Aku bukan alas kaki kau...
‘ Nita.’
Ah, sudah. Datang pulak mamat ni. Semalam Haji Usop cakap mamat ni datang jugak kat sini. Tapi tak pula dia bertanya pasal aku. Mungkin dia tak tau yang aku kamceng dengan Haji Usop.
Tanpa dijemput, pemilik suara tersebut melabuhkan punggungnya di kerusi yang terletak di hadapan aku. Sekalipun pandangan aku terus tertancap ke arah udang yang menghuni bihun sup aku, aku pasti punggung itu bersalut jeans Levi’s bewarna biru pekat, seperti biasa. Apa yang tidak biasa adalah kehadiran pemilik suara itu tidak aku jemput pada petang ini. Tidak seperti dulu atau secara tepatnya, tiga bulan yang lalu.
‘ Far,’ aku cuba lontarkan suara sekalipun sudu mengekang bukaan mulut.
‘ Azfar,’ tenang sahaja suara itu membetulkan sebutan namanya.
Sejak bila pula pandai berkira? Tetapi persoalan itu hanya tinggal di benak, tidak terlontar lebih daripada perimeter kranium kerana aku cuak kalau-kalau perbuatan aku itu bakal buatkan Azfar mengamuk di kedai Haji Usop.
‘ Azfar.’ Aku betulkan sebutan namanya. Pandangan aku halakan ke arah wajah Azfar. Wajah yang sudah lama tidak aku lihat. Kurang lebih sudah empat bulan.
Tetapi petang ini wajah itu begitu serius. Kalau aku tidak kenal betul dengan Azfar, pasti aku akan mengatakan Azfar ini orangnya garang. Padahal Azfar tidak begitu. Aku tahu dia kurang senang tentang sesuatu. Dan sesuatu itu sangat-sangat aku ketahui.
Mata kami masih bertentang. Sebetulnya aku tidak begitu nampak matanya kerana cermin mata aku letakkan di sebelah mangkuk bihun sup untuk memudahkan aku menikmati hidangan kegemaran aku itu. Jadi, tiada langsung rasa malu ataupun janggal sekalipun apa yang bersarang dalam hati aku kini adalah perasaan campur, meluat dan culas untuk berhadapan dengan Azfar.
‘ Kita makin jauh, Nita.’
Ayat itu buat aku tersentak. Sudu yang sudah setengah jalan ke mulut, tergantung di udara. Bagaikan babak di dalam filem, angin pun bertiup ke arah kami, menutup wajah aku dengan rambut separas bahu. Dan ayat itu sendiri macam skrip filem murahan. Aku hampir tergelak juga memikirkan hal tersebut.
Aku tidak tahu apa jawapan yang patut aku berikan terhadap kenyataan tersebut. Malah, aku tidak pasti jika kenyataan tersebut memerlukan sebarang komentar. Entah, aku jadi serba tidak kena. Duduk aku di atas kerusi plastik bewarna biru itu jadi menggelisah. Titik-titik kecil mula menjengah dari dalam epidermis di bahagian dahi. Sekalipun demikian, selera makan aku masih belum tertutup.
‘Buat kerja biar habis,’ itu pesan abah. Maka dengan itu, akan aku kerjakan bihun ini sehingga habis!
‘ Bos! Milo ais satu.’
Ah biar benar Azfar. Takkanlah kau mahu duduk di sini minum bersama aku? Tak malu, datang kau tidak berjemput.
‘ Minum je?’ Kenapa itu yang aku tanya? Mulut aku memang pembelot. Lain yang terlintas di benak, lain pula yang terluncur dari bibir aku.
Azfar tersenyum tetapi jelas, senyuman itu tidak sampai ke mata. Nyata, senyuman tersebut sekadar mengisi ruang kosong yang sepi di antara kami dan tidak ikhlas. Aku nampak kerana cermin mata telah aku sangkutkan semula ke batang hidung.
Astaghfirullah. Aku berburuk sangka.
Lama ditenungnya aku, seolah-olah ingin memastikan samada aku bergurau dengan pelawaan tersebut. Aku pula sengaja ingin melawan bertentang mata dengan dia. Entah di mana aku dapat keberanian itu hari ini, aku tidak pasti. Tiba-tiba aku tersedar maka aku larikan pandangan condong sedikit ke sebelah kanan. Aku tidak mahu dia menyangka aku rindukan dia juga.
‘ Mana kau hilang, Nita?’ soalan aku tidak berjawab sebaliknya Azfar melontarkan soalan lain pula.
‘ Ade je kat sini,’ tangan aku sibuk memintal tisu di tangan. Lunyai jadinya. Aku hanya ingin mengisi masa lapang kerana teh o ais limau aku masih belum bersentuh sekalipun aku tidak mahu mengadap wajah Azfar tika ini. Rsanya aku mahu lari sahaja kerana wajah itu, aura dan tenaganya buat aku rasa jelak.
‘ Kau faham apa maksud aku kan?’ tangan kanan Azfar diletakkan ke atas meja. Aku lihat ada sebentuk cicin di jari hantunya. Aku hampir tersenyum mengenangkan yang Azfar sudah berubah. Dulu, dia tidak akan mengenakan cincin sebegitu. Biarlah, sedangkan pantai pun berubah inikan pula manusia. Lihat saja aku sendiri, petang ini berjalan seorang diri ke kedai Haji Usop dengan rambut separas bahu dibiar sahaja, tidak seperti selalu. Berikat kemas gaya ekor kuda. Sebaik sahaja bangun daripada tidur, hati berbisik hari ini adalah hari gembira buat aku maka aku ubah sedikit penampilan yang sedia selekeh. Cuma aku agak musykil samada kata hati aku itu akan terus-menerus jadi kenyataan dengan kehadiran Azfar kini. Kehadiran Azfar yang sebenarnya begitu merimaskan.
‘ So, what’s up?’ sengaja aku lontarkan soalan dalam bentuk bahasa asing. Aku masih lagi terpengaruh dengan drama siri Friends yang aku tonton tanpa henti dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari tadi.
‘ Kau mengelak dari aku Nita.’ Sekali lagi aku diibebani dengan kenyataan dari mulutnya. Aku tidak suka keadaan ini kerana ia tidak memberi aku sebarang ruang untuk mempertahankan diri aku.
‘ Kenapa?’ Akhirnya Azfar, akhirnya! Akhirnya kau tanya juga soalan itu. Tanpa sedar, aku mengulum senyum. ‘ Kenapa kau senyum?’
Tiba-tiba aku rasa darah aku mendidih. Jangan tanya bagaimana dan kenapa tetapi tiba-tiba aku terasa ingin dibenamkan sahaja garfu di tangan aku ke leher Azfar sebaik sahaja terdengar soalan itu.
‘ Ouh sekarang aku dah tak boleh senyum la? Kenapa? Bakal mendatangkan bahaya kepada negara ke?’
‘ Bukanlah maksud aku begitu?-‘
‘ Bagus. Ha baik kau cakap je apa yang kau nak,’ lancar sahaja ayat itu keluar dari mulut aku. Marah yang aku simpan selama ini tiba-tiba sahaja meletus. Seperti cendawan selepas hujan, seperti pemeras ugut yang bersembunyi di balik lorong sunyi, menjerkah mangsa yang tidak tahu-menahu apa-apa. OK mungkin itu tidak berkaitan tetapi orang yang marah, jarang rasional.
‘ Aku rindu kau, Nita’
-bersambung-
4 comments:
oh kadang2 kita memang emosi. tapi pihak lagi sorang tu pun kadang2 blur ayam. sepak je si azfar tu :P
*emo emo*
kenapa bersambung? kenapa? kenapa? kenapa??
saya memahami apa yang tersirat. eh? hehe..
bihun sup memang sedap!
(eh?)
syud: sepak? langgar ngan treler 18 tayar je la dah kot
kinkin: sat sat. 7 page MS word ni
maul: ouh masakkan...plisss
Post a Comment