Saturday, April 12, 2014

Bukan Nama Sebenar: 7

Tiada apa-apa yang menghiasi siling rumah Omar tetapi itu tidak menghalang lelaki berusia tiga puluh tahun tahun itu daripada merenung ruang kosong di atas kepala. Seperti siling itu, kepala Omar sama kosong. Terasa sukar untuk percaya apa yang sudah berlaku.

Tiada lagi teman bergaduh, bertekak mahupun berdebat. Sekalipun Bahrin mempunyai personaliti yang agak menjengkelkan, itu tidak bermakna Omar tidak menghormati arwah ayahnya. Bahrin seorang strategis, mungkin suka mengambil kesempatan tetapi itu sebenarnya bagus untuk perniagaan. Dalam diam, Omar turut menjadikan Bahrin idola. Cuma perlu tolak sana-sini sedikit bila menyentuh tentang peribadi.

“ Jangan berbuat sesuatu kalau ia tidak akan jadi pelaburan di kemudian hari.”

Semua yang dilakukan oleh Bahrin dianggap sebagai pelaburan. Daripada pelajaran, rumahtangga, hobi malah kadang-kala, zuriat sendiri pun seolah-olah dianggap pelaburan. Perkahwinan dengan ibu Omar contohnya, adalah pelaburan yang sangat lumayan. Disebabkan pintu yang dibuka dek perkahwinan itulah keluarga Bahrin jadi seperti sekarang. Mereka ada kemasyuran, pangkat dan semestinya, wang.

Ramai tidak mahu mengaku duit adalah segala-galanya dalam kehidupan tetapi tidak Bahrin. Dia tanpa segan-silu mengaku bahawa itu adalah kenyataan.

“ Duit bukan segala-galanya tetapi semuanya dikawal oleh wang.” Omar masih ingat lagi, itu kata-kata yang didengar sewaktu dia berusia sepuluh tahun sebelum Bahrin mengarahkan anaknya untuk bekerja sebagai tukang kutip bola golf.

Semudah itu sahaja falsafah Bahrin tentang duit. Duit boleh membeli segala-galanya dan yang paling penting untuk lelaki itu adalah kuasa. Dalam apa jua situasi, dia mahu berada di dalam situasi di mana dia berkuasa.

Kehebatan Bahrin di dalam perniagaan adalah terletak pada kebijaksanaan dalam hal diplomasi. Seperti bermain layang-layang, beliau arif benar bila dan bagaimana tali perlu dilepas atau ditarik. Bertolak-ansur tanpa perlu merendahkan tawaran ataupun lebih teruk, membuatkan pihak lawan berasa mereka akan kehilangan sesuatu. Ia bagaikan sesuatu yang cukup natural pada Bahrin sedangkan sehingga sekarang pun Omar masih belum mampu untuk melakukan sesuatu yang serupa.

Perhubungan yang mulanya tegang, bertukar menjadi rasa kagum dan hormat. Omar bagaikan jadi penghidap Stockholm Syndrome, perilakunya sudah mula menjadi mirip Bahrin yang dulu dilabel sebagai tidak berhati perut dan kejam. Hilang sudah fahaman-fahaman moral yang menongkah keputusan arwah ayahnya itu.

Kini, orang yang dikagumi telah tiada. Walaupun rasa kagum itu masih berselang-seli dengan perasaan benci, pemergian Bahrin tetap meninggalkan kesan. Mahu atau tidak, Omar terpaksa mengaku bahawa Bahrin adalah idola dalam diam. Benci macam mana pun, banyak kata-kata Bahrin yang masuk akal. Bahrin bagaikan mempunyai sentuhan emas; apa sahaja yang disentuh bakal menjadi.

Omar membetulkan duduk di atas kerusi yang dulunya milik Bahrin. Pihak polis sudah habis melakukan siasatan maka dia boleh duduk selesa di rumah sendiri. Di kerusi dan meja inilah arwah menghabiskan masa untuk menyiapkan kerja samada untuk perniagaan atau penulisan. Terdapat banyak kenangan untuk Omar di bilik ini. Percaya atau tidak, Bahrin tidak pernah menghalang Omar daripada menggunakan bilik ini, waima untuk apa sahaja hal sekalipun. Sejak kecil hingga dewasa, kedatangan Omar ke ruang yang dialas dengan karpet mewah ini sentiasa dialu-alukan. Ia bagaikan satu lagi ruang yang menunjukkan masih ada sifat kebapaan yang bersisa sekalipun Bahrin dilihat sebagai seorang yang kejam. Bagaikan masih ada ruang di dalam diri Bahrin yang sangat teringin akan hubungan yang lebih rapat dengan Omar.

Pandangan Omar dialihkan ke permukaan meja. Terdapat bingkai-bingkai gambar yang selama ini jarang diperhatikan. Entah mengapa, setiap kali menjenguk ruang perpustakaan Bahrin, Omar memilih untuk buat endah tidak endah tetapi tidak kali ini. Dia mahu tahu apa yang sentiasa jadi peniup semangat Bahrin. Tidak perlu diberitahu pun Omar tahu bahawa gambar dialah yang diletakkan di atas meja, bukan gambar isteri-isteri Bahrin. Gambar di dalam bingkai itu adalah gambar Omar semasa majlis graduasinya, kenapa dia tidak terkejut langsung? Nampak sangat Omar adalah sumber kegembiraan untuk ayahnya. Gambar tersebut adalah manifestasi betapa waktu itu Bahrin bangga apabila Omar berjaya menjadi graduan dalam bidang ekonomi sekalipun tuan punya badan sebenarnya tidak berasa gembira.

Dua hari selepas gambar itu diambil, kedua-duanya bergaduh besar. Omar berkeras mahu meneruskan pengajian dan bekerja sebagai jurugambar bebas sedangkan keinginan itu ditentang hebat oleh Bahrin.

" Freelance photographer? Wah, dah biasa tangkap gambar Agong ya? Selama ini yang kamu jarang pulang waktu cuti semester, pergi uruskan syarikat sendiri? Tak mahu beritahu ayah langsung.”

Omar tidak akan pernah lupa soalan Bahrin yang ditanyakan dalam nada yang cukup menyindir. Panas betul telinga Omar bila diajukan soalan-soalan begitu. Pantas sahaja dibentangkan portfolio daripada hasil kerja suka-suka hujung minggu semasa majlis perkahwinan dan juga majlis graduasi. Omar berharap Bahrin akan sedar betapa itulah nadi bagi dirinya dan itu sahaja yang mampu membuatkan dia gembira.

" Namakan empat freelance photographer yang kaya di Malaysia," itulah soalan yang terus mengunci mulut Omar. Bukan dia tidak tahu akan jawapan pada soalan tersebut tetapi tahu benar yang soalan ini akan kemudiannya berlanjutan menjadi soalan-soalan yang lain. Rantaian soalan yang menyesakkan.

Tidakkah Bahrin melihat akan contoh hasil kerja Omar? Tidakkah perniagaan sampingan yang dibuat Omar memberi apa-apa erti kepada Bahrin? Adakah Bahrin tidak sedar yang hampir setiap minggu Omar tiada di rumah adalah untuk memenuhi tuntutan kerja? Bukankah itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Omar mempunyai kesungguhan dan disiplin?

" Kamera ini kamu beli dengan duit siapa?” dan soalan Bahrin itu umpama satu tamparan yang cukup perit singgah di pipi. Omar lebih daripada sedar bahawa kamera yang digunakan dibeli daripada duit pemberian orang tuanya. Dia yakin bahawa dia mampu untuk membina perniagaan sendiri, bina hidup sendiri. Simpanan yang ada melalui perniagaannya sendiri itu sudah cukup untuk menampung makan pakai untuk semester akhir. Omar cukup pasti dia tidak akan ada masalah untuk meneruskan perniagaan sendiri nanti. Itu cinta pertamanya, itu jiwanya.

" Awak dah habis fikir?" tanya Zainab, ibu Omar, malam itu selepas waktu makan malam. Baru sahaja Omar mahu menjawab soalan Zainab, ibunya menyambung kenyataan. " Ayah harapkan kamu, Omar. Dia bertambah yakin bila melihat kamu sudah boleh uruskan perniagaan sendiri."

Setiap pancing ada umpan. Dan umpan dari Bahrin pasti menjerut. Dalam hal ini, Zainab adalah pancing yang dihulurkan. Mahu tidak mahu, Omar sambut juga.

Bunyi telefon menyentap Omar keluar daripada wayang di dalam kepala. Seperti mana-mana cerita yang biasa, selalu sahaja panggilan penting mencelah di saat imbas kembali baru sahaja masuk fasa serius.

" Omar bercakap."

" Encik Omar, Aidid bercakap. Kami tak jumpa buku nota itu."

Sunyi. Senyap. Hanya ribut di dalam hati. Habislah.

" Kami sudah cari di syarikat. Setakat ini belum terjumpa."

" Apa yang saya boleh bantu?" Omar terdesak mahu cari buku nota milik Bahrin. Banyak yang boleh dilakukan dengan buku itu. Mungkin jual keseluruhannya atau mungkin ideanya sahaja yang dijual. Omar masih belum mampu membuat keputusan.

" Kami cuba di kediaman encik." Itu merupakan arahan, tidak langsung kedengaran seperti permintaan.

" Baiklah."


Panggilan diputuskan. Tangan diraup ke muka, tanda gelisah. Buku nota itu mesti didapatkan segera. Susah kalau ia jatuh ke tangan orang lain. Sebagai anak kandung Bahrin, Omar berasakan dialah yang paling layak untuk mendapat buku itu. Barulah berbaloi semua pengorbanan yang dilakukan sebelum ini. 

No comments: