Saturday, January 26, 2013

Periuk Belanga

Ada satu Periuk duduk di atas sinki. Ada satu cerek duduk bawah para. Periuk sentiasa pandang Cerek tak lepas, memerhatikan setiap apa yang terjadi pada Cerek. Maklumlah, duduknya tinggi, bukan macam Cerek.

Sehari-hari mereka menjalankan tugas. Kadang-kadang Periuk di atas dapur, mungkin berganti pula dengan cerek. Kedua-duanya hanya berbalas senyum.

Sampailah satu hari tuan punya barang-barang tidak di rumah. Didorong rasa bosan, Periuk bersuara:

' Kasihan kau, Cerek. Hitam sungguh badan kau aku tengok.'

Cerek yang sudah mahu terlelap waktu itu tersentak. Bukan sebab marah atau apa.

' Periuk, kau nampak sudu di depan kau?' Kebetulan ada barisan sudu yang bergayutan, dibiarkan kering di hadapan Periuk.

' Ya. Kenapa?' Periuk bertanya, bingung bunyinya.

' Bagus. Cuba kau tengok rupa kau dari situ dan kemudian bandingkan dengan aku,' Cerek berkata sambil tersenyum.

Periuk berpaling ke depan dan ikut arahan Cerek tanpa sebarang syak. Alangkah terkejut dirinya bila dilihat dirinya tiada beza dengan Cerek. Hitam dan kusam.

' Tak sedar diri,' gumam Cerek sebelum kembali tidur.

No comments: