Arif memegang tangan anaknya yang sedang terbaring di
atas katil. Pembedahan pemindahan jantung Daria sudah pun berjaya. Terasa lega
sangat waktu ini. Beban yang dipikul bertahun-tahun di atas bahu seakan-akan
sudah terbang menghilang.
Alangkah indahnya jika hari ini isteri Arif masih ada
di sisi mereka. Seperti masih terdengar suara arwah isterinya berdoa di tengah
malam, memohon untuk kesejahteraan dan kesihatan anak mereka. Masih terlihat wajah
arwah isterinya yang penat dan pucat menunggu anak mereka yang bernama Daria di
hospital.
Bunyi mesin yang berdetik perlahan memberi satu
ketenangan pada Arif. Tenang kerana itu bermaksud Daria masih hidup. Malah,
bunyi mesin itu bagaikan dentingan harapan untuk mereka berdua meneruskan
kehidupan selepas ini. Ia seakan memberi satu harapan untuk kehidupan yang
lebih bahagia untuk mereka sekeluarga, biarpun sekarang hanya tinggal mereka
berdua. Bertahun lamanya mereka sekeluarga menderita hanya disebabkan Arif
terpaksa menggadai seluruh kehidupan demi wang. Harapan Arif cuma satu; dia
tidak mahu lagi terlepas peluang untuk bersama-sama meneman Daria selepas ini.
Wang mungkin boleh beli segala-galanya tetapi tidak
Daria.
Arif mencapai tangan anaknya yang sedang terbaring di
atas katil. Hanya Tuhan yang tahu debar di hati sepanjang pembedahan
berlangsung. Tidak tenang dibuatnya; sekejap bangun sekejap duduk. Syukur,
semuanya sudah selesai. Harapan Arif besar sekali; Tuhan tolonglah jangan ada
lagi komplikasi selepas ini. Cukuplah anak gadisnya menderita daripada usia
kecil hingga sekarang.
Bertahun-tahun hidup ditentukan oleh buku cek orang
lain, biarlah kali ini dia berpeluang untuk jadi diri sendiri. Bukan nama yang
dikejar tetapi keselesaan untuk keluarga sendiri. Sudah cukup lama rasanya dia
jadi hamba pada seseorang yang pernah dianggap seperti saudara sendiri. Bekerja
ibarat pengemis, dipaksa memerah otak dan kemudiannya diberikan hasil yang
tidak setimpal.
Apa yang mampu didoakan waktu ini biarlah semuanya
jadi lebih mudah. Dia akan pastikan bahawa semua titik peluhnya
sekurang-kurangnya kena pada harga. Tidak sanggup rasanya melihat semua titik
peluh jadi bahan kesenangan orang lain. Berpuluh tahun duduk di meja,
berhempas-pulas hanya untuk melihat nama orang lain di skrin dan kulit buku.
Bahrin, siapa sangka hari yang ditunggu tiba juga?
“ Arghh..” Arif terjaga dari lamunan bila terdengar
suara anaknya mengerang.
Jangan kau risau, anakku. Ayah ada di sini. Ayah akan
sentiasa ada di sini mulai sekarang.
“ Daria, mahu apa nak?” Arif gagahkan diri yang sudah
tidak tidur semalaman untuk melayan Daria.
“ Air, ayah,” suara Daria kedengaran perlahan.
“ Ya, ya,” Arif mengangguk sambil bingkas berjalan ke
arah meja untuk menuang air. Sengaja dia berdiri untuk bangun kerana tidak
sanggup rasanya membiarkan Daria melihat air mata di pipi. Tangisan kegembiraan
yang mungkin akan disalah erti.
No comments:
Post a Comment