Elle tersandar pada kerusi. Pancaran cahaya dari kaca
televisyen terkena pada wajahnya yang penat. Tangan kanan yang memegang rokok
diletakkan di atas lutut, kemudian ditarik pula dekat pada dada. Wanita itu
sedang duduk dalam gelap, cuba
untuk menghadam apa yang ada di kaca TV. Sememangnya inilah yang dirancang
tetapi bila sudah berlaku, terasa bagai tidak percaya pula. Hilang akal
bagaimana untuk memberikan reaksi pada situasi sekarang. Di dalam kepala
terdapat seribu satu cadangan untuk meraikan kegembiraan pada hari ini.
Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kecil
bergetar tanda ada panggilan masuk. Elle memandang skrin telefon. Dalam hati
ada rasa gembira, mungkin hampir kepada rasa tidak percaya. Namun, ini juga
mungkin boleh jadi bala. Sudah lama tidak dapat berehat namun berita seperti
ini akan membuatkan telefon tidak berhenti berdering sepanjang hari. Cuti yang
selama ini ditunggu-tunggu bakal terganggu juga.
Dengan malas, Elle jenguk nama di skrin telefon. Nama
yang terpapar membuatkan dia tersentap sedikit lantas Elle menurunkan kaki
daripada sofa, dicapai telefon dengan tangan kiri. Tangan kanan menekan puntung
rokok yang sudah tinggal sedikit bakinya ke dalam asbak. Perbualan yang
seterusnya mungkin memerlukan fokus yang tinggi. Ini bukan kecil-kecil berita.
“ Pagi,” sapa Elle dengan suara serak-serak basah,
suara awal pagi bercampur suara mengantuk.
“ Kau dah tengok berita?” suara pemanggil kedengaran
segar. Samada dia sudah lama bangun ataupun tidak tidur semalaman.
“ Gila. Mustahil aku akan lepaskan peluang untuk
berita sebegini. Pastinya sudah,” ada senyum di hujung jawapan Elle.
“ Tahniah.”
Sudah lama Elle tidak senyum lebar di pagi hari. Sudah
bertahun sebenarnya.
Dan senyum itu bertukar kepada ketawa sebaik sahaja
panggilan tamat. Sebatang lagi rokok dinyalakan. Api yang muncul seketika
bagaikan metafora meraikan kemenangan.
No comments:
Post a Comment