Elle atau Zalina bukanlah seorang gadis yang tidak
tahu apa-apa. Malah, semasa dia masih remaja, boleh dikatakan yang Elle cukup
matang untuk usianya. Waktu rakan sebaya sibuk menelaah semua mata pelajaran,
dia ada tanggungjawab lain untuk membantu perniagaan keluarga. Hanya Elle anak
yang cukup besar untuk membantu meringankan beban orang tua. Tiada masa untuk
berpacaran, dalam seharian Elle leka dengan pelajaran dan perniagaan. Tidak ada
erti bosan atau lepak untuk gadis itu. Dia tenggelam dalam kesibukan membahagi
masa untuk dua keutamaan; sesuatu yang mungkin asing untuk seorang pelajar
sekolah. Itulah dunianya, itulah ketenangan dan kebahagiaan untuk Elle.
Sehinggalah hari itu bila Mama rebah di kedai. Mama
memang sudah lama mengidap kencing manis tetapi hari itu tahap gula Mama rendah
betul. Penat sangat agaknya, Mama rebah ketika ingin mengalihkan dulang-dulang
berisi lauk ke bahagian depan restoran. Mujur pekerja masuk awal pagi itu.
Kalau tidak, entah sampai bila Mama terkulai baring di lantai kedai dengan
lauk-pauk mengotori tubuhnya.
Ayah menunggu Mama di hospital hingga sedikit
menjejaskan perniagaan yang sedia ada. Kalau boleh, memang Elle mahu membantu
tetapi tidak dibenarkan. Ayah tidak sedia melepaskan Elle untuk menguruskan
kedai, apatah lagi dia perlu menumpukan perhatian pada pelajaran. Sudah nasib
agaknya, Mama lama di hospital dan perniagaan makin suram. Mama tukang masak
utama di restoran jadi kalaupun ada orang lain yang mengambil alih peranan itu,
rasanya sudah berbeza. Sekali lagi Elle dihalang daripada membantu kerana waktu
itu sudah dekat sangat dengan SPM. Lagipun, manalah dia mampu masak semua
hidangan yang Mama hidangkan. Sudahlah banyak, makan masa pula untuk disiapkan.
Silap haribulan, Elle terpaksa berhenti sekolah dan itulah yang Ayah tidak
mahu.
Enam bulan Mama bercuti; tiga bulan di hospital dan
tiga bulan di rumah. Semestinya paling tidak perniagaan pasti akan terganggu
sedikit. Kedai selalu ditutup hingga ramai pelanggan memilih untuk ke tempat
lain. Mama pula mula sakit-sakit tangan. Susah untuk memasak dengan tangan yang
tidak boleh digerakkan dengan bebas. Mahu tidak mahu, Ayah terpaksa memanggil
seseorang untuk membantu di kedai sekalipun Mama sudah mula menurunkan ilmu
memasak kepada Elle. Tiada masa untuk cuba-cuba, kedai makan mereka hanya boleh
diselamatkan oleh seseorang yang punya cukup pengalaman.
Ramai yang memohon untuk bekerja di kedai makan tetapi
ayah cukup memilih. Susah benar untuk jumpa tukang masak yang menepati kriteria
yang ditetapkan Ayah hingga akhirnya tiada lagi yang mahu tawarkan diri bekerja
dengan keluarga mereka. Mujur juga ada saudara jauh yang menawarkan diri, kalau
tidak, memang lingkup perniagaan yang ada. Nasib baik yang menawarkan diri
punya pengalaman dan boleh dipercayai.
Waktu Ayah kenalkan pembantu di restoran, terasa
seperti jantung Elle melompat ke kerongkong. Seorang lelaki lingkungan dua
puluhan diperkenalkan sebagai tukang masak yang baru, merangkap anak kepada
salah seorang saudara. Dengan janggut sejemput, kulit sawo matang dan tubuh
yang tinggi, lelaki itu mengenalkan diri sebagai Fahim. Nama itu membuatkan
Elle terdiam, hampir tidak percaya. Itulah nama pemilik wajah yang sering jadi
peneman sebelum tidur tetapi tidak pernah dikhabarkan pada sesiapa waima Mama
sekalipun. Rupa Fahim tidak jauh berbeza dengan waktu mereka berkejaran ketika
berusia sepuluh tahun hingga membuatkan Elle tidak keruan.
Dan Fahim juga masih nakal seperti dahulu. Ada sahaja
yang ingin diusik tetapi Elle bertahan. Dia tidak mahu tunjuk yang dia mudah
kalah pada Fahim, sama dengan suasana ketika mereka bergurau ketika masih
bergelar anak kecil. Disebabkan itu, mereka berdua selalu sahaja bertekak. Ada
sahaja yang boleh menjadi unsur salah faham. Paling kerap bila Elle mengusik
yang masakan Fahim tidak sehebat masakan dia sendiri. Riuh-rendah di dapur
seringkali buat semua yang ada pening kepala.
“ Ayam merah kau nampak cantik tapi....” Elle berdiri
di tepi peti sejuk, memulakan langkah untuk mengusik Fahim.
Lelaki kurus itu cuma membetulkan apron sambil
memandang wajah Elle dengan geram. “ Apa pula lagi yang salah, cik puan?”
“ Tak sampai hati pula nak terus-terang. Tak
mengapalah,” Elle sengaja memberikan kenyataan yang misteri.
“ Cakaplah, apa bendanya. Ada sahaja kaki kritik ni
nak kongsi. Eh, awak tahu tak, orang cakap tukang kritik bukan pakar dalam
bidang yang mereka kritik. Contohnya, pengkritik filem tak pandai buat filem.
Macam awak yang rajin kritik masakan ni...” Fahim sengaja tidak mahu menyambung
kata.
“ Apa kau cakap? Hey...” Elle mula menyinga.
“ Dua-dua orang ni elok akak nikahkan sahaja. Bertekak
sampai semak dapur,” jerkah salah seorang pembantu di dapur. Seperti biasa,
kedua-duanya senyap tidak berbunyi selepas itu. Namun, itu semua untuk beberapa
detik sahaja sebelum mereka kembali bergaduh.
Dan, memang benar kata orang, usik-mengusik membawa
bahagia. Entah dari mana datangnya sayang, tiada siapa yang tahu. Yang pasti,
lama-kelamaan gurauan kasar mula bertukar manja. Jelingan geram berubah menjadi
lirikan manja. Sedar-sedar, kedua-duanya sudah semacam asyik sangat bercinta.
Mungkin silap Elle, mungkin sudah ditakdirkan. Cinta
pada Fahim membutakan mata Elle, membuatkan dia lupa akan cita-cita sendiri.
Mula-mula, Elle menolak tawaran ke universiti dengan alasan mahu bersama Mama
buat sementara waktu. Ayah terpaksa menerima kerana waktu itu memang Mama sakit
sekalipun matanya sudah nampak apa yang sedang berlaku antara anak gadis
sendiri dan tukang masak di kedai. Kemudian, rombongan meminang pula tiba dari
pihak Fahim.
Masih terbayang-bayang riak wajah Mama selepas
rombongan itu pulang daripada rumah. Mama dan Ayah sungguh-sungguh tersepit.
Menolak pinangan Fahim bermakna mereka mungkin kehilangan pembantu dan
perniagaan bakal terjejas sekali lagi. Menerima pinangan Fahim pula bagai
menggadaikan masa depan anak gadis sendiri. Berapa ramai sangat yang mampu
menguruskan rumahtangga sambil belajar sedangkan sudah jadi impian Ayah dan
Mama untuk menghantar anak-anak ke universiti. Biarlah anak-anak dapat merebut
peluang yang tidak pernah wujud pada mereka.
Elle meraup wajah. Jauh fikirannya menerawang.
Selendang yang disarungkan di kepala ditanggalkan. Kematian Bahrin mengingatkan
dia pada Fahim yang telah lama pergi, tidak pasti kenapa. Entah, mungkin dia
rindu pada arwah suaminya itu yang pergi dalam usia yang masih muda. Gambar
Fahim yang sedang memeluk Sofia diperhatikan dari tempat duduk. Rindunya dia
pada Fahim hanya Tuhan yang tahu.
Perlahan, Elle bangkit mendekati kabinet lalu mencapai
bingkai gambar sebelum dipeluk erat. Air mata Elle sudah kering. Yang ada cuma
redha.
No comments:
Post a Comment