kembali ke rumah lama. Ada sepupu yang berbisik bahawa Arman dihantar ke tempat yang jauh, entah di mana. Ada pula saudara lain mengatakan bahawa Arman ditahan polis pada malam yang sama. Apa yang dapat diteka oleh Nazmi, mungkin sekolah pemulihan memandangkan Arman masih belum berusia lapan belas tahun. Dirinya terasa begitu berdosa sekali tetapi apakan daya. Apalah yang mampu dilakukan kalaupun dikhabarkan rasa bersalah pada datuk?

Maka hiduplah dia dengan perasaan bersalah yang sentiasa memburu. Terasa berdosa benar membiarkan Arman terperangkap di tempat kejadian tanpa memahami apa yang sedang berlaku. Kalau benar sepupu Nazmi itu ditangkap polis, dialah yang menyebabkan kehidupan Arman hancur sedangkan dia mampu lepas bebas begini.

Nazmi Aidid menutup fail kes. Kalau sebelum ini dia menyebabkan Arman terperangkap, biarlah kali ini sepupunya diselamatkan.

' Macam mana?,' Aina bertanya. Ada bungkusan makanan makanan di tangan kekasihnya itu.

' Kita makan dulu.'


Tuesday, October 07, 2014

Bukan Nama Sebenar: 21


' Kamu tak mahu balik, Yana?' suara ibu Elle kedengaran di hujung talian.

Bagaimana Elle mahu beritahu ibu bahawa dia sangat ingin pulang, mahu duduk makan bersama ibu dan Sofia tetapi tidak boleh? Bagaimana dia mahu beritahu yang dia sebenarnya sudah sangat penat; penat dengan kerja dan risau tentang kesihatan sendiri? Bagaimana ingin dia luahkan yang hanya wajah Sofia dapat menjadi penawar kepada ketagihan Elle terhadap Xanax dan ubat-ubat lain? Bagaimana; sedangkan Elle tahu benar yang untuk kelangsungan hidup, dia perlu bekerja dan buat masa ini, hanya Bahrin yang beri dia kerja.

' Saya perlu periksa jadual saya dahulu, ibu,' Elle kesat air mata yang jatuh ke pipi sambil menjaga getar di dalam suara supaya tidak kedengaran. Siapalah yang tidak rindu pada anak sendiri, lebih-lebih lagi yang tiada di depan mata. Setiap perkembangan Sofia hanya dapat dilihat daripada gambar-gambar yang dihantar oleh adik lelakinya. Kalau nasib baik, adalah satu dua video yang sempat dirakam.

Elle terlepas semuanya; kali pertama Sofia berdiri, langkah pertama dan perkataan pertama. Kalau boleh, Elle mahu lihat sendiri Sofia membesar di depan mata. Malang, walaupun Kuala Selangor tidak jauh dari ibukota namun Bahrin tidak pernah mahu faham. Sekalipun lelaki itu mempunyai seorang anak, dia seolah-olah tidak mahu faham situasi Elle. Sudahlah Sofia tidak berbapa, sekurang-kurangnya berhati perutlah sedikit. Berilah peluang kepada mereka berdua untuk menghabiskan masa bersama. Ini tidak, Elle sudah diibaratkan seperti kembar lelaki itu. Ke mana sahaja dia pergi, Elle mesti ada.

' Banyak kerja ya, Elle?' suara ibu bertanya, lemah. Elle jadi serba-salah untuk menjawab. Sebenarnya, tidaklah begitu banyak kalau Bahrin tidak berkeras supaya Elle menjaga semua urusan daripada perjumpaan dengan pihak penerbit hingga kepada doktor peribadi. Soalnya sekarang, Bahrin tidak mahu melepaskan Elle daripada pandangan. Bukan itu sahaja, jika berada di dalam mesyuarat perniagaan, majikan Elle menyerahkan hampir kesemua kepercayaan untuk dia menguruskan hal-hal lain. Tidak kiralah samada berkenaan buku, novel, manuskrip, filem ataupun perihal pekerja di bahagian penerbitan.

' Boleh tahan juga, ibu,' Elle tertawa, menyembunyikan suara yang bergetar.

' Orang lain pun kerja juga, Yana. Baliklah sekejap. Takkanlah kamu tiada masa langsung untuk Sofia? Dia asyik sebut nama kamu sehari dua ini,' ibu merayu. Elle mengetap bibir sambil tisu ditekan ke bawah mata. Hancur hati rasanya bila terdengar nada kecewa di dalam suara ibu. Elle kehilangan kata-kata.

' Boleh tak Adik bawa Sofia dan ibu datang sini?' Elle cuba meminta belas kasihan ibu. Dia memang betul-betul tidak boleh pulang sekarang apatah lagi Bahrin kini sibuk benar dengan promosi buku yang terbaru.

' Kalau kami ke sana pun, belum tentu kamu ada di rumah,' sekali lagi kata-kata ibu bagai pisau halimunan yang menusuk hati Elle. ' Lagipun, Adik nak periksa.'

Elle menekan tisu ke bawah hidung pula. Mujur sahaja Elle berada di pejabat Bahrin dan tiada sesiapa di situ. Tidak seperti bilik yang lain, bilik Bahrin ditutup dengan kaca hitam. Kalau di pejabat sendiri, pasti ramai yang menyibuk dan kecoh.

' Tak mengapalah kalau kamu tak boleh balik, Yana. Nanti kalau kamu ada masa, baliklah.'

Ibu terus meletakkan telefon tanpa sempat Elle bercakap apa-apa. Orang tua, memang cepat terasa. Namun, apalah daya Elle. Berkeras mahukan cuti mungkin akan menyebabkan Bahrin mengambil tindakan drastik dan memecat Elle. Kalau diturutkan sahaja kata-kata majikan, terpaksa pula membelakangi keluarga sendiri. Tetapi, tanpa gaji, bagaimana pula mereka mahu meneruskan kehidupan?

Berat, penat kepala memikirkan. Kalau tidak kerana bayaran yang lumayan, mana mungkin Elle sanggup untuk menghambakan diri sebegini rupa? Dengan gaji yang Bahrin beri Elle mampu meneruskan restoran milik keluarga, menyediakan rumah baru untuk ibu dan membayar pengajian Adik. Itu belum lagi tentang Sofia. Fikir Elle, biarlah terjual jiwa dan raga asalkan mampu menyediakan hidup yang selesa untuk keluarga. Lagipun, dia tiada kelulusan. Kalau dibuang kerja, entah dapat entahkan tidak untuk bekerja di tempat lain.

Yang pasti, Bahrin tidak akan mudah melepaskan dia pergi. Tidak kiralah samada untuk meninggalkan pekerjaan sekarang atau pergi sekejap untuk kembali pada keluarga.

' Elle?' sapa satu suara. Entah bila Arman masuk ke dalam pejabat pun Elle tidak pasti. Diangkat kepala yang disembamkan ke atas meja perlahan-lahan.

' Kau ok?' Arman bertanya, ada takut di wajahnya. Elle hanya mampu mengangguk. ‘ Maaf, aku dah ketuk pintu tadi tapi mungkin kau tak perasan.

' Mungkin kau patut pergi basuh muka. Dia ada di bawah,' Arman berkata sambil meletakkan beg ke atas sofa.

Elle cepat-cepat bangun. ' Nanti kita cakap,' Arman bersuara sebelum Elle keluar dari pejabat. Dia memalingkan wajah, memandang Arman sebelum mengangguk.

Itulah kali pertama Arman membantu Elle. Dengan bantuan Arman juga, Sofia dan ibu Elle berjaya dibawa ke rumah Elle pada hari yang sama. Entah apa alasan yang diberikan oleh Arman tetapi petang itu dia dibenarkan bercuti.

Malam itu adalah malam yang paling berharga untuk Elle kerana keluarganya ada disisi. Itulah bantuan Arman yang tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh Elle. Untuk pertama kalinya, Elle berasakan ada orang lain yang boeh dianggap kawan. Dia tahu yang dia tidak akan sendiri untuk menghadapi semua ini.


Saturday, October 04, 2014

Bukan Nama Sebenar: 20


Ubat di tapak tangan Alia dipandang dengan rasa sayu. Ingatkan dengan pemergian Bahrin, semua mimpi ngeri akan berakhir. Siapa sangka memori yang tinggal akan sentiasa berputar seperti pita rakaman yang sudah rosak? Mahu tidak mahu, sebutir lagi pil terpaksa ditelan. Ya, seperti selalu.

Semenjak kecil lagi Alia sudah minat bercerita. Bukan di atas pentas tetapi melalui tulisan. Waktu pengumpulan karya penulisan untuk majalah sekolah adalah saat yang paling dinantikan. Pasti ada sahaja karya Alia yang disiarkan. Ini tidak termasuk cerpen yang dihantar oleh guru sebagai wakil pertandingan.

Menulis adalah satu lagi cara untuk Alia 'hilang' daripada dunia sebenar. Sebaik sahaja pena dipegang, dia seolah-olah berada di dalam ruang vakum sendiri. Tiada bunyi bising, tiada kenakalan rakan sekelas, tiada tekanan; semuanya lenyap.

Bila semakin dewasa, cara untuk merekodkan idea jadi lebih mudah. Ketika di sekolah rendah, Alia kerap ditegur kerana sering mencuri waktu untuk menulis idea. Bila sudah ke sekolah menengah, ayah Alia memberikan alat perakam suara. Sekalipun sering disindir rakan-rakan kerana asyik bercakap dengan mesin, Alia tidak peduli. Yang penting, dia boleh meneruskan hobi menulis.

Daripada hobi, menulis kemudian bertukar menjadi sesuatu yang lebih serius. Keluarga Alia tidak pernah menghalang cita-citanya, malah memberi sokongan padu. Sebuah bilik khas disediakan demi memastikan Alia dapat menulis dengan selesa dan tanpa gangguan.

' Yang penting, niat kamu ikhlas dan pekerjaan kamu nanti halal,' pesan ayah Alia. Itulah kata-kata semangat yang dipegang hingga menyebabkan Alia mampu menjadi penulis amatur yang terkenal. Ketika tahun dua di universiti, Alia sudah mendapat tawaran untuk menyiapkan sebuah novel. Sayangnya, ayah meninggal dunia sebelum sempat melihat kejayaan Alia menerbitkan novel sulung.

Dan bermula daripada saat itulah bermulanya liku-liku dalam kehidupan Alia.

Berbekalkan kemahiran yang ada, Alia mula menulis di majalah-majalah dan kolum suratkhabar. Terjaga sedikit makan-minum keluarga ketika itu. Mujur sahaja ada duit pencen ayah, beban untuk menghabiskan pengajian tidak begitu menekan. Daripada segi kerja, Alia langsung tidak perlu risau. Tawaran datang mencurah-curah sehinggalah sampai satu tawaran daripada syarikat Bahrin.

Seorang rakan sekerja Alia menasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran yang satu itu. Itu menandakan bahawa bakatnya sudah dikesan dan diri Alia sedang diperhatikan. Sedikit-sebanyak kembang juga rasa hati. Siapa yang tidak seronok kalau jadi rebutan, bukan?

Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik sahaja surat tawaran daripada Bahrin sampai, syarikat lain semakin menjauhkan diri. Tawaran untuk artikel mula berkurangan membuatkan Alia berasa risau. Pada asalnya, Alia mahu tunggu dahulu sebelum membuat pilihan yang terbaik sementelah lagi masih ada satu lagi semester untuk disudahkan. Menyedari bahawa semakin kurang tawaran yang datang, ia sedikit-sebanyak menganggu Alia. Tidak senang duduk kerana tidak lagi menjadi kesayangan industri, dia  mula menggelabah. Mahu tidak mahu, tawaran Bahrin diterima.

Lega hati bila reaksi yang diberikan oleh syarikat Bahrin agak memberangsangkan. Cuma satu yang mendatangkan kerisauan pada Alia waktu itu; dia terasa dikongkong. Tiada lagi kebebasan untuk memilih topik atau isu yang menarik melalui penerbitan yang pelbagai. Apa sahaja isu yang dihulurkan oleh majikan, itulah yang perlu diselesaikan. Semua yang ideal tentang menjadi seorang penulis terpaksa diketepikan demi wang.

Bukanlah satu rahsia bahawa Bahrin sering memerhatikan pekerja perempuan yang baru. Lelaki; itu sahaja yang dapat dikatakan oleh Alia sambil tersenyum. Semua cakap-cakap bahawa dirinya sedang diperhatikan, ditolak ketepi kerana Alia mahu hubungan profesional sahaja. Apatah lagi bila Bahrin sendiri sudah cukup layak untuk dipanggil seorang bapa.

Daripada seorang majikan yang hanya memerhati di dalam pejabat, Bahrin mula bertindak lebih jauh. Alia mula diajak ke majlis-majlis pelancaran, tidak seperti pekerja yang lain. Ada sahaja alasan untuk bawa Alia keluar dan yang selalu dijadikan orang tengah pasti adalah Elle. Ke mana sahaja Alia ingin dibawa, Elle diwajibkan turut serta untuk mengaburi mata tuan punya badan. Malangnya, Alia bukan mudah untuk dipikat. Kemewahan masih belum cukup menawan, apatah lagi kalau ia datang daripada seorang lelaki tua.

Bahrin tidak tahu erti lelah. Pelbagai cara digunakan hinggalah satu malam bila Alia diumpan ke hotel. Itupun berlaku dengan cara yang cukup licik kerana Elle turut sama ditipu. Elle diarahkan untuk menelefon Alia, kononnya untuk perbincangan tergempar dengan seorang penerbit filem namun kemudian Bahrin sendiri menelefon setiausahanya untuk memberitahu perbincangan dibatalkan. Tinggallah Alia seorang berjalan ke dalam perangkap.

Peristiwa hitam itu seolah-olah baru sahaja terjadi. Sewaktu loceng dibunyikan, Bahrin yang membuka pintu. Alia langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan bahawa Elle dan penerbit filem sedang berbual di ruang sebelah. Bahrin terus menghilang ke dalam bilik air sebaik sahaja membenarkan Alia masuk dengan alasan perlu menukar baju. Tidak sempat untuk bertanyakan apa-apa, Alia cuma duduk menunggu sehingga Bahrin selesai. Tidak berani dia mahu menjenguk ke ruang sebelah mencari yang lain. Tidak sampai beberapa minit, terdengar ketukan di pintu.

Serba-salah, Alia terus mengetuk pintu bilik mandi. Tanpa segan silu, Bahrin keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala lalu membuka pintu. Terasa seperti langit jatuh menghempap kepala Alia bila dilihat beberapa orang lelaki berkopiah berdiri di depan pintu. Dia tahu apa yang bakal terjadi.

' Siapa lagi yang ada di dalam bilik ini?' Bahrin hanya tunduk, menggelengkan kepala. Alia tidak henti-henti bercakap, cuba memberitahu bahawa mereka tidak melakukan apa-apa. Namun, dia terdiam sebaik sahaja kelibat arwah Zainab, muncul di depan pintu.

Zainab hanya berdiri sahaja di depan pintu, memerhatikan Alia. Sekali-sekala, mata wanita yang kelihatan penat beralih memandang Razman. Sesungguhnya, itulah saat yang paling sukar untuk Alia; memerhatikan Zainab berdiri dengan wajah pucat, badan yang sedikit bongkok memandang dengan kecewa. Zainab sedang bertarung dengan kanser ketika itu. Bayangkan perasaan Alia terpaksa berdepan dengan situasi yang mana dia tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Sudahlah malu ditangkap dalam keadaan begitu, terpaksa berdepan dengan isteri majikan sendiri pula. Yang diharapkan adalah Bahrin boleh buka mulut dan membetulkan keadaan. Namun, hampa.

' Kenapa?' hanya itu yang keluar dari mulut Zainab. Mungkin ianya akan jadi lebih mudah kalau Zainab menjerit sahaja pada Alia dan Bahrin, caci maki mereka berdua. Alia tenggelam dalam perasaan bersalah dan rasa bodoh. Wajah Zainab bersilih ganti dengan wajah ibu yang sedang tersenyum. Bahrin pula mematikan diri di sebelah, masih lagi tidak berbaju. Entah apalah yang memberikan Alia kekuatan waktu itu untuk tidak pengsan,

Malam itu juga mereka dinikahkan, diuruskan oleh pakcik Alia yang juga walinya. Entah siapa yang dapat menelefon pakcik Alia, dia tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Membantah sudah tidak berguna kerana semuanya telah berlaku. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar daripada mulut Bahrin sepanjang malam, waima maaf sekalipun. Zainab pula hanya menangis sepanjang majlis, sama seperti Alia.

Entah bagaimana Alia dapat tidur malam itu pun dia tidak pasti. Bahrin, Zainab, Alia, Elle beserta keluarga pakcik Alia menetap di hotel yang sama. Mungkin kerana penat akibat menangis tidak henti, Alia tertidur tanpa menyedari pukul berapa Elle masuk ke bilik. Terlalu banyak yang difikirkan sepanjang peristiwa itu berlaku. Bagaimana untuk berhadapan dengan Bahrin yang hambir sebaya dengan pakcik Alia? Bagaimana dia perlu berdepan dengan Zainab? Di manakah dia mahu tinggal dan yang paling penting sekali, bagaimana untuk berhadapan dengan ibu?

Keesokan harinya, Alia dihantar oleh keluarga pakciknya untuk berjumpa dengan ibu. Ibu pengsan sebaik sahaja Alia memberitahu yang dia ditangkap dan sudah bernikah tanpa sempat Alia memberi penerangan lanjut. Tidak cukup dengan itu, ibu diserang sakit jantung pula sebaik sahaja sedar. Seminggu Alia tunggu ibu di hospital, ditemani oleh Omar yang datang sekali-sekala.

Pada hari ibu sepatutnya keluar dari hospital, Bahrin datang melawat. Sebaik sahaja melihat Bahrin, ibu diserang sakit jantung sekali lagi dan kali ini, Tuhan lebih sayangkan dia. Alia sudah tidak tahu untuk membezakan antara redha dan pasrah. Yang dia tahu, kini dia betul-betul sendiri.

Tanpa ibu, sudah tiada guna Alia duduk di kampung. Lagipun, takkanlah Alia mahu duduk kampung sedangkan tempatnya adalah dekat dengan suami. Alia cuba beberapa kali untuk berhadapan dengan Zainab selepas perkahwinan mereka. Namun, setiap kali mereka bertemu, Alia hanya mampu menangis. Semuanya hancur; hidup dan cita-citanya. Zainab turut sama menangis namun tidak dapat dipastikan mengapa. Hanya bila hampir ke hujung usia Zainab sahaja baru mereka dapat mesra sedikit.

Tidak sampai setahun selepas pernikahan Bahrin dan Alia, Zainab pula meninggal dunia. Kesihatan Zainab semakin merosot sejak perkahwinan suami sendiri apatah lagi bila dia mula menolak rawatan dan ubat. Alia terasa seperti dialah yang menjadi penyebab madunya meninggal dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang Bahrin dan Alia yang disiarkan di akhbar, belum lagi termasuk cerita-cerita di Internet. Yang lebih perit adalah apabila semakin ramai yang berminat untuk menggali cerita-cerita lama tentang Bahrin dan Zainab pula. Semuanya mahu jadi hakim tidak berbayar.

Mulanya Zainab cuba untuk mengurungkan diri di dalam rumah tetapi bukan mudah. Kawan-kawan dan saudara datang melawat bertanyakan kesihatan. Sekalipun mungkin tiada yang bertanya terus apa yang berlaku, pandangan mereka sudah cukup untuk membunuh baki semangat yang ada dalam diri Zainab. Sudahlah fizikal Zainab lemah, semangat untuk meneruskan hidup makin hilang disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak.

Memulakan kehidupan dengan lelaki tua itu adalah pengakhiran semuanya buat Alia. Hidup atau mati sudah tidak bawa beza lagi.

' Aku nak jadi penulis. Aku mahu mengembara seluruh dunia dan menulis tentang semua tenpat yang aku pernah jejakkan kaki.' Itu adalah salah satu janji yang dia tulis di dalam diari pada usia 14 tahun. Di dalam dapur yang gelap, Alia menangis sendiri mengingatkan janji yang tidak akan mampu untuk ditunaikan. Ada susuk tubuh yang menjengah daripada luar dapur tetapi dibiarkan sahaja oleh Alia.


Wednesday, October 01, 2014

Bukan Nama Sebenar: 19


Arman melihat skrin telefon untuk kali entah keberapa. Skrin telefon sebenarnya masih gelap sejak daripada beberapa puluh minit yang lalu. Gelap dan tidak bergerak, seolah-olah sama dengan apa yang sedang dihadapi sekarang. Semua yang berlaku bagaikan sebuah mimpi. Separuh daripada diri Arman percaya yang Bahrin akan menelefon bila-bila masa sahaja untuk memberikan arahan. Separuh yang lain pula tertawa nakal mengatakan yang itu tidak mungkin akan berlaku.

' Si tua itu sudah tiada. Semua sudah beres, syukur.'

Suara yang berbisik separa kejam itu seperti masih lagi terdengar berbisik di telinga. Entahlah, Arman sebenarnya keliru dengan perasaan sendiri. Dia juga tidak pasti kalau dia perlu berasa simpati terhadap arwah. Dia lebih daripada sedar bahawa Bahrin banyak membantu dia, malah sangat banyak sebenarnya. Kalau bukan kerana Bahrin mengutip dia dan diberikan tugas sebagai pemandu, mana mungkin dia hidup bebas sebegini. Si tua itulah yang memberikan dia peluang kedua untuk hidup di dalam masyarakat tanpa perlu menghiraukan padangan serong orang lain. Sebusuk-busuk Bahrin, ada juga kebaikan yang dikerjakan.

Atau mungkinkah kebaikan itu hanya ingin menutup niat sebenar mengapa Arman dibantu?

Telefon bergetar, mengejutkan Arman. Nama Elle terpapar di skrin. Mereka sebenarnya berjanji untuk bertemu hari ini.

' Aku dah sampai,' kedengaran suara Elle tegas dan talian terus dimatikan. Bila Arman angkat muka, kelihatan seorang wanita berseluar jeans dan berbaju T warna hitam sedang melangkah ke arahnya. Susuk tubuh yang mengenakan cermin mata hitam itu sangat kerap dilihat oleh Arman tetapi hari ini ada sesuatu yang berbeza. Langkah Elle kelihatan lebih 'ringan' malah postur tubuhnya tidak membongkok seperti selalu. Baru dua hari Bahrin pergi, sudah kelihatan perubahan yang jelas dalam diri pembantu peribadinya.

' Hey!' Elle menyapa. Tidak seperti selalu, kali ini Arman dapat lihat yang Elle tersenyum, sesuatu yang jarang sekali berlaku. Sebenarnya, Arman tidak ingat bila kali terakhir dia lihat Elle tersenyum ikhlas seperti sekarang.

Arman cuma tersenyum nipis sambil mengangkat tangan.

' Kau nak makan?' Elle bertanya lagi namun jelas sekali soalan itu tidak memerlukan jawapan kerana lehernya sudah panjang meninjau kedai makan yang berdekatan. ' Nak cuba yang itu?' Elle memuncungkan bibir ke satu sudut tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

Arman terpaku di tempat di mana dia sedang berdiri. Tidak, tidak boleh pergi ke tempat itu. Bahrin dan Alia kerap ke sana malah terlalu kerap. Dan Arman sendiri kerap masuk ke dalam kalau ada sebarang urusan. Risau kalau-kalau ada pekerja yang perasan kehadiran dia di situ. Pasti ada suara-suara di belakang yang berbisik, bercerita dan bergosip memandangkan kes ini masih panas lagi. Itu semua perhatian yang tidak diperlukan.

' Kita ke tempat lainlah. Boleh? Ada satu tempat aku selalu pergi,' Arman mengusulkan pada Elle yang sedang mengipas muka tanda panas. Kelakar pun ada, kasihan pun ada melihatkan wajah Elle yang merah akibat menahan panas.

' Boleh. Kau bawa?'

' Bagi kunci. Aku tak bawa kereta,' Arman menghulurkan tangan untuk menyambut kunci. Janggal rasanya berbual sebebas ini dengan Elle. Selama ini, setiap kali mereka ingin berbual mereka perlu pasang mata di belakang agar tidak tertangkap oleh Bahrin. Takut benar orang tua itu malah menjadi Bahrin kalau Elle jauh sedikit daripada dirinya. Seolah-olah lelaki itu takut kalau kedua-duanya berbual tentang sesuatu. Rahsia mungkin?

Arman sebenarnya tidak pernah sekalipun masuk ke dalam kereta Elle. Yang dia tahu, Elle memandu kereta Mazda bewarna putih. Seperti yang dilihat dari luar, ruang dalam kereta Elle kelihatan mewah. Memang selayaknya semua ini Elle nikmati melihatkan betapa gigihnya wanita itu bekerja.

' Ke mana kita?' Elle bersandar pada kerusi di bahagian penumpang namun nampak canggung. Seolah-olah tidak biasa menjadi penumpang.

' Pantai Dalam. Kita cuba nasi ayam Hainan. Kau pernah cuba?'

' Oh bukan ayam golek? Itu aku pernah makan,' jawab Elle, ada nada gembira di situ.

' Bukan. Yang itu dah biasa.'

' OK,' dan kedua-duanya senyap seketika. ' Polis dah panggil kau?' suara Elle memecah sunyi.

Serta-merta Arman menggenggam stereng dengan lebih kuat. Waktu itu juga jantung terasa bergerak laju. Diketapnya gigi sebelum menjawab ' Belum.'

' Mereka panggil aku semalam. Esok aku perlu pergi lagi,' Elle mengeluarkan telefon lalu memandang skrin.

' Pergi lagi? Kenapa?' sedangkan berjumpa dengan polis sekali pun sudah menyebabkan Arman keluar peluh jantan, ini pula hendak jumpa berkali-kali.

Elle mengeluh. Kuat.

' Buku nota. Buku itu dah hilang,' Elle berkata acuh tidak acuh.

' Buku nota?' Arman mahu kepastian. Takkanlah sampai ke buku nota sekali polis ingin selidik. Wah! Ini betul-betul kes profil tinggi.

Elle di sebelah tersenyum sambil memandang keluar tingkap. Petang-petang begini, Pantai Dalam sesak sedikit. Ramai yang keluar minum petang. Sebenarnya, kalau mahu diikutkan, bila sahaja kawasan ini tidak pernah sesak?

' Buku nota hitam yang dia selalu bawa, kau tahu bukan? Pagi tadi sahaja aku dapat tawaran sepuluh ribu ringgit untuk buku itu,' Elle memandang Arman kali ini.

' Sepuluh ribu?' Arman kagum. Memang dia sudah lama sedar akan kewujudan buku nota hitam milik Bahrin namun, tidak pernah pula terfikir akan ada orang yang mahu membuat tawaran sebegitu.

' Sepuluh? Sikit sangat. Jangan terkejut, Man. Semalam, ada orang sanggup bayar lima puluh ribu.'

' Hah?' Arman betul-betul terkejut. Elle gelak.

' Bahrin tulis semua idea yang terlintas di dalam kepala dia di dalam buku itu. Sekecil-kecil plot, seringkas-ringkas idea, semua ada dalam buku itu. Dan tengok sahajalah karya dia, semuanya meletup. Tak ada satu pun yang tak laku.'

'' Cuba kau ingat kembali macam mana Bahrin promosi buku nota itu. Jadi, kau bayangkan berapa ramai orang yang mahukan buku itu. Penulis dan syarikat penerbitan sama-sama berebut. Buku itu adalah lubuk emas. Kau ingat kes dua orang budak pelatih tahun lepas?'

Siapa boleh lupa tentang kes itu? Ada dua orang budak pelatih yang diambil tahun lepas oleh syarikat Bahrin. Kedua-duanya dilatih untuk menjadi penulis dan bakal diserapkan ke dalam syarikat sebagai penulis tetap. Namun, Bahrin hanya mahukan seorang sahaja. Sudah tentulah ia menjadi satu pertandingan untuk kedua-dua pelatih ini.

Kedua-dua pelatih baru diberikan peluang untuk memaparkan dua isu yang berbeza. Tiada sekatan untuk mereka mendekati isu yang diberikan maka berlari-larilah keduanya, berkejar untuk merujuk kepada para mentor mereka. Kedua-duanya mengalami tekanan yang hebat untuk membuat yang terbaik berdasarkan hadiah yang ditawarkan oleh Bahrin. Mereka ditawarkan untuk mengambil idea di dalam buku nota Bahrin sebagai idea untuk karya mereka pada masa akan datang. Idea daripada orang terkenal, siapa tidak mahu?

Seminggu selepas Bahrin mengumumkan syarat pengambilan, seorang pelatih didapati mati tergantung di kipas siling manakala seorang lagi mengalami gangguan mental. Tekanan yang dialami terlalu berat untuk kedua-duanya. Mungkin ada syarat lain yang dikenakan cuma tiada siapa yang berani untuk buka mulut. Semua mulut dipateri oleh perjanjian yang direka syarikat sebelum mereka menjadi pekerja Bahrin.

Itu hanya satu contoh. Banyak lagi kes yang berlaku melibatkan para pelatih malah pekerja tetap sendiri. Demi mendapatkan pengiktirafan atau ganjaran daripada pihak syarikat, ada sahaja yang sanggup menikam kawan dari belakang. Tidak kurang juga yang sanggup menggunakan cara kotor untuk dapat apa yang dijanjikan oleh Bahrin. Selalunya, umpan yang diberi oleh lelaki tua itu cukup mengiurkan. Licik, memang cukup licik.

Arman terdiam. Untung atas angin sahaja kalau dia boleh dapat buku itu. Mungkin dia tidak mampu menggunakan idea yang tersimpan tetapi boleh jadi broker idea.

' Omar pun mahukan buku itu. Ala, siapa tak mahu kan? Kalau aku pun, aku mahu juga,' Elle tergelak.

' Buku itu tiada pada kau?' Arman cuba memancing. Manalah tahu kalau ada rezeki.

Elle tersenyum penuh makna. ‘ Kalau ada pada aku, kau ingat aku nak beritahu pada kau?’

Diam.

' Jadi, macam mana kau buat?'

‘ Buat? Buat apa?’ Arman terpinga-pinga.

‘ Di tangga..’ ayat Elle tidak mampu disambungkan.

‘ Tangga apa pula?’ Arman masih tidak faham.

‘ Bahrin kan jatuh tangga…’ suara Elle seolah-olah hilang.

‘ Kau gila? Takkanlah aku nak bunuh orang tua itu?’ Arman terjerit sedikit. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum menyambung ayat sekalipun hati terasa panas. Cuba dicarinya alasan untuk memafkan pertanyaan Elle.

‘ Bukanlah aku tuduh kau.. tapi mungkin..’ Elle gagap. ‘ Entah. Kau dapat bantuan?’ muka Elle jelas pucat.

‘ Aku hantar Alia malam itu. Kalau tak percaya, kau boleh tanya Mak Jah. Takkan aku nak biarkan Alia seorang di luar? Mengamuk Bahrin nanti,’ Arman menghentikan kereta. ‘ Lagi satu, kenapa aku nak bunuh Bahrin? Aku belum hilang akal lagi. Senang sahaja polis tangkap kalau itu kerja aku.’


‘ Habis kalau bukan kau…?’ giliran Elle pula terdiam.