Bayang yang menimpa kaki gerai menraik
perhatian Fatin. Tangan yang sedang rancak mengemas perkakas gerai hilang tempo
lalu bola mata beralih meneliti bayang; tertanya-tanya siapakah empunya diri.
Rupanya, bayang yang menyebabkan gerhana di gerai Fatin dimiliki seorang lelaki muda. Segak orangnya dengan seluar biru gelap serta kasut yang masih berkilat. Sebuah bag disandang di bahu kiri. Satu butang baju terbuka; kalau mengikut telahan Fatin, akibat bahang petang Rabu ini. Wajah lelaki muda itu bersih tanpa cela, menyebabkan Fatin tiba-tiba terasa sangat comot. Seolah-olah selapis tebal minyak menyelubungi wajah Fatin saat itu juga.
Fatin lebih daripada arif bahawa merenung
seseorang adalah perbuatan biadap namun curiga yang merasuk jiwa membuatkan dia
gagal mengalihkan pandangan daripada merenung lelaki yang masih tidak bernama.
Ini bukan kunjungan yang sering diterima pada hari jualan seperti ini. Selalunya,
yang datang berbondong-bondong adalah gadis-gadis yang masih terlalu muda (pada
pendapat Fatin, mungkin tidak pernah dengar jenama Sanita). Semuanya mencari jalan
untuk menarik perhatian pemuda-pemuda yang baru mengenal dunia (malah anatomi
perempuan). Selalunya, mereka ini cuba melakukan transaksi yang
sebetulnya tidak padan dengan apa yang Fatin sediakan di gerainya.
Mudah, sekali pandang pun Fatin sudah tahu
kalau pembeli mampu atau tidak membayar harga barang jualannya. Jam serupa
papan elektronik akan terpapar di atas kepala para pembeli; satu keistimewaan
yang dimiliki oleh semua peniaga di sini. Itulah kelebihan mereka yang menjual
barang yang cuma dapat dirasa, bukan disentuh.
Yang selalunya mampu adalah wanita dan
lelaki yang berwajah lesu dengan mata yang semakin hilang sinar, dilengkapi
dengan bahu yang sedikit bongkok. Namun, lelaki ini..
Dia bukan terlalu muda. Masih tegap namun
riak wajahnya seakan penat, tak ubah seperti bekas orang gila kerja yang mula
tersedar bahawa dunia ini lebih daripada kehidupan di pejabat semata.
‘ Ya, encik?’ Fatin bersuara setelah sekian
lama meneliti setiap inci tetamu yang sedang berdiri dengan dahi berkerut.
Soalan Fatin dijawab dengan senyuman plastik namun usaha itu harus dihadiahkan
tiga bintang. Masih ada nilai kemanusiaan walau jelas dia kecewa melihatkan
gerai yang hanya tinggal sebuah kerusi plastik.
‘ Sudah tutup?’ jawapan yang tidak perlu
dijawab sebenarnya. Namun, Fatin jadi jatuh kasihan. Harapan di dalam suara
lelaki tidak bernama sarat benar.
‘ Maaf. Semua sudah habis,’ Fatin cuba tersenyum.
Air liur yang ditelan sama terasa kasar seperti bercampur abuk kayu.
‘ Ah!’ lelaki tidak bernama mengangguk
sambil tunduk dan tersenyum. Kali ini, seperti susah sungguh mahu tersenyum.
‘ Tak mengapalah. Saya ke gerai hadapan,’ lelaki tidak bernama menundukkan sedikit badan seperti mohon maaf pada Fatin. Sedangkan, Fatin yang jadi serba-salah kerana jika lelaki tidak bernama melalukan transaksi di kedai hadapan, banyak benar nilai maruah yang akan hilang. Gerai yang menawarkan ‘Perhatian’ sebagai bahan jualan.
‘ Tak mengapalah. Saya ke gerai hadapan,’ lelaki tidak bernama menundukkan sedikit badan seperti mohon maaf pada Fatin. Sedangkan, Fatin yang jadi serba-salah kerana jika lelaki tidak bernama melalukan transaksi di kedai hadapan, banyak benar nilai maruah yang akan hilang. Gerai yang menawarkan ‘Perhatian’ sebagai bahan jualan.
Tanda ‘Kebahagiaan’ di tangan Fatin
dipandang sayu oleh lelaki tidak bernama sebelum dia berlalu pergi. Jualan di
kedai Fatin sememangnya tidak banyak dan hanya untuk yang benar-benar layak.
Ramai peminta, tidak ramai yang berhak menerima.
Mata Fatin masih lagi tidak lepas memandang
lelaki tidak bernama. Yang diperlukan sebenarnya adalah rasa disayangi dan
menyayangi. Malangnya, hari ini, apa yang dia akan peroleh adalah perhatian.
inspired by yum's question: kak, ada kasih sayang tak?
No comments:
Post a Comment