Saturday, May 10, 2014

Bukan Nama Sebenar: 15

              Dari kejauhan, rumah teres setingkat milik Arman kelihatan seolah-olah memanggil. Tiada apa yang istimewa sebenarnya pada rumah itu. Ia cuma sebuah persinggahan yang kemas, sunyi dan kebanyakan masa terbiar kosong. Tiada apa yang ditanam di laman rumah, hanya rumput yang dijaga dengan kemas. Lagipun, kalau dihias dengan bunga, siapa yang hendak jaga kalau tuan rumah tiada? Sudahlah kerjaya Arman menuntut untuk dia berada di luar kebanyakan masa.

Rumah itu terlalu besar untuk seorang lelaki bujang sebenarnya. Sudahlah duduk seorang, ruang pula terlalu banyak yang kosong. Perabot di dalam rumah juga boleh dikira dengan jari. Set sofa, meja makan duduk empat orang dan katil. Yang lain-lain cuma beberapa keping gambar. Untuk sebuah rumah yang mempunyai empat bilik, membazir juga kalau cuma tinggal sendiri. Namun, inilah peninggalan arwah datuk Arman. Bukan tidak boleh disewakan tetapi Arman memilih untuk tinggal sendiri. Biarlah sunyi asalkan tidak semak melayan kerenah orang. Lagipun sudah puas hidup di dalam ruang sempit sewaktu kecil. Kalau berasa bosan di rumah ini, boleh juga kemaskan laman misalnya. Tidaklah teruk sangat sebenarnya. Kalau diikutkan pada pekerjaan Arman, memang dia tidak akan mampu memiliki rumah sebesar itu. Mahu menyewa bilik pun tidak mampu rasanya tetapi biarlah. Pernah juga Bahrin menawarkan untuk tinggal bersama tetapi terima kasih sahajalah. Tidak sanggup rasanya mahu tinggal serumah bersama majikan.

Dulu, salah sebuah bilik di dalam rumah ini pernah disewakan kepada seorang pelajar. Namun, setelah pelajar berkenaan berpindah, Arman rasa biarlah dia duduk seorang. Cukuplah sekali dia terpaksa melayan kerenah orang yang kadang-kadang bertanya itu ini tentang dirinya. Sudahlah serabut dan penat selepas pulang daripada bekerja, terpaksa pula menjawab soalan yang cacamarba. Melayan Bahrin sudah satu hal, bila di rumah terpaksa pula melayan orang lain sewaktu ingin berehat. Dua tahun juga pelajar itu tinggal di situ. Walaupun pelajar itu cuma sekali-sekala berbual dengan Arman, dia tidak mahu lagi mengambil risiko melayan entah siapa-siapa yang ingin tahu tentang macam-macam. Cukuplah sekali.

Bunyi pintu berkeriut perlahan bila ditolak. Terasa tapak kaki bergeser dengan permukaan lantai yang berpasir, entah bila kali terakhir Arman menyapu lantai dia kurang pasti. Sibuk berlari ke sana ke mari hingga pulang hanya untuk berehat. Ingatkan waktu Bahrin masih hidup sahaja dia akan sibuk berkejar ke sana ke mari, waktu sudah tiada pun sibuk juga. Memang orang tua itu hebat. Sudah tiada pun mampu buat hidup orang kacau-bilau.

“ Bahrin,” Arman menyebut nama lelaki itu perlahan tanpa sedar.

Seperti dalam cerita novel yang biasa, tidak salah rasanya untuk mengatakan bahawa takdir menemukan mereka berdua. Takdir yang hampir-hampir membuatkan hidup Arman musnah tetapi dalam situasi itu, duit lebih berkuasa daripada undang-undang. Waktu siren polis kedengaran di tengah pekat malam, Arman sebenarnya sudah terkencing di dalam seluar melihat mayat pakciknya yang berlumuran darah dan makciknya yang terbaring mengerekot tidak bergerak. Nazmi, sepupunya, sudah hilang entah ke mana. Seluruh tubuh Arman menggigil bila teringat bagaimana Nazmi menetak bapa sendiri. Semuanya berlaku terlalu pantas dan seolah-olah di dalam mimpi, Arman merangkak mencapai parang yang jatuh di sebelah mayat pakcik. Air mata meleleh turun saat deria rasa dapat mengecam bahawa itu adalah hulu parang sebenar. Betul, ini bukan mimpi dan celah kelangkang Arman terasa basah. Mana Nazmi? Dia perlu hidup dengan siapa kalau semuanya sudah tiada?

Bila polis sampai, apa yang dia boleh lakukan cuma menangis. Hilang semua kata-kata, yang ada cuma ketakutan. Di tengah-tengah kekeliruan, arwah datuk berdiri di depan pintu. Tahulah Arman yang Nazmi sudah lari tinggalkan dia dan minta tolong daripada datuk. Rasa sedih menyelinap dalam hati. Dicari-cari juga bayang Nazmi di belakang datuk tetapi tiada. Selepas hari itu, Arman tidak pernah lagi berjumpa dengan Nazmi.

Entah apa yang dilakukan oleh datuk, Arman hanya dipindahkan jauh daripada tempat itu. Mungkin ada not-not kertas yang bertukar tangan, mungkin juga tidak. Yang pasti, selepas itu, Arman tercampak ke Sandakan bersama pekerja datuk. Duduklah dia di situ, menghabiskan sebahagian zaman remaja. Sekali-sekali ada juga ke Ranau atau Kota Kinabalu, mengikut penjaga. Mula-mula, rasa rindu pada semenanjung boleh tahan juga terasa namun lama-kelamaan, itu semua makin dilupakan. Keindahan negeri di bawah bayu itu membuatkan Arman hampir lupa akan apa yang pernah terjadi. Menyusuri sungai yang tidak terusik dan meneroka Gunung Kinabalu kalau ada kesempatan, itu lebih menenangkan.

Tidak banyak yang perlu difikirkan oleh Arman ketika di Sandakan. Sekali-sekala ada juga niat untuk bertanya tentang Nazmi bila datuk melawat tetapi hasrat itu dilupakan terus. Malam-malam Arman tidak selalunya indah. Sekalipun sudah lama meninggalkan semenanjung, kenangan masih tetap melekat di fikiran. Mana mungkin semudah itu menghalau imej-imej berdarah yang tertanam di dalam kepala? Dan ketenangan di Sabahlah yang banyak membantu Arman untuk pulih.

Suatu hari, tidak lama sebelum memulakan Tingkatan Lima, Arman didatangi Bahrin. Waktu itu, lelaki tua itu singgah bermalam, kebetulan dia sepupu kepada penjaga Arman. Seperti biasa, Arman melayan lelaki tua itu tidak kurang seperti dia melayan penjaganya sendiri. Namun, apa yang berlaku di depan tandas sebelum Maghrib, membuatkan hidup Arman jadi kelam-kabut.

“ Aku tahu apa yang kau lakukan. Kau ada kes polis,” kata Bahrin pada Arman di dalam separa kegelapan sewaktu mereka berselisih di dapur. Arman kaku di depan pintu bilik air, tidak mampu bergerak.

Selama beberapa tahun ini dia rasa selamat tetapi malam itu, terasa dunia bergegar. Nafas terasa sesak dan mimpi-mimpi menakutkan muncul kembali. Selepas itu, hari-hari yang dilalui penuh dengan ketakutan. Melangkah ke sekolah pun Arman diburu ketakutan kalau-kalau ada sesiapa tahu apa yang pernah terjadi. Setiap pandangan yang diterima, waima daripada makcik penjual ikan di pasar pun dilihat sebagai satu ancaman. Rahsia yang difikirkan tertutup rapi rupa-rupanya adalah juga rahsia milik semua orang, fikirnya. Bila-bila masa sahaja rakan sekolah akan tahu apa yang pernah dilakukan dan habislah, tiada siapa yang mahu berkawan dengan dia lagi.

Dua bulan pertama selepas kedatangan Bahrin, hidupnya terasa seperti dalam neraka. Daripada seorang remaja yang lincah dan ramah, Arman bertukar menjadi pendiam sehingga menyebabkan penjaganya risau. Tidur seringkali diganggu mimpi yang bukan-bukan. Sakit kepala mula menyerang apabila asyik terbayang hari berdarah itu. Namun, Arman mengunci mulut kerana tidak mahu kehidupan yang baru sahaja dimulakan, hancur kembali. Tidak sekali-kali dia mahu dicampakkan ke dalam Sekolah Henry Gurney. Campaklah dia ke kaki Gunung Kinabalu, dia lebih selesa di situ.

Perlahan-lahan, kehidupan Arman mula kembali normal. Syak-wasangka terhadap orang sekeliling sudah berkurangan bila dia menyedari bahawa tiada siapa yang datang untuk membisikkan tentang kisah silamnya.

Namun, sedikit-sebanyak episod itu telah mengubah keadaan Arman. Dia sedar bahawa ada orang lain yang tahu kisah silamnya dan bila-bila masa sahaja kebebasan Arman akan ditarik balik. Wajah Bahrin tidak akan mampu dilupakan.

Benar, pada usia dua puluh dua tahun, Bahrin kembali dan merampas semua yang dia ada. Datuk baru sahaja meninggal dunia ketika itu dan Bahrin baru sahaja menjadi ahli lembaga dalam salah sebuah anak syarikat datuk. Arman dipanggil pulang ke semenanjung setelah dimaklumkan bahawa datuk telah meninggalkan aset untuk dirinya. Belum sempat Arman pulih daripada kejutan bahawa dia terpaksa meninggalkan Sandakan, wajah Bahrin muncul di bilik mesyuarat. Arman tidak akan lupa waktu itu, bagaimana kecut perut bila terpandangkan raut wajah yang sedang memandang sinis. Peluh jantan menitik di tengah-tengah bilik berpenghawa dingin memikirkan kata-kata Bahrin dahulu.

“ Habislah,” getus hati Arman. Namun, Bahrin tidak bertindak serta-merta. Dia sebaliknya menunggu beberapa lama sebelum menunjukkan sifat sebenar.

Suatu hari, Arman dijemput ke rumah lelaki tua itu. Pagi-pagi lagi pemandu Bahrin sudah datang ke rumah menjemput Arman yang jelas tidak cukup tidur memikirkan apa yang bakal terjadi. Adakah Bahrin akan mengugut untuk sejumlah wang? Tetapi Arman tidak ada banyak wang. Yang ada cuma rumah pemberian datuk dan sedikit wang ehsan. Kalau dari segi harta, memang Arman tidak dapat beri apa-apa. Maka, apa yang sebenarnya Bahrin mahukan?

“ Kau masih muda, masih banyak tenaga. Aku mahu kau kerja dengan aku,” Bahrin membuat permintaan di dalam perpustakaannya. Arman terpempan. Kerja dengan Bahrin? Tidak cukup pekerja lagikah orang tua ini?

“ Jaga keselamatan aku. Jadi pembantu aku,” kata Bahrin selamba sambil meneguk minuman di tangan tanpa memandang Arman.

“ Pembantu?” biar betul. Bukankah Bahrin sudah ada pekerja untuk membantu dengan hal-hal pejabat malah pemandu pun ada? Namun, bila difikirkan semula, mungkin ada rasionalnya juga. Ada kemungkinan mungkin Bahrin memerlukan lebih ramai pekerja. Yang di depannya ini bukan calang-calang orang. Sudahlah usahawan, penulis berbakat pula. Namanya sudah gah di seluruh negara. “ Di pejabat?” Arman bertanya takut-takut.

Bahrin berpaling menghadap Arman sebelum ketawa besar. Ada nada sinis di dalam ketawa itu. “ Pejabat? Takkanlah kau mahu bekerja di pejabat sedangkan aku tau apa yang pernah kau buat dulu. Manalah tahu, kalau aku terlepas cakap, kan? Atau kau rasa kisah kau dengan pakcik kau…. kau fahamkan?” lelaki itu sengaja membiarkan ayat tergantung hanya dengan persoalan. Arman seolah-olah dapat merasakan darah hilang dari wajahnya. Sah, lelaki ini memang kejam.

“ Tidak. Jadi pemandu aku dan mungkin, pengawal peribadi aku,” Bahrin memandang Arman, seolah-olah mahu menebak apa yang ada di dalam hati.

Ayat yang baru sahaja dilafazkan dirasakan seperti kerambit yang merobek perut Arman. Kalau diikutkan, Arman bakal memulakan kerja di pejabat, sama seperti wasiat yang dibacakan. Tetapi lelaki ini...

“ Tapi...wasiat?”

Bahrin tersenyum keji lagi. “ Kau mahu ikut wasiat atau kau mahu tulis wasiat dari dalam penjara?”

Jahanam, bisik hari Arman. Bahrin betul-betul tekad untuk hancurkan hidup Arman. Apa yang sudah jadi sebenarnya? Kenapa Arman yang jadi mangsa?

“ Kenapa? Kau malu?” Bahrin sengaja menguji.

“ Tidak,” Arman pura-pura senyum walaupun perit.

“ Bagus. Ingat, rahsia kau di tangan aku.”

Bagaikan tikus tersepit, Arman cuma mampu ikut arahan lelaki berperut buncit itu. Sudahlah keseorangan tanpa teman dan ketakutan, ada pula orang yang mengambil kesempatan. Dalam usia semuda itu, apalah yang Arman tahu. Dengan majikan, Arman terpaksa berbohong yang dia tidak suka kehidupan di pejabat. Dengan pakcik yang juga salah seorang pegawai di syarikat pula dia terpaksa menipu dengan mengatakan dia mahu cari pengalaman lain dahulu. Tidak langsung terfikir oleh Arman bahawa dia boleh meminta bantuan daripada saudara yang lain. Yang ada dalam kepalanya adalah kuasa yang ada pada hujung mata pena atau lidah Bahrin.

Sayangnya, belum sempat Arman habis mengumpul bukti untuk merampas kembali kehidupannya, Bahrin telah mati.


“ Belum apa-apa lagi, tua kutuk tak sedar diri tu dah mampus.”

No comments: