Monday, July 14, 2014

Selendang 2 Meter

' Dua meter?' mulut Sarah sudah terlopong. Bulat. Rasa ringan betul tangan Alia mahu tampar rakan serumahnya itu namun dibiarkan sahaja. Dia ada misi yang lebih penting. Selendang di kepala warna merah jingga dan biru air laut perlu dililit dengan teliti.

' Panjangnya...' Sarah sudah separa berbaring di atas katil alia. Perlukah diberi sedikit pengenalan bahawa Sarah dan Alia merupakan rakan sejak sekolah menengah dan kini sudah menginjak alam pengajian tinggi? Mungkin tidak begitu relevan.

Sarah memerhati setiap gerak geri Alia dengan sungguh-sungguh. Alia pula kusyuk melilitkan selendang; sekejap ditarik ke kiri, sekejap pula ke kanan. Sesekali Alia akan ternganga untuk memastikan selendang sedang elok dengan wajahnya.

' Jom!,' Alia mengenakan jarum peniti sebagai melengkapkan pemakaian selendang.

' Eh sekejapnya?' Sarah seakan tersedar daripada lamunan.

' Dah tu, nak suruh aku pakai berapa lama?'

' Yelah, 2 meter kot. Tak sangka boleh siap cepat,' Sarah bangkit membetulkan tudung bawal berwarna jingga yang dikenakan dengan kemeja putih.

' Mesti belajar dari tutorial Youtube, kan?' Sarah meneka.

Alia berpaling mengadap Sarah sambil tersenyum sinis. ' Kau bergurau ke apa? Kat universiti pun susah nak siapkan tutorial, ini pula nak harapkan aku tengok tutorial kat Youtube.'

' Baiklah..' Sarah bangkit dari katil. ' Jomlah.'

Wednesday, July 09, 2014

Kalau saya sudah mahu berhenti kerja, kamu itu bagaimana?

' Dah?'

Alia yang terpaku di depan skrin cuma mampu mengangkat kepala dengan mimik muka lesu.

' Belum.'

Ada keluh yang sengaja ditinggalkan. Biarlah, tidak perlu terlalu dramatik.

Farah menggelengkan kepala.

' Esok awak dah nak berhenti. Bila lagi?'

Alia cuma mampu memandang sayu wajah Farah.

' Tak payah buat muka sedih sangat boleh tak?'

Alia terus sembamkan muka ke tangan yang disilangkan di depan skrin.

' Kalau tak comel, takdelah kita sedih sangat,' Alia mengeluh.

' Dah tu, awak nak pergi ketuk pintu pejabat dia?' Farah mengusulkan.

' Tak mau!' suara Alia kedengaran sayup kerana kepalanya masih ditekupkan ke atas meja.

' Call nombor pejabat dia?'

' Tak mau!' kali ini, Alia angkat kepala sambil mencapai coklat di atas meja.

' Dah tu?' Farah mengekori Alia yang berjalan lambat-lambat ke pantri.

' Urmm..tah. Biarlah. KL ni kecik je. Kalau jumpa, jumpalah.'

Hebat sungguh, Alia. Hebat kerana dapat menipu diri sendiri yang sedang teruk kecewa.

Sunday, July 06, 2014

Satu nyamuk dalam kelambu

Kalau kau dengar bunyi seseorang mengerang 'Panas..Panas' ketahuilah bahawa itu bukan suara entiti halus yang terperangkap dalam tubuh manusia lalu dihalau oleh bomoh.

Bukan.

Cuaca ini panas menyengat. Kadang-kadang aku sendiri berhalusinasi akan Banjaran Rocky ketika berjalan pulang dari pejabat menuju ke stesen Putra.

' Bos! Kopi ais satu!' aku cuma melaung dari tempat duduk. Kegemaran akan kopi juga tidak membantu dalam cuaca begini. Sudahlah hangat, ditambah pula dengan minuman yang jatuh dalam kategori 'panas'.

Mujur aku sendiri. Mengepakkan kedua belah lengan untuk membiarkan angin terus celus di celah ketiak dengan senggang, hanya menganggu hidung sendiri, bukan teman yang ada di sisi. Sedang aku biarkan angin mencecah wajah (sekaligus merempuh batang hidungku yang tidak berciri aerodinamik), pandangan aku jatuh pada seorang gadis bertudung merah. Aliran darah tiba-tiba berkumpul lalu menuju ke satu tempat. Sebagai seorang lelaki, dengan pantas aku mula terbayang imej yang bukan-bukan.

Gadis bertudung merah sedang leka berdiri di kaunter di sebelah rakannya, seorang gadis berkaca mata. Entah, aku tidak peduli akan rakannya. Gadis bertudung merah itu yang penting.

Ah, kopi ais aku belum tiba. Kacau.

' Bos! Ini duit!', buru-buru aku tinggalkan duit di atas meja. Untuk kali pertama dalam jangkamasa yang cukup lama, aku bertemu dengan satu nyamuk dalam kelambu.

Jauh aku kejar gadis bertudung merah yang menganggu aku. Macam dalam filem tetapi aku sudah tidak sanggup lagi membiarkan peluang lepas begitu sahaja.

Satu nyamuk dalam kelambu. Selamat menggangu hidupku.