Wednesday, June 18, 2008

Entah kenapa, ramai orang kata malam itu menyimpan seribu rahsia. Rahsia yang tak terungkapkan. Sudah digali, cari dan gali lagi, persoalan masih tidak terjawab.

Jika setahun dulu, malam itu waktu terbaik untuk bersosial bersama teman-teman (baca: melompat dari satu kedai mamak ke satu kedai makan). Kemudian, pulang bersantai (baca: anyam ketupat depan TV, bergosip sampai pagi atau layan movie). Cuma sekarang, malam makin sepi. Seawal jam 10, mata sudah makin kuyu. Cermin mata sudah lama terperosok ke bawah bantal.

Kata orang, malam waktu paling sesuai untuk mencari diri sendiri. Malam adalah waktu terbaik mencari inspirasi, menyusun kata-kata buat seorang yang dipuja malahan terbaik untuk mendrafkan belanjawan bulan hadapan (mungkin si dia ingin berlucu). Sepertiga malam pula sesuai untuk mendekatkan diri pada yang Esa (cuma lewat ini, rasanya lebih ramai yang mata tertancap ke TV).

Semalam, mata berat tetapi aku resah. Badan penat tetapi dudukku sering berkisar. Huruf menari-nari di depan mata hingga apa yang dibaca satu pun tidak tertangkap dek neuron. Maka, setengah jam yang dihabiskan di atas katil untuk menelaah itu, membazir begitu saja.

Kerana suaranya terngiang-ngiang dan tawanya mengisi ruang kosong empat segi berwarna hijau. Serasanya setiap data yang diproses ke otak terbantut kerana perlu beri laluan kepada ulang tayang wayang yang tidak pernah terjangkakan akan tetap lekat, kejap dan padu di minda.

Mungkin sudah fitrah makhluk bernama perempuan, yang emosinya tidak bisa terguris, untuk menghabiskan hampir sepanjang hari memikirkan tentang si dia. Apalagi kalau kenangan itu benar-benar mengusik, menyuntik humor dalam keadaan separa sedar. Seharian senyum tak lekang di bibir, padahal kerjanya cuma baca berita dan tulis semula. Entah apa yang lucu bila baca kertas kerja tentang penggunaan kredit card di Singapura atau pembentangan belanjawan untuk import minyak oleh Iran, mahupun pembinaan hotel di Vietnam oleh IHG. Mujur juga tiada siapa yang perasan atau akan ada saja mulut-mulut yang bertanya soalan-soalan yang aku kira sukar sekali untuk dijawab,'Teringatkan buah hati ke?' ('Takla. Buah catur. Tak pon buah-buahan)

Bila fikiran menerawang jauh, mata makin sukar ditutup. Entahkan permainan apa yang gila begini. Bisa buat aku tak lelap mata hingga pagi. Sudahlah jam 6 sudah mahu angkat gayung, siram air sesejuk embun ke tubuh, jam 1 pagi masih tenung siling dalam kegelapan, seolah-olah cuba membilang bilah kipas yang pastinya cuma ada tiga. Telinga tertangkap bunyi muzik dari bilik sepupu tetapi malam semalam, ia langsung tak beri kesan. Selalunya darah akan mendidih bila dengar muzik sebingit itu jam 1 pagi. Tapi tidak semalam.

Kerana aku tahu, mata nyalang terbuka bukan sebab sesuatu yang ada di depan mata. Tetapi sesuatu yang jauh di mata, yang sebetulnya aku sendiri tidak tahu di mana.

Ini semua gila. Di saat aku merasakan aku punya kuasa sepenuhnya atas hidup aku sendiri, kemudian ini terjadi. Buat aku nanar. Resah. Libanglibu. Ah, rasa semua.

Tiada apa lagi yang boleh ditidakkan. Entah, tak tahu .. sebetulnya aku tak mahu tahu.

Akan tersungkurkah aku, mengalahkah aku, atau akan percayakah aku pada kenyataan yang pernah dilontar seseorang satu masa dulu : Kamu tidak boleh pilih untuk mencintai sesiapa. Dan untuk membendungnya, mustahil dilakukan.

Saat itu, aku paling lantang menentang kenyataan. Aku yang paling kuat menidakkan ayat itu. Kerana aku sangat-sangat percaya bahawa kita punya seratus-peratus kuasa untuk mengawal, mengemudi perjalanan hidup ini, hatta soal hati sekalipun.

Maka hati jadi tambah resah. Kerana diusir tak mahu pergi, dihalau tak mahu lari.

Tuhan, berikan aku kekuatan untuk menangkis mainan perasaan ini.

1 comment:

Nadia J said...

ucu, i feel you ucu.. ;)