Sunday, November 21, 2010

Berita jarang jumpa

Kuala Lumpur- Pihak pengurusan Penjara Kejang kini di dalam perbincangan untuk memperluaskan lagi penjara. Ini akibat peningkatan mendadak dalam jumlah banduan, lebih-lebih lagi semenjak berakhirnya bulan Ramadhan.

Wartawan mendapati bahawa keadaan di dalam penjara begitu sesak sekali. Langsuir-langsuir kelihatan bergayutan di siling dalam sel, yang mendatangkan sedikit gangguan kepada hantu tinggi dan hantu galah yang turut ditempatkan di dalam sel yang sama.

Semasa kunjungan pemberita, kami mendapati bahawa balan-balan di dalam sebuah sel sedang bergaduh sesama sendiri kerana tidak dapat mencapai kata sepakat dalam menentukan siapa yang sepatutnya membersihkan lantai sel.

Kata pihak pengurusan penjara, sejak akhirnya-akhirnya ini, begitu banyak sekali tangkapan yang dibuat. Terlalu banyak kes yang melibatkan hantu-hantu ini.

' Kami terpaksa menambahkan jumlah rondaan di seluruh negara kerana hantu-hantu ini, terutamanya pontianak, begitu aktif menyerang manusia pada waktu malam selepas mereka berkunjung daripada rumah jiran-tetangga. Kami perlu menangkap mereka kerana kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh manusia.'

Menurut sumber yang tidak mahu dinamakan, pontianak-Pontianak ini akan menjalani kaunseling. Bagi pontianak yang sudah acapkali ditangkap, taring mereka akan dicabut.

Bagi hantu galah dan hantu tinggi pula, mereka akan didenda menjadi pasukan pemerhati keselamatan lalulintas selama 3 bulan.

' Ini semua sangat merisaukan kami. Kita perlu cari jalan untuk menyelesaikan permasalahan ini'. - beritatidakpunyanama.

Pernah tak terfikir kenapa kita tak pernah hadapi masalah seperti ini? Atau lihat berita sebegini? Kerana, hantu-hantu ini semua tidak boleh disentuh. Kita tak boleh tangkap dia jadi sepatutnya, ia juga tak boleh sentuh kita. Tidak boleh mendatangkan luka, cedar ataupun lebam.

Sedih. Sudah 2010, sudah nak beri Salam pada 2011 pun. Tapi masyarakat kita masih berfikiran tahun 1950-an. Masih berpaksikan pada bomoh. Kesian.

Sent from my iPad

No comments: