Monday, December 02, 2013

Ukur

Sara picit kepala yang dirasakan berdenyut. Soalan yang ditinggalkan menyebabkan dia jadi keliru dan bingung.

Sukar sungguh bila Hafiz bertanyakan soalan yang satu itu. Daripada seorang yang petah berkata-kata, Sara jadi seolah bisu.

Sara mengeluh sambil jari mencapai laju barang basah di dalam peti sejuk. Selalunya, bila berdepan masalah, memasak adalah jalan terbaik untuk mengurangkan galau di dalam hati. Sering juga kawan-kawan mengusik, susah menjadi rakan Sara. Bila sahaja Sara berasa risau, ada sahaja yang ingin dimasak.

' Jadi kawan awak memang tak dapatlah nak kurus, Sara,' kata Diana antara mengeluh dan rasa terharu. Mengeluh kerana terpaksa mengorbankan niat untuk mengawal makan (satu genggam karbohidrat sahaja sehari untuk Diana) dan dalam masa yang sama bersyukur kerana kepada Tuhan kerana Sara adalah seorang tukang masak yang hebat.

Kali ini, karipap. Lama benar Sara tidak membuat karipap. Lupa sebentar akan permasalahan yang singgah di fikiran bila kentang dipotong dadu sebelum dicampurkan dengan cebisan daging. Sekalipun rasa penat sedikit menguli doh, tetap rasa berbaloi. Sambil ditekan-tekan tepung di atas papan, terasa seolah masalah sendiri ditekan sama hingga jadi kepingan kecil.

Sesudah memasukkan beberapa biji karipap ke dalam ketuhar, Sara membersihkan perkakas yang digunakan.

' Kalau air, meter padu,' kata Sara sambil mengalirkan air melalui sudu.

' Kalau tepung...mungkin gram,' gumam Sara lagi sambil membasuh bekas yang masih berbaki tepung.

' Apa agaknya?' Sara terus membasuh perkakas di dalam sinki, otaknya tak berhenti berfikir.

Malangnya, sehingga habis membasuh pun Sara tidak mampu menjawab satu soalan yang ditanya oleh Hafiz.


' Banyak mana awak sayang saya?'

No comments: