Hanya ingin melengahkan masa, Alia mengulang kembali
soalan Aidid.
“ Mengapa?” Alia tersenyum, seolah menyindir. Dalam
kepala sibuk memikirkan bagaimana untuk menyusun ayat untuk disampaikan sehalus
mungkin.
“ Saya salah seorang daripada pelatih di syarikat Bahrin.
Sebelum itu lagi, saya sudah biasa menulis cerita seram di dalam majalah dan
suratkhabar. Malah, sebelum saya menyertai program pelapis penulis, saya sudah pun
ditawarkan kontrak untuk menyiapkan novel.”
“ Tulis novel? Wow. Awak ambil tak tawaran itu?” Aidid
spontan bertanya. Teruja jadinya bila mengetahui perempuan muda di depannya ini
pernah menjadi penulis. Kagum sebenarnya kalau berhadapan dengan orang yang
bergiat dalam bidang seni ini. Entah apalah yang mereka fikirkan hingga mampu
mengeluarkan hasil yang tidak terjangkau dek akal.
Wajah Alia berubah. Mana mungkin dia lupa akan hari
itu? Hari di mana dia tandatangan sendiri takdir yang menyeksa. Dia tahu bahana
yang akan menanti bila kontrak itu ditandatangani tetapi apakan daya, saat itu
dia terdesak. Baru sahaja habis belajar, bahu sudah tergalas hutang yang bukan
sedikit. Mahu tidak mahu, helaian kertas yang mengandungi terma kontrak diselak
perlahan-lahan sekalipun Alia tahu yang dia memang sudah tiada pilihan lain
melainkan terima sahaja. Boleh diibaratkan seperti lembu yang terbaring
menyerahkan leher untuk disembelih.
Menolak tawaran Bahrin bermakna Alia membunuh kerjaya
sendiri. Pengaruh Bahrin sangat besar; dia boleh menjatuhkan atau membina
kehidupan sesiapa dalam sekelip mata. Menerima apa yang Bahrin hulurkan juga
mungkin boleh jadi perangkap. Bukan mungkin tetapi Alia sudah pasti akan
dirantai di situ. Melalui mata Bahrin dia sudah tahu bahawa dia tiada jalan
keluar.
“ Ibu dah tua, Alia. Tak larat,” masih
terngiang-ngiang suara ibu di pendengaran waktu masih tekun membelek lembaran
kertas kontrak. Tangan sebenarnya sudah menggigil mencapai pen namun masih juga
dia menanti kalau-kalau ada apa-apa ilham di saat-saat akhir. Akhirnya, Alia
terpaksa mengaku kalah bila teringatkan ibu. Di atas kertas itu jugalah dia
menandatangani takdir sendiri.
Seakan masih terlihat senyuman kejam Bahrin pada hari
pertama Alia memulakan kerja. Kalau boleh, pita rosak di dalam kepala mahu
dihentikan namun otak degil, terus memainkan rakaman mana tahu ada yang boleh diguna
untuk membantu menjawab soalan Aidid.
“ Ya. Saya terpaksa demi wang,” Alia cuba menahan air
mata daripada gugur lagi bila mengingatkan hari yang cukup dibenci.
Aidid tersenyum sinis. Melalui pandangan mata sahaja,
mereka sama-sama bersetuju dan faham apa
yang berlaku. Masalah graduan zaman sekarang. Hendak memulakan pengajian di
universiti bukan mudah, sudah habis belajar pun payah.
“ Itu sahaja?” Aidid bertanya lagi, kecil sahaja
suaranya. Alia tahu benar apa yang Aidid maksudkan. Dia seolah-olah dapat
membaca yang Aidid sedang berfikir tentang perkahwinan dia dengan arwah.
Bila-bila masa sahaja soalan itu akan terpacul daripada mulut Aidid.
Bukanlah maksud untuk menjadi tukang baca minda tetapi
cerita Bahrin-Alia terlalu kontroversi. Perit. Soalan dan maksud yang tersirat
membuatkan hati Alia seolah digarit. Terasa seolah-olah luka lama yang tidak
nampak itu berdarah kembali.
“ Maksud awak, perkahwinan kami?” Alia bertanya dengan
getar di hujung suara. Riak wajah Aidid dan soalan yang terkandung makna
tersirat menjemput air berkumpul di birai mata.
Aidid mula rasa seperti mahu lempang diri sendiri.
Tisu, kenapa dia lupa terus tentang tisu?
“ Saya diperangkap,” tangan Alia pantas mencapai
sesuatu di dalam beg tangan. Mata Aidid turut beralih mengikut gerak tangan
Alia. Janganlah wanita ini mengeluarkan benda yang bukan-bukan daripada beg.
Perempuan, bawa beg besar-besar isi entah apa. Senapang gajah pun boleh muat
dalam beg tangan mereka.
Hati Aidid jadi lega bila ternampak tisu baru di
tangan Alia.
“ Mujur bukan pistol. Hish… terbawa-bawa pula jalan
cerita dalam drama,” kata hati Aidid.
No comments:
Post a Comment