Saturday, October 11, 2014

Bukan Nama Sebenar: 22


Sehingga ke hari ini, Nazmi masih lagi diburu kekesalan kerana memusnahkan hidup Arman. Sepupu yang pernah dianggap seperti adik sendiri terpaksa menanggung dosa yang dia lakukan. Apalah yang diketahui oleh seorang budak lelaki berusia empat belas tahun bila terperangkap dengan dua mayat di dalam rumah sendiri. Nazmi dapat membayangkan Arman terpinga-pinga sehinggalah polis sampai.

' Kasihan, emak. Kasihan,' hanya itu yang selalu diucapkan oleh Nazmi. Mungkin Arman tidak tahu tetapi ayah sebenarnya selalu sangat pukul emak. Entah apalah dosa emak, Nazmi tidak pasti. Dan emak pula menahan selagi boleh. Silap, sebenarnya emak sentiasa tahan pukulan ayah. Ayah tidak sekalipun mengusik Nazmi kerana anaknya itu saling tidak tumpah seperti dia.

Seingat Nazmi, beberapa kali juga ayah pernah pukul emak hingga gugur bayi dalam kandungan. Mungkin emak berasakan dia terlalu muda ketika itu tetapi mulut orang tidak boleh dtutup, begitu juga dengan telinga Nazmi. Emak sentiasa memastikan ayah melakukan aktiviti itu bukan di depan Nazmi. Suara pun emak tidak mahu keluarkan kerana mahu melindungi anak sendiri. Namun, luka-luka dan lebam di tangan emak menjelaskan semuanya.

‘ Emak, kenapa tangan emak luka?’ tanya Nazmi suatu hari waktu emak melipat baju di ruang tamu.

‘ Semalam, terkena pisau. Kucing melompat depan tingkap. Terkejut emak,’ begitulah lancarnya emak menipu. Emak lupa yang suatu hari nanti Nazmi akan dapat cari jawapan akan apa yang sebenarnya berlaku.

Selalu sangat Nazmi dengar emak merayu suruh ayah berhenti tetapi bunyi tali pinggang, tumbukan dan tendangan terus kedengaran. Kadang-kadang Nazmi menangis di dalam gelap bila mendengar bunyi seolah-seolah guni beras ditumbuk bertalu-talu. Kemudian, semuanya jadi senyap dan kedengaran bunyi pintu terhempas. Nazmi tidak sanggup untuk keluar dari bilik tetapi dia tahu dengan susah-payah, emak minta bantuan daripada jiran sebelah. Dengan pertolongan merekalah emak dihantar ke wad kecemasan.

Mujur sahaja keadaan mula berubah sejak kehadiran Arman sewaktu Nazmi berusia lapan tahun. Disebabkan ayah dan emak menjadi penjaga pada Arman, datuk memberikan elaun kepada ayah. Bukan itu sahaja malah datuk turut memberi sebuah rumah yang lebih selesa. Emak juga diberikan kerja, walaupun hanya sebagai pembancuh kopi.

Waktu itu, sudah nampak sedikit perubahan dalam diri ayah. Mungkin, selama ini yang banyak mengganggu ayah adalah soal wang. Berapa sangatlah gaji seorang pemandu lori, apatah lagi emak tidak bekerja. Ayah tidak mampu mendapatkan kerja lain kerana taraf pendidikan menjadi penghalang. Sekalipun datuk orang kaya, ayah tidak pernah dapat simpati datuk. Kalau ayah mahu bekerja dengan datuk, ayah perlu duduki SPM. Ini syarat yang perlu dipenuhi.

Nazmi sebenarya seronok dengan kedatangan Arman. Sekurang-kurangnya, dia sudah ada teman bermain di tempat baru selepas berpindah. Tidaklah bosan sangat duduk di rumah seorang diri. Ke mana sahaja mereka berdua sehingga mereka dipanggil kembar oleh jiran-jiran. Apa yang Nazmi buat, Arman turut mengikut.

Cuma, entah bagaimana, Nazmi tersilap memberikan contoh yang baik. Dia yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik telah melakukan yang sebaliknya. Gurauan yang mulanya tidak merbahaya, berkembang menjadi sesuatu yang tidak terkawal. Nazmi mula berkawan dengan budak-budak nakal lalu mengheret Arman sekali. Bila kawan-kawan mereka mula mendera binatang di kawasan perumahan, Arman dan Nazmi bagaikan tersepit kerana mereka anggota paling muda. Hanya disebabkan berada di dalam kumpulan yang sama, mereka berdua juga dilabel sebagai budak nakal sekalipun tidak terlibat.

Nazmi sendiri mula rajin mengusik Arman. Kadang-kadang, gurauan Nazmi cukup kasar. Ada kalanya dia meletakkan bangkai anak kucing di dalam beg Arman. Pernah juga dia meletakkan tasbih emak di dalam almari Arman. Mungkin nampak biasa tetapi Nazmi lupa bahawa ayahnya garang. Teruk Arman dimarahi apabila perkara sebegini berlaku. Terpinga-pinga Arman waktu itu. Tetapi mujur sahaja ayah Nazmi tidak berani angkat tangan kerana teringat apa yang mungkin terjadi kalau datuk dapat tahu.

Seminggu sebelum Peperiksaan Menengah Rendah, emak diberhentikan kerja. Seperti dapat merasakan sesuatu akan berlaku, emak tidak lagi seceria biasa. Suasana di dalam rumah senyap sahaja. Tiada lagi celoteh emak yang selalunya cukup rajin bertanyakan macam-macam pada mereka berdua. Paling tidak pun, emak akan menyanyi kecil ketika mengemas rumah namun itu semua sudah tidak lagi berlaku. Ayah pula semakin kerap pulang lewat. Hinggalah pada suatu pagi terdengar pintu depan rumah dihempas kasar. Nazmi dan Arman terkejut daripada tidur. Dengan perlahan, Nazmi turun dari katil sambil memberi isyarat menyuruh Arman supaya senyap dan tunggu sahaja di dalam bilik.

Pintu bilik tidur dibuka perlahan-lahan untuk menjenguk ke ruang tamu. Emak sedang terperosok di tepi kerusi sambil ayah berdiri, mengangkat kaki kiri seolah-olah ingin menyepak emak. Rambut ayah kusut masai dan matanya merah, lain benar dengan rupanya sewaktu keluar rumah pagi tadi. Nazmi selalu terdengar daripada jiran-jiran terdahulu bahawa ayahnya kaki botol. Jantung Nazmi berdegup kencang. Terasa darah menyerbu ke kepala bila di depan mata sendiri ayah memijak muka emak. Dia menyelinap ke arah dapur untuk mencari parang sambil air mata meleleh. Apa dosa emak hingga ayah sanggup buat begitu?

' Kasihan emak. Kasihan,' Nazmi menyebut perlahan.

Dengan parang di tangan, Nazmi berlari dari arah dapur masuk ke ruang tamu sebelum senjata menghayun sekuat hati ke kepala ayah. Serangan yang tidak disangka-sangka itu mengejutkan ayah. Sebelum rebah ke lantai, ayah sempat memandang wajah Nazmi. Riak wajahnya seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi.

Nazmi tarik parang di kepala ayah dan bersedia untuk menyerang sekali lagi kalau perlu.

' Kasihan emak. Kasihan.' Emak yang sudah berhenti bergerak di sisi dipandang dengan air mata berlinang/

Namun, ayah yang sudah terbaring di atas lantai tidak lagi bangkit. Ayah tumbang menghimpit tangan emak yang kaku ketika itu. Ada kesan darah di bibir dan hidung emak. Di lantai terdapat kaca bersepah begitu juga dengan darah. Besar kemungkinan darah emak berdasarkan kesan luka di kepala. Nazmi mengongoi lebih kuat. Sambil dikesat air hidung yang mengalir laju, dahi emak dikucup perlahan. Rasa sejuk dari dahi emak menyelinap ke seluruh tubuh.

Nazmi hanya berdiri di tepi mayat ayah dan emak, buntu tidak tahu apa yang perlu dia buat. Entah bila Arman keluar dari bilik tidur mereka, Nazmi kurang pasti. Tahu-tahu sahaja dia sudah mencangkung di depan mayat ayah dan emak.

Tiba-tiba Nazmi tersedar apa yang baru sahaja dilakukan. Dia sebenarnya sudah menjadi pembunuh. Hulu parang yang berbalut dengan kain buruk dilepaskan ke lantai. Tanpa bertangguh, Nazmi terus sahaja melarikan diri ikut pintu belakang. Yang difikirkan waktu itu adalah dia tidak mahu ditangkap oleh polis.

Destinasi tujuannya adalah rumah datuknya. Jauh juga sebenarnya Nazmi berlari ke rumah datuk tetapi itu sahaja tempat yang dia tahu. Mujur sahaja datuk menerima kedatangan Nazmi pada malam itu. Semuanya diceritakan; tentang luka emak, tabiat ayah dan kubur-kubur kecil di belakang rumah mereka yang dikatakan kubur anak kucing. Datuk hanya mendengar, tidak berkata apa-apa. Yang Nazmi tahu, dia tertidur sebaik sahaja menghabiskan cerita. Apa yang seterusnya terjadi kepada Arman, tidak diketahui langsung.

Datuk tidak memberitahu apa yang terjadi kepada Arman. Nazmi turut dipindahkan sekolah dan tidak dibenarkan kembali ke rumah lama. Ada sepupu yang berbisik bahawa Arman dihantar ke tempat yang jauh, entah di mana. Ada pula saudara lain mengatakan bahawa Arman ditahan polis pada malam yang sama. Apa yang dapat diteka oleh Nazmi, mungkin sekolah pemulihan memandangkan Arman masih belum berusia lapan belas tahun. Dirinya terasa begitu berdosa sekali tetapi apakan daya. Apalah yang mampu dilakukan kalaupun dikhabarkan rasa bersalah pada datuk?

Maka hiduplah dia dengan perasaan bersalah yang sentiasa memburu. Terasa berdosa benar membiarkan Arman terperangkap di tempat kejadian tanpa memahami apa yang sedang berlaku. Kalau benar sepupu Nazmi itu ditangkap polis, dialah yang menyebabkan kehidupan Arman hancur sedangkan dia mampu lepas bebas begini.

Nazmi Aidid menutup fail kes. Kalau sebelum ini dia menyebabkan Arman terperangkap, biarlah kali ini sepupunya diselamatkan.

' Macam mana?,' Aina bertanya. Ada bungkusan makanan makanan di tangan kekasihnya itu.

' Kita makan dulu.'


No comments: