Rambut Aya yang beralun diusap oleh Kat
dengan perlahan. Kasihan, sisa air mata masih tampak di pipi yang gebu itu.
‘ Aril panggil pipi pau black pepper
mushroom,’ Aril pernah berkongsi dengan Kat satu masa dahulu. Satu masa yang
dirasakan sudah lama berlalu padahal baru beberapa bulan.
Sedu-sedan Aya terdengar, jelas. Gadis ini
terluka lagi. Entah apa pula kali ini.
‘ Aya…’ Kat memanggil lembut. Adiknya yang
seorang ini nampak lain benar sejak pulang dari kuliah sebentar tadi.
‘ Ya, kak,’ Aya terus beralih untuk
menghadap Kat. Pandangan Aya jatuh pada perut Kat yang membulat. Ada sinar di sebalik mata
yang sembap.
Kat tersenyum. Aya seringkali nampak
gembira melihat perut Kat yang semakin membesar. Seolah-olah tidak sabar untuk bertemu
anak saudaranya nanti.
‘ Nak pegang?’ Kat bertanya, manalah tahu
boleh bawa ceria sedikit pada Aya.
Aya mengangguk laju. Selalunya dia takut
benar untuk menyentuh perut Kat. Dengan wajah teruja (bercampur takut-takut),
Aya menyentuh perut Kat.
‘ Uh!’ Aya terjerit kecil sambil Kat
tertawa.
‘ Nampaknya dia tak sabar nak jumpa Maksu
dia ni,’ ujar Kat.
‘ Dia selalu tendang ye, kak?’ Aya
bertanya, nampak sudah lupa akan kedukaannya tadi.
‘ Kalau dengan abang Afiq, selalu. Bakal
jadi ibu saudara kesayanganlah, Aya nanti,’ Kat mengenyitkan mata. Aya tertawa,
sedikit serak.
Bila tawa mereka reda, Aya duduk dengan
kekok. Tubuh gadis itu disandarkan ke dinding hingga kaki berlunjur di depan.
Sepi mengisi ruang kosong di antara mereka berdua. Kat tidak mahu bertanya,
biarlah Aya yang buka mulut sendiri.
‘ Tadi, kami berselisih faham,’ Aya
memulakan bicara dengan suara rendah. Kat masih mendiamkan diri.
‘ Kak..,’ ada getar di hujung suara Aya.
‘ Ye, sayang?’ Kat membetulkan rambut Aya.
‘ Kenapa orang yang kita sayang boleh
lukakan hati kita?’ air mata Aya laju mengalir.
Kat terdiam. Betul, kadang-kala kalau
bergaduh dengan Afiq, inilah yang selalu difikirkan. Bukankah bersama dengan
orang tersayang sepatutnya menggembirakan? Mungkin benar. Tetapi kita terlupa…
‘ Aya, kita selalu kupas ubi kentang kan ?’
Aya cuma mengangguk dengan mata berkaca.
‘ Aya pakai pisau apa?’ Kat menduga lagi.
Mata Aya membulat, tidak pasti di manakah
arah tuju soalan ini. ‘ Pisau untuk kupas kentanglah, kak.’
‘ Bukan pisau biasa?’
Aya menggeleng. ‘ Kenapa tidak?’ Kat
bertanya, ada senyum nakal.
‘ Sebab bahaya. Nanti terhiris jari. Pisau
untuk kupas kentang lebih selamat.’
Kat tersenyum.
‘ Aya, cuba lihat ini,’ Kat mengunjukkan tangan
kanan. ‘ Nampak tak parut ini?’ ada satu garis putih di bahagian ibu jari Kat.
‘ Kenapa kakak?’ Aya kelihatan cemas.
‘ Inilah hasil potato peeler. Kakak
terhiris kulit sendiri masa tolong Mama,’ Kat mengusap parut di jari.
‘ Ish. Sakitnya,’ Aya menyeringai,
seolah-olah dapat merasakan kesakitan Kat. Ya, memang sakit. Sekalipun ia
terjadi sewaktu Kat berusia lapan tahun, ngilu dek mata pisau masih terasa. Masih
teringat baju kurung yang basah dengan darah dan raungan Kat yang memenuhi
rumah.
‘ Sayang, pisau yang kita sangkakan paling selamat
itu pun boleh lukakan kita. Pisau tidak bernyawa yang kita kawal sepenuhnya, apatah
lagi orang yang kita tidak boleh kawal,’ Kat memegang dagu Aya. Aya terdiam.
‘ Tak mengapalah, Aya. Tidur dulu. Nanti esok
pagi fikir semula,’ Kat bingkas dari katil adiknya.
‘ Kak!’
Kat sekadar memalingkan tubuh.
‘ Terima kasih,’ Aya tersenyum. Kat sekadar
mengangguk lalu menutup daun pintu bilik Aya.
No comments:
Post a Comment