Saturday, May 17, 2014

Bukan Nama Sebenar: 17

Pertemuan pertama Alia dan Arman sebenarnya tidak ubah seperti cerekarama. Mereka berdua bergegas naik ke pejabat sebelum Alia terlanggar Arman yang sedang membawa beg. Kedua-duanya tunduk untuk mengambil beg di lantai sebelum terhantuk kepala dan berlumba-lumba untuk minta maaf. Waktu itu, Alia masih lagi seorang pelajar dan Arman baru setahun lebih bekerja dengan Bahrin.

“ Maaf, saya tak nampak awak,” Alia meminta maaf sambil mengusap kepala.

“ Saya yang tak nampak awak,” Arman pula meminta maaf tetapi didiamkan sahaja sakit yang terasa. Kranium wanita ini dibuat daripada titanium agaknya. Boleh tahan berdengung kepala.

Alia cuma tersipu dan Arman pula minta diri untuk ke pejabat.

Arman tidak pernah melupakan kejadian itu. Itulah satu-satunya detik manis yang dialami sewaktu bekerja dengan Bahrin. Setiap hari dia berdoa akan terserempak dengan gadis itu lagi namun hampa. Hendak bertanya kepada orang di dalam pejabat itu, malu pula. Lagipun, Arman sedar dia siapa, mana letak duduknya. Hanya layak jadi pemuja dari jauh sahaja.

Selang sebulan, gadis itu kelihatan lagi di kawasan pejabat. Waktu itu, Arman sedang duduk minum di kedai makan berdekatan pejabat, menunggu majikan yang mungkin mahu pulang atau mahu ke mana-mana majlis. Hampir sahaja dia tersedak bila nampak Alia turun dari teksi, rambut mengerbang ditiup angin.

Sekalipun bihun soto masih bersisa di dalam mangkuk, Arman cepat-cepat berlari ke tingkat atas semata-mata untuk melihat gadis idaman hati. Hampir sahaja dia terlanggar makcik yang sering bancuh kopi hingga melatah orang tua itu.

“ Maaf, Kak Mah!”

“ Kelam-kabut ini mahu ke mana saja ni Arman?”

Pertanyaan itu hanya dibiarkan tidak berjawab. Arman cepat-cepat menuju ke ruang pantri, pura-pura membaca suratkhabar. Dari ruang pantri, boleh dia jenguk kawasan sekeliling pejabat. Mana tahu kalau boleh nampak si dia lagi.

Sekejap-sekejap Arman curi menjenguk di sebalik suratkhabar yang sedang dibaca. Niat di hati hendak tegur si cantik berbaju merah itu, kalau bolehlah. Kalau tidak dapat, tengok pun jadilah.

“ Ha? Terhendap-hendap cari siapa?” tiba-tiba Elle masuk ke dalam pantri bersama dua buah gelas. Arman cuma tersengih. “ Orang tanya jawablah, bukan sengih,” Elle menyergah.

“ Mana ada cari siapa-siapa. Aku sedang baca suratkhabar,” ujar Arman sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“ Sejak bila pula kau rajin baca suratkhabar di sini? Selalunya di depan. Kau jangan nak tipu aku,” Elle bersuara dengan nada yang sengaja dikeraskan.

Arman tersengih lagi sambil matanya masih lagi curi-curi pandang ke luar. “ Ish! Susah betullah nak cakap dengan kau. Dahlah, Tuan Besar kau tengah jual minyak.”

Jual minyak? Siapa pula kali ini?

Jantung Arman terasa ingin gugur. Siapa pula yang bakal jadi mangsa si tua itu? Tidak padan dengan usia yang semakin berlari ke arah kubur, ada hati lagi nak menggatal. Yang menyebabkan Arman makin sakit hati bila bakal mangsa Bahrin semuanya masih muda dan bergetah. Dia yang muda dan masih kacak pula masih belum laku-laku lagi. Ah, apa yang misteri sangat? Semuanya kerana kocek Arman yang nipis.

Susah juga kalau tidak bekerja di dalam pejabat ini, bagaimana mahu korek gosip? Kalau tiba-tiba bertanya pada Elle, nanti kene sergah pula, dituduh penyibuk.

Sedang Arman sibuk berperang dengan perasaan sendiri, terdengar suara Elle bercakap dengan seseorang. Sempat dikerling Arman siapa teman berbicara Elle yang baru sahaja keluar dari bilik. Si baju merah!

“ Nanti I akan hantar surat tawaran pada Alia. Kalau ada apa-apa, Alia telefon nombor ini,” Elle kelihatan seperti ingin menghantar Alia ke muka pintu pejabat. Ini sudah kira bagus. Ada peluang untuk jumpa si manis kalau betul dia mahu bekerja di sini.

“ Jumpa lagi!” Elle mengucapkan selamat tinggal pada gadis bernama Alia itu. Cepat-cepat Arman kembali masuk ke dalam pantri kerana tidak mahu dikesan oleh Elle.

Hari pertama Alia bekerja di situ merupakan hari yang cukup gembira buat Arman. Sekalipun tidak pernah terlibat bila pekerja baru diperkenalkan, Arman tetap gembira. Ada satu perasaan yang cukup tenang menyelinap dalam hati tiap kali memandang Alia. Pastinya, memandang secara curi-curi.

Maka, sudah semestinya Arman menjadi salah satu hati yang cukup robek bila Alia menjadi isteri nombor dua Bahrin. Bertambah sakit lagi hati Arman kerana dia yang bertanggungjawab menghantar Alia ke mulut harimau pada malam itu. Manalah dia tahu yang si tua kutuk itu mahu perangkap Alia kerana memang benar dia ada terdengar Elle memberitahu Bahrin tentang temujanji yang bakal berlaku di hotel pada malam durjana itu. Dan, tiada siapa yang memaklumkan bahawa temujanji itu sebenarnya sudah dibatalkan. Elle memandu sendiri maka mereka berdua tidak bertemu untuk bertukar berita. Bahrin pula duduk di hotel maka berita tentang pertemuan yang tidak jadi langsung tidak diketahui oleh Arman. Dia yang tidak tahu apa-apa kemudiannya diarahkan untuk menjemput Alia dari stesen bas ke hotel.

Waktu Alia menangis teresak-esak kerana terpaksa dinikahkan pada Bahrin, hati Arman turut sama disiat-siat. Apalah dosa gadis ini hingga diperangkap sebegini rupa? Sudah selalu sangat sebenarnya dia jadi saksi akan sifat hidung belang Bahrin tetapi kali ini benar-benar melampau. Sudahlah Alia diperangkap sewaktu menerima kerja di syarikat lelaki itu, ditambah pula dengan taktik keji sebegini.

Masih teringat-ingat akan sikap lemah lembut Alia di pejabat. Bukan itu sahaja, kadang-kadang Elle turut memuji Alia sewaktu duduk menghisap rokok dengan Arman. Bertanggungjawab pada keluarga dan kerja, itu komen Elle untuk gadis itu. Malah, Alia tidak sombong langsung dengan kakitangan sokongan. Kadang-kala ada juga mereka berbual tetapi Alia nampaknya cuba membatas pergaulan dengan Arman. Sebenarnya, bukan dengan Arman sahaja, malah dengan semua kakitangan lelaki di dalam syarikat. Susah mahu cari perempuan cantik yang sopan begitu.

Berkali-kali hati Arman terhiris melihatkan kehidupan Alia dihancurkan Bahrin. Bayangkan pula perasaan Arman bila Alia dimaki hamun di dalam kereta. Bahrin dengan sesuka hati akan menggelar Alia dengan panggilan “betina”. Entah apalah yang difikirkan oleh si tua itu, Arman tidak mengerti. Bukan sekali dua Alia menangis di dalam kereta, banyak kali. Namun, apalah yang mampu Arman lakukan. Mahu menyebelahi Alia, takut-takut kalau si tua itu buka cerita pada semua orang. Kalau dibiarkan sahaja wanita itu dilayan macam kain buruk, kasihan pula rasanya. Akhirnya, Arman sendiri yang tersepit.

Dalam takut-takut, Arman tolong juga Alia. Ada sekali dua Alia terlepas juga bercerita pada Arman bahawa dia sangat ingin menulis kembali.

“ Itu cinta pertama saya,” Alia bersuara dari tempat duduk belakang kereta. Mereka sedang menuju ke sebuah hotel untuk menghadiri seorang majlis perniagaan salah seorang rakan perniagaan Bahrin. “ Kalau saya tak menulis, rasa macam tak boleh tidur. Rasa macam semua cerita dalam kepala saya membuatkan otak saya sesak. Awak faham kan apa saya cakap?”

“ Apalah yang saya faham? Saya bukan penulis,” Arman yang duduk di depan ketawa kecil. Kadang-kadang, perangai Alia boleh tahan comel.

“ Kenapa puan tak teruskan?” Arman bertanya sambil memusing stereng. Panggilan “Puan” untuk wanita yang duduk di bahagian belakang kereta terasa tersengkang di kerongkong.

Alia ketawa kecil. Dari cermin, Arman dapat melihat Alia sedang menggeleng kepala. “ Dia tak akan benarkan. Dia haramkan saya menulis lagi.”

‘Dia’ itu pasti merujuk kepada Bahrin. Siapa lagi yang mempunyai perangai serupa pemerintah kuku besi?

“ Maksud puan?” kali ini panggilan “puan” itu seolah-olah tidak mahu keluar dari kerongkong tetapi dipaksa juga.

“ Dia rampas komputer saya. Tablet saya pun dia turut rampas. Buku nota saya pun dia ambil,” Alia tertawa lagi. Di hujung ketawa, nampak Alia mengesat air mata. Hilaian tawa terus bertukar kepada tangisan.

Hiba jadinya hati Arman. Faham benar akan apa yang dialami oleh Alia kerana itu jugalah yang terjadi pada dirinya.

“ Puan?” Arman memanggil sambil menjeling pada cermin pandang belakang.

“ Ya,” sedih bunyi sahutan Alia.

“ Kalau puan mahu terus menulis, saya ada idea.”

Penumpang di belakang diam, tidak menyahut. “ Macam mana?” ada rasa ingin tahu bercampur dengan takut-takut di dalam soalan yang diutarakan. Armanlah yang memberi cadangan supaya Alia keluar dari rumah itu untuk menulis. Dia sanggup membawa Alia ke tempat yang sesuai untuk menulis malah berjanji akan menyimpan buku nota Alia.

“ Puan pakai telefon apa?” tanya Arman, tiba-tiba teringatkan sesuatu. “ Telefon pintar?”

“ Ya,” jawab Alia sambil membelek telefon yang baru sahaja dikeluarkan dari beg tangan.

“ Saya pasti puan boleh gunakan telefon itu untuk menulis, kan?” Diam. Tiada balasan.

“ Betul juga cakap awak. Kenapa saya tak terfikir, ya?”

Arman tersenyum. Kalaulah Alia tahu apa yang dia sanggup lakukan untuk perempuan itu...

“ Tapi Arman, saya ambil tawaran awak untuk simpankan nota saya. Boleh? Saya lebih selesa menulis.”

“Ehem.”

Suara yang berdehem membawa Arman kembali ke masa kini.

“ Jadi, kamu sentiasa teman Puan Alia ke restoran tersebut?” penyiasat yang duduk di depan Arman mula bangun. Antara mimik muka serius terselit riak wajah bosan.

“ Bukan teman. Lebih kepada menghantar Puan Alia ke sana,” teman itu terlalu mesra. Kalaulah boleh semesra itu dengan Alia...

“ Ada apa-apa lagi?” lelaki berkemaja putih bersih di depan Arman bertanya lagi.

Pandangan Arman diangkat mengadap wajah lelaki itu. Kosong.

“ Tak mengapa. Kalau ada apa-apa lagi, awak boleh beritahu kami.”


Aidid yang sedang memerhati di sebalik cermin menggigit jari. Kalau saja dia mampu cari keberanian untuk berdepan dengan lelaki di sebalik kaca.

Wednesday, May 14, 2014

Bukan Nama Sebenar: 16

Arif memegang tangan anaknya yang sedang terbaring di atas katil. Pembedahan pemindahan jantung Daria sudah pun berjaya. Terasa lega sangat waktu ini. Beban yang dipikul bertahun-tahun di atas bahu seakan-akan sudah terbang menghilang.

Alangkah indahnya jika hari ini isteri Arif masih ada di sisi mereka. Seperti masih terdengar suara arwah isterinya berdoa di tengah malam, memohon untuk kesejahteraan dan kesihatan anak mereka. Masih terlihat wajah arwah isterinya yang penat dan pucat menunggu anak mereka yang bernama Daria di hospital.

Bunyi mesin yang berdetik perlahan memberi satu ketenangan pada Arif. Tenang kerana itu bermaksud Daria masih hidup. Malah, bunyi mesin itu bagaikan dentingan harapan untuk mereka berdua meneruskan kehidupan selepas ini. Ia seakan memberi satu harapan untuk kehidupan yang lebih bahagia untuk mereka sekeluarga, biarpun sekarang hanya tinggal mereka berdua. Bertahun lamanya mereka sekeluarga menderita hanya disebabkan Arif terpaksa menggadai seluruh kehidupan demi wang. Harapan Arif cuma satu; dia tidak mahu lagi terlepas peluang untuk bersama-sama meneman Daria selepas ini.

Wang mungkin boleh beli segala-galanya tetapi tidak Daria.

Arif mencapai tangan anaknya yang sedang terbaring di atas katil. Hanya Tuhan yang tahu debar di hati sepanjang pembedahan berlangsung. Tidak tenang dibuatnya; sekejap bangun sekejap duduk. Syukur, semuanya sudah selesai. Harapan Arif besar sekali; Tuhan tolonglah jangan ada lagi komplikasi selepas ini. Cukuplah anak gadisnya menderita daripada usia kecil hingga sekarang.

Bertahun-tahun hidup ditentukan oleh buku cek orang lain, biarlah kali ini dia berpeluang untuk jadi diri sendiri. Bukan nama yang dikejar tetapi keselesaan untuk keluarga sendiri. Sudah cukup lama rasanya dia jadi hamba pada seseorang yang pernah dianggap seperti saudara sendiri. Bekerja ibarat pengemis, dipaksa memerah otak dan kemudiannya diberikan hasil yang tidak setimpal.

Apa yang mampu didoakan waktu ini biarlah semuanya jadi lebih mudah. Dia akan pastikan bahawa semua titik peluhnya sekurang-kurangnya kena pada harga. Tidak sanggup rasanya melihat semua titik peluh jadi bahan kesenangan orang lain. Berpuluh tahun duduk di meja, berhempas-pulas hanya untuk melihat nama orang lain di skrin dan kulit buku.

Bahrin, siapa sangka hari yang ditunggu tiba juga?

“ Arghh..” Arif terjaga dari lamunan bila terdengar suara anaknya mengerang.

Jangan kau risau, anakku. Ayah ada di sini. Ayah akan sentiasa ada di sini mulai sekarang.

“ Daria, mahu apa nak?” Arif gagahkan diri yang sudah tidak tidur semalaman untuk melayan Daria.

“ Air, ayah,” suara Daria kedengaran perlahan.


“ Ya, ya,” Arif mengangguk sambil bingkas berjalan ke arah meja untuk menuang air. Sengaja dia berdiri untuk bangun kerana tidak sanggup rasanya membiarkan Daria melihat air mata di pipi. Tangisan kegembiraan yang mungkin akan disalah erti. 

Saturday, May 10, 2014

Bukan Nama Sebenar: 15

              Dari kejauhan, rumah teres setingkat milik Arman kelihatan seolah-olah memanggil. Tiada apa yang istimewa sebenarnya pada rumah itu. Ia cuma sebuah persinggahan yang kemas, sunyi dan kebanyakan masa terbiar kosong. Tiada apa yang ditanam di laman rumah, hanya rumput yang dijaga dengan kemas. Lagipun, kalau dihias dengan bunga, siapa yang hendak jaga kalau tuan rumah tiada? Sudahlah kerjaya Arman menuntut untuk dia berada di luar kebanyakan masa.

Rumah itu terlalu besar untuk seorang lelaki bujang sebenarnya. Sudahlah duduk seorang, ruang pula terlalu banyak yang kosong. Perabot di dalam rumah juga boleh dikira dengan jari. Set sofa, meja makan duduk empat orang dan katil. Yang lain-lain cuma beberapa keping gambar. Untuk sebuah rumah yang mempunyai empat bilik, membazir juga kalau cuma tinggal sendiri. Namun, inilah peninggalan arwah datuk Arman. Bukan tidak boleh disewakan tetapi Arman memilih untuk tinggal sendiri. Biarlah sunyi asalkan tidak semak melayan kerenah orang. Lagipun sudah puas hidup di dalam ruang sempit sewaktu kecil. Kalau berasa bosan di rumah ini, boleh juga kemaskan laman misalnya. Tidaklah teruk sangat sebenarnya. Kalau diikutkan pada pekerjaan Arman, memang dia tidak akan mampu memiliki rumah sebesar itu. Mahu menyewa bilik pun tidak mampu rasanya tetapi biarlah. Pernah juga Bahrin menawarkan untuk tinggal bersama tetapi terima kasih sahajalah. Tidak sanggup rasanya mahu tinggal serumah bersama majikan.

Dulu, salah sebuah bilik di dalam rumah ini pernah disewakan kepada seorang pelajar. Namun, setelah pelajar berkenaan berpindah, Arman rasa biarlah dia duduk seorang. Cukuplah sekali dia terpaksa melayan kerenah orang yang kadang-kadang bertanya itu ini tentang dirinya. Sudahlah serabut dan penat selepas pulang daripada bekerja, terpaksa pula menjawab soalan yang cacamarba. Melayan Bahrin sudah satu hal, bila di rumah terpaksa pula melayan orang lain sewaktu ingin berehat. Dua tahun juga pelajar itu tinggal di situ. Walaupun pelajar itu cuma sekali-sekala berbual dengan Arman, dia tidak mahu lagi mengambil risiko melayan entah siapa-siapa yang ingin tahu tentang macam-macam. Cukuplah sekali.

Bunyi pintu berkeriut perlahan bila ditolak. Terasa tapak kaki bergeser dengan permukaan lantai yang berpasir, entah bila kali terakhir Arman menyapu lantai dia kurang pasti. Sibuk berlari ke sana ke mari hingga pulang hanya untuk berehat. Ingatkan waktu Bahrin masih hidup sahaja dia akan sibuk berkejar ke sana ke mari, waktu sudah tiada pun sibuk juga. Memang orang tua itu hebat. Sudah tiada pun mampu buat hidup orang kacau-bilau.

“ Bahrin,” Arman menyebut nama lelaki itu perlahan tanpa sedar.

Seperti dalam cerita novel yang biasa, tidak salah rasanya untuk mengatakan bahawa takdir menemukan mereka berdua. Takdir yang hampir-hampir membuatkan hidup Arman musnah tetapi dalam situasi itu, duit lebih berkuasa daripada undang-undang. Waktu siren polis kedengaran di tengah pekat malam, Arman sebenarnya sudah terkencing di dalam seluar melihat mayat pakciknya yang berlumuran darah dan makciknya yang terbaring mengerekot tidak bergerak. Nazmi, sepupunya, sudah hilang entah ke mana. Seluruh tubuh Arman menggigil bila teringat bagaimana Nazmi menetak bapa sendiri. Semuanya berlaku terlalu pantas dan seolah-olah di dalam mimpi, Arman merangkak mencapai parang yang jatuh di sebelah mayat pakcik. Air mata meleleh turun saat deria rasa dapat mengecam bahawa itu adalah hulu parang sebenar. Betul, ini bukan mimpi dan celah kelangkang Arman terasa basah. Mana Nazmi? Dia perlu hidup dengan siapa kalau semuanya sudah tiada?

Bila polis sampai, apa yang dia boleh lakukan cuma menangis. Hilang semua kata-kata, yang ada cuma ketakutan. Di tengah-tengah kekeliruan, arwah datuk berdiri di depan pintu. Tahulah Arman yang Nazmi sudah lari tinggalkan dia dan minta tolong daripada datuk. Rasa sedih menyelinap dalam hati. Dicari-cari juga bayang Nazmi di belakang datuk tetapi tiada. Selepas hari itu, Arman tidak pernah lagi berjumpa dengan Nazmi.

Entah apa yang dilakukan oleh datuk, Arman hanya dipindahkan jauh daripada tempat itu. Mungkin ada not-not kertas yang bertukar tangan, mungkin juga tidak. Yang pasti, selepas itu, Arman tercampak ke Sandakan bersama pekerja datuk. Duduklah dia di situ, menghabiskan sebahagian zaman remaja. Sekali-sekali ada juga ke Ranau atau Kota Kinabalu, mengikut penjaga. Mula-mula, rasa rindu pada semenanjung boleh tahan juga terasa namun lama-kelamaan, itu semua makin dilupakan. Keindahan negeri di bawah bayu itu membuatkan Arman hampir lupa akan apa yang pernah terjadi. Menyusuri sungai yang tidak terusik dan meneroka Gunung Kinabalu kalau ada kesempatan, itu lebih menenangkan.

Tidak banyak yang perlu difikirkan oleh Arman ketika di Sandakan. Sekali-sekala ada juga niat untuk bertanya tentang Nazmi bila datuk melawat tetapi hasrat itu dilupakan terus. Malam-malam Arman tidak selalunya indah. Sekalipun sudah lama meninggalkan semenanjung, kenangan masih tetap melekat di fikiran. Mana mungkin semudah itu menghalau imej-imej berdarah yang tertanam di dalam kepala? Dan ketenangan di Sabahlah yang banyak membantu Arman untuk pulih.

Suatu hari, tidak lama sebelum memulakan Tingkatan Lima, Arman didatangi Bahrin. Waktu itu, lelaki tua itu singgah bermalam, kebetulan dia sepupu kepada penjaga Arman. Seperti biasa, Arman melayan lelaki tua itu tidak kurang seperti dia melayan penjaganya sendiri. Namun, apa yang berlaku di depan tandas sebelum Maghrib, membuatkan hidup Arman jadi kelam-kabut.

“ Aku tahu apa yang kau lakukan. Kau ada kes polis,” kata Bahrin pada Arman di dalam separa kegelapan sewaktu mereka berselisih di dapur. Arman kaku di depan pintu bilik air, tidak mampu bergerak.

Selama beberapa tahun ini dia rasa selamat tetapi malam itu, terasa dunia bergegar. Nafas terasa sesak dan mimpi-mimpi menakutkan muncul kembali. Selepas itu, hari-hari yang dilalui penuh dengan ketakutan. Melangkah ke sekolah pun Arman diburu ketakutan kalau-kalau ada sesiapa tahu apa yang pernah terjadi. Setiap pandangan yang diterima, waima daripada makcik penjual ikan di pasar pun dilihat sebagai satu ancaman. Rahsia yang difikirkan tertutup rapi rupa-rupanya adalah juga rahsia milik semua orang, fikirnya. Bila-bila masa sahaja rakan sekolah akan tahu apa yang pernah dilakukan dan habislah, tiada siapa yang mahu berkawan dengan dia lagi.

Dua bulan pertama selepas kedatangan Bahrin, hidupnya terasa seperti dalam neraka. Daripada seorang remaja yang lincah dan ramah, Arman bertukar menjadi pendiam sehingga menyebabkan penjaganya risau. Tidur seringkali diganggu mimpi yang bukan-bukan. Sakit kepala mula menyerang apabila asyik terbayang hari berdarah itu. Namun, Arman mengunci mulut kerana tidak mahu kehidupan yang baru sahaja dimulakan, hancur kembali. Tidak sekali-kali dia mahu dicampakkan ke dalam Sekolah Henry Gurney. Campaklah dia ke kaki Gunung Kinabalu, dia lebih selesa di situ.

Perlahan-lahan, kehidupan Arman mula kembali normal. Syak-wasangka terhadap orang sekeliling sudah berkurangan bila dia menyedari bahawa tiada siapa yang datang untuk membisikkan tentang kisah silamnya.

Namun, sedikit-sebanyak episod itu telah mengubah keadaan Arman. Dia sedar bahawa ada orang lain yang tahu kisah silamnya dan bila-bila masa sahaja kebebasan Arman akan ditarik balik. Wajah Bahrin tidak akan mampu dilupakan.

Benar, pada usia dua puluh dua tahun, Bahrin kembali dan merampas semua yang dia ada. Datuk baru sahaja meninggal dunia ketika itu dan Bahrin baru sahaja menjadi ahli lembaga dalam salah sebuah anak syarikat datuk. Arman dipanggil pulang ke semenanjung setelah dimaklumkan bahawa datuk telah meninggalkan aset untuk dirinya. Belum sempat Arman pulih daripada kejutan bahawa dia terpaksa meninggalkan Sandakan, wajah Bahrin muncul di bilik mesyuarat. Arman tidak akan lupa waktu itu, bagaimana kecut perut bila terpandangkan raut wajah yang sedang memandang sinis. Peluh jantan menitik di tengah-tengah bilik berpenghawa dingin memikirkan kata-kata Bahrin dahulu.

“ Habislah,” getus hati Arman. Namun, Bahrin tidak bertindak serta-merta. Dia sebaliknya menunggu beberapa lama sebelum menunjukkan sifat sebenar.

Suatu hari, Arman dijemput ke rumah lelaki tua itu. Pagi-pagi lagi pemandu Bahrin sudah datang ke rumah menjemput Arman yang jelas tidak cukup tidur memikirkan apa yang bakal terjadi. Adakah Bahrin akan mengugut untuk sejumlah wang? Tetapi Arman tidak ada banyak wang. Yang ada cuma rumah pemberian datuk dan sedikit wang ehsan. Kalau dari segi harta, memang Arman tidak dapat beri apa-apa. Maka, apa yang sebenarnya Bahrin mahukan?

“ Kau masih muda, masih banyak tenaga. Aku mahu kau kerja dengan aku,” Bahrin membuat permintaan di dalam perpustakaannya. Arman terpempan. Kerja dengan Bahrin? Tidak cukup pekerja lagikah orang tua ini?

“ Jaga keselamatan aku. Jadi pembantu aku,” kata Bahrin selamba sambil meneguk minuman di tangan tanpa memandang Arman.

“ Pembantu?” biar betul. Bukankah Bahrin sudah ada pekerja untuk membantu dengan hal-hal pejabat malah pemandu pun ada? Namun, bila difikirkan semula, mungkin ada rasionalnya juga. Ada kemungkinan mungkin Bahrin memerlukan lebih ramai pekerja. Yang di depannya ini bukan calang-calang orang. Sudahlah usahawan, penulis berbakat pula. Namanya sudah gah di seluruh negara. “ Di pejabat?” Arman bertanya takut-takut.

Bahrin berpaling menghadap Arman sebelum ketawa besar. Ada nada sinis di dalam ketawa itu. “ Pejabat? Takkanlah kau mahu bekerja di pejabat sedangkan aku tau apa yang pernah kau buat dulu. Manalah tahu, kalau aku terlepas cakap, kan? Atau kau rasa kisah kau dengan pakcik kau…. kau fahamkan?” lelaki itu sengaja membiarkan ayat tergantung hanya dengan persoalan. Arman seolah-olah dapat merasakan darah hilang dari wajahnya. Sah, lelaki ini memang kejam.

“ Tidak. Jadi pemandu aku dan mungkin, pengawal peribadi aku,” Bahrin memandang Arman, seolah-olah mahu menebak apa yang ada di dalam hati.

Ayat yang baru sahaja dilafazkan dirasakan seperti kerambit yang merobek perut Arman. Kalau diikutkan, Arman bakal memulakan kerja di pejabat, sama seperti wasiat yang dibacakan. Tetapi lelaki ini...

“ Tapi...wasiat?”

Bahrin tersenyum keji lagi. “ Kau mahu ikut wasiat atau kau mahu tulis wasiat dari dalam penjara?”

Jahanam, bisik hari Arman. Bahrin betul-betul tekad untuk hancurkan hidup Arman. Apa yang sudah jadi sebenarnya? Kenapa Arman yang jadi mangsa?

“ Kenapa? Kau malu?” Bahrin sengaja menguji.

“ Tidak,” Arman pura-pura senyum walaupun perit.

“ Bagus. Ingat, rahsia kau di tangan aku.”

Bagaikan tikus tersepit, Arman cuma mampu ikut arahan lelaki berperut buncit itu. Sudahlah keseorangan tanpa teman dan ketakutan, ada pula orang yang mengambil kesempatan. Dalam usia semuda itu, apalah yang Arman tahu. Dengan majikan, Arman terpaksa berbohong yang dia tidak suka kehidupan di pejabat. Dengan pakcik yang juga salah seorang pegawai di syarikat pula dia terpaksa menipu dengan mengatakan dia mahu cari pengalaman lain dahulu. Tidak langsung terfikir oleh Arman bahawa dia boleh meminta bantuan daripada saudara yang lain. Yang ada dalam kepalanya adalah kuasa yang ada pada hujung mata pena atau lidah Bahrin.

Sayangnya, belum sempat Arman habis mengumpul bukti untuk merampas kembali kehidupannya, Bahrin telah mati.


“ Belum apa-apa lagi, tua kutuk tak sedar diri tu dah mampus.”

Wednesday, May 07, 2014

Bukan Nama Sebenar: 14

Dum! Omar yang sedang duduk menonton TV di bawah, terlompat akibat terperanjat. Kalau tidak silap, itu bunyi daripada bilik tidur Bahrin. Susup-sasap dia berkejar untuk menjenguk bilik tidur ayahnya. Manalah tahu kalau-kalau Bahrin sakit jantung atau tersembam.

“ Ayah! Ayah!” pintu bilik tidur Bahrin diketuk dengan kuat. Omar tahu ayahnya ada di dalam kerana mereka berdua baru pulang daripada melawat Zainab di hospital.

Ah bagaimana pula kalau bunyi itu melibatkan Alia? Risau juga kalau ada apa-apa berlaku pada ibu tiri Omar. Panas baran Bahrin bukan boleh diagak.

Terdengar bunyi tangisan di dalam bilik bila telinga didekatkan pada daun pintu. Omar berbelah-bahagi samada mahu pecahkan pintu atau teruskan mengetuk.

“ Mana pula orang lain? Takkan Mak Pah tak dengar bunyi tembakan? Ayah!” sekali lagi Omar mengetuk pintu.

Baru sahaja Omar mahu angkat kaki untuk sepak pintu, tombol pintu kelihatan berputar perlahan. Kepala Bahrin dijengukkan keluar. “ Ya?”

“ Ada orang pecah masukkah ayah? Ayah ok?” Omar cuba untuk menolak daun pintu namun tidak berjaya. Sebaliknya, Bahrin melangkah keluar dari bilik.

“ Tak ada apa-apalah. Ayah cuma bergurau dengan mak muda kamu. Heh heh,” Bahrin tertawa sambil menutup kembali pintu bilik. Ada pistol di tangan Bahrin. Omar jadi kelu tidak berkata melihatkan senjata itu.

“ Gurau?” sebaik sahaja soalan itu dilafazkan oleh Omar, perasaan kesal menyerbu. Mata terus memandang pistol di tangan Bahrin. Adrenalin pula bergerak menyelinap ke seluruh saraf, bersedia untuk lari kalau tangan yang memegang pistol itu bergerak.

“ Kau mana faham. Ini hal orang dah kahwin,” Bahrin berkata sambil menggaru kepala yang sudah hampir botak.

Bahrin membiarkan Omar berdiri kaku di luar pintu bilik. Tanpa penjelasan, Bahrin  memusingkan badan sebelum membuka pintu bilik. Omar dapat mendengar esak-tangis Alia di dalam. Sebahagian dirinya mahu menyerbu masuk, sebahagian lagi mahu angkat telefon dan telefon polis.

Lekas-lekas Omar turun ke bawah untuk ke dapur. Mujur Mak Pah ada di dapur, sedang basuh ayam.

“ Mak Pah?” Omar menyapa di sebalik pintu dapur.

Pembantu rumah itu berpusing perlahan-lahan sambil tersenyum nipis. “ Ya, encik.”

“ Mari sekejap, saya ada benda nak tanya,” Omar berjalan ke arah meja makan. Ini perlu diselesaikan segera.

Malam itu barulah Omar tahu apa yang selalu terjadi di dalam rumah ini. Ini bukan kali pertama letupan pistol dilepaskan di dalam rumah ini.

“ Sejak bila?” Omar keliru.

“ Sejak Puan masuk hospital,” Mak Pah kelihatan serba-salah.

“ Kenapa tak beritahu saya?” Satu lagi soalan bodoh. Pasti Bahrin sudah berpesan kepada semua yang ada di dalam rumah ini supaya tidak buka mulut.

“ Maaf..” ada air mata bergenang di birai mata Mak Pah. Hati Omar terus lembut jadinya.

“ Tak apa, Mak Pah. Maafkan saya.”

Mak Pah pula menangis mengongoi. Terbantut niat Omar untuk bertanya lebih lanjut tentang apa lagi yang dilakukan pada Alia.


Kesian Alia. Apalah salah perempuan itu sampai dilayan macam binatang sarkis. Kenapa perlu diacukan pistol pada isteri sendiri? Bukankah ada cara lain untuk bermesra?

Sunday, May 04, 2014

Nama

‘ You did that on purpose kan?’

Najmi sikit pun tidak mendengar apa yang dikatakan oleh bibir mungil itu. Dia sedang sibuk memikirkan mereka berdua duduk di sofa empuk di dalam kedai, bersebelahan. Berbual tentang apa yang terlintas di kepala. Itu sahaja. Sumpah.

‘ Apa dia ni?’ Sayang. Kalau ikutkan hati, Najmi mahu ucapkan perkataan itu. Apakan daya dia tidak mampu.

‘ Ni, nama saya,’ gadis di depannya mengomel sambil memuncungkan sedikit bibir. Rakan-rakan di belakang Najmi ada yang tersengih sambil membersihkan kaunter. Mujur sahaja kedai kopi berjenama ini di kawasan pejabat dan sekarang baru jam sepuluh pagi.

‘ Betullah Laily,’ Najmi berbohong. Dia tahu itu tidak benar. Dia ingat benar perkenalan mereka beberapa minggu lepas…

‘ It’s Laili with two Is,’ ujar si gadis genit sambil membetulkan kaca mata.

‘ And I can see they are very beautiful,’ bisik hati Najmi. Ini pelanggan dan dia tidak mahu dibuang kerja.

‘ Ok Miss Laili with Is. Anything else?’

‘ That is all, Naj..mi,’ si gadis genit bersuara. Najmi sedikit tergamam. Jarang sekali namanya disebut oleh pelanggan.

Habis imbas semula kenangan.

‘ I’m so sorry. Must be thinking of another Laili,’ Najmi cuba berdrama. ‘ I’ll get back to you later, alright? Someone…’ Najmi memberikan isyarat mata ke arah bahagian depan kaunter. Laili cuma mengangguk.


Entah bagaimana harus Najmi jelaskan bahawa perbuatannya sama dengan perbuatan seorang kanak-kanak lelaki yang sengaja menarik rambut ekor kuda rakan sepermainan perempuan untuk mencuri perhatian. 

Saturday, May 03, 2014

Bukan Nama Sebenar: 13

Fail yang dipegang diletakkan kembali ke atas meja. Sebotol minuman ringan diteguk sekali lagi. Mata Aidid sudah berat sebenarnya tetapi seperti ada sesuatu yang berhantu tentang kes ini, membawa dia kembali ke kerusi untuk membelek fail sekali lagi.

“ Buku nota?” mata Aina membulat. “ Serius? Sebab buku nota?” Aina mengulang kembali soalan.

“ Ya,” Aidid menjawab lalu mengeluh. Aina masih terlopong, membuatkan Aidid ketawa. “ Kenapa terlopong?”

“ Buku? Bukan jongkong emas? Atau mungkin...entah, duit?”

“ Ini idea penulis terkenal yang sentiasa menerbitkan buku-buku kontroversi. Ini hasil pemikiran orang hebat. Ramai orang yang mahu beli buku itu. Kalau kau cari di Internet sekarang, aku takkan terkejut kalau kau kata ada orang sanggup bayar satu juta ringgit untuk buku itu,” Aidid bersandar pada sofa di dalam pejabatnya.

“ Satu juta? Kau gila?” Aina masih memandang Aidid dengan mata bulat.

Gila. Memang gila. Semua tentang kes ini gila sebenarnya.

Aidid bersandar lalu memandang siling. Di pejabat, di rumah sudah tiada beza. Dalam kepala asyik memikirkan tentang kes ini. Di mana buku nota itu? Siapa yang mampu meraih paling banyak keuntungan daripada buku itu? Siapa pencabar paling dekat? Mungkin kalau semua ini dapat dijawab, misteri yang ada akan terlerai.

Bahrin mati akibat kehilangan darah yang banyak. Waktu mayat dijumpai di kaki tangga, darah pekat memenuhi ruang lantai. Kaki kanan mangsa patah dan terdapat kesan tembakan pada kaki kiri. Sepucuk pistol turut ditemui di tempat kejadian. Siasatan awal menunjukkan bahawa Bahrin tertembak kaki sendiri. Kalau diikutkan, teori bahawa Bahrin tertembak kaki sendiri mungkin boleh diterima cuma kehilangan buku nota yang berharga menimbulkan unsur syak.

Menurut orang gaji di rumah Bahrin, waktu itu hujan lebat. Bahrin bersendirian dan tidak mahu diganggu. Alia pula tiada di rumah, keluar dengan rakan, kata Mak Pah. Tiada siapa yang dibenarkan ke ruang atas kerana penulis itu tidak mahu diganggu dan ini merupakan satu arahan. Ruang atas menempatkan perpustakaan dan pejabat Bahrin dan tiada siapa yang berani ke ruang itu selalunya tanpa arahan daripada penulis itu.

Disebabkan arahan itu, Mak Pah dan Pak Sein mengambil keputusan untuk berehat awal, kira-kira jam sepuluh malam. Lebih kurang jam sebelas setengah malam, berlaku litar pintas. Semuanya gelap dan terdengar bunyi tembakan.

“ Dan makcik tak pergi tengok?” Aidid berasa pelik. Dalam kes orang normal, pastinya perkara ini akan disiasat. Manalah tahu kalau-kalau ada pencuri. Sia-sia sahaja kalau disembelih di tempat tidur sendiri.

Pembantu rumah Bahrin kelihatan takut-takut untuk menjawab. Sedikit demi sedikit, kebenaran mula menjengah. Mak Pah mengaku bahawa bunyi tembakan pistol bukanlah sesuatu yang aneh di dalam rumah itu. Bahrin selalu berlatih di dalam bilik khas dan...

“ Tuan juga berlatih di dalam bilik tidur.”

Bilik tidur? Takkanlah..... Berlatih di sini maksudnya digunakan untuk....

Ini sudah jadi lain. Mungkinkah Alia, wanita lemah-lembut dan nampak lemah itu, didera oleh suami sendiri?

Tiada jawapan, cuma anggukan. Aidid beristighfar. Kes pembunuhan yang rumit sudah bertukar menjadi kotor. Patutlah Alia lebih banyak menangis berbanding bercakap setiap kali soal-siasat diadakan. Ingatkan kerana sedih di atas pemergian Bahrin. Rupa-rupanya ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Rasa hormat yang sebenarnya sudah disalut rasa takut menyebabkan kedua-dua pembantu sekadar melihat-lihat bahagian dalam rumah ketika pagi. Itupun cuma ala kadar. Waktu itu, semuanya sudah terlambat. Bahrin sudah tiada. 

Polis dihubungi seawal waktu subuh. Tubuh Bahrin sudah sejuk di kaki tangga, kaki berlubang dengan kesan peluru dan leher patah. Dalam keadaan kelam-kabut, pembantu rumah tidak perasan yang terdapat tapak kaki yang berbekas di atas lumuran darah. Hanya satu kerana dilindungi tumpahan air milo ke bahagian lain, tanda ianya sengaja dilakukan.

Mustahil rasanya untuk berdiri di tepi tangga dengan milo dan pistol di tangan. Kenapa pula sesiapa perlu berdiri di tepi tangga dengan segelas minuman? Dan kenapa perlu ada pistol? Ia samada untuk melindungi diri sendiri ataupun Bahrin sedang berdepan dengan seseorang dan dia perlu menunjukkan bahawa dia berkuasa?

Soalnya sekarang, siapa pihak yang satu lagi? Atau mungkinkah...

Aidid menyalakan sebatang rokok. Satu mangsa, ramai suspek. Disebabkan apa yang diberitahu oleh pembantu rumah, Alia sudah jadi suspek nombor satu. Elle, pembantu peribadi Bahrin, turut berada dalam senarai yang sama. Ada khabar angin yang menyatakan bahawa Elle sering dipaksa untuk bekerja dengan teruk. Sekalipun mempunyai anak di kampung, wanita itu jarang sekali dibenarkan pulang untuk menjenguk anak sendiri. Entah bagaimana rasanya perlu melayan ego yang besar, yang merasakan wang adalah segala-galanya.

Anak lelaki mangsa juga tidak boleh diketepikan. Sekalipun lelaki itu nampak senyap dan tidak berbahaya, itu tidak bermakna dia tiada motif. Ini kedengaran seperti kejam tetapi sudah tiada apa yang mustahil lagi sekarang. Lelaki muda yang mempunyai segalanya, kenapa dia masih belum berkahwin? Kalau diikutkan jalan cerita Cerekarama, pasti kerana cinta tidak direstui ayah. Disebabkan setia, lelaki itu tetap meneruskan percintaan sekalipun dihalang hingga memaksa dia untuk “menghapuskan” halangan yang ada.

Aidid tergelak. Sudah serupa sangat dengan skrip drama pula rasanya. Ini tandanya otak sudah penat berfikir. Esok sahaja dia sambung fikir tentang siapa lagi yang perlu dijadikan suspek.


Ah, Arman! Itu seorang lagi suspek.