Sunday, February 09, 2014

Dia: Di Tepi Lif

Seperti hari-hari biasa, dia bersandar gaya santai di tepi lif. Dengan buku di tangan, dia tenggelam dalam pembacaan sendiri; bukan seperti perempuan lain. Sebelah kaki disilangkan, bahu kanan menghimpit dinding lif. Senyuman yang sentiasa bersedia untuk muncul sentiasa bergayut dengan hati-hati di pinggir bibir.

Memerhatikan dia boleh bikin leka. Lupa seketika sakit hati dan kaki menunggu lif yang lama. Selesa benar dia dalam dunia sendiri hingga tidak pernah terfikir dia yang tidak pernah melakukan apa-apa, sebenarnya turut mengusik dunia orang lain.

Liana berpaling melihat Pali yang berdiri di sebelah kanan, mata masih tidak lepas memandang perempuan berselendang panjang yang sedang berdiri di depan mereka. Kawan sepejabat Liana sendiri sedang tersengih sambil mata tidak berkelip.

Rusuk kiri Pali ditolak perlahan oleh Liana dengan siku. Sedikit pun Pali tidak berkalih pandang. Cuma 'Ish!' yang terbit dari bibirnya.

' Lama sangat kau tengok anak orang tu,' Liana berbisik perlahan. Pali masih meneruskan aktiviti yang sama.

' Tegurlah,' Liana menggiat lagi.

' Seganlah,' kali ini Pali berpusing mengadap Liana sambil tangan kanan melurut rambut. Jarang sekali terlihat senyuman malu-malu Pali, tidak pernah sebenarnya.

Liana cuma mampu ketawa. Di telinganya seolah terdengar hati sendiri tercarik luka.

Kalau sahaja senyum itu kerana dia...

No comments: