Monday, November 30, 2015

Lengloi tulisan Maria Kajiwa

Lengloi biasanya dikaitkan dengan perempuan cantik. Ya, betul. Memang perempuan yang dipanggil Lengloi itu cantik tetapi...

Kedai buku merupakan salah satu tempat lepak yang saya sukai. Jadi, tidak salah rasanya kalau saya lihat-lihat koleksi cerita seram yang berada di pasaran. Bagi sesiapa yang mempunyai abang atau kakak atau ibu bapa yang gemar cerita hantu, anda boleh dapatkan ulang cetak Siri Bercakap Dengan Jin dari Tamar Jalis.

Sebenarnya bukan itu yang ingin diberikan perhatian tetapi yang ingin diceritakan adalah buku Lengloi tulisan Maria Kajiwa. Bahasanya kemas, jalan ceritanya bagus malah dialek untuk setiap bangsa cocok sekali digandingkan bersama. Dari gaya penulisan, memang jelas kelihatan Lengloi disiapkan dengan penuh sabar. Garapannya teratur dan membuatkan saya teruja untuk tahu apa akan jadi seterusnya.

Sekalipun mungkin boleh diagak siapakah yang mengganggu Muthu, namun Maria Kajiwa tetap membuatkan saya ingin meneruskan pembacaan tentang Lengloi. Dari seorang pemilik kedai kemudian berpindah ke seorang lagi, Lengloi sentiasa menjadi igauan ngeri setiap pemilik kedai. Bukan itu sahaja, tok sami dan tok bomoh yang dipanggil juga nampaknya tidak mampu untuk menghalau Lengloi.

Saya suka garapan cerita ini; sangat teratur gaya bagaimana setiap yang terlibat dikaitkan dengan Lengloi (samada mereka terlihat atau terserempak dengan Lengloi). Bagaimana Pak Kassim yang sentiasa ada berdepan dengan Lot 55 dan sentiasa ada dengan penyewa-penyewa yang baru.

Jelas kelihatan usaha yang dicurahkan untuk menulis Lengloi bukan sedikit. Yag membuatkan cerita ini lebih seram adalah bilamana dikatakan cerita ini berdasarkan kisah benar.

Harapan saya cuma satu; supaya kita dapat lihat lebih banyak buku ditulis secara 'bermaruah' seperti Lengloi.

No comments: