Pertemuan pertama Alia dan Arman sebenarnya tidak ubah
seperti cerekarama. Mereka berdua bergegas naik ke pejabat sebelum Alia
terlanggar Arman yang sedang membawa beg. Kedua-duanya tunduk untuk mengambil
beg di lantai sebelum terhantuk kepala dan berlumba-lumba untuk minta maaf.
Waktu itu, Alia masih lagi seorang pelajar dan Arman baru setahun lebih bekerja
dengan Bahrin.
“ Maaf, saya tak nampak awak,” Alia meminta maaf
sambil mengusap kepala.
“ Saya yang tak nampak awak,” Arman pula meminta maaf
tetapi didiamkan sahaja sakit yang terasa. Kranium wanita ini dibuat daripada
titanium agaknya. Boleh tahan berdengung kepala.
Alia cuma tersipu dan Arman pula minta diri untuk ke
pejabat.
Arman tidak pernah melupakan kejadian itu. Itulah
satu-satunya detik manis yang dialami sewaktu bekerja dengan Bahrin. Setiap
hari dia berdoa akan terserempak dengan gadis itu lagi namun hampa. Hendak
bertanya kepada orang di dalam pejabat itu, malu pula. Lagipun, Arman sedar dia
siapa, mana letak duduknya. Hanya layak jadi pemuja dari jauh sahaja.
Selang sebulan, gadis itu kelihatan lagi di kawasan
pejabat. Waktu itu, Arman sedang duduk minum di kedai makan berdekatan pejabat,
menunggu majikan yang mungkin mahu pulang atau mahu ke mana-mana majlis. Hampir
sahaja dia tersedak bila nampak Alia turun dari teksi, rambut mengerbang ditiup
angin.
Sekalipun bihun soto masih bersisa di dalam mangkuk,
Arman cepat-cepat berlari ke tingkat atas semata-mata untuk melihat gadis
idaman hati. Hampir sahaja dia terlanggar makcik yang sering bancuh kopi hingga
melatah orang tua itu.
“ Maaf, Kak Mah!”
“ Kelam-kabut ini mahu ke mana saja ni Arman?”
Pertanyaan itu hanya dibiarkan tidak berjawab. Arman
cepat-cepat menuju ke ruang pantri, pura-pura membaca suratkhabar. Dari ruang
pantri, boleh dia jenguk kawasan sekeliling pejabat. Mana tahu kalau boleh nampak
si dia lagi.
Sekejap-sekejap Arman curi menjenguk di sebalik
suratkhabar yang sedang dibaca. Niat di hati hendak tegur si cantik berbaju
merah itu, kalau bolehlah. Kalau tidak dapat, tengok pun jadilah.
“ Ha? Terhendap-hendap cari siapa?” tiba-tiba Elle
masuk ke dalam pantri bersama dua buah gelas. Arman cuma tersengih. “ Orang
tanya jawablah, bukan sengih,” Elle menyergah.
“ Mana ada cari siapa-siapa. Aku sedang baca
suratkhabar,” ujar Arman sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“ Sejak bila pula kau rajin baca suratkhabar di sini?
Selalunya di depan. Kau jangan nak tipu aku,” Elle bersuara dengan nada yang
sengaja dikeraskan.
Arman tersengih lagi sambil matanya masih lagi
curi-curi pandang ke luar. “ Ish! Susah betullah nak cakap dengan kau. Dahlah,
Tuan Besar kau tengah jual minyak.”
Jual minyak? Siapa pula kali ini?
Jantung Arman terasa ingin gugur. Siapa pula yang
bakal jadi mangsa si tua itu? Tidak padan dengan usia yang semakin berlari ke
arah kubur, ada hati lagi nak menggatal. Yang menyebabkan Arman makin sakit
hati bila bakal mangsa Bahrin semuanya masih muda dan bergetah. Dia yang muda
dan masih kacak pula masih belum laku-laku lagi. Ah, apa yang misteri sangat?
Semuanya kerana kocek Arman yang nipis.
Susah juga kalau tidak bekerja di dalam pejabat ini,
bagaimana mahu korek gosip? Kalau tiba-tiba bertanya pada Elle, nanti kene
sergah pula, dituduh penyibuk.
Sedang Arman sibuk berperang dengan perasaan sendiri,
terdengar suara Elle bercakap dengan seseorang. Sempat dikerling Arman siapa
teman berbicara Elle yang baru sahaja keluar dari bilik. Si baju merah!
“ Nanti I akan hantar surat tawaran pada Alia. Kalau
ada apa-apa, Alia telefon nombor ini,” Elle kelihatan seperti ingin menghantar
Alia ke muka pintu pejabat. Ini sudah kira bagus. Ada peluang untuk jumpa si
manis kalau betul dia mahu bekerja di sini.
“ Jumpa lagi!” Elle mengucapkan selamat tinggal pada
gadis bernama Alia itu. Cepat-cepat Arman kembali masuk ke dalam pantri kerana
tidak mahu dikesan oleh Elle.
Hari pertama Alia bekerja di situ merupakan hari yang
cukup gembira buat Arman. Sekalipun tidak pernah terlibat bila pekerja baru
diperkenalkan, Arman tetap gembira. Ada satu perasaan yang cukup tenang
menyelinap dalam hati tiap kali memandang Alia. Pastinya, memandang secara
curi-curi.
Maka, sudah semestinya Arman menjadi salah satu hati
yang cukup robek bila Alia menjadi isteri nombor dua Bahrin. Bertambah sakit
lagi hati Arman kerana dia yang bertanggungjawab menghantar Alia ke mulut
harimau pada malam itu. Manalah dia tahu yang si tua kutuk itu mahu perangkap
Alia kerana memang benar dia ada terdengar Elle memberitahu Bahrin tentang
temujanji yang bakal berlaku di hotel pada malam durjana itu. Dan, tiada siapa
yang memaklumkan bahawa temujanji itu sebenarnya sudah dibatalkan. Elle memandu
sendiri maka mereka berdua tidak bertemu untuk bertukar berita. Bahrin pula
duduk di hotel maka berita tentang pertemuan yang tidak jadi langsung tidak
diketahui oleh Arman. Dia yang tidak tahu apa-apa kemudiannya diarahkan untuk
menjemput Alia dari stesen bas ke hotel.
Waktu Alia menangis teresak-esak kerana terpaksa
dinikahkan pada Bahrin, hati Arman turut sama disiat-siat. Apalah dosa gadis
ini hingga diperangkap sebegini rupa? Sudah selalu sangat sebenarnya dia jadi
saksi akan sifat hidung belang Bahrin tetapi kali ini benar-benar melampau.
Sudahlah Alia diperangkap sewaktu menerima kerja di syarikat lelaki itu,
ditambah pula dengan taktik keji sebegini.
Masih teringat-ingat akan sikap lemah lembut Alia di
pejabat. Bukan itu sahaja, kadang-kadang Elle turut memuji Alia sewaktu duduk menghisap
rokok dengan Arman. Bertanggungjawab pada keluarga dan kerja, itu komen Elle
untuk gadis itu. Malah, Alia tidak sombong langsung dengan kakitangan sokongan.
Kadang-kala ada juga mereka berbual tetapi Alia nampaknya cuba membatas
pergaulan dengan Arman. Sebenarnya, bukan dengan Arman sahaja, malah dengan
semua kakitangan lelaki di dalam syarikat. Susah mahu cari perempuan cantik
yang sopan begitu.
Berkali-kali hati Arman terhiris melihatkan kehidupan
Alia dihancurkan Bahrin. Bayangkan pula perasaan Arman bila Alia dimaki hamun
di dalam kereta. Bahrin dengan sesuka hati akan menggelar Alia dengan panggilan
“betina”. Entah apalah yang difikirkan oleh si tua itu, Arman tidak mengerti.
Bukan sekali dua Alia menangis di dalam kereta, banyak kali. Namun, apalah yang
mampu Arman lakukan. Mahu menyebelahi Alia, takut-takut kalau si tua itu buka
cerita pada semua orang. Kalau dibiarkan sahaja wanita itu dilayan macam kain
buruk, kasihan pula rasanya. Akhirnya, Arman sendiri yang tersepit.
Dalam takut-takut, Arman tolong juga Alia. Ada sekali
dua Alia terlepas juga bercerita pada Arman bahawa dia sangat ingin menulis
kembali.
“ Itu cinta pertama saya,” Alia bersuara dari tempat
duduk belakang kereta. Mereka sedang menuju ke sebuah hotel untuk menghadiri
seorang majlis perniagaan salah seorang rakan perniagaan Bahrin. “ Kalau saya
tak menulis, rasa macam tak boleh tidur. Rasa macam semua cerita dalam kepala
saya membuatkan otak saya sesak. Awak faham kan apa saya cakap?”
“ Apalah yang saya faham? Saya bukan penulis,” Arman
yang duduk di depan ketawa kecil. Kadang-kadang, perangai Alia boleh tahan
comel.
“ Kenapa puan tak teruskan?” Arman bertanya sambil
memusing stereng. Panggilan “Puan” untuk wanita yang duduk di bahagian belakang
kereta terasa tersengkang di kerongkong.
Alia ketawa kecil. Dari cermin, Arman dapat melihat
Alia sedang menggeleng kepala. “ Dia tak akan benarkan. Dia haramkan saya
menulis lagi.”
‘Dia’ itu pasti merujuk kepada Bahrin. Siapa lagi yang
mempunyai perangai serupa pemerintah kuku besi?
“ Maksud puan?” kali ini panggilan “puan” itu
seolah-olah tidak mahu keluar dari kerongkong tetapi dipaksa juga.
“ Dia rampas komputer saya. Tablet saya pun dia turut
rampas. Buku nota saya pun dia ambil,” Alia tertawa lagi. Di hujung ketawa,
nampak Alia mengesat air mata. Hilaian tawa terus bertukar kepada tangisan.
Hiba jadinya hati Arman. Faham benar akan apa yang
dialami oleh Alia kerana itu jugalah yang terjadi pada dirinya.
“ Puan?” Arman memanggil sambil menjeling pada cermin
pandang belakang.
“ Ya,” sedih bunyi sahutan Alia.
“ Kalau puan mahu terus menulis, saya ada idea.”
Penumpang di belakang diam, tidak menyahut. “ Macam
mana?” ada rasa ingin tahu bercampur dengan takut-takut di dalam soalan yang
diutarakan. Armanlah yang memberi cadangan supaya Alia keluar dari rumah itu
untuk menulis. Dia sanggup membawa Alia ke tempat yang sesuai untuk menulis
malah berjanji akan menyimpan buku nota Alia.
“ Puan pakai telefon apa?” tanya Arman, tiba-tiba
teringatkan sesuatu. “ Telefon pintar?”
“ Ya,” jawab Alia sambil membelek telefon yang baru
sahaja dikeluarkan dari beg tangan.
“ Saya pasti puan boleh gunakan telefon itu untuk
menulis, kan?” Diam. Tiada balasan.
“ Betul juga cakap awak. Kenapa saya tak terfikir, ya?”
Arman tersenyum. Kalaulah Alia tahu apa yang dia
sanggup lakukan untuk perempuan itu...
“ Tapi Arman, saya ambil tawaran awak untuk simpankan
nota saya. Boleh? Saya lebih selesa menulis.”
“Ehem.”
Suara yang berdehem membawa Arman kembali ke masa
kini.
“ Jadi, kamu sentiasa teman Puan Alia ke restoran
tersebut?” penyiasat yang duduk di depan Arman mula bangun. Antara mimik muka
serius terselit riak wajah bosan.
“ Bukan teman. Lebih kepada menghantar Puan Alia ke
sana,” teman itu terlalu mesra. Kalaulah boleh semesra itu dengan Alia...
“ Ada apa-apa lagi?” lelaki berkemaja putih bersih di
depan Arman bertanya lagi.
Pandangan Arman diangkat mengadap wajah lelaki itu.
Kosong.
“ Tak mengapa. Kalau ada apa-apa lagi, awak boleh
beritahu kami.”
Aidid yang sedang memerhati di sebalik cermin
menggigit jari. Kalau saja dia mampu cari keberanian untuk berdepan dengan
lelaki di sebalik kaca.
No comments:
Post a Comment