Rasanya, sudah lama betul Aya memiliki
payung ini. Payung hitam dihiasi bunga-bunga kecil yang kelihatan seperti bunga
melur.
Dia masih ingat lagi waktu dia membuat
pilihan untuk membeli payung tersebut. Waktu itu di dalam dompet hanya ada dua
puluh ringgit. Gaji masih lambat lagi. Sayu betul rasa hati, bagaikan terlihat
rama-rama berpusu-pusu berterbangan keluar dari dompet.
Banyak lagi payung yang cantik-cantik
tetapi Aya sudah mula berasa bosan dengan keceriaan yang pura-pura. Apa
salahnya dengan hitam yang jujur tidak mahu dibayangi warna lain hingga
menyerap warna lain sepenuhnya?
Lalu, payung yang terletak di rak paling
bawah dicapai lalu dibayar. Sejak hari itu, payung itu sentiasa menjadi teman
di dalam beg, kalau-kalau hujan waktu pulang dari kerja. Ataupun terik matahari
terlalu menggila hilang boleh terasa lemak di bawah lapisan dermis menjadi
cair.
Seperti juga dengan apa sahaja bahan
material yang ada, pastinya ia akan ditelan masa. Samalah halnya dengan payung
hitam kesayangan Aya. Mula-mula, hanya satu sahaja besi yang patah. Aya cuma membiarkan,
asalkan tiada besi yang tercabut hingga boleh mencederakan diri sendiri.
Alangkah seronok kalau boleh bertukar
payung setiap hari. Tiada sebab kukuh, cuma mahu padankan emosi dengan payung.
Seperti Payung Hari Ini. Namun, Aya gigih sedapkan hati sendiri.
‘ Warna hitam serap semua warna. Jadi,
dalam erti kata lain, payung aku sebenarnya warna-warni. Cuma tak nampak dek
mata kasar.’
Bijak betul Aya.
Petang ini, hujan lagi. Tidak lebat tetapi
Aya tidak suka menaiki keretapi dalam keadaan basah. Terasa sungguh tidak
selesa dengan keadaan itu. Lalu, Aya berhenti seketika di depan pintu kaca
bangunan sebelum mengeluarkan payung di dalam beg. Ada juga terselit rasa malu bawa payung lusuh
dan sudah rosak sebegitu tetapi sekarang sudah jam enam setengah petang. Lagi
lama dia bermonolog sendiri, lagi lambat dia akan sampai ke rumah.
Payung hitam yang sudah hampir rosak (tiga
batang besi sudah patah) dibuka perlahan-lahan. Besi tiga batang dibetulkan
untuk membolehkan payung terbentuk elok. Mata Aya meliar memerhatikan keadaan
sekeliling.
‘ Kakak, nak tumpang payung?’ seorang
wanita berkaca mata disapa perlahan oleh Aya.
‘ Ha boleh juga. Terima kasih, ya. Terima
kasih.’
Aya tersenyum puas. ‘ Berjasa lagi kau
rupanya.’
No comments:
Post a Comment