Sunday, November 28, 2010

Mencari

' Raja, kau ok?' 

Raja angkat muka, pandang Ratna yang berdiri di depan lelaki muda itu. Keningnya dikerutkan, bibirnya pula dicebikkan. 

Ratna ambil tempat di sebelah Raja, lelaki yang sudah menjadi kawan Ratna sudah hampir dua puluh tahun. Jangka masa yang begitu lama. Siapa sangka mereka akan jadi kawan baik untuk tempoh yang lama sebegitu. 

' Kenapa?' Ratna bersila, memandang Raja di sisi. 

Raja jadi serba-salah. Kalau disimpan, dia yang merana. Kalau diluah, dia pula akan terasa malu. 

' Kurang sihat,' Raja berlunjur. Kepala terasa pening. Objek yang dicari itu sulit untuk diterangkan. 

' Betul?' Ratna menduga. 

Raja angguk kepala. Ratna cuma tersenyum, tidak mahu berbalah. 

Kalau Raja mahu berahsia, biarlah. 

                                                                                            * * *

' Kau jumpa di mana?' Raja bertanya pada Aduka. Malangnya, Aduka bisu. Mereka tidak dapat berkomunikasi. 

Tetapi itu tidak menjadi soal. Raja sudah bertemu objek yang dicarinya. 

' Terima kasih, Aduka. Terima kasih,' ujar Raja berulang-kali. Kalau boleh, dia ingin memeluk Aduka tetapi aneh pula jadinya. 

Petang itu, Raja gembira sekali. Dia sudahpun menghubungi Ratna; menjemput gadis itu untuk minum petang bersama. Sudah lama mereka tidak makan bersama. 

Ratna gembira sekali melihat perubahan Raja. Tidak seperti sebelumnya, Raja gembira nampaknya. Galak sungguh Raja mengusik Ratna. 

Sedang mereka asyik berbual mesra, kelihatan dari jauh, sesusuk tubuh berlari-lari anak ke arah pasangan Raja dan Ratna. 

' Cinta!' suara itu memanggil. Raja mengangkat pandangan ke arah pemilik suara itu. 

Ratna di sebelah pula melambai riang. 

Cinta? Cinta? Ya, Raja sungguh terlupa tentang hal yang satu itu. Nama Ratna memang unik, Ratna Cinta Shakira. Tetapi jarang benar orang memanggil Ratna dengan nama Cinta. Sangat jarang. 

' Cinta...' Raja memandang Ratna yang sedang berbual dengan Priya, bekas guru mereka berdua. 

Raja pernah kehilangan kompas; kompas yang dikhabarkan akan membawa cinta datang kepadanya. Kompas yang baru sahaja jadi miliknya setahun yang lalu, saat Mama kehilangan Papa di dalam kemalangan yang meragut nyawa Papa. 

Kata Mama, kompas itu yang menemukan Papa dan Mama. Kompas kecil berbentuk loket yang Mama pakai selama ini. Tetapi setelah Papa tiada, jarum kompas itu sudah tidak lagi berfungsi, maka Mama menyerahkannya pada Raja. 

Jarum pada kompas peninggalan Papa bergerak sebaik sahaja Raja menyentuh objek kecil itu. Mama tersenyum, bergurau mengatakan Raja akan memberinya cucu-cucu yang comel tidak lama lagi. 

Waktu itu, Raja tertawa. Saat ini, tidak. Cinta yang dicari Raja sudah jelas ada di depan mata. 

No comments: