Sunday, April 20, 2014

Senduk

' Ha gelak gelak!' jerkah Adi. Menyesal rasanya bercerita pada Ain. Hendak habiskan cerita pun rasa terbantut kerana ditertawakan sedemikian rupa. 

' Mana taknya. Sikit punya lawak nama watak dalam cerita kau,' Ain masih belum puas menghabiskan ketawa yang bersisa. 

' Dah mana aku tau. Itulah cerita yang aku dengar dekat Batu Pahat,' Adi mengacau minuman di dalam gelas. Kalau ikutkan hati, mahu juga ditepuk dahi Ain. 

' Tak, secara serius. Kenapa dia mesti jual senduk dari rumah ke rumah? Ini yang buat aku tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi penduduk Batu Pahat dalam tahun lapan puluh.' 

' Aaaaa mana aku taulah. Dah memang macam tu cerita dia. Tadi nak sangat aku cerita hantu,' Adi bersandar pada kerusi sambil mengeluh. Punyalah dia berusaha mencari cerita hantu, akhirnya Ain cuma ketawa tak habis. 

' Senah Senduk,' Ain masih tersengih sambil menghabiskan bihun tomyam. 

' Eh kau boleh tak habiskan je makanan kau?' Adi bertanya, masih lagi dengan nada jengkel. 

Ain cuma tersenyum simpul. Adi pula masam mencuka sambil cuba menghabiskan baki minuman. 

' Cepat sikit. Mama tunggu di rumah,' Adi seolah memberi arahan. 

Sepanjang perjalanan ke rumah, Adi tidak bercakap. Ain pula yang kenal benar dengan perangai Adi, memilih untuk tidak menyiramkan minyak api ke atas bara yang masih panas. Dibiarkan sahaja Adi memandu sambil dia sendiri membelek telefon. 

' Ain tidur di bilik lama Serina, ya? Mama dah siapkan,' jemput ibu Adi. Terasa juga janggal memanggil ibu rakannya itu sebagai mama tapi Ain ikutkan sahaja. Bukan panggilan yang bukan-bukan pun. 

Cerita yang disampaikan Adi semasa mereka berhenti rehat sebentar tadi masih bermain di kepala Ain. Sedih sebenarnya teringatkan cerita Adi tetapi nama Senah Senduk itu membunuh elemen seram. 

' Kasihan. Niat jual senduk kene rogol dan bunuh,' Ain berkata sendiri sambil mengeluarkan baju untuk disalin. 

Terfikir juga Ain, bagaimanalah keadaan waktu Senah Senduk membuat jualan pada waktu itu. Seorang wanita berjalan sendirian mengetuk pintu setiap rumah untuk melariskan jualan. Akhirnya, ditangkap pada satu malam dan dirogol kemudian dibunuh. 

Sambil bernyanyi sendirian, Ain terus mengelamun tentang betapa seksanya Senah Senduk hingga muncul jadi hantu untuk menghukum siapa yang merogolnya. Setiap pintu rumah yang diketuk, akan terlihat Senah Senduk dalam bentuk yang mengerikan. Mangsanya cuma lelaki kerana dia perlu memaksa pembunuhnya untuk menunjukkan di manakah kuburnya. Kasihan, Senah Senduk hampir sahaja pergi dengan kubur tidak bertanda. 

' Dia ketuk setiap pintu untuk cari siapa yang bunuh dia. Akhirnya, ada yang mengalah dan tunjukkan di mana mayat Senah dicampak,' Ain mengingatkan kembali cerita Adi. 

' Macam manalah agaknya rupa Senah waktu itu?' bisik hati Ain sambil membasuh muka di dalam tandas. Telinganya dapat menangkap bunyi pintu yang sedikit berkeriut namun dibiarkan sahaja. Bila sahaja Ain mengangkat pandangan ke arah cermin di atas pili, alangkah terkejut bila terlihat seorang perempuan sedang berdiri di belakangnya. Dengan rambut kusut, muka pucat dan baju koyak rabak, Ain percaya itu bukan kakak Adi yang bernama Serina. Muka pucat perempuan di dalam cermin itu lebam-lebam seolah dipukul dengan darah masih mengalir di tepi bibir. 

' Macam inilah rupa aku,' perempuan itu berbisik. Ain menggigil ketakutan di depan cermin. 

Saturday, April 19, 2014

Bukan Nama Sebenar: 9

Resah. Itu adalah deskripsi paling tepat untuk Arman sekarang. Bertahun-tahun lamanya hidup dilindungi Bahrin, kini perlindungan itu sudah hilang. Bayangan hitam masa silam seolah-olah kembali memburu.

Kalau mereka tahu siapa dia sebenarnya, habis semuanya. Siapa yang mahu percaya lagi pada dia? Siapa yang mahu pandang Arman sebagai seorang manusia?

Adat menjadi seorang bekas pesalah, Arman sudah lali diburu rasa berdosa. Sekalipun tidak pernah dipenjarakan tetapi siapa yang mahu percayakan dia yang sudah pandai buat jahat sejak kecil?

Daripada melayan kegelisahan dengan mundar-mandir, Arman duduk di meja makan. Kopi yang sudah sejuk, dituangkan ke dalam cawan. Semalaman Arman tidak tidur, mungkin malam ini keadaannya tetap sama.

Kisah silam yang gelap terus-terusan menghambat Arman. Kalau boleh diputar kembali waktu silam, mahu sahaja dia kembali ke zaman itu. Siapalah yang mahu percaya yang dia tidak bersalah sekarang kalau dari dulu pun tiada siapa yang sudi percaya? Siapa yang mahu dengar bahawa Arman cuma mangsa keadaan?

“ Budak-budak dah pandai buat jahat. Kalau dah besar nanti entah macam mana perangai kamu.”

Arman tersengih-sengih waktu diherdik begitu dahulu. Sudahlah anak yatim piatu, terpaksa menumpang kasih saudara sendiri. Sejak usia lapan tahun, Arman dijaga oleh pakciknya yang bongsu. Mujur sahaja anak paksu dan maksu waktu itu hanya seorang, lelaki. Usianya setahun lebih tua daripada Arman.

Sejak kecil lagi, sudah nampak belang Nazmi. Peribadi sadistik Nazmi sudah dapat dilihat apabila dia sering menyeksa binatang, terutamanya kucing milik jiran sebelah. Waktu itu, Arman tidak pernah faham. Nazmi dilihat sebagai seorang abang yang bergaya dan hebat maka Arman mengekor sahaja ke mana dia pergi. Setiap kali Nazmi melakukan sesuatu kepada kucing-kucing di kawasan perumahan mereka, Arman cuma menjadi pemerhati. Di dalam hatinya, ada sedikit rasa kagum bercampur gusar dengan perbuatan Nazim. Kasihan pada kucing-kucing tetapi dalam masa yang sama tidak berani untuk bersuara.

Sehinggalah satu hari apabila Arman mula perasan yang Nazmi menikamnya dari belakang. Arman mula jadi mangsa tuduhan Nazmi. Apa sahaja kejadian pelik yang berlaku, Nazmi akan menuduh itu angkara Arman. Bukan susah untuk menuduh Arman kerana kedua-dua orang tua di dalam rumah mereka sibuk bekerja. Hanya kata-kata yang dapat menjadi bukti.

Perbuatan Nazmi mungkin tidak besar tetapi ia memberikan kesan kepada Arman. Dia seolah-olah hilang tempat bergantung kerana hanya sepupunya sahaja yang dipercayai. Kalau sepupu sendiri sudah sanggup mengkhianati, kepada siapa lagi dia hendak mengadu?

Cuma mungkin, mungkin makciknya percaya bahawa dia tidak bersalah. Setiap kali Arman dimarahi pakcik, pasti ada sahaja cara makcu memujuk. Kadang-kadang dengan coklat, kuih ataupun gula-gula. Tidak kiralah apa pun tetapi pasti ada sahaja yang ditinggalkan di depan pintu bilik.

Telefon di dalam poket Arman berbunyi kuat. Skrin memaparkan nama Alia di talian dan hati lelakinya cair. Peribadi wanita yang baru sahaja menjadi balu itu merentap-rentap jiwa lelakinya, malahan sebelum kematian Bahrin lagi.

“ Saya minta maaf. Maaf,” tiada sapaan pembuka kata. Perkataan yang menyerbu ke gegendang telinga Arman adalah patah-patah perkataan yang basah dengan sendu.

“ Waalaikumussalam,” dalam keadaan begini pun Arman masih mahu berlucu.

Ada ketawa yang tersekat-sekat di hujung talian.

“ Ini serius. Saya minta maaf. Lepas ini, pihak polis akan soal-siasat awak pula.”

Arman diam. Lebih baik biarkan Alia terus bercakap sekalipun sukar untuk memahami apa yang cuba disampaikan kerana tangisan yang mengganggu.

“ Mereka tahu yang saya ke restoran itu semalam. Mereka mahu tahu adakah awak melindungi saya.”

“ Tak mengapalah Alia. Saya rasa memang sepatutnya pun mereka akan cari saya. Lagipun saya memang sudah jangkakan mereka akan cari orang-orang yang terdekat dengan Bahrin,” kadang-kadang, Arman curi-curi juga tonton CSI kalau ada masa. Adalah juga ilmu kepolisan yang dia curi sedikit-sedikit. Siapa lagi yang mempunyai potensi besar untuk mencederakan mangsa kalau bukan orang yang rapat?

Lagipun, apa yang Alia beritahu tidak langsung bermakna apa-apa kalau nak dibandingkan dengan masa silam Arman.

“ Maaf.”

“ Tak perlulah, Alia.”

Bertahun-tahun bersama Bahrin telah menjadikan seorang wanita yang cukup berdikari menjadi seorang yang sentiasa meragui keupayaan sendiri. Kasihan. Ini bukan Alia yang pernah Arman kenali. Alia yang dulu adalah seorang gadis yang cukup ceria, ramah dan mempunyai keyakinan diri. Bahrin sudah bunuh semua itu dan hanya tinggalkan seorang wanita yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Penumbuk dikepal tanda geram. Dendam pada si mati masih tidak terlunas dan tidak akan selesai sampai bila-bila. Sudahlah wanita yang dicintai dalam diam dirampas, diubah pula menjadi seseorang yang cukup asing. Mengapalah seseorang tergamak untuk melakukan ini semua pada Alia?

“ Awak perlu rehat. Awak mesti penat,” pada telinga Arman sendiri, ini kedengaran seperti kata-kata teman lelaki pada teman wanita yang baru sahaja pulang daripada tempat kerja.

Ada ketawa kecil di hujung sana. “ Baiklah.”

Yang ada di fikiran Arman sekarang ini adalah Alia. Biarlah polis tahu apa yang pernah terjadi, sekurang-kurangnya Alia tidak tahu tentang rekod Arman. Entah apa yang akan terjadi kalau rahsia itu terbongkar. Pernah juga terfikir kalau Bahrin bercerita kepada isterinya. Mungkin tidak pernah kerana Alia tidak pernah menunjukkan tanda bahawa dia tahu apa-apa.

“ Aku akan simpan rahsia kau. Sekali kau belot, semuanya akan bocor,” ugut Bahrin beberapa tahun yang lalu.

Itu cara Bahrin, seorang oportunis. Dan sebagaimana ugutan-ugutan yang lain, mangsa tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada menurut sahaja.


Ah, biarlah. Ambil sahaja peluang yang ada bermula hari ini. Sekurang-kurangnya, kali ini Arman berpeluang mendekati Alia tanpa perlu risau tentang halangan utama. Harap-harap Bahrin pandai bawa rahsia ke lubang kubur. 

Wednesday, April 16, 2014

Bukan Nama Sebenar: 8

“ Saya keluar makan malam.”

Petang itu juga Alia dipanggil untuk soal-siasat. Sejujurnya, Alia masih perlu sesuaikan diri dengan ketiadaan suaminya. Melangkah sahaja ke dalam rumah, seolah-olah terlihat kelibat arwah Bahrin berjalan laju-laju mencari air kosong ataupun jus buah. Arwah memang selalu pulang lewat disebabkan kerja. Kalau tidak kerana urusan perniagaan, mungkin kerana promosi filem. Sudah menjadi tabiat arwah bergegas menuju ke bahagian dapur untuk mencari minuman, dahaga benar lagaknya.

Seharian Alia berjalan seperti dalam mimpi. Peti televisyen dibiarkan terpasang tanpa sepatah pun kata difahami dek Alia. Sesekali terlihat pemberitahuan tentang kematian Bahrin. Setiap kali itu juga Alia membaca ayat yang tertulis berkali-kali untuk memastikan dia tidak bermimpi.

Masih terbayang-bayang lelaki tegap dalam usia lima puluhan dengan wajah yang sentiasa tersenyum sinis berdiri di depan Alia. Wajah lelaki yang sentiasa memberikan ketakutan dalam dirinya.

“ Apa yang kau tengok?” herdik Bahrin pada malam pertama mereka tidur bersama. Waktu itu Alia sedang duduk di birai katil, menahan air mata. Sedih tidak terhingga kerana malam itu mahu tidak mahu, dia akan terpaksa menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“ Bangun,” Bahrin bersuara dengan nada tegas.

Sebaik sahaja Alia bangun, mata Bahrin memandang tubuhnya dari atas ke bawah. Ada pancaran nafsu yang menyala ketika mata Bahrin rakus menjamah tubuh Alia, seolah-olah pakaian telah ditanggalkan semuanya.

Dan itulah yang Bahrin paksa Alia lakukan. Tidak cukup dengan itu, aksi Alia dirakam pula. Terasa terus hilang maruah diri yang hanya tinggal secebis. Sudahlah Alia diperangkap hingga terpaksa akur kepada pernikahan dengan Bahrin, kini terpaksa pula beraksi seperti penari kelab bogel.

“ Jangan menangis! Kau dah rosakkan rakaman ini,” Bahrin segera menghentikan rakaman. Kamera digenggam, seolah-olah mahu dilontarkan pada Alia yang sedang menangis. Bengis benar wajah sang suami waktu itu, bagaikan ingin ditelan perempuan yang berdiri ketakutan di tengah bilik.

Bahrin berjalan mendekati Alia dan serentak itu juga dia mengerekot ketakutan. Takut benar kalau tangan atau kaki Bahrin singgah ke tubuh. Cerita-cerita mengerikan tentang layanan terhadap pekerja seks mula terbayang-bayang di fikiran.

Tangan Bahrin mencapai baju yang sudah bergumpal di atas lantai sebelum dilempar ke arah Alia.

“ Kayu!” herdik Bahrin lagi. Bertambah tersentap Alia dibuatnya. Baju yang dilempar, disarungkan perlahan. Air mata masih lagi mengalir tetapi ditahankan sahaja supaya tiada suara yang keluar. Baran Bahrin bukan sikit-sikit dan bukan boleh diagak, hampir semua orang sudah sedia maklum.


Tidak terduga yang Bahrin sanggup merakam aksi Alia dalam keadaan yang sangat memalukan. Tidak perlu diugut pun Alia tahu apa makna rakaman itu. Yang menjadi tanda-tanya adalah apa yang akan berlaku seterusnya. Adakah rakaman akan diteruskan atau selepas ini perlu diulang tayang lagi?

Mengingatkan itu terasa air mata Alia seolah-olah mahu menyerbu keluar. Terasa bergetar seluruh tubuh memikirkan apa yang bakal dilalui. Sudahlah dia dijadikan isteri dalam keadaan yang sangat memalukan, ditambah pula dengan dihina suami sendiri.

“ Kau nak buat apa?” suara Bahrin terasa seperti halilintar membelah bumi sedangkan lelaki itu dengan santai bersandar pada bantal di atas katil. Alia termangu sendiri, punggung tidak sempat diletakkan ke atas katil.

“ Kau tidur di bawah,” Bahrin memberi arahan sambil rokok diletakkan ke bibir.

Tidak berani berkata apa-apa, Alia terus sahaja baring di atas lantai. Keinginan untuk mencapai bantal atau selimut di atas katil langsung dilupakan. Dia tidak mahu Bahrin tukar fikiran dan menyuruh yang bukan-bukan.

Entahkan bagaimana, Alia berjaya juga melelapkan mata malam itu. Malahan, tidurnya nyenyak. Dan betapa terkejutnya dia bila melihat ada selimut yang menutup tubuh keesokan pagi.

Masih ada sisa kasihan dalam diri lelaki tua itu nampaknya.

“ Teruskan, Puan Alia,” suara yang menyapa menyentak wanita itu kembali ke alam realiti.

“ Saya keluar makan malam di Bangsar. Arman yang bawa saya ke sana. Kami sampai di sana lebih kurang pada jam 8 malam,” Alia menanggalkan kaca mata hitam lalu diletakkan ke atas meja.

“ Puan di kedai makan hingga lewat malam?”

Alia tersenyum. Tidak ramai yang tahu bahawa dia sebenarnya masih menulis. Minat yang satu itu tidak pernah padam sekalipun Bahrin tidak membenarkan dia menulis sama sekali. Semua barang elektronik Alia dirampas, kecuali telefon pintar. Terkontang-kantinglah Alia, buntu ingin meminta tolong daripada siapa. Dan Bahrin tanpa segan-silu memberi arahan bahawa tiada sesiapa di pejabat dibenarkan untuk membantu Alia kerana lelaki itu tahu tempat itu sahajalah yang boleh membantu Alia.

“ Saya ke sana untuk menulis. Itu sahaja masa dan tempat yang saya rasakan sesuai.”

Benar, sesak rasanya untuk menulis di rumah Bahrin. Segala yang ada di dalam rumah itu mengingatkan Alia kepada suaminya hingga membunuh perasaan yang ada. Tidak sekalipun Alia beranggapan yang rumah mereka adalah milik bersama. Arwah sendiri tidak pernah lupa mengingatkan bahawa kehadiran Alia hanya menumpang, mesti pandai bawa diri. Betapa peritnya menghadapi sesuatu seperti itu setiap hari tetapi dia sudah tiada tempat lain untuk bawa diri. Ibu sudah tiada maka suami sendirilah yang menjadi tempat bergantung.

Itu belum lagi dikira larangan Bahrin supaya tidak lagi menulis.

Alia meneruskan cerita tentang kerjaya sahaja. Cerita-cerita tidak enak dan rahsia rumahtangga mereka tidak disebutkan langsung. Biarlah itu menjadi rahsia sendiri. Cerita-cerita perit begitu biarlah disimpan sahaja kerana terlalu payah untuk dikenangkan.

“ Jadi, awak akan menulis di kedai itu sahaja?” pegawai yang menyoal Alia bertanya sambil bersandar pada kerusi.

“ Tidak terhad di kedai itu. Kadang-kadang saya ke tempat lain juga cuma saya lebih selesa di situ. Pekerjanya pun ramai yang sudah kenal dengan saya,” Alia cuba untuk tidak kerap melakukan gerakan tangan yang sinonim bila dia rasa kurang selesa. Syak akan membawa kepada lebih banyak soalan.

Ah, apa yang susah sangat. Bukan dia tidak biasa berlakon tenang di depan Bahrin. Inilah masa untuk menunjukkan samada latihan bertahun-tahun sebelum ini membuahkan hasil.

Kelihatan pegawai itu menulis sesuatu di dalam buku nota kecil. Alia hampir pasti bahawa nota yang ditulis adalah untuk mengingatkan anggotanya atau diri sendiri untuk memeriksa restoran yang disebutkan.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana semua yang diceritakan oleh Alia adalah benar. Atau mungkin, belum tiba masanya lagi untuk berasa risau.

“ Saya berada di situ agak lama. Bahrin memang menggalakkan saya bersosial, bagus untuk perniagaan, katanya. Selalunya saya menggunakan alasan ini untuk keluar dari rumah dan dia pun tidak banyak bertanya.”

“ Awak menipu dia?”

Alia terasa malas untuk menjawab soalan yang diajukan. Ini adalah permulaannya. Soalan ini akan membuka semua pekung dalam rumahtangga mereka.

“ Bukanlah menipu. Cuma kadang-kadang saya perlu sendiri sekejap,” dalam hati, wanita itu berdoa jawapan tadi diterima tanpa banyak soal.

“ Pendek kata mahu larilah?”

Alia mengetap bibir. Arman akan diheret sama dan itulah yang dia tidak suka.

“Mengapa?”

Saturday, April 12, 2014

Bukan Nama Sebenar: 7

Tiada apa-apa yang menghiasi siling rumah Omar tetapi itu tidak menghalang lelaki berusia tiga puluh tahun tahun itu daripada merenung ruang kosong di atas kepala. Seperti siling itu, kepala Omar sama kosong. Terasa sukar untuk percaya apa yang sudah berlaku.

Tiada lagi teman bergaduh, bertekak mahupun berdebat. Sekalipun Bahrin mempunyai personaliti yang agak menjengkelkan, itu tidak bermakna Omar tidak menghormati arwah ayahnya. Bahrin seorang strategis, mungkin suka mengambil kesempatan tetapi itu sebenarnya bagus untuk perniagaan. Dalam diam, Omar turut menjadikan Bahrin idola. Cuma perlu tolak sana-sini sedikit bila menyentuh tentang peribadi.

“ Jangan berbuat sesuatu kalau ia tidak akan jadi pelaburan di kemudian hari.”

Semua yang dilakukan oleh Bahrin dianggap sebagai pelaburan. Daripada pelajaran, rumahtangga, hobi malah kadang-kala, zuriat sendiri pun seolah-olah dianggap pelaburan. Perkahwinan dengan ibu Omar contohnya, adalah pelaburan yang sangat lumayan. Disebabkan pintu yang dibuka dek perkahwinan itulah keluarga Bahrin jadi seperti sekarang. Mereka ada kemasyuran, pangkat dan semestinya, wang.

Ramai tidak mahu mengaku duit adalah segala-galanya dalam kehidupan tetapi tidak Bahrin. Dia tanpa segan-silu mengaku bahawa itu adalah kenyataan.

“ Duit bukan segala-galanya tetapi semuanya dikawal oleh wang.” Omar masih ingat lagi, itu kata-kata yang didengar sewaktu dia berusia sepuluh tahun sebelum Bahrin mengarahkan anaknya untuk bekerja sebagai tukang kutip bola golf.

Semudah itu sahaja falsafah Bahrin tentang duit. Duit boleh membeli segala-galanya dan yang paling penting untuk lelaki itu adalah kuasa. Dalam apa jua situasi, dia mahu berada di dalam situasi di mana dia berkuasa.

Kehebatan Bahrin di dalam perniagaan adalah terletak pada kebijaksanaan dalam hal diplomasi. Seperti bermain layang-layang, beliau arif benar bila dan bagaimana tali perlu dilepas atau ditarik. Bertolak-ansur tanpa perlu merendahkan tawaran ataupun lebih teruk, membuatkan pihak lawan berasa mereka akan kehilangan sesuatu. Ia bagaikan sesuatu yang cukup natural pada Bahrin sedangkan sehingga sekarang pun Omar masih belum mampu untuk melakukan sesuatu yang serupa.

Perhubungan yang mulanya tegang, bertukar menjadi rasa kagum dan hormat. Omar bagaikan jadi penghidap Stockholm Syndrome, perilakunya sudah mula menjadi mirip Bahrin yang dulu dilabel sebagai tidak berhati perut dan kejam. Hilang sudah fahaman-fahaman moral yang menongkah keputusan arwah ayahnya itu.

Kini, orang yang dikagumi telah tiada. Walaupun rasa kagum itu masih berselang-seli dengan perasaan benci, pemergian Bahrin tetap meninggalkan kesan. Mahu atau tidak, Omar terpaksa mengaku bahawa Bahrin adalah idola dalam diam. Benci macam mana pun, banyak kata-kata Bahrin yang masuk akal. Bahrin bagaikan mempunyai sentuhan emas; apa sahaja yang disentuh bakal menjadi.

Omar membetulkan duduk di atas kerusi yang dulunya milik Bahrin. Pihak polis sudah habis melakukan siasatan maka dia boleh duduk selesa di rumah sendiri. Di kerusi dan meja inilah arwah menghabiskan masa untuk menyiapkan kerja samada untuk perniagaan atau penulisan. Terdapat banyak kenangan untuk Omar di bilik ini. Percaya atau tidak, Bahrin tidak pernah menghalang Omar daripada menggunakan bilik ini, waima untuk apa sahaja hal sekalipun. Sejak kecil hingga dewasa, kedatangan Omar ke ruang yang dialas dengan karpet mewah ini sentiasa dialu-alukan. Ia bagaikan satu lagi ruang yang menunjukkan masih ada sifat kebapaan yang bersisa sekalipun Bahrin dilihat sebagai seorang yang kejam. Bagaikan masih ada ruang di dalam diri Bahrin yang sangat teringin akan hubungan yang lebih rapat dengan Omar.

Pandangan Omar dialihkan ke permukaan meja. Terdapat bingkai-bingkai gambar yang selama ini jarang diperhatikan. Entah mengapa, setiap kali menjenguk ruang perpustakaan Bahrin, Omar memilih untuk buat endah tidak endah tetapi tidak kali ini. Dia mahu tahu apa yang sentiasa jadi peniup semangat Bahrin. Tidak perlu diberitahu pun Omar tahu bahawa gambar dialah yang diletakkan di atas meja, bukan gambar isteri-isteri Bahrin. Gambar di dalam bingkai itu adalah gambar Omar semasa majlis graduasinya, kenapa dia tidak terkejut langsung? Nampak sangat Omar adalah sumber kegembiraan untuk ayahnya. Gambar tersebut adalah manifestasi betapa waktu itu Bahrin bangga apabila Omar berjaya menjadi graduan dalam bidang ekonomi sekalipun tuan punya badan sebenarnya tidak berasa gembira.

Dua hari selepas gambar itu diambil, kedua-duanya bergaduh besar. Omar berkeras mahu meneruskan pengajian dan bekerja sebagai jurugambar bebas sedangkan keinginan itu ditentang hebat oleh Bahrin.

" Freelance photographer? Wah, dah biasa tangkap gambar Agong ya? Selama ini yang kamu jarang pulang waktu cuti semester, pergi uruskan syarikat sendiri? Tak mahu beritahu ayah langsung.”

Omar tidak akan pernah lupa soalan Bahrin yang ditanyakan dalam nada yang cukup menyindir. Panas betul telinga Omar bila diajukan soalan-soalan begitu. Pantas sahaja dibentangkan portfolio daripada hasil kerja suka-suka hujung minggu semasa majlis perkahwinan dan juga majlis graduasi. Omar berharap Bahrin akan sedar betapa itulah nadi bagi dirinya dan itu sahaja yang mampu membuatkan dia gembira.

" Namakan empat freelance photographer yang kaya di Malaysia," itulah soalan yang terus mengunci mulut Omar. Bukan dia tidak tahu akan jawapan pada soalan tersebut tetapi tahu benar yang soalan ini akan kemudiannya berlanjutan menjadi soalan-soalan yang lain. Rantaian soalan yang menyesakkan.

Tidakkah Bahrin melihat akan contoh hasil kerja Omar? Tidakkah perniagaan sampingan yang dibuat Omar memberi apa-apa erti kepada Bahrin? Adakah Bahrin tidak sedar yang hampir setiap minggu Omar tiada di rumah adalah untuk memenuhi tuntutan kerja? Bukankah itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Omar mempunyai kesungguhan dan disiplin?

" Kamera ini kamu beli dengan duit siapa?” dan soalan Bahrin itu umpama satu tamparan yang cukup perit singgah di pipi. Omar lebih daripada sedar bahawa kamera yang digunakan dibeli daripada duit pemberian orang tuanya. Dia yakin bahawa dia mampu untuk membina perniagaan sendiri, bina hidup sendiri. Simpanan yang ada melalui perniagaannya sendiri itu sudah cukup untuk menampung makan pakai untuk semester akhir. Omar cukup pasti dia tidak akan ada masalah untuk meneruskan perniagaan sendiri nanti. Itu cinta pertamanya, itu jiwanya.

" Awak dah habis fikir?" tanya Zainab, ibu Omar, malam itu selepas waktu makan malam. Baru sahaja Omar mahu menjawab soalan Zainab, ibunya menyambung kenyataan. " Ayah harapkan kamu, Omar. Dia bertambah yakin bila melihat kamu sudah boleh uruskan perniagaan sendiri."

Setiap pancing ada umpan. Dan umpan dari Bahrin pasti menjerut. Dalam hal ini, Zainab adalah pancing yang dihulurkan. Mahu tidak mahu, Omar sambut juga.

Bunyi telefon menyentap Omar keluar daripada wayang di dalam kepala. Seperti mana-mana cerita yang biasa, selalu sahaja panggilan penting mencelah di saat imbas kembali baru sahaja masuk fasa serius.

" Omar bercakap."

" Encik Omar, Aidid bercakap. Kami tak jumpa buku nota itu."

Sunyi. Senyap. Hanya ribut di dalam hati. Habislah.

" Kami sudah cari di syarikat. Setakat ini belum terjumpa."

" Apa yang saya boleh bantu?" Omar terdesak mahu cari buku nota milik Bahrin. Banyak yang boleh dilakukan dengan buku itu. Mungkin jual keseluruhannya atau mungkin ideanya sahaja yang dijual. Omar masih belum mampu membuat keputusan.

" Kami cuba di kediaman encik." Itu merupakan arahan, tidak langsung kedengaran seperti permintaan.

" Baiklah."


Panggilan diputuskan. Tangan diraup ke muka, tanda gelisah. Buku nota itu mesti didapatkan segera. Susah kalau ia jatuh ke tangan orang lain. Sebagai anak kandung Bahrin, Omar berasakan dialah yang paling layak untuk mendapat buku itu. Barulah berbaloi semua pengorbanan yang dilakukan sebelum ini. 

Wednesday, April 09, 2014

Bukan Nama Sebenar: 6

“ Tidak kiralah samada publisiti itu benar atau sekadar kontroversi, ia tetap publisiti”. Itu adalah pegangan hidup Bahrin. Mungkin sebab itulah hidupnya tidak putus-putus dengan kontroversi; tidak kiralah samada tentang perkahwinan mahupun karyanya. Ada sahaja yang menggemparkan masyarakat, hatta sekecil-kecil perkara sekalipun. Mungkin hanya perniagaannya sahaja yang tidak penuh dengan kontroversi.

Ya, Bahrin juga seorang ahli perniagaan selain bergelar seorang penulis. Namun, sisi itu bagaikan sengaja ingin disorok. Dia lebih selesa kalau dikenali sebagai penulis sahaja. Bagaikan ada sesuatu yang ingin disimpan di sebalik perniagaan keluarga yang diwarisi sedangkan nama Bahrin sebagai seorang usahawan cukup besar.

Syarikat yang dimiliki Bahrin datang daripada arwah datuknya. Perniagaan yang asalnya bermula daripada sebuah kedai kopi yang kecil, berkembang menjadi sebuah francais yang lebih besar dengan perniagaan daging dan hasil dari ladang getah. Bukan mudah mahu membina sesuatu seperti itu tetapi mungkin berniaga sudah menjadi darah daging kaum India Muslim. Ya, itulah yang menjelaskan hidung Bahrin yang mancung dan struktur badan yang agak tegap. Tidak ketinggalan juga kecekapan berniaga.

Perkahwinan pertama Bahrin diaturkan keluarga dengan seorang saudara perempuan, sepupu jauh sebenarnya. Bahrin yang waktu itu masih agak muda, tidak begitu ambil pusing tentang perkahwinan yang hanya mahu mendekatkan dua buah keluarga. Yang dia risaukan adalah bagaimana untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada kerana dia sahaja orang kepercayaan datuk. Ayah Bahrin masih ada cuma datuk cukup sayangkan Bahrin sejak kecil. Maklum sahaja cucu sulung dalam keluarga. Maka, mengapa tidak ambil peluang untuk berbuat keuntungan sebanyak mungkin?

Ya, memang itulah yang disemat di dalam kepala Bahrin. Ibarat doktrin, sejak kecil lagi dia sudah terdidik dengan prinsip bahawa wang memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan. Malah, paling penting berbanding yang lain.

Bahkan perkahwinan itu dipercayai dapat mendekatkan Bahrin pada sasaran dalam hidup, mahu berniaga hingga betul-betul kaya. Semuanya kelihatan seperti mengikut perancangan Bahrin. Sebaik sahaja Zainab menjadi pasangannya, bapa mertua Bahrin menyerahkan sebahagian perniagaan untuk diuruskan. Daripada situ, dia tidak pernah menoleh lagi. Usaha sama dan kerjasama untuk kedua-dua buah keluarga rancak dijalankan sehingga menjadi satu empayar besar.

Dan empayar itu dikenali sebagai Mansoor & Mansur. Nama datuk dan bapa mertua Bahrin digabungkan. Menumpang tuah empayar itu, Bahrin bijak mengambil kesempatan mengembangkan lagi empayar sehingga wujudnya komponen tekstil dan logistik.


Sayangnya, pencapaian yang cemerlang belum tentu menjanjikan kesejahteraan dan keselamatan. Kekayaan boleh datang bersama pakej musuh. Kerana di suatu pagi, mayat Bahrin yang sudah sejuk dijumpai di kaki tangga di dalam kolam darah dengan kesan tembakan di kaki. 

Monday, April 07, 2014

Cerita Kosong: Hati

'In all seriousness, Lia,' Ratna bersuara. Kali ini jauh lebih tegas daripada tadi. Lia terdiam sambil tangan terus menconteng buku di depan mata.

Sekali lagi, Ratna bertanya soalan yang Lia sendiri tiada jawapannya.

' Ini soal hati dan perasaan,' Lia menjawab, lirih sahaja bunyinya. Air mata mula malu-malu menjenguk di birai mata. Ratna mendengus, tanda tidak puas hati. Punat papan kekunci ditekan kuat.

' Could you please? What have the keyboard done to you that you had to punch it like that?' Lia sekali lagi cuba untuk menggunakan elemen humor bagi meredakan suasana yang makin tegang.

Ratna berpusing mengadap Lia dengan muka garang. Serentak itu, tawa meletus.

' Aku sayang kaulah, gila!' Ratna laju sahaja baling bantal pada Lia.

Lia cuma tersenyum. ' Aku tau. Tapi beri aku masa.'

' Aku tak perlu jawapan. Kau yang perlu pilih untuk diri sendiri,' Ratna selamba mencapai balang kerepek.

Lia cuma mengeluh.

Saturday, April 05, 2014

Bukan Nama Sebenar: 5

Sebenarnya, Alia sudah penat melakonkan pelbagai watak. Hari ini juga tidak terkecuali apabila dia terpaksa berlakon sebagai seorang balu muda yang sedih dengan pemergian suami. Bayangkan seharian berpura-pura padahal perasaan di dalam dada lebih kepada suka. Di rumah mayat satu hal, menunggu pengebumian Bahrin selesai juga menyesakkan. Dia hanya mahu pulang ke rumah untuk berehat dan merancang apa yang patut dilakukan seterusnya. Mungkin meraikan “kemenangan” ini sedikit.

Kenapalah dia tiada keberanian langsung untuk tunjukkan walau sedikit kegembiraan di atas pemergian lelaki itu? Mana mungkin dia tidak berasa gembira atas pemergian seorang lelaki yang telah merosakkan hidupnya? Alia tahu ramai yang berasakan dia berhak untuk lega tetapi wanita itu terlalu takut dengan stigma masyarakat.

Sesudah habis pengajian di universiti, Alia mengambil peluang untuk menjalani latihan dengan salah-satu syarikat Bahrin. Waktu itu, syarikat penerbitan Bahrin menawarkan peluang untuk latihan sambil bekerja malah disertakan pula dengan elaun. Ini merupakan peluang yang jarang-jarang ada membuatkan Alia tidak berfikir panjang untuk menerima.

Sebagai penulis yang terkenal, ramai yang mahu mendekati Bahrin dengan harapan ada tips atau idea yang boleh dikongsikan. Kebanyakan yang sanggup berbuat begini adalah orang di dalam industri sendiri. Tujuan mereka tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadi terkenal. Disebabkan itu, ada yang tidak menolak langsung untuk menulis secara percuma tanpa mendapat hakmilik cipta sendiri. Mereka sedia untuk melakukan hampir apa sahaja asalkan dapat merapati Bahrin. Berlaga bahu dengan lelaki itu sahaja pun dilabelkan sebagai peluang keemasan.

Ramai yang jadi bodoh disebabkan sebuah buku nota milik Bahrin.

Tiada nama rasmi yang diberikan untuk buku milik Bahrin yang sentiasa dibawa bersama. Buku nota kecil inilah yang mengharumkan nama penulis itu. Ke mana sahaja Bahrin pergi, dia sentiasa mencari peluang untuk menayangkan sebuah buku berkulit hitam. Samada ia temubual atau wawancara yang ditayangkan di televisyen, buku nota itu akan sentiasa dipertontonkan pada umum.

Ia sentiasa kelihatan di atas meja ketika temuramah mahupun wawancara. Malahan, buku nota itu turut muncul ketika sesi tandatangan mana-mana novel terbaru Bahrin. Berdasarkan apa yang diberitahu oleh Bahrin, semua ideanya ada di dalam buku itu. Apa sahaja yang terlintas di kepala dan dirasakan boleh menjadi bahan tulisan, akan dimuatkan di dalam helaian kertas. Terdapat nota dan juga lakaran yang kelihatan seperti anatomi manusia, seperti yang pernah ditunjukkan kepada penonton. Sungguh pun begitu, tiada siapa yang pasti apa sebenarnya yang dituliskan di dalam buku nota misteri milik Bahrin. Tiada siapa yang dibenarkan memegang buku itu malah tiada siapa yang pernah mengambil foto akan isi kandungan buku itu. Dari gayanya, buku nota yang tidak bernyawa itu tidak ubah seperti nadi dan nyawa Bahrin.

Itulah juga yang dijadikan daya penarik untuk memancing pelatih untuk bekerja di syarikat penerbitan Bahrin. Pelatih yang cemerlang akan mendapat peluang untuk membelek buku nota kecil yang cukup misteri itu. Namun, itu semua ada syaratnya. Masa yang diberikan untuk membelek buku tersebut bergantung kepada budi bicara Bahrin. Kalau lima minit, lima minitlah. Jarang sangat ada yang berpeluang menggunakan masa lebih daripada itu.

Itulah “lobak merah” yang membuat ramai terliur, termasuklah Alia. Setahun Alia bekerja di syarikat itu, seramai sepuluh orang pelatih diserap masuk. Pada mulanya, keadaan kelihatan cukup tenang seperti tiada apa-apa yang aneh berlaku. Lama-kelamaan, keanehan mula kelihatan. Sudah ada yang bermain kotor semata-mata untuk merasakan “kemenangan”. Apa yang nak dihairankan apatah lagi bila ia melibatkan kuasa dan wang.

Berbalah secara lisan itu biasa. Ada juga beberapa kali pergaduhan yang melibatkan fizikal berlaku. Tidak kurang juga yang cukup hasad apabila manuskrip kawan sendiri dikoyakkan atau dihilangkan. Itu belum lagi kes isi di dalam cakera keras dipadam. Kes yang terakhir itu sudah jadi kes polis apabila mangsa membunuh diri akibat terlalu tertekan dengan kehilangan manuskrip. Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa ada yang sanggup minta pertolongan bomoh. Zaman moden begini pun masih ada yang ingin berbuat demikian.

Alia hanya tersenyum sinis. Kalaulah si tolol itu semua tahu apa sebenarnya yang terkandung di sebalik helaian nota misteri, pasti semuanya malu besar. Mujur sahaja Alia tidak kuasa mendedahkan perkara sebenarnya.

“ Puan, kita sudah sampai,” Arman, pemandu peribadi keluarga Bahrin bersuara, mengejutkan Alia daripada lamunan.


Alia menanggalkan cermin mata. “ Alia. Sekarang awak boleh panggil saya Alia.” 

Wednesday, April 02, 2014

Bukan Nama Sebenar: 4

Omar duduk termenung di dalam perpustakaan milik Bahrin, ayahnya atau lebih tepat lagi, arwah ayahnya. Terbayang akan waktu yang pernah diluangkan di dalam bilik ini bersama Bahrin. Semua itu tidak lagi mungkin kerana Bahrin, seorang penulis kontroversi negara, sudah meninggal dunia.

Kepala yang terasa berat memikirkan tentang pelbagai perkara disandarkan ke kerusi. Terpandang rak buku yang penuh dengan tajuk buku tulisan Bahrin. Ayahnya sudah mula menulis sejak sebelum Omar lahir lagi. Sekalipun sibuk dengan perniagaan, Bahrin usahakan juga minatnya. Entah bagaimana arwah mampu berbuat demikian, Omar tidak pasti.

Dan itu adalah antara satu daripada berjuta soalan yang tidak sempat ditanyakan oleh Omar. Bukan tidak pernah terlintas di kepala untuk bertanya tetapi… entah. Ada rasa sesal kerana selama ini, mereka lebih banyak berselisih faham daripada berbincang. Tentang pelajaran, perniagaan, cinta... semuanya. Sedari kecil hingga dewasa, Omar rasa mereka memang sentiasa bergaduh. Baik dua tiga minit sebelum bergaduh semula.

Malah, pada hari pengebumian arwah Zainab; ibu Omar pun, mereka masih sempat bermasam muka.

“ Siapa pula teman bertekak aku lepas ni?” tanya lelaki itu pada diri sendiri sambil merenung pada meja arwah. Omar hanya mampu berdiri dan melihat dari jauh sahaja apabila rumah sendiri sudah jadi tempat siasatan polis. Kalau boleh, lelaki itu mahu melihat gambar Bahrin di atas meja, seolah-olah mahu imej yang ada terbenam buat selamanya di dalam minda.

Bunyi telefon menganggu lamunan. Azlina.

“ Awak,” Omar menyapa.

“ Takziah.”

Cuma satu perkataan, namun ia pantas mengusik hatinya. Lalu, tanpa segan dia menangis. 

Saturday, March 29, 2014

Bukan Nama Sebenar: 3

Suasana di rumah mayat sugul, satu keadaan yang biasa bila berlaku kematian. Yang tidak begitu biasa kali ini adalah keadaan sugul yang semacam dibuat-buat.

Alia menolak kaca mata hitam ke atas batang hidung. Tangan kiri wanita itu memegang gumpalan tisu yang sibuk dimainkan sepanjang perjalanan dari rumah ke Hospital Kuala Lumpur. Percaya atau tidak, Alia menangis di dalam kereta. Ada perasaan gembira, sedih, gembira, sunyi....semuanya bercampur-baur. Selama lebih daripada enam tahun Bahrin wujud dalam hidup Alia, bukan mudah untuk menerima bahawa akhirnya, lelaki itu sudah tiada. Bukan hanya hidup bersama tetapi lebih kepada menguasai kehidupan wanita itu. Apabila lelaki itu tidak pulang ke katil semalam, Alia sendiri tidak percaya yang dia akan rindu bila sedar yang suaminya itu tidak akan pernah pulang lagi.

Siapa sangka perasaan semacam itu mungkin wujud dalam hatinya. Wajah Bahrin bersilih ganti di dalam minda Alia dengan pelbagai mimik muka. Dalam banyak-banyak riak, wajah lelaki itu sedang tidur yang melekat di dalam kepala kerana waktu itulah Bahrin nampak tidak merbahaya. Dalam apa jua keadaan, Alia hidup dalam ketakutan ketika lelaki itu berjaga. Sekarang, jaga adalah satu keadaan yang mustahil untuk dicapai oleh penulis tersohor bernama Bahrin.

Pelukan yang diberikan oleh semua yang hadir di hospital pagi itu disambut Alia dengan berhati-hati. Kalau boleh, semuanya ingin dirangkul erat sambil melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga tetapi itu tidak mungkin terjadi. Sekalipun hidup dengan Bahrin penuh ranjau, tidak mungkin dia akan mendedahkan apa yang berlaku. Yang lelaki pula sekadar menganggukkan kepala sebagai tanda hormat, sekalipun mata mereka singgah pada wajah Alia lebih lama daripada yang sepatutnya. Namun, nampak benar mereka berhati-hati kerana masih terlalu awal rasanya untuk “jual minyak” pada balu muda ini. Sekalipun begitu, sudah ramai yang tertoleh-toleh ke arah Alia.

“ Elle,” Alia memanggil lembut pembantu Bahrin sambil memegang bahu. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia cuba untuk tidak berteriak suka. Wanita genit itu juga mengenakan tudung hitam dan baju hitam beserta jambul yang sedikit keperangan menjengah keluar.

“ Alia,” Elle berpusing mengadap Alia. Elle tersenyum lantas memeluk Alia erat. Risau pula kalau ada sesiapa yang terlihat senyum Alia yang semakin lebar. “ Dia sudah tiada,” bisik Elle perlahan. Pelukan direnggangkan dan Alia merenung wajah Elle. Untuk pertama kali sejak mereka berkenalan, ada riak tenang di wajah Elle. Alia terasa seperti mahu menangis kerana dia hampir dapat memahami apa yang dilalui oleh Elle.

Pelukan direnggangkan dan tangan Elle dipegang erat. Jika Bahrin masih hidup, ini tidak mungkin akan berlaku. Mereka mesti berlakon bahawa hubungan mereka sangat formal,  sekadar antara isteri majikan dan pekerja. Tipu belaka kerana sejak dari awal lagi Alia sudah menganggap Elle seperti saudara sendiri. Malah, mungkin lebih daripada itu sejak satu kejadian yang merubah hidup Alia.

“ Nak tengok dia untuk kali terakhir?” Elle masih lagi berbisik. Alia cuma berdiam diri, menahan getaran yang dapat dirasakan di dalam dirinya. Sekalipun Bahrin sudah terbujur kaku, masih ada ketakutan yang bersisa. Sukar untuk menerima bahawa suaminya itu tidak akan mungkin bangun lagi. Susah bagi wanita itu untuk menerima bahawa dia bakal hidup bebas dengan pilihan sendiri.

Seorang lelaki yang hanya dapat dipastikan sebagai pekerja di syarikat Bahrin memberi laluan kepada Alia sambil mengangguk. Geli hati Alia melihatkan protokol yang tidak ubah seperti kerabat diraja.

Elle dan Alia berjalan hingga ke hujung bilik. Tiada sesiapa di dalam bilik, hanya kedengaran derap kasut mereka berdua. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki di tepi kotak yang berisi mayat Bahrin. Kakitangan hospital barangkali. Dia sekadar mengangkat wajah dan memberikan sebuah senyuman yang sangat plastik sifatnya.

Bila peti dibuka, kedua-duanya dapat lihat wajah arwah Bahrin yang sangat tenang. Kalau tidak kerana wajah yang sangat pucat dan juga kesan luka pada bahagian kiri dahi, Bahrin kelihatan seperti sedang tidur. Apatah lagi dengan mulut yang sedikit ternganga.

Dan Alia serta-merta menangis. Siapa sangka hari ini akan tiba akhirnya? Hanya Tuhan sahaja yang tahu berapa kerap Alia berdoa agar hari ini tiba. Entah berapa lama dan entah berapa banyak Xanax telah ditelan sepanjang dia hidup bersama arwah. Itu belum termasuk ubat penenang yang lain. Inilah peluang bagi Alia untuk berhenti bergantung pada ubat-ubat tersebut kerana tiada apa lagi yang perlu ditakutkan lagi.


Tiada kata-kata yang keluar daripada bibir mereka berdua. Hanya sunyi menyampaikan emosi mereka berdua.

Wednesday, March 26, 2014

Bukan Nama Sebenar: 2

Alia mengenakan kaca mata hitam sebelum menyarung selendang hitam jarang ke atas kepala. Refleksi di dalam cermin menunjukkan seorang wanita cantik berpakaian baju kurung sutera Thai dengan muka hampir ditutupi sepenuhnya oleh kaca mata hitam. Pemilihan gincu menentukan samada hari ini adalah hari gembira atau sebaliknya buat Alia. Ini bukan soal enteng kerana banyak mata yang bakal memerhati. Jari-jemari yang runcing menari-nari, menyentuh bekas gincu. Yang mana agaknya?

Dalam situasi lain, mungkin gincu berwarna merah terang akan menjadi pilihan Alia tetapi tidak hari ini. Hari ini ,wanita berusia tiga puluh dua tahun itu sekadar mengenakan gincu berwarna merah jambu lembut untuk menghormati majlis. Majlis “menghantar” suaminya ke alam yang satu lagi.

Alia tersenyum bersama satu sinar nakal di dalam mata. Sejak dari pagi lagi dia begitu ceria sekali. Sambil bersiap, Alia turut menyanyi kecil seolah-olah meraikan berita pemergian seseorang. Bukan itu sahaja, untuk pertama kali juga, mata wanita itu yang sudah lama mati kembali bersinar. Disebabkan itulah dia perlu mengenakan kaca mata hitam untuk menutup emosi sebenar yang mungkin telanjang hingga menyebabkan fitnah orang.

“ Mata tidak akan mampu menipu.” Dan dia tidak mahu jadi buah mulut orang sebagai seorang balu yang sudah mahu menggatal sewaktu mayat suami belum lagi dikebumikan. Sudahlah selama ini pun bukan sedikit kutukan orang yang Alia terima. Biarlah kali ini dia dilihat sebagai mangsa, tidak seperti suatu masa dulu. Kali ini dia mahu nikmati belas simpati daripada orang lain, walaupun hanya untuk seketika.

Telefon yang diletakkan di tepi meja solek berbunyi. Sekali lagi Alia melihat refleksi di depan cermin besar sebelum berjalan dua tiga tapak ke kiri untuk mencapai telefon.

“ Tahniah.”

“ Terima kasih,” Alia menjawab sambil membetulkan tudung yang dipakai. Dia masih belum dapat membuat pilihan samada mahu biarkan jambul terkeluar atau tertutup semuanya.

“ Tapi sebelum itu, ini siapa punya kerja?”

Alia terdiam. Tidak terfikir akan perkara itu. “ Bukan awak?”

“ Bukan.”


Mulut Alia melopong. 

Tuesday, March 25, 2014

Memory: Final

The day was sunny and the soft breeze brought another smile to Tasnim. She sat on the park bench, looking at a boy who was running around with a kite.

A paper cup materialised out of nowhere near her grasp. She was half hoping that it would be a hot, piping cup of black coffee but she knew it was just a dream.

Turning to her right, Tasnim saw a face that smiled at her. It was a face that she knew for a long time. It was the same face with the lopsided smile, which stirred talks among her own friends.

' You know the deal, no coffee.' Yes, she knew.

Things have a habit of changing. When chances were given and no change were seen, it was time to make decisions. And here they are, Tasnim expecting a baby with none other than...

' Seriously, a penchant for drama,' Hanna looked at Tasnim before turning to the person sitting in the next seat.

' I don't want to..you know..ruin the group..'

'..group dynamics. Right. When all you do is sit there and become the hero again and again. Tasnim secretly thinks you're gay, you know,' Hanna gave a dirty look at Khalid. Tasnim just laughed.

' I can assure you I'm not,' Khalid stressed the point while facing Tasnim in his utmost serious face. Again, Tasnim laughed.

It was not easy. There were risks to be taken but the upside was they knew each other for a long time. And due to that also, they did not think there was a reason to delay anything.

Adam's chapter was put to a stop, cold turkey-like. Johari jokingly asked during their reception if Adam was invited but all of them guessed the same thing why Adam decided to spend a whole week somewhere in West Malaysia.

' Congratulations to both of you,' Johari said while looking straight at Tasnim. There were an unspoken relief that translated from his eyes.

It was after all, a rollercoaster of emotion

Sunday, March 23, 2014

Bunyi

Adi memandang muka Gan tanpa sebarang emosi yang jelas.

' Kau jangan main-mainlah,' ujar Adi sambil kembali meneruskan kerja yang tergendala. Pagi-pagi lagi Gan sudah buat kecoh di dalam pejabat. Sudahlah Adi masih separa sedar, diganggu pula dengan cerita-cerita karut.

' Ada...aku tak tipu,' Gan beria menekankan apa yang dialaminya malam semalam.

' Dah tu, kenapa tak kejut aku?' Adi terus menekan punat tetikus tanpa menghiraukan Gan yang kini sudah duduk di pinggir meja pula.

Gan diam, tidak bersuara. Adi berpaling memandang wajah Gan sekali lagi. Gila agaknya semua orang di dalma pejabat ini. Kelmarin, Suhani berlari susup-sasap dari arah kafetaria dengan muka pucat. Katanya, takut bila lampu tutup buka tiba-tiba. Adi malas mahu menerangkan itu mungkin kegagalan teknikal.

Sudah 2014 pun masih lagi mudah dimomokkan dengan cerita-cerita yang belum tentu betul atau tidak.

' Ha?' Adi bertanya, kali ini suaranya lembut. Tidak boleh salahkan Gan juga sebenarnya. Di padang jarak padang tekukur ini, apa sahaja cerita hantu yang tidak dibawa orang.

' Entah!' Gan menjawab sambil menggaru kepala.

' Sudahlah tu. Ini dokumen Barclays. Kau tengok-tengok dulu. Petang nanti ada mesyuarat,' Adi bangun sambil mencapai helmet di atas kabinet.

' Pukul berapa kau masuk petang ini?'

' Entah. Aku nak balik tukar baju sekejap. Bukan nak tidur, semalam bukan perlu buat apa-apa pun. Kau nak makan apa? Aku belikan.'

' Apa yang kau makanlah. Kalau ada lauk adik kau masak, boleh juga,' Gan tersengih.

' Bila kali terakhir kau makan kasut, Gan?'

' Ala gurau jelah. Garang sangat.'

Kedua-duanya tertawa.

' Jumpa lagi petang nanti,' Adi terus melangkah keluar dari pejabat.

Baru-baru ini, semakin banyak cerita seram yang disampaikan oleh rakan-rakan di pejabat. Ada yang mengatakan mereka terlihat kelibat, tidak kurang juga yang mendengar bunyi-bunyi aneh. Adi sebagai salah seorang pekerja yang sudah lama di situ cuma boleh menenangkan sahaja mereka.

' Asalkan tak usik, tak mengapa,' itu prinsip Adi. Prinsip yang tidak dikongsi oleh ramai pekerja lain, terutama wanita.

' Kau nak tunggu kami semua kena usik baru kau nak bertindaklah?' tanya Zack atau Azura yang kemas berkemeja polo, berseluar jeans dengan rambut pendek kemas. Jari yang memegang puntung rokok yang sudah pendek kelihatan menggeletar.

' Eh kau pun takut juga?' Adi pantas mengusik. Punya macho sudah tidak ada rupa perempuan pun si Zack ni takut rupanya. Zack tidak menjawab, sebaliknya cuma mengacu penumbuk.

Itu belum lagi cerita-cerita menakutkan di tempat letak kereta. Entah siapalah yang sebarkan cerita bahagian itu bersambung dengan bilik mayat sebuah universiti perubatan di sini. Makin ramailah yang minta berteman kalau hendak pulang jam tiga pagi.

Adi cuma tersenyum, terlalu geli hati. Tidak kira bangsa, semua pekerja sepakat takut dengan entiti tidak bertubuh yang diceritakan.

Sebelum jam tiga petang, Adi sudah sampai semula ke pejabat. Tanggungjawabnya sudah tidak begitu berat berbanding tiga tahun dahulu. Kini, dia cuma pelatih yang akan memberi taklimat kepada pekerja baru. Itupun kalau ada. Selebihnya, dia akan menyiapkan kertas kerja dan memantau rakan sekerja yang lain. Kalau adapun, dia perlu menghadiri mesyuarat dengan pihak atasan yang selalunya dilakukan melalui tele-conference. Cuma hari ini ada mesyuarat bulanan yang wajib untuk semua.

Semuanya berjalan lancar seperti biasa hinggalah seseorang membangkitkan apa yang Gan ceritakan pagi tadi. Adi mengeluh, kuat. Semua memandang tepat ke wajahnya.

' He does not believe in it,' Suhani bersuara, Gan pula tersengih.

' Look, there's a logical explanation behind it all. I am sure of it.'

' I am with him in this,' sambung Kevin ' remember that hot awek in Red Kebaya case?'

Terus tawa meledak. Nasir yang duduk di hujung meja cuba menyorokkan muka yang memerah. ' Yes, yes. That was my mistake. I assumed too fast. Siapa suruh Farah lepas rambut panjang, pakai kebaya merah dengan minyak wangi kuat pukul 9 malam?'

' Dah salah aku pulak,' Farah laughed.

' Ok settle down. So, you see. Let's look closely at this,' Kevin bangun untuk menenangkan suasana.

Adi hanya tersenyum sinis. Dia langsung tidak menyangka yang rakan-rakan sekerjanya akan begitu mudah terkesan dengan perkara sebegini.

' Adi?' Kevin terus mengajukan soalan kepada orang yang mempunyai pendapat yang sama dengannya tentang hal ini.

' I guess, so. Yes.'

' Will you join me to do this?' dan semua orang memandang ke arah Adi, wajah penuh pengharapan.

' Yes,' Adi mengangguk. Kalau sudah sampai dibawa ke dalam mesyuarat, perkara ini perlu diselesaikan sebelum ada cadangan gila seperti menyeru apa-apa keluar. Lagipun, hati Adi kuat mengatakan gangguan yang dikatakan sebenarnya tidak wujud.

Habis sahaja mesyuarat, Kevin memanggil Adi ke dalam pejabat. Sebaik sahaja Adi masuk, kedua-duanya tertawa kuat.

' Terpaksalah kita nampaknya,' Adi mengambil tempat di kerusi Kevin. Kevin pula duduk di sofa.

' What is your plans?' Kevin nampak lebih terhibur dengan episod yang baru sahaja habis tadi, bukan terganggu.

' Plan apa pula? Kita duduk dan perhati sama-samalah,' Adi masih tersengih. ' But not tonight.'

' Aku pun,' kedua-duanya diam. ' I can stay the night on Saturday.'

' Sabtu? Tak dating ke?' Adi bertanya, separuh bergurau.

' Burung sudah larilah...'

                                                           --------

Sabtu malam, Adi dan Kevin menunaikan janji mereka. Kevin sebenarnya hanya menguruskan pekerja di call center ini pada waktu siang tetapi disebabkan sudah berjanji, dia pun turut serta dengan Adi. Adi pula hanya kadang-kadang sahaja masuk kerja pada waktu malam kalau diarahkan oleh pihak atasan.

' Ada?' Adi bertanya pada Kevin sewaktu lelaki itu menjengukkan kepala ke dalam bilik. Kevin tersengih sambil mengangkat plastik yang berisi kopi.

' Terbaik. Mak aku bekalkan nasi ayam,' Adi cepat-cepat mengeluarkan peti coolant milik adik lelakinya.

' Wah! Ini berita baik!' Kevin kelihatan teruja.

Jam baru sahaja menunjukkan jam sepuluh. Adi dan Kevin sudah mula bosan. Makanan sudah habis dan bekas sudahpun dibasuh. Kalau hendak kacau pekerja yang berada di floor rasa kekok pula. Mereka bukan kenal sangat sesama mereka. Sudahnya, Adi pergi menonton TV dan Kevin tidur di dalam bilik sendiri.

Sewaktu Adi menonton TV, masih ada beberapa pekerja yang sedang makan malam. Sempat juga Adi berbalas sapaan sebelum dia semakin asyik menonton TV. Entah bila semuanya keluar, Adi tidak tahu. Sedar-sedar dia sudah sendirian di dalam bilik TV dan waktu sudah menginjak jam sebelas malam.

Sedang Adi asyik menonton TV, kedengaran bunyi aneh. Adi mematikan TV namun suasana kembali hening. Memikirkan itu cuma perasaan, Adi meneruskan aktiviti menonton TV. Mungkin juga runut bunyi daripada filem yang ditonton.

Tidak lama kemudian, Kevin menjengukkan kepala ke dalam bilik TV. Dia kelihatan sedikit resah, bercampur takut.

' Kau dah kenapa pula ni?' Adi bertanya bena tak bena.

' Follow me,' Kevin memanggil Adi sambil memandang kiri kanan seolah-olah cuak benar.

Kalau diikutkan hati, Adi malas sebenarnya hendak meninggalkalkan sofa yang empuk. Sementelah lagi mata sudah kuyu tetapi mengingatkan janji mereka, digagahkan juga.

' Weih,' Adi menepuk bahu Kevin lembut namun rakannya itu tidak menghiraukan perbuatan Adi. Mereka berjalan tanpa berbual sebelum Kevin membuka sebuah bilik mesyuarat yang malap. Apa sahaja yang dilakukan Kevin dalam bilik ini?

Sebelum sempat Adi membuka mulut, Kevin meletakan jari ke bibir. ' I've been changing rooms for the past two hours,' Kevin menerangkan dengan suara yang diperlahankan. Adi sedikit kecewa kenapa Kevin pergi seorang.

' So?'

' Takpe. We'll wait,' Kevin enggan menerangkan apa-apa lagi. Adi mengeluarkan telefon dari dalam poket. ' No. We will miss it,' Kevin mengisyaratkan Adi untuk menyimpan alat elektronik itu kembali.

Mahu tidak mahu, Adi mengalah. Mereka berdua menanti dalam gelap (dan kebosanan, bagi pihak Adi). Mujur sahaja mereka menunggu dalam bilik berhawa dingin.

Lima minit yang berlalu cukup menyeksakan namun Adi bersabar. Dalam gelap dia berfikir siapa yang berhak menerima pembalasan esok pagi. Balasan kerana menyebabkan dia menunggu seperti orang bodoh begini.

Lima minit kemudian menginjak ke sepuluh minit. Adi cukup kagum dengan disiplin Kevin yang cukup dedikasi menanti entiti tidak bertubuh yang entahkan muncul entahkan tidak. Tidak lama kemudian terdengar sesuatu.

' PSST' dan muka Kevin jadi pucat tidak berdarah. Adi pula tersentak namun dia cuba mengawal diri.

' Woi, bunyi tu ke?' Adi bersuara, kuat. Dia lantas bangun ke arah suis lampu.

' Eh kau gila ke? Kau tak dengar bunyi tadi?' Kevin jelas kelihatan gelabah.

' Sebab aku dengarlah aku buka lampu ni. Aku belum gila lagi,' Adi pantas berjalan ke arah satu sudut bilik.

Kevin hanya memandang, wajah penuh tanda-tanya.

' Ini!' Adi mengangkat sebuah bekas berwarna putih. ' Air freshener. Siang memanglah tak dengar kalau kita semua on the phone. Dah sunyi macam ni memanglah dengar. Dengar bunyi ni,' Adi menekan butang pada alat itu. ' Kan sama?'

Lama juga Kevin terlopong sebelum dia tertawa. Akhirnya, pecah tawa keduanya.

Dan, seekor entiti bermuka terbakar dengan baju putih lusuh yang sedang memerhatikan mereka di tengah koridor cuma mampu memandang kecewa.

Saturday, March 22, 2014

Bukan Nama Sebenar: 1

Elle tersandar pada kerusi. Pancaran cahaya dari kaca televisyen terkena pada wajahnya yang penat. Tangan kanan yang memegang rokok diletakkan di atas lutut, kemudian ditarik pula dekat pada dada. Wanita itu sedang duduk dalam gelap, cuba untuk menghadam apa yang ada di kaca TV. Sememangnya inilah yang dirancang tetapi bila sudah berlaku, terasa bagai tidak percaya pula. Hilang akal bagaimana untuk memberikan reaksi pada situasi sekarang. Di dalam kepala terdapat seribu satu cadangan untuk meraikan kegembiraan pada hari ini.

Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kecil bergetar tanda ada panggilan masuk. Elle memandang skrin telefon. Dalam hati ada rasa gembira, mungkin hampir kepada rasa tidak percaya. Namun, ini juga mungkin boleh jadi bala. Sudah lama tidak dapat berehat namun berita seperti ini akan membuatkan telefon tidak berhenti berdering sepanjang hari. Cuti yang selama ini ditunggu-tunggu bakal terganggu juga.

Dengan malas, Elle jenguk nama di skrin telefon. Nama yang terpapar membuatkan dia tersentap sedikit lantas Elle menurunkan kaki daripada sofa, dicapai telefon dengan tangan kiri. Tangan kanan menekan puntung rokok yang sudah tinggal sedikit bakinya ke dalam asbak. Perbualan yang seterusnya mungkin memerlukan fokus yang tinggi. Ini bukan kecil-kecil berita.

“ Pagi,” sapa Elle dengan suara serak-serak basah, suara awal pagi bercampur suara mengantuk.

“ Kau dah tengok berita?” suara pemanggil kedengaran segar. Samada dia sudah lama bangun ataupun tidak tidur semalaman.

“ Gila. Mustahil aku akan lepaskan peluang untuk berita sebegini. Pastinya sudah,” ada senyum di hujung jawapan Elle.

“ Tahniah.”

Sudah lama Elle tidak senyum lebar di pagi hari. Sudah bertahun sebenarnya.


Dan senyum itu bertukar kepada ketawa sebaik sahaja panggilan tamat. Sebatang lagi rokok dinyalakan. Api yang muncul seketika bagaikan metafora meraikan kemenangan. 

Tuesday, March 11, 2014

Memory: 27

' What is it this time?' Hanna's text reply came in a rush. Tasnim instantly felt ashamed of herself, knowing full well that Hanna was at a theatre right this moment and was trying yo confront her at the same time. Realising this, Tasnim just decided to continue crying on her bedroom floor, alone. It was best to let Hanna enjoy tonight.

While Tasnim was dwelling on the fact that Adam purposely avoided her when they were about to on the same elevator, her phone rang. It was Hanna.

' Aneem?' Hanna sounded frantic. ' Are you oke? I'm sorry I sounded cross.'

Tasnim took in a gulp of fresh air (and possibly tons of dust) and assured Hanna she was perfectly fine.

' Are you sure? I can leave right here, right now.'

' No, you continue. It's nothing. It's not like it's the first time,' Tasnim faked a laugh.

Hanna, on the other hand, was completely silent on the other side. ' You take care now.'

Tasnim just bid goodbye, a teary-eyed one while trying very hard not to let Hanna hear any of it.

It was about to be an extremely long night. And the next morning, nothing was ever the same.

Sunday, March 09, 2014

Sebuah buku, sekeping hati

' Ah you and your books,' Laura merungut sambil mengenakan subang di telinga.

 

Entah apalagi yang perempuan dari Singapura ini tidak puas hati.

 

Sarah meletakkan jari ke atas tempat akhir dia menghabiskan ayat lalu mengangkat pandangan ke arah Laura. ' Kenapa, Laura?' tanya Sarah dengan sabar. Melayan Laura selalunya tidak ubah seperti layan kanak-kanak kecil. Emosinya tidak sah kalau tidak beralun kiri-kanan tidak tentu masa.

 

' Kita on holiday kot. What are you doing with that book? Tak mau ikut aku ke? Tadi petang, Amal..'

 

Sudah semestinya ada sebab yang cukup jelas kenapa Laura tiba-tiba sibuk bersiap cantik untuk keluar petang ini. Ini; pada waktu ini, di tepi pulau yang entah di mana. Pastilah sebab seorang lelaki. Laura, si social butterfly.

 

' ...asked if we would like to hang out tonight. He gets off early tonight.'

 

Bosan. Sudahlah di tempat sendiri pun tidak putus undangan 'minum', 'lepak', 'chill' dan 'hangout' kalau bersama Laura, takkanlah di sini juga Sarah perlu terus-terusan menolak?

 

' Apa kata you je pergi, Laura? As my representative,' Sarah menjawab, nada suara dibiarkan mendatar untuk menekankan bahawa dia tidak berminat. Bukan sahaja tidak berminat, malah ragu. Beach boys, kita tahu perangai mereka macam mana.

 

' You are no fun at all,' Laura berkata sambil mengenakan secalit lagi gincu.

 

' Baru tau ke?' Sarah berkata, perlahan.

 

' I beg your pardon?" Laura berhenti di depan pintu sambil menggengam tombol.

 

' Takde apa. I was reading to myself. You have fun!' Sarah cuma tersenyum lebar.

 

' Ulat buku. How can you get a boyfriend like this?' itulah kata-kata Laura yang terakhir sebelum pintu ditutup. Sarah cuma tersengih, senget. Telefon yang diselitkan di bawah peha dikeluarkan.

 

Satu pesanan ringkas yang bertanyakan ' Sayang, dah makan malam?' dibaca dengan senyuman.

 

Semuanya kerana sebuah buku. Dan, kalau Laura dapat tahu, mesti dia naik hantu.

 

Tiga bulan sebelumnya..

 

' Ala you kenal. I tau kau kenal sebab dia selalu makan dekat City Walk dekat gerai tu...yang jual ikan bakar tu,' Laura menekan-nekan pipi sendiri.

 

' Ouh ye. Tahu. Tapi takde masa aku nak tengok orang. Check out ikan lagi bagus,' Sara menjawab acuh tidak acuh sambil kembali melihat laporan yang bertimbun di atas meja.

 

' Ugh. It's so hard to talk to you.'

 

' Still, that does not stop you from talking to me,' Sarah memandang wajah Laura di sebalik kaca mata. Laura memeluk diri sendiri sambil menjelir lidah pada Sarah.

 

' Nevermind that. Kau nak ikut tak?'

 

' What? Me?' Sarah tidak lagi memandang Laura. Fail bertanda 'Client Requirement' adalah jauh lebih penting.

 

' Well, yes. Aku suruh dia bawa kawan-kawan dia juga. Boleh tahan juga tau,' Laura menjemput diri sendiri duduk di depan Sarah.

 

' Suit yourself. Tapi kalau dia datang ramai-ramai, I'm out,' Sarah menolak cermin mata di hidung. ' I know you are rolling your eyes, honey.'

 

' Ok..fine,' jawab Laura dengan suara yang sengaja digaraukan. Sarah cuma tertawa.

 

Hujung minggu itu adalah kali pertama Sarah bertemu dengan Azlan. Ya, dia pernah lihat lelaki ini di gerai ikan bakar beberapa kali tetapi tidak pernah terlintas untuk berkenalan. Dengan rakan sepejabat sendiri pun Sarah jarang dapat peluang untuk bertegur sapa, inikan pula dengan orang luar.

 

Mudah untuk memahami mengapa Laura begitu gembira mahu kongsi cerita dengan Sarah tentang Azlan dan kawan-kawan. Hampir menjejak tiga puluh tahun, Azlan dan rakan-rakan bekerja dalam bidang minyak dan gas. Tidak perlu kelulusan tahap PhD pun Sarah tahu yang mereka ini berduit dan itulah yang menarik perhatian Laura.

 

Perempuan mana yang tidak?

 

Lalu, mereka habiskan masa hampir seharian menonton wayang dan selebihnya menemankan Laura membeli baju. Teman Azlan, Erik yang rajin melayan Laura mengambil satu demi satu baju daripada rak. Azlan dan Sarah cuma menunggu di tepi, cuba untuk tidak menunjukkan kebosanan.

 

' Tak mahu cari baju?' Azlan bersuara, memecah sunyi. Laura dan Erik nampak begitu mesra sekali tetapi tidak mereka berdua. Seorang ada dinding di antara mereka,

 

' Those dresses? Seriously?' tanya Sarah sambil menunjuk kepada deretan gaun pendek dengan belahan samada di dada atau di peha.

 

' Well, perempuan,' Azlan melurut rambut sambil tunduk malu.

 

' Nah, impractical,' ujar Sarah sambil memandang Laura yang kini sedang berdiri di depan kaunter pembayaran. Erik berdiri santai sambil memegang dompet. Laura kelihatan sedang senyum gembira.

 

' Now you sound like an engineer,' Azlan tergelak.

 

' I never said I wasn't.'

 

' I know you are not,' Azlan tersenyum, nakal.

 

' I see.' Jeda sesaat. ' Wait? What?'

 

Namun, soalan itu tidak berjawab bila Laura separuh berlari, separuh berjalan ke adah mereka sambil mengumumkan 'I'm starving!'

 

Dirasuah kopi oleh Laura, Sarah terlupa akan soakan yang masih tidak berjawab.

 

Seperti kebanyakan pekerja, kopi juga adalah dadah (yang halal) bagi Sarah. Petang itu, sengaja dia datang sendiri ke kedai kopi bukan francais untuk menghabiskan pembacaan. Duduk sendiri berteman kopi, seronok rasanya lihat para pekerja lalu-lalang.

 

Selepas membuat pesanan, Sarah ambil tempat di bahagian depan kedai. Sebuah buku berkulit tebal dikeluarkan dari beg. Waktu itu juga, satu susuk tubuh berlalu pantas di depan Sarah untuk ke kaunter. Dibiarkan sahaja pelanggan yang entah siapa dan diteruskan pembacaan yang tergendala sejak semalam.

 

Sarah hanya mengangkat muka waktu pelayan meletakkan minuman di depannya tanpa memperdulikan seseorang yang sedang bersandar di tepi cermin, dekat dengan mejanya. Kota ini terlalu ramai manusia pelik.

 

' Excuse me,' sapa satu suara. Sarah sudah menyumpah dalam hati. Kenapa mesti diganggu waktu dia bersama Perry Trachett?

 

' Ye?' Sarah pasang muka garang sambil memandang pintu. Azlan! 'Oh hi!'

 

' Hi, Sarah. Maaf ganggu. Itu buku Perry Tratchett ke?' mata Azlan masih tak lepas memandang buku di tangan Sarah.

 

' Ye. You read him?'

 

' Of course!'

 

Dan, di sinilah Sarah sekarang. Sudah masuk fasa berpacaran dengan Azlan. Hanya kerana sebuah buku.

 

' Sekejap lagi. Nak baca buku dulu.'

 

' You and books. Haha.'

 

' Eleh. Cakap orang.'

 

Sarah cuma tersenyum. Dan Laura di luar sana, masih berlari bebas mencari cinta, bermodalkan senyum dan ketawa manja.

Tuesday, March 04, 2014

Bising

Nina duduk membantu di tepi pintu. Mulutnya tak henti-henti mengiau, cuba menarik perhatian Dewi, tuannya yang sedang baring di atas sofa dengan muka penat.

' Meow! Meow!' Nina mengiau. Dewi buat muka selamba, jari tidak lekang daripada remote control. Sekejap saluran ini, kemudian ditukar pula. Dewi bosan sebenarnya, bukan Nina tidak faham. Cuma, entah mengapa malam ini Dewi tidak mahu melayan Nina.

Kepala Dewi ditelengkan ke kiri, memandang Nina di depan pintu dapur. ' Kan ada makanan kau kat dapur tu? Nak apa lagi Nina?' Dewi bertanya, malas.

' Meow..' Nina mengiau manja yang bermaksud 'dah-makan-tapi-nak-main-kejar-kejar-segulung-benang'.

Dewi terus mengadap televisyen sebelum mencapai telefon yang berbunyi. Serentak itu, Dewi memadamkan televisyen dan berjalan ke arah bilik tidur. Tuala yang tadinya membalut kepala Dewi cuma dibiarkan di atas bahu.

' Meow' mesti-Megat.

' Meow...' bergayut-sampai-pagi-butalah-jawabnya.

Nina berjalan melenggang-lenggok ke arah depan pintu bilik Dewi yang tertutup. Selalunya, mahu juga Dewi membawa Nina ke dalam bilik. Dapat juga Nina bermanja waktu Dewi sama-sama bermanja dengan Megat tetapi tidak hari ini.

Sesampainya di depan pintu bilik Dewi, Nina mengiau tidak berhenti di depan pintu. Ia berharap benar Dewi membuka pintu bilik. Sejak akhir-akhir ini, Dewi semakin culas bermanja dengan Nina. Cemburu Nina jadinya.

Puas Nina mengiau, tiada tindak balas sehingga ia akhirnya berlingkar di depan pintu. Sedar-sedar sahaja sudah pagi.

' Mari, Nina,' Dewi mengangkat Nina dari dalam bakul. ' Kita jalan-jalan.'

Nina menjilat-jilat tubuhnya, cuba untuk berlagak tidak peduli.

Betapa menyesalnya Nina berbuat demikian kerana itu adalah kali terakhir ia berjumpa dengan Nina. Rupanya, tuannya itu telah menghantar ia ke tempat yang jauh.

' Saya...Kamal...Dhaka.'

' Ini...Ho Chi Minh.'

Kalaulah Nina tahu yang Dewi membuangnya berdekatan dengan tempat tinggal pekerja dari Vietnam. Kalau.