Ubat di tapak tangan Alia dipandang dengan rasa sayu.
Ingatkan dengan pemergian Bahrin, semua mimpi ngeri akan berakhir. Siapa sangka
memori yang tinggal akan sentiasa berputar seperti pita rakaman yang sudah
rosak? Mahu tidak mahu, sebutir lagi pil terpaksa ditelan. Ya, seperti selalu.
Semenjak kecil lagi Alia sudah minat bercerita. Bukan
di atas pentas tetapi melalui tulisan. Waktu pengumpulan karya penulisan untuk
majalah sekolah adalah saat yang paling dinantikan. Pasti ada sahaja karya Alia
yang disiarkan. Ini tidak termasuk cerpen yang dihantar oleh guru sebagai wakil
pertandingan.
Menulis adalah satu lagi cara untuk Alia “hilang”
daripada dunia sebenar. Sebaik sahaja pena dipegang, dia seolah-olah berada di
dalam ruang vakum sendiri. Tiada bunyi bising, tiada kenakalan rakan sekelas,
tiada tekanan; semuanya lenyap.
Bila semakin dewasa, cara untuk merekodkan idea jadi
lebih mudah. Ketika di sekolah rendah, Alia kerap ditegur kerana sering mencuri
waktu untuk menulis idea. Bila sudah ke sekolah menengah, ayah Alia memberikan
alat perakam suara. Sekalipun sering disindir rakan-rakan kerana asyik bercakap
dengan mesin, Alia tidak peduli. Yang penting, dia boleh meneruskan hobi
menulis.
Daripada hobi, menulis kemudian bertukar menjadi
sesuatu yang lebih serius. Keluarga Alia tidak pernah menghalang cita-citanya,
malah memberi sokongan padu. Sebuah bilik khas disediakan demi memastikan Alia
dapat menulis dengan selesa dan tanpa gangguan.
“ Yang penting, niat kamu ikhlas dan pekerjaan kamu
nanti halal,” pesan ayah Alia. Itulah kata-kata semangat yang dipegang hingga
menyebabkan Alia mampu menjadi penulis amatur yang terkenal. Ketika tahun dua
di universiti, Alia sudah mendapat tawaran untuk menyiapkan sebuah novel.
Sayangnya, ayah meninggal dunia sebelum sempat melihat kejayaan Alia menerbitkan
novel sulung.
Dan bermula daripada saat itulah bermulanya liku-liku
dalam kehidupan Alia.
Berbekalkan kemahiran yang ada, Alia mula menulis di
majalah-majalah dan kolum suratkhabar. Terjaga sedikit makan-minum keluarga
ketika itu. Mujur sahaja ada duit pencen ayah, beban untuk menghabiskan
pengajian tidak begitu menekan. Daripada segi kerja, Alia langsung tidak perlu
risau. Tawaran datang mencurah-curah sehinggalah sampai satu tawaran daripada
syarikat Bahrin.
Seorang rakan sekerja Alia menasihatkan supaya
berhati-hati dengan tawaran yang satu itu. Itu menandakan bahawa bakatnya sudah
dikesan dan diri Alia sedang diperhatikan. Sedikit-sebanyak kembang juga rasa
hati. Siapa yang tidak seronok kalau jadi rebutan, bukan?
Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Sebaik sahaja
surat tawaran daripada Bahrin sampai, syarikat lain semakin menjauhkan diri.
Tawaran untuk artikel mula berkurangan membuatkan Alia berasa risau. Pada
asalnya, Alia mahu tunggu dahulu sebelum membuat pilihan yang terbaik
sementelah lagi masih ada satu lagi semester untuk disudahkan. Menyedari bahawa
semakin kurang tawaran yang datang, ia sedikit-sebanyak menganggu Alia. Tidak
senang duduk kerana tidak lagi menjadi kesayangan industri, dia mula menggelabah. Mahu tidak mahu, tawaran
Bahrin diterima.
Lega hati bila reaksi yang diberikan oleh syarikat
Bahrin agak memberangsangkan. Cuma satu yang mendatangkan kerisauan pada Alia
waktu itu; dia terasa dikongkong. Tiada lagi kebebasan untuk memilih topik atau
isu yang menarik melalui penerbitan yang pelbagai. Apa sahaja isu yang
dihulurkan oleh majikan, itulah yang perlu diselesaikan. Semua yang ideal
tentang menjadi seorang penulis terpaksa diketepikan demi wang.
Bukanlah satu rahsia bahawa Bahrin sering memerhatikan
pekerja perempuan yang baru. Lelaki; itu sahaja yang dapat dikatakan oleh Alia
sambil tersenyum. Semua cakap-cakap bahawa dirinya sedang diperhatikan, ditolak
ketepi kerana Alia mahu hubungan profesional sahaja. Apatah lagi bila Bahrin
sendiri sudah cukup layak untuk dipanggil seorang bapa.
Daripada seorang majikan yang hanya memerhati di dalam
pejabat, Bahrin mula bertindak lebih jauh. Alia mula diajak ke majlis-majlis
pelancaran, tidak seperti pekerja yang lain. Ada sahaja alasan untuk bawa Alia
keluar dan yang selalu dijadikan orang tengah pasti adalah Elle. Ke mana sahaja
Alia ingin dibawa, Elle diwajibkan turut serta untuk mengaburi mata tuan punya
badan. Malangnya, Alia bukan mudah untuk dipikat. Kemewahan masih belum cukup
menawan, apatah lagi kalau ia datang daripada seorang lelaki tua.
Bahrin tidak tahu erti lelah. Pelbagai cara digunakan
hinggalah satu malam bila Alia diumpan ke hotel. Semuanya berlaku dengan cara
yang cukup licik kerana Elle turut sama ditipu. Elle diarahkan untuk menelefon
Alia, kononnya untuk perbincangan tergempar dengan seorang penerbit filem namun
kemudian Bahrin sendiri menelefon setiausahanya untuk memberitahu perbincangan
dibatalkan. Tinggallah Alia seorang berjalan ke dalam perangkap seperti tiada
apa-apa yang berlaku.
Peristiwa hitam itu seolah-olah baru sahaja terjadi.
Sewaktu loceng dibunyikan, Bahrin yang membuka pintu. Alia langsung tidak
mengesyaki apa-apa kerana beranggapan bahawa Elle dan penerbit filem sedang
berbual di ruang sebelah. Bahrin terus menghilang ke dalam bilik air sebaik sahaja
membenarkan Alia masuk dengan alasan perlu menukar baju. Tidak sempat untuk
bertanyakan apa-apa, Alia cuma duduk menunggu sehingga Bahrin selesai. Tidak
berani dia mahu menjenguk ke ruang sebelah mencari yang lain. Tidak sampai
beberapa minit, terdengar ketukan di pintu.
Serba-salah, Alia terus mengetuk pintu bilik mandi.
Tanpa segan silu, Bahrin keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala lalu
membuka pintu. Terasa seperti langit jatuh menghempap kepala Alia apabila melihat
beberapa orang lelaki berkopiah berdiri di depan pintu. Dia tahu apa yang bakal
terjadi.
“ Siapa lagi yang ada di dalam bilik ini?” Bahrin
hanya tunduk, menggelengkan kepala. Alia tidak henti-henti bercakap, cuba
memberitahu bahawa mereka tidak melakukan apa-apa. Namun, dia terdiam sebaik
sahaja kelibat arwah Zainab, muncul di depan pintu.
Zainab hanya berdiri sahaja di depan pintu,
memerhatikan Alia. Sekali-sekala, mata wanita yang kelihatan penat beralih
memandang Bahrin. Sesungguhnya, itulah saat yang paling sukar untuk Alia; memerhatikan
Zainab berdiri dengan wajah pucat, badan yang sedikit bongkok memandang dengan
kecewa. Zainab sedang bertarung dengan kanser ketika itu. Bayangkan perasaan
Alia terpaksa berdepan dengan situasi yang mana dia tidak mampu mempertahankan
diri sendiri. Sudahlah malu ditangkap dalam keadaan begitu, terpaksa berdepan
dengan isteri majikan sendiri pula. Yang diharapkan adalah Bahrin boleh buka
mulut dan membetulkan keadaan. Namun, hampa.
“ Kenapa?” hanya itu yang keluar dari mulut Zainab.
Mungkin ianya akan jadi lebih mudah kalau Zainab menjerit sahaja pada Alia dan
Bahrin, caci maki mereka berdua. Alia tenggelam dalam perasaan bersalah dan
rasa bodoh. Wajah Zainab bersilih ganti dengan wajah ibu yang sedang tersenyum.
Bahrin pula mematikan diri di sebelah, masih lagi tidak berbaju. Entah apalah
yang memberikan Alia kekuatan waktu itu untuk tidak pengsan.
Malam itu juga mereka dinikahkan, diuruskan oleh
pakcik Alia yang juga walinya. Entah siapa yang dapat menghubungi pakcik Alia,
dia tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Membantah sudah tidak berguna kerana
semuanya telah berlaku. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar daripada mulut
Bahrin sepanjang malam, waima maaf sekalipun. Zainab pula hanya menangis
sepanjang majlis, sama seperti Alia.
Entah bagaimana Alia dapat tidur malam itu pun dia
tidak pasti. Bahrin, Zainab, Alia, Elle beserta keluarga pakcik Alia menetap di
hotel yang sama. Mungkin kerana penat akibat menangis tidak henti, Alia
tertidur tanpa menyedari pukul berapa Elle masuk ke bilik. Terlalu banyak yang
difikirkan sepanjang peristiwa itu berlaku. Bagaimana untuk berhadapan dengan
Bahrin yang hampir sebaya dengan pakcik Alia? Bagaimana dia perlu berdepan
dengan Zainab? Di manakah dia mahu tinggal dan yang paling penting sekali,
bagaimana untuk berhadapan dengan ibu?
Keesokan harinya, Alia dihantar oleh keluarga
pakciknya untuk berjumpa dengan ibu. Ibu pengsan sebaik sahaja Alia memberitahu
yang dia ditangkap basah dan sudah bernikah tanpa sempat Alia memberi
penerangan lanjut. Tidak cukup dengan itu, ibu diserang sakit jantung pula
sebaik sahaja sedar. Seminggu Alia tunggu ibu di hospital, ditemani oleh Omar
yang datang sekali-sekala.
Pada hari ibu sepatutnya keluar dari hospital, Bahrin
datang melawat. Sebaik sahaja melihat Bahrin, ibu diserang sakit jantung sekali
lagi dan kali ini, Tuhan lebih sayangkan dia. Alia sudah tidak tahu untuk
membezakan antara redha dan pasrah. Yang dia tahu, kini dia betul-betul
sendiri.
Tanpa ibu, sudah tiada sebab untuk Alia tinggal di
kampung. Lagipun, takkanlah Alia mahu menetap di kampung sedangkan tempatnya
adalah dekat dengan suami. Alia cuba beberapa kali untuk berhadapan dengan
Zainab selepas perkahwinan mereka. Namun, setiap kali mereka bertemu, Alia
hanya mampu menangis. Semuanya hancur; hidup dan cita-citanya. Zainab turut
sama menangis namun tidak dapat dipastikan mengapa. Hanya bila hampir ke hujung
usia Zainab sahaja baru mereka dapat mesra sedikit.
Tidak sampai setahun selepas pernikahan Bahrin dan
Alia, Zainab pula meninggal dunia. Kesihatan Zainab semakin merosot sejak
perkahwinan suami sendiri apatah lagi bila dia mula menolak rawatan dan ubat.
Alia terasa seperti dialah yang menjadi penyebab madunya meninggal dunia.
Setiap hari, ada sahaja berita tentang Bahrin dan Alia yang disiarkan di
akhbar, belum lagi termasuk cerita-cerita di Internet. Yang lebih perit adalah
apabila semakin ramai yang berminat untuk menggali cerita-cerita lama tentang
Bahrin dan Zainab pula. Semuanya mahu jadi hakim tidak berbayar.
Mulanya Zainab cuba untuk mengurungkan diri di dalam
rumah tetapi bukan mudah. Kawan-kawan dan saudara datang melawat bertanyakan
kesihatan. Sekalipun mungkin tiada yang bertanya terus apa yang berlaku,
pandangan mereka sudah cukup untuk membunuh baki semangat yang ada dalam diri
Zainab. Sudahlah fizikal Zainab lemah, semangat untuk meneruskan hidup makin
hilang disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak.
Memulakan kehidupan dengan lelaki tua itu adalah
pengakhiran semuanya buat Alia. Hidup atau mati sudah tidak punya beza lagi.
“ Aku nak jadi penulis. Aku mahu mengembara ke seluruh
dunia dan menulis tentang semua tempat yang aku pernah jejakkan kaki.” Itu
adalah salah satu janji yang dia tulis di dalam diari pada usia 14 tahun. Di
dalam dapur yang gelap, Alia menangis sendiri mengingatkan janji yang tidak
akan mampu untuk ditunaikan. Ada susuk tubuh yang menjengah daripada luar dapur
tetapi dibiarkan sahaja oleh Alia.
No comments:
Post a Comment