Tuesday, October 07, 2014

Bukan Nama Sebenar: 21


' Kamu tak mahu balik, Yana?' suara ibu Elle kedengaran di hujung talian.

Bagaimana Elle mahu beritahu ibu bahawa dia sangat ingin pulang, mahu duduk makan bersama ibu dan Sofia tetapi tidak boleh? Bagaimana dia mahu beritahu yang dia sebenarnya sudah sangat penat; penat dengan kerja dan risau tentang kesihatan sendiri? Bagaimana ingin dia luahkan yang hanya wajah Sofia dapat menjadi penawar kepada ketagihan Elle terhadap Xanax dan ubat-ubat lain? Bagaimana; sedangkan Elle tahu benar yang untuk kelangsungan hidup, dia perlu bekerja dan buat masa ini, hanya Bahrin yang beri dia kerja.

' Saya perlu periksa jadual saya dahulu, ibu,' Elle kesat air mata yang jatuh ke pipi sambil menjaga getar di dalam suara supaya tidak kedengaran. Siapalah yang tidak rindu pada anak sendiri, lebih-lebih lagi yang tiada di depan mata. Setiap perkembangan Sofia hanya dapat dilihat daripada gambar-gambar yang dihantar oleh adik lelakinya. Kalau nasib baik, adalah satu dua video yang sempat dirakam.

Elle terlepas semuanya; kali pertama Sofia berdiri, langkah pertama dan perkataan pertama. Kalau boleh, Elle mahu lihat sendiri Sofia membesar di depan mata. Malang, walaupun Kuala Selangor tidak jauh dari ibukota namun Bahrin tidak pernah mahu faham. Sekalipun lelaki itu mempunyai seorang anak, dia seolah-olah tidak mahu faham situasi Elle. Sudahlah Sofia tidak berbapa, sekurang-kurangnya berhati perutlah sedikit. Berilah peluang kepada mereka berdua untuk menghabiskan masa bersama. Ini tidak, Elle sudah diibaratkan seperti kembar lelaki itu. Ke mana sahaja dia pergi, Elle mesti ada.

' Banyak kerja ya, Elle?' suara ibu bertanya, lemah. Elle jadi serba-salah untuk menjawab. Sebenarnya, tidaklah begitu banyak kalau Bahrin tidak berkeras supaya Elle menjaga semua urusan daripada perjumpaan dengan pihak penerbit hingga kepada doktor peribadi. Soalnya sekarang, Bahrin tidak mahu melepaskan Elle daripada pandangan. Bukan itu sahaja, jika berada di dalam mesyuarat perniagaan, majikan Elle menyerahkan hampir kesemua kepercayaan untuk dia menguruskan hal-hal lain. Tidak kiralah samada berkenaan buku, novel, manuskrip, filem ataupun perihal pekerja di bahagian penerbitan.

' Boleh tahan juga, ibu,' Elle tertawa, menyembunyikan suara yang bergetar.

' Orang lain pun kerja juga, Yana. Baliklah sekejap. Takkanlah kamu tiada masa langsung untuk Sofia? Dia asyik sebut nama kamu sehari dua ini,' ibu merayu. Elle mengetap bibir sambil tisu ditekan ke bawah mata. Hancur hati rasanya bila terdengar nada kecewa di dalam suara ibu. Elle kehilangan kata-kata.

' Boleh tak Adik bawa Sofia dan ibu datang sini?' Elle cuba meminta belas kasihan ibu. Dia memang betul-betul tidak boleh pulang sekarang apatah lagi Bahrin kini sibuk benar dengan promosi buku yang terbaru.

' Kalau kami ke sana pun, belum tentu kamu ada di rumah,' sekali lagi kata-kata ibu bagai pisau halimunan yang menusuk hati Elle. ' Lagipun, Adik nak periksa.'

Elle menekan tisu ke bawah hidung pula. Mujur sahaja Elle berada di pejabat Bahrin dan tiada sesiapa di situ. Tidak seperti bilik yang lain, bilik Bahrin ditutup dengan kaca hitam. Kalau di pejabat sendiri, pasti ramai yang menyibuk dan kecoh.

' Tak mengapalah kalau kamu tak boleh balik, Yana. Nanti kalau kamu ada masa, baliklah.'

Ibu terus meletakkan telefon tanpa sempat Elle bercakap apa-apa. Orang tua, memang cepat terasa. Namun, apalah daya Elle. Berkeras mahukan cuti mungkin akan menyebabkan Bahrin mengambil tindakan drastik dan memecat Elle. Kalau diturutkan sahaja kata-kata majikan, terpaksa pula membelakangi keluarga sendiri. Tetapi, tanpa gaji, bagaimana pula mereka mahu meneruskan kehidupan?

Berat, penat kepala memikirkan. Kalau tidak kerana bayaran yang lumayan, mana mungkin Elle sanggup untuk menghambakan diri sebegini rupa? Dengan gaji yang Bahrin beri Elle mampu meneruskan restoran milik keluarga, menyediakan rumah baru untuk ibu dan membayar pengajian Adik. Itu belum lagi tentang Sofia. Fikir Elle, biarlah terjual jiwa dan raga asalkan mampu menyediakan hidup yang selesa untuk keluarga. Lagipun, dia tiada kelulusan. Kalau dibuang kerja, entah dapat entahkan tidak untuk bekerja di tempat lain.

Yang pasti, Bahrin tidak akan mudah melepaskan dia pergi. Tidak kiralah samada untuk meninggalkan pekerjaan sekarang atau pergi sekejap untuk kembali pada keluarga.

' Elle?' sapa satu suara. Entah bila Arman masuk ke dalam pejabat pun Elle tidak pasti. Diangkat kepala yang disembamkan ke atas meja perlahan-lahan.

' Kau ok?' Arman bertanya, ada takut di wajahnya. Elle hanya mampu mengangguk. ‘ Maaf, aku dah ketuk pintu tadi tapi mungkin kau tak perasan.

' Mungkin kau patut pergi basuh muka. Dia ada di bawah,' Arman berkata sambil meletakkan beg ke atas sofa.

Elle cepat-cepat bangun. ' Nanti kita cakap,' Arman bersuara sebelum Elle keluar dari pejabat. Dia memalingkan wajah, memandang Arman sebelum mengangguk.

Itulah kali pertama Arman membantu Elle. Dengan bantuan Arman juga, Sofia dan ibu Elle berjaya dibawa ke rumah Elle pada hari yang sama. Entah apa alasan yang diberikan oleh Arman tetapi petang itu dia dibenarkan bercuti.

Malam itu adalah malam yang paling berharga untuk Elle kerana keluarganya ada disisi. Itulah bantuan Arman yang tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh Elle. Untuk pertama kalinya, Elle berasakan ada orang lain yang boeh dianggap kawan. Dia tahu yang dia tidak akan sendiri untuk menghadapi semua ini.


No comments: