Sunday, March 27, 2011

‘ Aku nampak apa yang ada di dalam mata kau,’ kata lelaki tua yang duduk di sebelah Husnan.

  Husnan sedikit terperanjat kerana dia tidak sedar bila lelaki itu duduk menemannya di bangku stesen bas Kuala Selangor. Mahu tergelak pun ada. Sesiapa pun pasti lihat iris di dalam bola mata Husnan.

  ‘ Kau rindu dia kan?’ lelaki tua yang memakai singlet putih di sebelah Husnan bertanya. Serta-merta Husnan memeluk beg kanvas berwarna hijau yang setia digalas ke mana sahaja. Beg itu pemberian Robiah, si pencuri hati Husnan.

   Lelaki tua berjambang di sebelah Husnan tertawa. Husnan, seorang pemuda berusia 25 tahun, mula kaget. Waktu sekarang baru jam dua petang, tidak mungkin lelaki ini hantu. Husnan cuba mengintai kaki si lelaki tua. Ada, kedua-duanya tersarung ke dalam sepasang selipar yang kelihatan sudah buruk.

  ‘ Rindu…bila rasa rindu, hati sudah jadi tidak ubah seperti permainan teka-teki susun suai gambar. Kau pernah main susun suai gambar?’

  Husnan mengangguk. Lagaknya seperti orang yang terkena ilmu pukau. Sebenarnya, Husnan sendiri bingung. Perlukah dia melarikan diri daripada lelaki ini? Atau biarkan sahaja asalkan dia tidak dipengapakan? Sementara otaknya masih keras berfikir, Husnan duduk sahaja di situ.

  Sebagai langkah berjaga-jaga, Husnan cuba mengesot sedikit menjauhi si pemikir.

  ‘ Kau rasa, bila kau rindu, hati kau tidak lengkap. Kau rasa bila kau dekat dengan dia atau cuba untuk mendekatkan diri pada si dia, rindu kau akan hilang dan kekosongan dalam hati kau terisi.’

  Lelaki tua, ataupun dipanggil si pemikir oleh Husnan, memandang jauh ke depan. Entah apalah yang nampak dek mata si pemikir, Husnan tidak pasti. Nampak seperti si pemikir sedang melayan tayangan memori di dalam kepala sendiri.

  Melihatkan si pemikir yang leka di dalam lamunan sendiri, Husnan mencuri pandang akan pakaian lelaki itu. Si pemikir berkain pelikat, berselipar buruk dan bersinglet putih. Jambangnya tidak seperti milik Sasterawan Negara, A Samad Said, pendek sedikit. Husnan teringat akan kisahnya berbual dengan orang gila di Pasar Budaya. Tolonglah, dia tidak sanggup menghadapi keadaan seperti itu lagi. Cukup perit bila diejek ‘kawan orang gila’ selepas kejadian itu.

  ‘ Bila…ehem.’ Tersentak Husnan dibuatnya. Si pemikir tersedak agaknya. 
  ‘ Ye?’ Husnan cuba berlagak sopan, tidak mahu kegiatannya diketahui si pemikir.
  ‘ Ada suara rupanya. Aku ingatkan kau bisu. Haha..’ meledak tawa daripada mulut sang pemikir. Husnan turut ketawa sama.
  ‘ Bila kau dah sayangkan seseorang, kau sudah hilang hak milik atas sebahagian daripada hati kau.’

  Wow, bisik hati Husnan.

  ‘ Kau akan rasa tidak lengkap dan kau akan rasa rindu. Bila kau bersama dengan si dia, kau rasa semuanya lengkap. Bila berjauhan, gambar yang lengkap sudah jadi rompong. Ada lubang di sana-sini. Kan?’ kali ini, si pemikir memusingkan badannya menghadap Husnan.

  Husnan telan air liur. Hebat falsafah si pemikir ini.

  ‘ Kau pandang gambar dia untuk cipta semula gambar yang sempurna, seperti dalam permainan yang aku sebut tadi. Ataupun, kau telefon dia.’

  ‘ Atau baca surat-surat dia,’ laju sahaja kata-kata itu menjengah keluar dari mulut Husnan.

  Si pemikir cuma senyum.

  ‘ Tetapi ia sudah tidak sama. Bila hati kau sudah dicuri seseorang, ia sudah jadi semacam permainan susun suai gambar yang sudah tidak cukup.’

  Si pemikir mengakhiri kata-katanya dengan senyuman. Kemudian, dikalihkan badan ke arah deretan kedai di sebelah stesen bas.

  Susun suai gambar. Wah! Hebat si pemikir ini. Dia seperti dapat membaca setiap apa yang difikirkan oleh Husnan. .
  ‘ Assalamualaikum…’ muncul pula satu suara lain. Husnan mengalih pandang kea rah si pemikir.

  Seorang lelaki muda berkemeja biru sedang memegang tangan si pemikir.

  ‘ Waalaikumussalam,’ Husnan menyahut salam antara dengar dengan tidak.

  ‘ Maaf saudara. Ayah saya mengganggu saudarakah?’ lelaki muda itu pula bertanya.

  Ayah? ‘ Eh, tidaklah saudara!’ Husnan menggelengkan kepala sedikit.

  ‘ Ah, lega saya mendengarnya! Maaf saudara, kami minta diri dulu, ya? Kami mahu ke hospital’ lelaki muda itu memimpin tangan si pemikir.

  ‘ Ya, baiklah,’ Husnan mengangguk.

    Husnan yang masih lagi kagum dengan kata-kata si pemikir, terus memandang kepada kedua-dua lelaki itu. Mereka berjalan menuju ke arah sebuah van.

 Yang berwarna putih.

 Yang kelihatan seperti ambulan.

 Yang kelihatan seperti kenderaan kepunyaan pihak hospital.
   ‘ Tampoi…’ Husnan mebaca tulisan di atas van itu.

  " Pak Jalil nampaknya masih tidak sihat. Nasib kau baik, semalam dia mengamuk terbalikkan meja di restoran depan itu,' muncul satu suara di belakang Husnan. 

  Terkena lagi Husnan nampaknya. 

2 comments:

pae dasuki said...

ermmm...
sejurus terlihat nama 'Husnan'..secara spontannya ku teringat pada rakan sekolah 'Hasnidah Husnan'..inspirasimu kah? :)

Unknown said...

haha tidaklahpae. tak teringat langsung sehinggalah anda mention.

ouh dan tengs baca :)