Suasana di rumah mayat sugul, satu keadaan yang biasa
bila berlaku kematian. Yang tidak begitu biasa kali ini adalah keadaan sugul
yang semacam dibuat-buat.
Alia menolak kaca mata hitam ke atas batang hidung.
Tangan kiri wanita itu memegang gumpalan tisu yang sibuk dimainkan sepanjang
perjalanan dari rumah ke Hospital Kuala Lumpur. Percaya atau tidak, Alia
menangis di dalam kereta. Ada perasaan gembira, sedih, gembira,
sunyi....semuanya bercampur-baur. Selama lebih daripada enam tahun Bahrin wujud
dalam hidup Alia, bukan mudah untuk menerima bahawa akhirnya, lelaki itu sudah
tiada. Bukan hanya hidup bersama tetapi lebih kepada menguasai kehidupan wanita
itu. Apabila lelaki itu tidak pulang ke katil semalam, Alia sendiri tidak
percaya yang dia akan rindu bila sedar yang suaminya itu tidak akan pernah
pulang lagi.
Siapa sangka perasaan semacam itu mungkin wujud dalam
hatinya. Wajah Bahrin bersilih ganti di dalam minda Alia dengan pelbagai mimik
muka. Dalam banyak-banyak riak, wajah lelaki itu sedang tidur yang melekat di
dalam kepala kerana waktu itulah Bahrin nampak tidak merbahaya. Dalam apa jua
keadaan, Alia hidup dalam ketakutan ketika lelaki itu berjaga. Sekarang, jaga
adalah satu keadaan yang mustahil untuk dicapai oleh penulis tersohor bernama
Bahrin.
Pelukan yang diberikan oleh semua yang hadir di
hospital pagi itu disambut Alia dengan berhati-hati. Kalau boleh, semuanya
ingin dirangkul erat sambil melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga tetapi
itu tidak mungkin terjadi. Sekalipun hidup dengan Bahrin penuh ranjau, tidak
mungkin dia akan mendedahkan apa yang berlaku. Yang lelaki pula sekadar
menganggukkan kepala sebagai tanda hormat, sekalipun mata mereka singgah pada wajah
Alia lebih lama daripada yang sepatutnya. Namun, nampak benar mereka
berhati-hati kerana masih terlalu awal rasanya untuk “jual minyak” pada balu
muda ini. Sekalipun begitu, sudah ramai yang tertoleh-toleh ke arah Alia.
“ Elle,” Alia memanggil lembut pembantu Bahrin sambil
memegang bahu. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia cuba untuk tidak berteriak
suka. Wanita genit itu juga mengenakan tudung hitam dan baju hitam beserta
jambul yang sedikit keperangan menjengah keluar.
“ Alia,” Elle berpusing mengadap Alia. Elle tersenyum
lantas memeluk Alia erat. Risau pula kalau ada sesiapa yang terlihat senyum
Alia yang semakin lebar. “ Dia sudah tiada,” bisik Elle perlahan. Pelukan
direnggangkan dan Alia merenung wajah Elle. Untuk pertama kali sejak mereka
berkenalan, ada riak tenang di wajah Elle. Alia terasa seperti mahu menangis
kerana dia hampir dapat memahami apa yang dilalui oleh Elle.
Pelukan direnggangkan dan tangan Elle dipegang erat.
Jika Bahrin masih hidup, ini tidak mungkin akan berlaku. Mereka mesti berlakon
bahawa hubungan mereka sangat formal,
sekadar antara isteri majikan dan pekerja. Tipu belaka kerana sejak dari
awal lagi Alia sudah menganggap Elle seperti saudara sendiri. Malah, mungkin
lebih daripada itu sejak satu kejadian yang merubah hidup Alia.
“ Nak tengok dia untuk kali terakhir?” Elle masih lagi
berbisik. Alia cuma berdiam diri, menahan getaran yang dapat dirasakan di dalam
dirinya. Sekalipun Bahrin sudah terbujur kaku, masih ada ketakutan yang
bersisa. Sukar untuk menerima bahawa suaminya itu tidak akan mungkin bangun
lagi. Susah bagi wanita itu untuk menerima bahawa dia bakal hidup bebas dengan
pilihan sendiri.
Seorang lelaki yang hanya dapat dipastikan sebagai
pekerja di syarikat Bahrin memberi laluan kepada Alia sambil mengangguk. Geli
hati Alia melihatkan protokol yang tidak ubah seperti kerabat diraja.
Elle dan Alia berjalan hingga ke hujung bilik. Tiada
sesiapa di dalam bilik, hanya kedengaran derap kasut mereka berdua. Tiba-tiba, muncul
seorang lelaki di tepi kotak yang berisi mayat Bahrin. Kakitangan hospital
barangkali. Dia sekadar mengangkat wajah dan memberikan sebuah senyuman yang
sangat plastik sifatnya.
Bila peti dibuka, kedua-duanya dapat lihat wajah arwah
Bahrin yang sangat tenang. Kalau tidak kerana wajah yang sangat pucat dan juga
kesan luka pada bahagian kiri dahi, Bahrin kelihatan seperti sedang tidur.
Apatah lagi dengan mulut yang sedikit ternganga.
Dan Alia serta-merta menangis. Siapa sangka hari ini
akan tiba akhirnya? Hanya Tuhan sahaja yang tahu berapa kerap Alia berdoa agar
hari ini tiba. Entah berapa lama dan entah berapa banyak Xanax telah ditelan sepanjang
dia hidup bersama arwah. Itu belum termasuk ubat penenang yang lain. Inilah
peluang bagi Alia untuk berhenti bergantung pada ubat-ubat tersebut kerana
tiada apa lagi yang perlu ditakutkan lagi.
Tiada kata-kata yang keluar daripada bibir mereka
berdua. Hanya sunyi menyampaikan emosi mereka berdua.
No comments:
Post a Comment