“ Tidak kiralah samada publisiti itu benar atau
sekadar kontroversi, ia tetap publisiti”. Itu adalah pegangan hidup Bahrin.
Mungkin sebab itulah hidupnya tidak putus-putus dengan kontroversi; tidak
kiralah samada tentang perkahwinan mahupun karyanya. Ada sahaja yang
menggemparkan masyarakat, hatta sekecil-kecil perkara sekalipun. Mungkin hanya
perniagaannya sahaja yang tidak penuh dengan kontroversi.
Ya, Bahrin juga seorang ahli perniagaan selain bergelar
seorang penulis. Namun, sisi itu bagaikan sengaja ingin disorok. Dia lebih
selesa kalau dikenali sebagai penulis sahaja. Bagaikan ada sesuatu yang ingin
disimpan di sebalik perniagaan keluarga yang diwarisi sedangkan nama Bahrin
sebagai seorang usahawan cukup besar.
Syarikat yang dimiliki Bahrin datang daripada arwah
datuknya. Perniagaan yang asalnya bermula daripada sebuah kedai kopi yang
kecil, berkembang menjadi sebuah francais yang lebih besar dengan perniagaan
daging dan hasil dari ladang getah. Bukan mudah mahu membina sesuatu seperti
itu tetapi mungkin berniaga sudah menjadi darah daging kaum India Muslim. Ya, itulah
yang menjelaskan hidung Bahrin yang mancung dan struktur badan yang agak tegap.
Tidak ketinggalan juga kecekapan berniaga.
Perkahwinan pertama Bahrin diaturkan keluarga dengan
seorang saudara perempuan, sepupu jauh sebenarnya. Bahrin yang waktu itu masih
agak muda, tidak begitu ambil pusing tentang perkahwinan yang hanya mahu
mendekatkan dua buah keluarga. Yang dia risaukan adalah bagaimana untuk
mengembangkan lagi perniagaan sedia ada kerana dia sahaja orang kepercayaan
datuk. Ayah Bahrin masih ada cuma datuk cukup sayangkan Bahrin sejak kecil.
Maklum sahaja cucu sulung dalam keluarga. Maka, mengapa tidak ambil peluang
untuk berbuat keuntungan sebanyak mungkin?
Ya, memang itulah yang disemat di dalam kepala Bahrin.
Ibarat doktrin, sejak kecil lagi dia sudah terdidik dengan prinsip bahawa wang
memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan. Malah, paling penting
berbanding yang lain.
Bahkan perkahwinan itu dipercayai dapat mendekatkan
Bahrin pada sasaran dalam hidup, mahu berniaga hingga betul-betul kaya.
Semuanya kelihatan seperti mengikut perancangan Bahrin. Sebaik sahaja Zainab
menjadi pasangannya, bapa mertua Bahrin menyerahkan sebahagian perniagaan untuk
diuruskan. Daripada situ, dia tidak pernah menoleh lagi. Usaha sama dan
kerjasama untuk kedua-dua buah keluarga rancak dijalankan sehingga menjadi satu
empayar besar.
Dan empayar itu dikenali sebagai Mansoor & Mansur.
Nama datuk dan bapa mertua Bahrin digabungkan. Menumpang tuah empayar itu,
Bahrin bijak mengambil kesempatan mengembangkan lagi empayar sehingga wujudnya
komponen tekstil dan logistik.
Sayangnya, pencapaian yang cemerlang belum tentu menjanjikan
kesejahteraan dan keselamatan. Kekayaan boleh datang bersama pakej musuh. Kerana
di suatu pagi, mayat Bahrin yang sudah sejuk dijumpai di kaki tangga di dalam
kolam darah dengan kesan tembakan di kaki.
No comments:
Post a Comment