Saturday, April 19, 2014

Bukan Nama Sebenar: 9

Resah. Itu adalah deskripsi paling tepat untuk Arman sekarang. Bertahun-tahun lamanya hidup dilindungi Bahrin, kini perlindungan itu sudah hilang. Bayangan hitam masa silam seolah-olah kembali memburu.

Kalau mereka tahu siapa dia sebenarnya, habis semuanya. Siapa yang mahu percaya lagi pada dia? Siapa yang mahu pandang Arman sebagai seorang manusia?

Adat menjadi seorang bekas pesalah, Arman sudah lali diburu rasa berdosa. Sekalipun tidak pernah dipenjarakan tetapi siapa yang mahu percayakan dia yang sudah pandai buat jahat sejak kecil?

Daripada melayan kegelisahan dengan mundar-mandir, Arman duduk di meja makan. Kopi yang sudah sejuk, dituangkan ke dalam cawan. Semalaman Arman tidak tidur, mungkin malam ini keadaannya tetap sama.

Kisah silam yang gelap terus-terusan menghambat Arman. Kalau boleh diputar kembali waktu silam, mahu sahaja dia kembali ke zaman itu. Siapalah yang mahu percaya yang dia tidak bersalah sekarang kalau dari dulu pun tiada siapa yang sudi percaya? Siapa yang mahu dengar bahawa Arman cuma mangsa keadaan?

“ Budak-budak dah pandai buat jahat. Kalau dah besar nanti entah macam mana perangai kamu.”

Arman tersengih-sengih waktu diherdik begitu dahulu. Sudahlah anak yatim piatu, terpaksa menumpang kasih saudara sendiri. Sejak usia lapan tahun, Arman dijaga oleh pakciknya yang bongsu. Mujur sahaja anak paksu dan maksu waktu itu hanya seorang, lelaki. Usianya setahun lebih tua daripada Arman.

Sejak kecil lagi, sudah nampak belang Nazmi. Peribadi sadistik Nazmi sudah dapat dilihat apabila dia sering menyeksa binatang, terutamanya kucing milik jiran sebelah. Waktu itu, Arman tidak pernah faham. Nazmi dilihat sebagai seorang abang yang bergaya dan hebat maka Arman mengekor sahaja ke mana dia pergi. Setiap kali Nazmi melakukan sesuatu kepada kucing-kucing di kawasan perumahan mereka, Arman cuma menjadi pemerhati. Di dalam hatinya, ada sedikit rasa kagum bercampur gusar dengan perbuatan Nazim. Kasihan pada kucing-kucing tetapi dalam masa yang sama tidak berani untuk bersuara.

Sehinggalah satu hari apabila Arman mula perasan yang Nazmi menikamnya dari belakang. Arman mula jadi mangsa tuduhan Nazmi. Apa sahaja kejadian pelik yang berlaku, Nazmi akan menuduh itu angkara Arman. Bukan susah untuk menuduh Arman kerana kedua-dua orang tua di dalam rumah mereka sibuk bekerja. Hanya kata-kata yang dapat menjadi bukti.

Perbuatan Nazmi mungkin tidak besar tetapi ia memberikan kesan kepada Arman. Dia seolah-olah hilang tempat bergantung kerana hanya sepupunya sahaja yang dipercayai. Kalau sepupu sendiri sudah sanggup mengkhianati, kepada siapa lagi dia hendak mengadu?

Cuma mungkin, mungkin makciknya percaya bahawa dia tidak bersalah. Setiap kali Arman dimarahi pakcik, pasti ada sahaja cara makcu memujuk. Kadang-kadang dengan coklat, kuih ataupun gula-gula. Tidak kiralah apa pun tetapi pasti ada sahaja yang ditinggalkan di depan pintu bilik.

Telefon di dalam poket Arman berbunyi kuat. Skrin memaparkan nama Alia di talian dan hati lelakinya cair. Peribadi wanita yang baru sahaja menjadi balu itu merentap-rentap jiwa lelakinya, malahan sebelum kematian Bahrin lagi.

“ Saya minta maaf. Maaf,” tiada sapaan pembuka kata. Perkataan yang menyerbu ke gegendang telinga Arman adalah patah-patah perkataan yang basah dengan sendu.

“ Waalaikumussalam,” dalam keadaan begini pun Arman masih mahu berlucu.

Ada ketawa yang tersekat-sekat di hujung talian.

“ Ini serius. Saya minta maaf. Lepas ini, pihak polis akan soal-siasat awak pula.”

Arman diam. Lebih baik biarkan Alia terus bercakap sekalipun sukar untuk memahami apa yang cuba disampaikan kerana tangisan yang mengganggu.

“ Mereka tahu yang saya ke restoran itu semalam. Mereka mahu tahu adakah awak melindungi saya.”

“ Tak mengapalah Alia. Saya rasa memang sepatutnya pun mereka akan cari saya. Lagipun saya memang sudah jangkakan mereka akan cari orang-orang yang terdekat dengan Bahrin,” kadang-kadang, Arman curi-curi juga tonton CSI kalau ada masa. Adalah juga ilmu kepolisan yang dia curi sedikit-sedikit. Siapa lagi yang mempunyai potensi besar untuk mencederakan mangsa kalau bukan orang yang rapat?

Lagipun, apa yang Alia beritahu tidak langsung bermakna apa-apa kalau nak dibandingkan dengan masa silam Arman.

“ Maaf.”

“ Tak perlulah, Alia.”

Bertahun-tahun bersama Bahrin telah menjadikan seorang wanita yang cukup berdikari menjadi seorang yang sentiasa meragui keupayaan sendiri. Kasihan. Ini bukan Alia yang pernah Arman kenali. Alia yang dulu adalah seorang gadis yang cukup ceria, ramah dan mempunyai keyakinan diri. Bahrin sudah bunuh semua itu dan hanya tinggalkan seorang wanita yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Penumbuk dikepal tanda geram. Dendam pada si mati masih tidak terlunas dan tidak akan selesai sampai bila-bila. Sudahlah wanita yang dicintai dalam diam dirampas, diubah pula menjadi seseorang yang cukup asing. Mengapalah seseorang tergamak untuk melakukan ini semua pada Alia?

“ Awak perlu rehat. Awak mesti penat,” pada telinga Arman sendiri, ini kedengaran seperti kata-kata teman lelaki pada teman wanita yang baru sahaja pulang daripada tempat kerja.

Ada ketawa kecil di hujung sana. “ Baiklah.”

Yang ada di fikiran Arman sekarang ini adalah Alia. Biarlah polis tahu apa yang pernah terjadi, sekurang-kurangnya Alia tidak tahu tentang rekod Arman. Entah apa yang akan terjadi kalau rahsia itu terbongkar. Pernah juga terfikir kalau Bahrin bercerita kepada isterinya. Mungkin tidak pernah kerana Alia tidak pernah menunjukkan tanda bahawa dia tahu apa-apa.

“ Aku akan simpan rahsia kau. Sekali kau belot, semuanya akan bocor,” ugut Bahrin beberapa tahun yang lalu.

Itu cara Bahrin, seorang oportunis. Dan sebagaimana ugutan-ugutan yang lain, mangsa tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada menurut sahaja.


Ah, biarlah. Ambil sahaja peluang yang ada bermula hari ini. Sekurang-kurangnya, kali ini Arman berpeluang mendekati Alia tanpa perlu risau tentang halangan utama. Harap-harap Bahrin pandai bawa rahsia ke lubang kubur. 

No comments: