Wednesday, October 01, 2014

Bukan Nama Sebenar: 19


Arman melihat skrin telefon untuk kali entah keberapa. Skrin telefon sebenarnya masih gelap sejak daripada beberapa puluh minit yang lalu. Gelap dan tidak bergerak, seolah-olah sama dengan apa yang sedang dihadapi sekarang. Semua yang berlaku bagaikan sebuah mimpi. Separuh daripada diri Arman percaya yang Bahrin akan menelefon bila-bila masa sahaja untuk memberikan arahan. Separuh yang lain pula tertawa nakal mengatakan yang itu tidak mungkin akan berlaku.

' Si tua itu sudah tiada. Semua sudah beres, syukur.'

Suara yang berbisik separa kejam itu seperti masih lagi terdengar berbisik di telinga. Entahlah, Arman sebenarnya keliru dengan perasaan sendiri. Dia juga tidak pasti kalau dia perlu berasa simpati terhadap arwah. Dia lebih daripada sedar bahawa Bahrin banyak membantu dia, malah sangat banyak sebenarnya. Kalau bukan kerana Bahrin mengutip dia dan diberikan tugas sebagai pemandu, mana mungkin dia hidup bebas sebegini. Si tua itulah yang memberikan dia peluang kedua untuk hidup di dalam masyarakat tanpa perlu menghiraukan padangan serong orang lain. Sebusuk-busuk Bahrin, ada juga kebaikan yang dikerjakan.

Atau mungkinkah kebaikan itu hanya ingin menutup niat sebenar mengapa Arman dibantu?

Telefon bergetar, mengejutkan Arman. Nama Elle terpapar di skrin. Mereka sebenarnya berjanji untuk bertemu hari ini.

' Aku dah sampai,' kedengaran suara Elle tegas dan talian terus dimatikan. Bila Arman angkat muka, kelihatan seorang wanita berseluar jeans dan berbaju T warna hitam sedang melangkah ke arahnya. Susuk tubuh yang mengenakan cermin mata hitam itu sangat kerap dilihat oleh Arman tetapi hari ini ada sesuatu yang berbeza. Langkah Elle kelihatan lebih 'ringan' malah postur tubuhnya tidak membongkok seperti selalu. Baru dua hari Bahrin pergi, sudah kelihatan perubahan yang jelas dalam diri pembantu peribadinya.

' Hey!' Elle menyapa. Tidak seperti selalu, kali ini Arman dapat lihat yang Elle tersenyum, sesuatu yang jarang sekali berlaku. Sebenarnya, Arman tidak ingat bila kali terakhir dia lihat Elle tersenyum ikhlas seperti sekarang.

Arman cuma tersenyum nipis sambil mengangkat tangan.

' Kau nak makan?' Elle bertanya lagi namun jelas sekali soalan itu tidak memerlukan jawapan kerana lehernya sudah panjang meninjau kedai makan yang berdekatan. ' Nak cuba yang itu?' Elle memuncungkan bibir ke satu sudut tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

Arman terpaku di tempat di mana dia sedang berdiri. Tidak, tidak boleh pergi ke tempat itu. Bahrin dan Alia kerap ke sana malah terlalu kerap. Dan Arman sendiri kerap masuk ke dalam kalau ada sebarang urusan. Risau kalau-kalau ada pekerja yang perasan kehadiran dia di situ. Pasti ada suara-suara di belakang yang berbisik, bercerita dan bergosip memandangkan kes ini masih panas lagi. Itu semua perhatian yang tidak diperlukan.

' Kita ke tempat lainlah. Boleh? Ada satu tempat aku selalu pergi,' Arman mengusulkan pada Elle yang sedang mengipas muka tanda panas. Kelakar pun ada, kasihan pun ada melihatkan wajah Elle yang merah akibat menahan panas.

' Boleh. Kau bawa?'

' Bagi kunci. Aku tak bawa kereta,' Arman menghulurkan tangan untuk menyambut kunci. Janggal rasanya berbual sebebas ini dengan Elle. Selama ini, setiap kali mereka ingin berbual mereka perlu pasang mata di belakang agar tidak tertangkap oleh Bahrin. Takut benar orang tua itu malah menjadi Bahrin kalau Elle jauh sedikit daripada dirinya. Seolah-olah lelaki itu takut kalau kedua-duanya berbual tentang sesuatu. Rahsia mungkin?

Arman sebenarnya tidak pernah sekalipun masuk ke dalam kereta Elle. Yang dia tahu, Elle memandu kereta Mazda bewarna putih. Seperti yang dilihat dari luar, ruang dalam kereta Elle kelihatan mewah. Memang selayaknya semua ini Elle nikmati melihatkan betapa gigihnya wanita itu bekerja.

' Ke mana kita?' Elle bersandar pada kerusi di bahagian penumpang namun nampak canggung. Seolah-olah tidak biasa menjadi penumpang.

' Pantai Dalam. Kita cuba nasi ayam Hainan. Kau pernah cuba?'

' Oh bukan ayam golek? Itu aku pernah makan,' jawab Elle, ada nada gembira di situ.

' Bukan. Yang itu dah biasa.'

' OK,' dan kedua-duanya senyap seketika. ' Polis dah panggil kau?' suara Elle memecah sunyi.

Serta-merta Arman menggenggam stereng dengan lebih kuat. Waktu itu juga jantung terasa bergerak laju. Diketapnya gigi sebelum menjawab ' Belum.'

' Mereka panggil aku semalam. Esok aku perlu pergi lagi,' Elle mengeluarkan telefon lalu memandang skrin.

' Pergi lagi? Kenapa?' sedangkan berjumpa dengan polis sekali pun sudah menyebabkan Arman keluar peluh jantan, ini pula hendak jumpa berkali-kali.

Elle mengeluh. Kuat.

' Buku nota. Buku itu dah hilang,' Elle berkata acuh tidak acuh.

' Buku nota?' Arman mahu kepastian. Takkanlah sampai ke buku nota sekali polis ingin selidik. Wah! Ini betul-betul kes profil tinggi.

Elle di sebelah tersenyum sambil memandang keluar tingkap. Petang-petang begini, Pantai Dalam sesak sedikit. Ramai yang keluar minum petang. Sebenarnya, kalau mahu diikutkan, bila sahaja kawasan ini tidak pernah sesak?

' Buku nota hitam yang dia selalu bawa, kau tahu bukan? Pagi tadi sahaja aku dapat tawaran sepuluh ribu ringgit untuk buku itu,' Elle memandang Arman kali ini.

' Sepuluh ribu?' Arman kagum. Memang dia sudah lama sedar akan kewujudan buku nota hitam milik Bahrin namun, tidak pernah pula terfikir akan ada orang yang mahu membuat tawaran sebegitu.

' Sepuluh? Sikit sangat. Jangan terkejut, Man. Semalam, ada orang sanggup bayar lima puluh ribu.'

' Hah?' Arman betul-betul terkejut. Elle gelak.

' Bahrin tulis semua idea yang terlintas di dalam kepala dia di dalam buku itu. Sekecil-kecil plot, seringkas-ringkas idea, semua ada dalam buku itu. Dan tengok sahajalah karya dia, semuanya meletup. Tak ada satu pun yang tak laku.'

'' Cuba kau ingat kembali macam mana Bahrin promosi buku nota itu. Jadi, kau bayangkan berapa ramai orang yang mahukan buku itu. Penulis dan syarikat penerbitan sama-sama berebut. Buku itu adalah lubuk emas. Kau ingat kes dua orang budak pelatih tahun lepas?'

Siapa boleh lupa tentang kes itu? Ada dua orang budak pelatih yang diambil tahun lepas oleh syarikat Bahrin. Kedua-duanya dilatih untuk menjadi penulis dan bakal diserapkan ke dalam syarikat sebagai penulis tetap. Namun, Bahrin hanya mahukan seorang sahaja. Sudah tentulah ia menjadi satu pertandingan untuk kedua-dua pelatih ini.

Kedua-dua pelatih baru diberikan peluang untuk memaparkan dua isu yang berbeza. Tiada sekatan untuk mereka mendekati isu yang diberikan maka berlari-larilah keduanya, berkejar untuk merujuk kepada para mentor mereka. Kedua-duanya mengalami tekanan yang hebat untuk membuat yang terbaik berdasarkan hadiah yang ditawarkan oleh Bahrin. Mereka ditawarkan untuk mengambil idea di dalam buku nota Bahrin sebagai idea untuk karya mereka pada masa akan datang. Idea daripada orang terkenal, siapa tidak mahu?

Seminggu selepas Bahrin mengumumkan syarat pengambilan, seorang pelatih didapati mati tergantung di kipas siling manakala seorang lagi mengalami gangguan mental. Tekanan yang dialami terlalu berat untuk kedua-duanya. Mungkin ada syarat lain yang dikenakan cuma tiada siapa yang berani untuk buka mulut. Semua mulut dipateri oleh perjanjian yang direka syarikat sebelum mereka menjadi pekerja Bahrin.

Itu hanya satu contoh. Banyak lagi kes yang berlaku melibatkan para pelatih malah pekerja tetap sendiri. Demi mendapatkan pengiktirafan atau ganjaran daripada pihak syarikat, ada sahaja yang sanggup menikam kawan dari belakang. Tidak kurang juga yang sanggup menggunakan cara kotor untuk dapat apa yang dijanjikan oleh Bahrin. Selalunya, umpan yang diberi oleh lelaki tua itu cukup mengiurkan. Licik, memang cukup licik.

Arman terdiam. Untung atas angin sahaja kalau dia boleh dapat buku itu. Mungkin dia tidak mampu menggunakan idea yang tersimpan tetapi boleh jadi broker idea.

' Omar pun mahukan buku itu. Ala, siapa tak mahu kan? Kalau aku pun, aku mahu juga,' Elle tergelak.

' Buku itu tiada pada kau?' Arman cuba memancing. Manalah tahu kalau ada rezeki.

Elle tersenyum penuh makna. ‘ Kalau ada pada aku, kau ingat aku nak beritahu pada kau?’

Diam.

' Jadi, macam mana kau buat?'

‘ Buat? Buat apa?’ Arman terpinga-pinga.

‘ Di tangga..’ ayat Elle tidak mampu disambungkan.

‘ Tangga apa pula?’ Arman masih tidak faham.

‘ Bahrin kan jatuh tangga…’ suara Elle seolah-olah hilang.

‘ Kau gila? Takkanlah aku nak bunuh orang tua itu?’ Arman terjerit sedikit. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum menyambung ayat sekalipun hati terasa panas. Cuba dicarinya alasan untuk memafkan pertanyaan Elle.

‘ Bukanlah aku tuduh kau.. tapi mungkin..’ Elle gagap. ‘ Entah. Kau dapat bantuan?’ muka Elle jelas pucat.

‘ Aku hantar Alia malam itu. Kalau tak percaya, kau boleh tanya Mak Jah. Takkan aku nak biarkan Alia seorang di luar? Mengamuk Bahrin nanti,’ Arman menghentikan kereta. ‘ Lagi satu, kenapa aku nak bunuh Bahrin? Aku belum hilang akal lagi. Senang sahaja polis tangkap kalau itu kerja aku.’


‘ Habis kalau bukan kau…?’ giliran Elle pula terdiam. 

No comments: