Wednesday, March 02, 2011

mengapa monolog sama bulan? kerana monolog sama dinding itu membosankan. latar belakang dinding cuma satu. lainlah kalau aku sudi cat dinding rumah hari-hari maka ada kelainan di siti. 

tetapi tidak bulan. kitarannya tetap menyebabkan rupa parasnya sering berubah-ubah. ada bulan penuh, bulan sabit dan datang bulan. datang bulan mungkin tidak begitu tetap bagi setiap orang. itu bergantung. aku tidak berminat mahu jadi pakar perubatan di sini. 

seronok sebenarnya bermonolog dengan bulan. kalau duduk di apartment, boleh duduk di beranda, sandar ke dinding dan tenung wajah bulan. mahu bercakap kuat-kuat atau berbisik, itu terpulang. tetapi ingat, mungkin kau akan dilabel gila. 

monolog dengan bulan lebih mudah daripada bermonolog di depan manusia. berbuih mulut bercakap, panas telinga, sakit belakang duduk di kerusi bersyarah pun belum tentu orang faham. tetapi dengan bulan, kau tahu apa risiko yang kau ambil. bulan tidak akan sekali-kali menjawab soalan ataupun melontarkan persoalan. cakaplah apa sahaja. 

bulan tidak pernah menaruh harapan. bulan juga tidak pernah menarik balik harapan. apa yang dilakukannya adalah cuma berada di situ saban malam, kecuali apabila tiba takdir Tuhan. bulan tidak pernah takut bersinar, menerangi gelap malam. tidak pernah memberi pesan 'jangan berharap aku muncul esok'. mungkin kerana bulan tidak pernah bercakap. 

bila bulan tiba, aku hanya mengharapkan dan menghargai kecantikan malam waktu itu. aku tidak peduli apa yang akan muncul bila bulan memberi baton kepada matahari. kerana yang penting adalah menikmati apa yang ada, bukan menunggu, menilik dan bertanya ' apa akan jadi bila....'. 

No comments: