Orang cakap ' humour is the best defense'. Macam kita sebenarnya sakit hati bila orang tanya 'bila turn awak ni?' tapi kita kebanyakannya senyum, ketap gigi dan cakap ' nanti, pukul lima'. Dan semua ketawa, termasuk kita yang sama terluka sebenarnya.
Orang juga cakap ' paling susah nak bercerita pada orang yang paling kita sayang sebab kita mahu dia approve apa yang kita buat'. Haih. Yang ini memang tidak dapat disangkal lagi. Kita mahu dia nampak kita semua oke walaupun sebenarnya di sebalik wajah yang tenang, ada tsunami dalam hati.
Orang ada cakap lagi ' yang paling banyak bercakap tidak semestinya banyak bercerita'. Nampak macam peningkan? Tapi itu kenyataan.
Itu belum lagi ' orang yang paling banyak ketawa adalah yang paling sedih sebenarnya'. Ini ada benar, ada tidak. Tetapi tak salahkan kalau kita bertanya?
Tanya. Itu sebenarnya. Ada separuh daripada kita yang tidak suka ditanya. Beri dia cukup masa dan dia akan bersuara. Ada pula yang mahu ditanya, mahu dihargai walaupun sekejap. Sebab dia sudah penat. Penat memikul semua beban. Penat jadi badut untuk orang lain sedangkan dia juga mahu seseorang dengar apa dia mahu cakap. Dengar tanpa menghukum. Dengar dia meluahkan sampai habis kerana dia tahu apa yang dia perlu buat cuma dia perlu lebih masa untuk ambil tindakan. Kerana apa? Sebab keputusan itu bukan mudah. Kalau dia teruskan, dia merana. Kalau dia tinggal juga dia yang merana. Berapa lama sakit itu akan ada, tak siapa tahu, malah dia sendiri tak tahu.
Tanya kerana dia sebenarnya sudah mula rasa sunyi dalam keriuhan. Bila-bila masa sahaja topeng kegembiraan yang dia pakai akan tertanggal hingga nampak liang bekas air mata di muka.
Dia cuma mahu seorang kawan yang boleh mendengar saat ini. Itu sahaja. Tolong beri dia peluang cari sedikit rasa lega dalam sesak akibat jerebu di luar sana. Di luar dan juga di dalam.
Jerebu. Jerebu hati.
No comments:
Post a Comment